Biodata

Gambar keluarga

Saya dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1982 dan membesar di Petaling Jaya sebagai anak bongsu daripada lima adik beradik.  Kedua-dua ibu bapa saya berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Ayah saya adalah seorang penjawat awam yang sudah bersara manakala ibu saya adalah seorang suri rumah.

Saya menerima pendidikan awal di SRK La Salle Petaling Jaya sebelum dipilih untuk masuk ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Ketika di MCKK, saya merupakan sebahagian daripada pasukan debat Bahasa Melayu yang menjuarai Piala Dato Shukor Abdullah dan juga Piala Perdana Menteri pada tahun 1999.

Saya kemudian menuntut di Kolej Yayasan UEM untuk pengajian A-Levels saya. Ketika di sana, saya telah dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar. Penglibatan saya di arena politik Malaysia mula berkisar pada waktu itu melalui penyertaan saya dengan Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar.

Pada tahun 2002, saya melanjutkan pengajian tinggi saya di King’s College University of London di dalam bidang undang-undang. Saya aktif dalam pelbagai persatuan termasuk King’s College London Malaysia Singapore Society, Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia, Majlis Perwakilan Pelajar United Kindgom & Eire (UKEC), King’s College London Labour Students dan Persekutuan Pelajar-Pelajar Islam United Kingdom & Eire (FOSIS). Di samping itu, saya juga pernah menjadi fasilitator bagi Projek Kalsom di Terengganu pada tahun 2004, sebuah program motivasi bagi pelajar pelajar luar bandar yang kurang bernasib baik.

Saya juga telah dilantik sebagai wakil untuk King’s College bagi Persidangan Kebangsaan untuk Kesatuan Pelajar Pelajar UK (NUS Students Conference) pada  tahun 2005.

Setelah tamat pengajian tinggi saya pada tahun 2005, saya pulang ke Malaysia untuk berkhidmat sebagai eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pada masa yang sama, saya juga menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya. Saya kemudian bekerja sepenuh masa sebagai Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada tahun 2007, saya telah dilantik sebagai Exco Angkatan Muda KEADILAN. Saya juga telah mengasaskan Projek Mentari, projek tuisyen yang dijalankan secara sukarela bagi kanak kanak yang berasal dari kawasan perumahan kos rendah di Desa Mentari. Saya sekarang merupakan penaung bagi projek tersebut dan bersyukur kerana berkat usaha gigih tenaga sukarelawan kami, projek tersebut telah meninggalkan kesan yang positif kepada masyarakat setempat.

Pada Pilihanraya Umum 2008, saya telah dipilih dan diberi penghormatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk kawasan Seri Setia, di mana saya merupakan calon yang paling muda bertanding dalam Pilihanraya Umum tersebut. Saya kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Tan Sri Khalid Ibrahim- Menteri Besar baru Selangor. Susulan pada itu, saya telah dilantik sebagai Pengarah Komunikasi KEADILAN pada tahun 2010.

Saya juga berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Sukan Majlis Selangor dari tahun 2009 hingga 2010. Pada pemilihan parti di tahun 2010, saya telah dipilih sebagai Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kelana Jaya.

Saya juga telah merupakan sebahagian dari Ahli Jawatankuasa Pilihan DUN Selangor bagi Enakmen Kebebasan Maklumat yang telah memainkan peranan penting dalam merangka semula dan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat pertama Malaysia.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 saya telah berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia saya dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor. Saya turut dipilih mempengerusikan Jawatankuasa Terpilih Pihak Berkuasa Tempatan (JK-PBT) dan menganggotai Jawatankuasa Terpilih Khas Kewibawaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Jawatankuasa Terpilih Pembasmian Kemiskinan dan Jawatankuasa Pengurusan Dewan.

Pada pemilihan parti 2014, saya telah dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN yang ketiga dalam sejarah parti selepas Ezam Mohd Nor dan Shamsul Iskandar Md Akin.

Di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ke-15, Azmin Ali, saya telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi.

Saya turut menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Selangor yang pertama, selain Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor, Yayasan Selangor dan Institut Darul Ehsan.

Pelbagai institusi termasuk Universiti Oxford, Cambridge, Stanford, Melbourne, Universiti Nasional Australia, Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura, Asian Strategic Leadership Institute dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah menjemput saya berucap di acara-acara mereka.

Saya turut menganggotai Panel Penasihat Rentas Parti Centre for Public Policy Studies (CPPS).

Saya menulis di pelbagai media cetak termasuk akhbar The Edge, Malay Mail, Sinar Harian, the Star, Malaysiakini, Suara Keadilan dan Harakah. Saya juga telah mengarang beberapa buah buku, Mendepani Zaman- Melayu untuk Abad ke 21 (diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai Moving Forward: Malays for the 21st Century), Coming of Age: a Decade of Essays 2001-2011. dan Reformasi: Perjuangan Diteruskan 1998-2015 (penulis bersama Yee Siew Meng). Bersama Tricia Yeoh, saya menjadi editor Jiwa Merdeka: Himpunan Esei Pimpinan Muda KEADILAN yang diterbitkan di dalam Bahasa Inggeris sebagai the Spirit of Merdeka: a Collection of Essays by Young KEADILAN Leaders.

Saya juga adalah peminat bola sepak; penyokong tegar Harimau Malaya dan juga pasukan Kelantan dan Selangor. Saya juga menyokong kelab Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris. Ketika zaman belajar saya di London, saya pernah bekerja sebagai ‘match steward’ di Stamford Bridge.

Saya telah pun berkahwin. Isteri saya – Imaan adalah seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital kerajaan. Kami telah dikurniakan dengan seorang cahaya mata – Nik Ilhan.

3 Responses to Biodata

  1. Mr Ahmad,
    I would be interested in speaking to you regarding your comments on Datuk Faizoull bin Ahmad’s visit to Scotland for talks with Glasgow Rangers and the involvment of convicted fraudster Rafat Rizvi.
    Can you email me please?

  2. I would like to meet you Mr Nik Nazmi regarding the future and pathway for selangor students enrolling to selangor university or colleges that can enhance or added value towards their future careers.

    I am an education consultant.

  3. How to get in touch with Mr. Nik Nazmi?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *