Category Archives: Bola Sepak

Mengharapkan perlawanan yang positif di Hanoi

Kekalahan 2 – 1 kepada Vietnam di laman sendiri sudah pasti mengecewakan seluruh rakyat Malaysia amnya dan pada diri saya secara peribadi. Namun kepercayaan kepada Harimau Malaya untuk 90 minit di Hanoi nanti tidak akan sesekali luntur.

Semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Harimau Malaya di dalam stadium mahupun di rumah malam semalam jelas menunjukkan semangat ‘Demi Malaysia’ begitu kuat tidak kira kalah atau menang. Namun, suasana yang harmoni itu telah dicemari oleh beberapa insiden yang agak memalukan penyokong bola sepak Malaysia dan nama Malaysia sendiri.

Insiden pergaduhan di dalam stadium dikalangan penyokong adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut sama sekali terjadi. Lebih-lebih lagi apabila kita sebagai tuan rumah kepada lawan dari negara luar. Biar apa pun alasan yang diberikan yang mencetus kepada pergaduhan ini, tindakan membaling botol dan menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima sama sekali.

Jelas sekali insiden ini telah memberi pandangan dan tanggapan yang negatif oleh penyokong Vietnam dan seluruh peminat bola sepak dari luar negara. Hanya kerana sejumlah kecil penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan berkelakuan seperti itu, seluruh penyokong Malaysia telah terheret sama.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam sukan seperti yang terjadi malam semalam. Saya juga mengharapkan pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mereka ini demi keharmonian sukan di Malaysia.

Semoga Malaysia beroleh kejayaan dalam pusingan kedua di Hanoi nanti.

Pengarah Besar FELDA Melawat Kelab Bola Sepak Scotland Bersama Lelaki Dikehendaki Polis

Saya mengecam tindakan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad kerana dilihat berurusan dengan Rafat Rizvi, seorang lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa atas tuduhan rasuah, penipuan dan jenayah perbankan di Indonesia.

Faizoull Ahmad yang juga menyandang jawatan Pengerusi Kelab Bola Sepak Liga Super Malaysia Felda United telah melawat kelab pasukan bola sepak Scotland Glasgow Rangers bersama Rafat beberapa hari lepas. Menurutnya, tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat potensi untuk menjalankan program pembangunan anak muda bersama Felda United.

Walaubagaimanapun, mengapakah beliau perlu melibatkan Rafat, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis dalam urusan ini? Apatah lagi melantik Rafat sebagai penasihat beliau?

Adakah Faizoull tidak sedar bahawa Rafat telahpun didapati bersalah atas kesalahan penipuan yang bernilai jutaan dollar oleh Mahkamah Jakarta kerana terlibat dalam skandal kejatuhan Bank Century Indonesia?

Tindakan Faizoull ini sangat mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan. Tambahan lagi, terdapat spekulasi bahawa beliau ingin membeli pasukan bola sepak Glasgow Rangers.

Oleh yang demikian, saya menekankan agar Faizoull memberi penjelasan tentang perkara ini kerana beliau sebagai Pengarah Besar Felda perlulah bertanggungjawab atas tindakannya.

Mengangkat Martabat Bola Sepak Malaysia (Bahagian 2)

Dalam bahagian pertama esei saya, saya telah menceritakan keadaan bola sepak Malaysia pada hari ini. Walaupun saya mengakui bahawa terdapat peningkatan dari segi kejayaan serantau dan minat terhadap bola sepak tempat, namun sudah tiba masanya untuk kita tidak mengehadkan matlamat kita kepada Piala AFF Suzuki dan Sukan SEA semata-mata. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna perlu pembaikan yang segera dengan menyalurkan wang yang banyak untuk mengupah jurulatih-jurulatih berprestij atau seperti perancangan terkini iaitu menghantar Harimau Muda A ke pertandingan liga daerah di Australia yang mana telah disokong oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan.

