Adakah Nur Jazlan membaca laporan Bank Dunia sepenuhnya?

Bank Dunia baru menerbitkan laporan ‘Migrating to Opportunity: Overcoming Barriers to Labour Mobility in Southeast Asia’. Laporan ini melihat kepada penghijrahan pekerja antara negara-negara di Asia Tenggara.

Berikutan laporan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed, mengumumkan bahawa sektor pembuatan berorientasikan eksport akan dibenarkan menggunakan pekerja asing sepenuhnya.

Sekiranya Nur Jazlan membaca laporan tersebut sepenuhnya, ia menyebut bahawa Malaysia juga perlu menjadikan sistem imigresen kita lebih peka terhadap keperluan ekonomi dan mengatasi masalah pendatang tidak formal.

Sektor pembuatan yang mendapat manfaat daripada pekerja asing juga sepatutnya boleh membuat pelaburan lebih besar dalam inovasi. Mengikut satu lagi laporan Bank Dunia, ‘Trouble in the Making: the Future of Manufacturing-Led Development’, di Thailand, bilangan robot industri pada 2015 adalah 14,902 sementara Malaysia adalah hanya 3,931 sementara Indonesia adalah 3,208.

Masalah utama kebanjiran pekerja asing di Malaysia juga adalah di sektor perkhidmatan yang memberikan nilai tambah yang rendah. Ini telah merencatkan kadar gaji dan upah di Malaysia yang menjadikan rakyat Malaysia khususnya generasi muda sebagai mangsa.

Pokoknya, semua pakar bersetuju bahawa pengurusan pekerja asing di negara kita perlu lebih tersasar dan selektif, yang sesuai dengan keperluan ekonomi. Sindrom ‘orang tengah’ telah merosakkan pengambilan pekerja asing.

Isu pekerja asing sepatutnya diuruskan oleh Kementerian Sumber Manusia, bukan Kementerian Dalam Negeri. Namun kerana untuk memastikan pihak-pihak yang rapat dengan UMNO terus untung dari sistem ini, maka ia diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *