Category Archives: Berita

Kehadiran Dr Mahathir: Kemenangan moral buat Anwar

Saya mengulas kehadiran Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini di Konvensyen Reformis.

Jelajah Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN oleh AMK

Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan memulakan Jelajah Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN dengan forum pada 18 Januari 2017 8.30 malam.

Forum di Rumah Gerakbudaya, No. 2, Jalan Bukit 11/2 Petaling Jaya tersebut akan memaparkan pembentangan oleh Ketua AMK merangkap EXCO Pendidikan Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan panelis lain adalah Dr Maszlee Malik dari UIA; CM Chew dari Malaysian Youth and Student Democratic Movement (DEMA); dan Affendy Hasni dari Mahasiswa Keadilan Malaysia.

Isu ini menjadi relevan dengan masalah beban hutang PTPTN yang semakin serius, kadar pembayaran semula PTPTN yang rendah dan pemotongan peruntukan IPTA yang serius.

Seterusnya, AMK akan mengadakan forum yang sama di Johor Bharu, Kuantan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Maklumat lengkap program-program di seluruh Malaysia ini akan dipaparkan dalam masa yang terdekat.

Golongan akademik dan mahasiswa, pihak media serta orang ramai dijemput menghadiri program ini.

Kerajaan Negeri Tawar Biasiswa PhD ke Luar Negara

Saya menerangkan tentang program Brain Bank Kerajaan Selangor, di mana biasiswa disediakan untuk pengajian peringkat PhD ke universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Anda boleh memohon biasiswa tersebut di pautan ini.

Penutupan institusi pendidikan di Selangor berikutan jerebu yang teruk adalah wajar

Saya mengalu-alukan keputusan Kementerian Pendidikan berkenaan penutupan sekolah-sekolah di sekitar Selangor akibat keadaan jerebu yang semakin teruk. Saranan ini juga telah dibuat oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Azmin Ali awal semalam, dan saya amatlah bersetuju dan berpuas hati dengan keputusan tersebut. Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam juga mengambil keputusan yang sama sementara Kampus Bestari Jaya terus dibuka memandangkan keadaan masih terkawal di sana.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang terlalu tinggi sehingga takat yang sangat tidak sihat di beberapa kawasan di Selangor mampu menjejaskan kesihatan pelajar, terutamanya pelajar sekolah rendah. Oleh itu ibu bapa disarankan untuk sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini berkenaan keadaan jerebu ini dan memastikan semua langkah diambil untuk melindungi anak-anak seperti memakaikan topeng (yang disyorkan adalah N95).

Dalam pada itu, saya tetap merasakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih boleh mengambil langkah yang lebih baik dalam menghadapi kemelut pencemaran udara yang sudah menjadi kejadian tahunan ini. Sistem bacaan IPU yang digunakan oleh pihak kerajaan, terutamanya, haruslah disamakan dengan piawai yang digunakan oleh negara-negara maju agar rakyat boleh didedahkan dengan bacaan yang lebih tepat. Ramai yang sudah terkesan dengan pencemaran udara ini, apatah lagi ia berulang hampir setiap tahun, maka sebarang usaha untuk menambahbaik sistem untuk menangani isu ini haruslah dipercepatkan.

Saya percaya semua pihak bersetuju bahawa kesihatan anak-anak mestilah diutamakan.

Dengan keadaan yang masih belum reda ini, saya juga ingin menyarankan agar ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luaran. Semoga kita semua dilindungi Allah s.w.t.

Pemberian imbuhan tahunan kakitangan Unisel Hari Raya Eidul Fitr 1436 H / 2015 M

Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan pemberian Imbuhan Tahunan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1436 H / 2015 M berjumlah satu (1) bulan gaji kepada 887 orang anggota kakitangan Universiti Selangor (Unisel). Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah membuat pengumuman tersebut hari ini di dalam satu sidang media khas pagi ini di kampus Unisel Shah Alam bersama pihak pengurusan universiti.