Apa yang saya bersetuju dengan Kementerian adalah usaha mereka untuk merangka satu Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang lebih berjangka panjang dan menyeluruh. Program ini diterajui oleh Lim Teong Kim, seorang bekas pemain negara yang pernah bermain dengan Hertha BSC dan telah menjadi jurulatih pasukan muda untuk gergasi Jerman, Bayern Munich.

Seperti yang dinyatakan dalam bahagian sebelum ini, Jepun telah datang ke Malaysia pada tahun 1990an untuk belajar membangunkan bola sepak dan telah mewujudkan pelan 100 tahun! Sekarang negara tersebut layak untuk Piala Dunia secara konsisten. Sebahagian daripada rancangan mereka adalah untuk menambah kelab-kelab di dalam Liga-J daripada 10 buah pada 1993 kepada 100 buah satu abad kemudian. Liga mereka merupakan satu-satunya liga tahap-A di dalam Asia dan mempunyai 52 pasukan yang bermain di dalam 3 peringkat liga. Menurut FIFA, Jepun mempunyai hampir 2000 kelab bola sepak dan lebih 4.8 juta orang pemain bola sepak, yang mana hampir 22 peratus telah berdaftar. Manakala, Malaysia mempunyai 110 kelab bola sepak dan kurang daripada 600,000 orang pemain. Lebih teruk lagi, kurang daripada 2 peratus yang berdaftar! Nisbah pemain berdaftar kita juga kurang daripada pegawai bola sepak dibandingkan dengan Jepun yang nisbahnya adalah 4 orang pemain berdaftar kepada seorang pegawai bola sepak. Pasukan kebangsaan mereka merupakan juara Asia manakala pasukan wanitanya adalah juara dunia. Ramai pemain terbaik mereka pula menerima tawaran bermain di dalam pasukan terbaik di liga-liga Eropah.

Adalah mendukacitakan apabila respon FAM terhadap inisiatif ini hanya dipandang enteng – kerana pada mulanya Kementerian mempertimbangkan untuk memasukkan Annuar Musa, yang telah digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM kerana telah mengeluarkan “kenyataan negatif” ke atas pasukan kebangsaan yang telah bercanggah dengan Artikel 88 Statut FAM. Walau bagaimanapun beliau yang telah memainkan peranan penting dalam mengubah bola sepak Malaysia terutamanya membuat Kelantan – satu pasukan yang tidak pernah memenangi sebarang piala sebelum ini – bukan sahaja berjaya di atas padang malah berjaya dari segi komersial.

Pembangunan bola sepak seharusnya berada di bawah pemantauan FAM dan Kementerian Belia dan Sukan. Tetapi di Malaysia hari ini, kebanyakan aspek ini jatuh di bawah Kementerian Pendidikan dan ini telah menyebabkan banyak perbalahan berlaku. Kita mestilah mengambil iktibar bagaimana Sepanyol dan Jerman berjaya di dalam sukan ini melalui penekanan khusus ke atas pembangunan belia yang bukan sahaja mengembangkan liga domestik mereka bahkan juga pasukan kebangsaan mereka (berbanding dengan England yang masih ketinggalan dari segi pembangunan pemain tempatan dan kejayaan bola sepak antarabangsa).

Langkah seterusnya adalah untuk mengubah liga domestik yang mampu bersandarkan program pembangunan belia yang mantap. Hari ini, minat terhadap bola sepak Malaysia semakin berkembang ke tahap di mana peminat ternanti-nanti untuk ke stadium apatah lagi dengan suasana mengasyikkan hasil kumpulan-kumpulan ultras setiap pasukan.

Seorang penulis menggunakan nama pena Lucius Maximus telah mengarang sebuah buku yang menarik berjudul Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia yang telah diterbitkan pada tahun 2012. Salah satu cadangan utama beliau kemukakan yang telah menarik perhatian saya adalah cadangan untuk merombak pasukan-pasukan negeri yang kita ada hari ini dan menggantikannya dengan liga domestik yang keseluruhannya berasaskan pasukan berstatus kelab. Sebaliknya persatuan-persatuan bola sepak negeri seharusnya meletakkan fokus mereka ke atas pembangunan bola sepak, seperti mana yang dilakukan oleh persatuan-persatuan bola sepak di England.

