Monthly Archives: August 2017

Respon siasatan SPRM isu Jana Niaga

Berikutan laporan siasatan yang dimulakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Unisel dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) pada hari ini, Kerajaan Negeri Selangor, termasuklah pihak Unisel dan MBI, bersedia memberi kerjasama penuh dengan pihak SPRM agar perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pendekatan penyelesaian pertikaian yang diambil oleh Jana Niaga dan Unisel adalah diputuskan di peringkat Lembaga Pengarah.

Setiap proses yang dilaksanakan telah diambil dengan mengutamakan kepentingan universiti dan terutamanya pelajar.

Oleh itu, kami serahkan kepada pihak SPRM untuk melakukan siasatan ke atas perkara ini, dan pada masa yang sama akan memberikan segala bukti serta keterangan yang diperlukan.

AMK mengecam penahanan pimpinan AMK Pulau Pinang dan aktivis parti

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya penahanan 12 pimpinan dan anggota Angkatan Muda Keadilan dan aktivis parti di Permatang Pauh. Mereka berhimpun secara aman untuk menyambut kehadiran Perdana Menteri Najib Razak menerusi ‘flash mob’ bagi membantah penahanan Anwar Ibrahim di penjara yang bermotifkan politik.

Najib hadir di sana untuk sebuah jamuan ‘makan bersila’ yang dianjurkan oleh UMNO kawasan. Malah, politeknik berkenaan sepatutnya bercuti pertengahan semester pada 14 hingga 18 Ogos tetapi cuti tersebut telah dipinda ke minggu bermula 28 Ogos pada saat akhir.

Perkara ini membimbangkan kerana sudah jelas bahawa Najib bertindak menggunakan pihak polis bagi menghalang aktiviti anak muda yang berhimpun secara aman. Mereka berhak berhimpun dan menyuarakan pendapat masing-masing, sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan.

Mengecam kekacauan di Nothing to Hide 2.0

Saya mengecam insiden memalukan dan ganas di forum Nothing to Hide 2?0 di Shah Alam pada 13 Ogos 2017.

Semua rakyat, tanpa mengira latarbelakang politik ada hak turut serta dalam perhimpunan aman tanpa merisaukan keselamatan mereka.

Apa yang berlaku di forum tersebut tidak normal. Tiada orang waras akan menjustifikasikan pergaduhan dan pembakaran suar (flare) di forum awam tidak kira apa sebab.

Selain itu, tindakan ini menggambarkan ketidakhormatan tergadap Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Mereka yang bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung patut malu tentang tindakan mereka.

Pihak polis mesti menjalankan siasatan mendalam terhadap kejadian tersebut dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab tanpa kecuali.

Respon kepada permintaan Rosmah untuk tingkatkan peruntukan Permata

Saya merujuk ucapan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor baru-baru ini berkenaan program Permata.

Menurut laporan berita, Rosmah menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan Menteri Kewangan, iaitu suami beliau sendiri, untuk meningkatkan belanjawan program Permata.

Pada dasarnya Permata merupakan program pendidikan, oleh setiap dasar pendidikan sepatutnya disatukan dengan inisiatif Kementerian Pendidikan yang lebih komprehensif.

Ia amat membingungkan bagaimana Permata boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, sedangkan ia jelas sepatutnya di bawah Kementerian Pendidikan. Apa yang lebih mencurigakan adalah tidak ada seorang pun Menteri yang menyelia program tersebut, yang mempunyai peruntukan sebanyak RM85 juta, tetapi ia boleh diletakkan di bawah isteri Perdana Menteri yang tidak mempunyai jawatan di dalam kerajaan.

Ia juga sesuatu yang menjengkelkan apabila Rosmah boleh dengan bersahaja menyatakan bahawa beliau akan berbincang dengan suami untuk meningkatkan bajet Permata, tetapi terlupa bahawa bajet Permata sebenarnya memang telah meningkat untuk tahun 2017, sementara itu bajet pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi, telah dipotong.

Jika beliau benar-benar kisah tentang pendidikan, biarlah Permata diselia oleh Kementerian Pendidikan yang mempunyai kepakaran program seperti itu dan boleh memastikan bahawa hala tuju program serasi dengan sistem pendidikan,

Rosmah juga boleh menderma kepada bajet Kementerian Pendidikan, jika dia benar-benar berkongsi aspirasi orang ramai untuk melihat kejayaan pendidikan negara.