Menurut Nik Nazmi, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor, Imbuhan Tahunan ini bertujuan menghargai khidmat kesemua kakitangan Unisel, di samping memberi motivasi dan meningkatkan semangat kerja warga pekerja Universiti tersebut.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM2,685,329.23 bagi melaksanakan pemberian imbuhan ini.

Pengumuman ini menyusuli pengumuman YAB Dato Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, berkenaan pemberian Imbuhan Tahunan kepada semua penjawat awam Negeri Selangor bagi menghargai khidmat mereka dalam usaha mencapai matlamat Kerajaan Negeri yang mengetengahkan teras Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli.

Di samping itu, Nik Nazmi turut membentangkan perkembangan Program Pembangunan Bakat (talent development) yang merupakan program di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC).

Antara program yang dijalankan adalah Internship – High Impact Talent (i-HIT), dengan kerjasama institusi di bawah pengawasan kerajaan Negeri Selangor iaitu Unisel, INPENS dan KUIS. Program i-HIT Big Data Analytics & Automation Systems sudah pun berlangsung di Unisel dengan penyertaan seramai 31 orang belia yang dijalankan selama 3 bulan.

Program pensijilan kemahiran tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada keperluan spesifik industri dari segi teknologi terkini dan pengkhususan latihan.

Turut dalam perancangan adalah program Youth Enhancement Strategy (YES) yang bermatlamat memberi peluang kepada lepasan sekolah untuk membangunkan karier dan memberi latihan, persijilan dan peluang pekerjaan di dalam industri.

Ini semua sebahagian daripada proses reformasi UNISEL yang bermula dengan perlantikan Jawatankuasa Penambahbaikan UNISEL oleh Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lalu. Jawatankuasa yang dianggotai tokoh-tokoh akademik luar terkemuka ini telah memberi saranan dan cadangan kepada Kerajaan Negeri yang sudah mula digunapakai. Nik Nazmi berharap pemberian imbuhan ini menaikkan semangat warga UNISEL bagi melalui proses ini.

Program Gotong Royong Perdana Desa Mentari

Berteraskan usaha untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah, di samping memantapkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk yang berbilang kaum, satu program gotong-royong telah diadakah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Nik Nazmi Nik Ahmad, selaku Pengerusi Jawatankuasa, telah merasmikan program tersebut, dan beliau turut disertai oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, YB Wong Chen, yang turun ke padang untuk bersama-sama penduduk demi menjayakan program. Desa Mentari turut terletak di bawah DUN Seri Setia yang diwakili Nik Nazmi.

Program ini direncanakan dibawah Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang bertujuan untuk melahirkan Generasi Idaman Selangor yg berdaya saing dan berkualiti.

Nik Nazmi berbahas dengan ‘ADUN-ADUN Muda’

Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil bahagian di dalam sesi pertama persidangan ADUN Muda Selangor 2015 pada hari ini.

Persidangan yang dikendalikan oleh Tuan Timbalan Speaker, YB Mohd Shafie bin Ngah, berlangsung dengan baik dan memperlihatkan kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, mengambil bahagian.

Sesi pertama program ADUN Muda tahun ini, yang berlangsung pada 27-28 Mei, telah dianjurkan oleh Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor bertujuan memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang.

Program ini telah bermula pada tahun 2013, dan dimulakan oleh Nik Nazmi sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ketika beliau memegang jawatan Timbalan Speaker.

Majlis Agihan Bantuan Pendidikan Selangor Daerah Sabak Bernam

Daerah Sabak Bernam merupakan daerah ke-5 untuk menerima agihan bantuan sekolah Kerajaan Negeri Selangor hari ini di dalam satu majlis penyerahan cek yang disempurnakan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Di dalam ucaptama beliau , Nik Nazmi menerangkan objektif Kerajaan Negeri Selangor memberi bantuan penambahbaikan infra iaitu bertujuan untuk menumpukan kepada bantuan menyeluruh yang dapat dinikmati oleh setiap pelajar dan guru.

Khusus untuk daerah Sabak Bernam jumlah peruntukan yang diagihkan adalah sebanyak RM384,000 kepada 27 buah sekolah yang terdiri daripada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Bertujuan menyediakan infra dan keadaan sekeliling yang kondusif untuk pembelajaran, bantuan tersebut diagihkan berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah berdasarkan borang permohonan yang dilengkapkan oleh setiap sekolah.

Hadiah Pengajian IPT turut diberi agihan di majlis tersebut. Hadiah tersebut merupakan skim Kerajaan Negeri Selangor bagi pelajar lepasan SPM yang berjaya ditempatkan di institut pengajian tinggi.

Pelancaran Program Stem Sel Usaha Inovasi Pendidikan Selangor

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah melancarkan program Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) Selangor ketika merasmikan bengkel STEM SEL di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah pada hari ini.

Bengkel STEM tersebut, yang diadakan buat pertama kalinya pada tahun ini, merupakan anjuran International Islamic Academy for Life Sciences and Biotechnology (IAB), UNISEL dengan sokongan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Di dalam ucaptama beliau, Nik Nazmi telah menyatakan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri dalam memberdayakan Pendidikan STEM ini adalah kerana Pendidikan STEM melibatkan pendekatan interdisiplin bersepadu yang membolehkan pelajar mengaitkan penggunaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dengan aplikasi dunia sebenar.

“Kerajaan Negeri Selangor berazam agar STEM SEL akan menjadi model untuk pendidikan, inovasi penyelidikan dan keusahawanan STEM di Malaysia. Dengan bantuan UNISEL, kita percaya bahawa proses inovasi pendidikan dengan menggerakkan pendidikan STEM di rantau ini boleh dipercepatkan supaya selari dengan tuntutan kerja baru bagi abad ke-21,

“Dengan falsafah Inovasi STEM yang menyatukan pendidikan, penyelidikan dan keusahawanan, serta menyediakan rangkaian di antara universiti, industri dan masyarakat luar bandar, dasar ini diketengahkan dengan fahaman bahawa bukan sahaja semua orang mempunyai hak untuk pendidikan, tetapi semua orang pasti boleh mendapat manfaat daripada STEM SELANGOR.”

Bengkel STEM 2015 yang dihadiri oleh lebih daripada 180 orang pelajar dan guru daripada empat buah sekolah di Selangor itu dijalankan dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan murid dilengkapi kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia yang sedang berubah dengan pengaplikasian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Di dalam bengkel ini, para pelajar menjalani beberapa aktiviti. Aktiviti ini terbahagi kepada dua bidang iaitu Bidang Sains Hayat & Bidang Kejuruteraan. Pada sebelah pagi, para pelajar akan didedahkan dengan beberapa teknik yang seringkali digunakan di dalam bidang penyelidikan Sains Hayat. Aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan oleh para pelajar di setiap makmal tersebut adalah seperti Microbe Streaking, Gram-Staining, Penghasilan Biofuel, ekstrakan DNA, penghasilan aiskrim dan aktiviti yang melibatkan kejuruteraan sivil, elektrik dan mekanikal.

Nik Nazmi Hadiri Acara Penutup Sukan Malaysia di Taiwan

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad telah menghadiri Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMAS) diantara pelajar-pelajar Malaysia anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Taiwan yang diadakan di National Taiwan Sports University.

SUKMAS yang diadakan pada 23-24 Mei 2015 itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan untuk bersaing sesama mereka di dalam pelbagai aktiviti sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga telah dijemput menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang acara sukan tertentu. Di samping itu, beliau juga telah mempersembahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pelajar Malaysia Taiwan.

Turut serta menghadiri majlis tersebut adalah YB Chang Lih Kang, Adun Teja (KEADILAN), YB Wong Shu Qi, Adun Senai (DAP) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional Dato Wee Ka Siong, Dato Seri Tiong King Sing, Dato Wira Johari Baharum serta YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga telah menghadiri satu majlis suai kenal bersama Malaysian Progressives di Taiwan. Malaysian Progressives merupakan satu persatuan penggerak pelajar yang bergerak secara global untuk mengetengahkan isu-isu penting di dalam dan di luar negara bagi pelajar-pelajar Malaysia di seluruh dunia.