Tindakan ini mungkin dilihat sebagai satu tindakan yang radikal, atau lebih buruk lagi, tidak masuk akal. Apatah lagi, pasukan-pasukan negeri telah menjadi nadi utama tradisi bola sepak termasuk Piala Malaysia, sebuah kejohanan berpiala yang tertua di Asia. Sudah pasti, di kala penonton baru mula untuk datang ke stadium sekali lagi, cadangan tersebut tampak tidak sesuai.

Walau bagaimanapun, seperti yang kita pelajari dari Jepun, kita memerlukan satu liga yang mempunyai jumlah pasukan professional yang secukupnya untuk memberi anjakan kepada kita untuk maju. Meskipun kelab-kelab bolasepak dibenarkan untuk bermain di dalam kelompok teratas sejak 90an, hanya beberapa pasukan yang mampu menandingi pasukan JDT dari Johor dari segi organisasi, penajaan kewangan, dan sokongan peminat.

Kebanyakan kelab-kelab masih meneruskan operasi mereka sebagai pasukan syarikat sahaja tanpa mempunyai asas sokongan yang kuat. Situasi ini adalah sama dengan apa yang dialami di Jepun sebelum ini, tetapi pihak berkuasa telah menetapkan syarat yang kelab-kelab ini harus membina hubungan yang baik dengan kerajaan dan syarikat-syarikat tempatan dalam usaha untuk menjadikan sesebuah kelab itu lebih bersifat tempatan. Lucius mencadangkan agar pasukan-pasukan negeri sedia ada ditukarkan menjadi pasukan tempatan untuk ibu-ibu negeri – oleh itu untuk Selangor akan menjadi sebuah kelab Shah Alam manakala untuk negeri Kelantan adalah kelab Kota Bharu. Bandar-bandar besar dan pekan-pekan yang tidak berstatus ibu negeri – Petaling Jaya, Klang, Taiping, Batu Pahat, Sibu, Miri and Sandakan boleh mempunyai kelab-kelab professional mereka sendiri.

Jikalau idea ini dilihat sebagai terlalu radikal, maka tiada apa yang boleh menghalang daripada mengekalkan pasukan negeri tetapi mengubah pasukan kelab sedia ada untuk lebih bersifat tempatan. Perkara utama adalah untuk menambahkan lebih banyak kelab professional yang memainkan peranan penting dalam menambah baik kualiti bola sepak Malaysia. Semua pasukan juga perlu melabur untuk membangunkan bakat-bakat muda bola sepak.

Akhir sekali, kita perlu mengubah barisan kepimpinan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak negeri. Demi kebaikan bola sepak negara, adalah perlu untuk menjauhkan kerabat diraja daripada terlibat dalam struktur formal persatuan bola sepak. Jikalau perlu, mereka boleh menjadi penaung kehormat sementara ahli professional atau bekas-bekas pemain dibenarkan untuk mengendalikan persatuan-persatuan bola sepak. Contohnya, dalam Persatuan Bola Sepak Inggeris, seorang ahli keluarga diraja akan memegang jawatan sebagai penaung presiden tetapi pengerusi sahaja yang bertanggunjawab untuk menjalankan kerja seharian. Oleh yang demikian, kita boleh mengadakan perbincangan yang jujur tentang mereka yang mengendalikan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak tanpa ‘melanggar pantang’.

Mengangkat Martabat Bola Sepak Malaysia (Bahagian 1)

Tahun ini sekali lagi tahun Piala Dunia. Edisi 2014 akan berlangsung di negara yang memenangi paling banyak Piala Dunia dalam sejarah, Brazil. Ini kali kedua Piala Dunia berlangsung di negara Amerika Latin tersebut. Justeru bagi peminat bola sepak seluruh dunia, tahun ini satu lagi tahun yang mengasyikkan, meskipun bagi kita di Malaysia, ini akan bermakna berjaga malam dan bangun awal pagi kerana perbezaan masa. Di Dun saya ada sebuah restoran yang cukup terkenal di kalangan kaki bola (terutamanya penyokong Liverpool seperti saya) iaitu D’Stall Corner Kelana Jaya.

Namun, meskipun bola sepak adalah sukan paling terkenal di negara kita, mutu bola sepak kini amatlah mendukacitakan.

Untuk berlaku adil, ada petanda positif, yang telah menyebabkan meningkatnya minat penyokong selepas skandal rasuah dan keluarnya Singapura daripada liga pada pertengahan tahun 1990-an. Pada 2009, pasukan bawah 23 tahun kita, Harimau Muda, meraih pingat emas Sukan Sea selepas Thailand mendominasi begitu lama dan berjaya mempertahankan kemenangan ini dua tahun kemudian. Pada 2010, pasukan senior, Harimau Malaya, memenangi Piala AFF Suzuki. Malangnya, kita telah kehilangan kedua-dua gelaran.

Lebih menyedihkan lagi, kita hanya boleh bermimpi untuk menjadi juara Asia Tenggara, bukannya bersaing di peringkat tertinggi di dunia atau sekurang-kurangnya Asia. Ini bukannya perkara baharu, kita pernah layak ke peringkat Olimpik dua kali dan menjadi kuasa bola sepak Asia pada zaman kegemilangan dekad 1970an dan 1980-an. Pada 1999, FAM umum reformasi besar-besaran dengan sasaran Malaysia layak ke Piala Dunia menjelang 2014!

Pun begitu, kini 2014 sudah pun tiba dan selain kejayaan-kejayaan kecil tersebut, ternyata Malaysia jauh sekali untuk layak ke Piala Dunia. Dalam ranking Fifa yang terbaharu, kita berada di tangga ke-154 di dunia. Di Asia Tenggara kita berada di bawah Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (144), Thailand (146), Singapura (150) dan Laos (152)! Tidak seperti negara kita, bola sepak bukannya sukan utama di Filipina. Prestasi kita di kejohanan-kejohanan serantau menggambarkan kita sekurang-kurangnya berada dalam kalangan empat negara terbaik di rantau ini, bukannya ke tujuh, tetapi ini adalah kerana kekurangan perlawanan A yang diiktiraf oleh Fifa.

Meskipun Piala Malaysia merupakan kejohanan piala kebangsaan yang tertua di Asia, Liga Super Malaysia kini bergred D dan berada di tangga ke-18 di benua ini. Justeru, pasukan-pasukan tempatan kita tidak layak ke kejohanan elit Liga Juara-Juara Asia. Liga-liga tempatan Thailand, Singapura dan Vietnam semuanya tersenarai di atas Liga Super Malaysia. Singapura, sebagaimana ramai di antara kita maklum, hanya memulakan Liga S mereka pada 1996 selepas mereka keluar daripada liga tempatan kita. Namun kini hanya Harimau Muda B (pasukan kita yang bermain di Liga S) boleh layak menerusi play off ke Liga Juara-Juara Asia, sementara pasukan yang bermain di Liga Super Malaysia tidak boleh berbuat demikian. Pasukan-pasukan tempatan kita hanya boleh layak ke kejohanan Piala AFC – untuk negara-negara bola sepak yang masih ‘membangun’.

Ranking-ranking ini penting. Bagi sebarang pemerhati luar, inilah gambaran pertama bagi mereka menilai bola sepak negara. Bagi satu contoh yang lebih jelas, kita tidak boleh mengambil kesempatan terhadap dua kelab Britain yang dimiliki rakyat Malaysia – Cardiff City FC dan Queens Park Rangers – kerana sukar bagi sebarang pemain dari negara yang berada di bawah ranking 70 teratas Fifa untuk mendapat permit pekerjaan. Itulah hakikatnya ketika timbul cakap-cakap bahawa bintang-bintang negara seperti Safee Sali dan Safiq Rahim akan ke kelab-kelab tersebut.

Maka, ke mana kita sekarang? Selepas kontrak K Rajagopal tamat tahun lepas, timbul cadangan untuk melantik jurulatih tersohor Perancis Philippe Troussier – yang mempunyai pengalaman luas melatih Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria – untuk melatih Harimau Malaya. Troussier walau bagaimanapun dikatakan meminta gaji sehingga RM400,000 sebulan. Hakikatnya, dengan keadaan bola sepak kita pada hari ini, penyelesaian segera, tidak kira betapa mahal, tidak akan berhasil.

Dalam bahagian seterusnya, saya akan melihat bagaimana kita boleh mengangkat martabat bola sepak negara. Antara contoh utama saya ialah sebuah negara yang mana bola sepak masih bersaing dengan besbol dan paling penting sekali hanya menjadi kuasa bola sepak pada tahun 1990an, Jepun. Sebelum itu mereka ketinggalan berbanding kita, malah mereka melawat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan sukan ini! Mereka memperkenalkan pelan 100 tahun untuk bola sepak mereka. Namun begitu, biarpun baharu dua dekad berlalu, mutu bola sepak mereka telah meningkat dengan drastik dan mereka telah meletak sasaran memenangi Piala Dunia pada 2050, baharu melebihi separuh tempoh pelan 100 tahun mereka.

Harus kita ingat, Malaysia boleh!

Bola Sepak Malaysia Perlu Lebih Daripada Jurulatih Berprestij

Saya merujuk kepada beberapa laporan bahawa FAM sedang mempertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria, Philippe Troussier untuk menggantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Harimau Malaya. Selain itu juga ada laporan yang menyebut Zdenek Zeman (bekas jurulatih Roma, Itali), Bob Houghton dari England, Rudi Voeller dari Jerman dan bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic sebagai calon kerusi panas tersebut.

Sumber-sumber menyebut Troussier meminta lebih RM400,000 sebulan atau RM4 juta setahun untuk memberikan khidmatnya.

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, bagi mengangkat martabat bola sepak Malaysia, kita memerlukan reformasi menyeluruh bermula dengan penukaran Presiden FAM dan struktur organisasi tersebut, liga domestik sehinggalah program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. Hanya apabila isu-isu tersebut diselesaikan – dan ini memerlukan masa yang lama – kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya.

Sebab itu apabila negara Jepun, sebuah negara yang ketinggalan di dalam bola sepak rantau ini, termasuk dengan negara kita pada era sebelum 1990an, merancang strategi untuk mengangkat mutu bola sepak negara mereka menggariskan Pelan 100 Tahun! Kini, lebih kurang dua dekad kemudian pelan mereka sudah membuahkan hasil apabila Jepun layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998 dan kini berada di tangga no 2 ranking FIFA di Asia.

Justeru, saya menyambut baik kenyataan-kenyataan dari Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

Kita menunggu butir-butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi. Kita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan. Yang penting, perubahan mestilah diinstitusikan dan tidak berharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata.

Rombakan Menyeluruh FAM Wajar

Kenyataan Bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa bahawa persatuan bola sepak kebangsaan itu perlukan rombakan besar-besaran adalah amat wajar.

Jika kita mahu melihat perubahan benar-benar bermakna, sekadar penukaran jurulatih atau pasukan kebangsaan tidak mencukupi.

Perubahan harus bermula dari atas.

Kita juga menunggu dengan penuh harapan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dilancar dalam masa terdekat.

Namun sekiranya FAM masih berada pada takuk yang lama, cita-cita kita melihat pasukan bola sepak kembali ke zaman gemilang tidak akan menjadi realiti.