Monthly Archives: July 2017

Penggantian elaun pelatih perguruan dengan PTPTN bukti kegagalan Pentadbiran Najib

Beberapa hari lalu, terdapat 14 organisasi pendidikan tinggi telah menyerahkan memorandum di Parlimen untuk membantah pemotongan elaun sara diri dan perjalanan guru pelatih yang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Elaun yang ada pada hari ini pun sudah dikurangkan dari jumlah dahulu, tetapi kini hendak digantikan dengan pinjaman PTPTN pula.

Bantahan secara formal yang dilakukan di Parlimen ini menunjukkan kebuntuan mereka di dalam hal ini setelah pihak kerajaan terus tidak mengendahkan nasib para pendidik.

Sejak beberapa tahun ini pentadbiran Najib Razak terus memangsakan bahagian pendidikan dengan memotong pelbagai belanjawan sama ada di peringkat universiti, sekolah, pelajar dan kini para guru pula.

Dua tahun yang lalu saya ada menulis tentang keperluan untuk menaikkan gaji guru agar Malaysia setaraf dengan negara-negara lain yang mempunyai kualiti pendidikan yang disegani. Namun begitu apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, dan keadaan semakin runcing untuk mereka.

Beberapa bulan yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menyatakan bahawa sistem pendidikan negara ini memerlukan rombakan, dan ini disahut oleh menteri-menteri lain termasuklah Khairy Jamaluddin.

Adakah ini reformasi yang dimaksudkan? Adakah dengan menjadikan guru-guru kita semakin tidak keruan?

Sebarang reformasi pendidikan akan gagal sekiranya peranan guru terus diabaikan.

Sumbangan guru di dalam mendidik generasi masa depan di samping membangunkan negara adalah teramat besar dan pengorbanan mereka layak diberikan ganjaran yang setimpal.

Saya gesa pihak kerajaan untuk menarik semula cadangan itu dan memberi guru pelatih elaun seperti yang telah dijanjikan. Jangan tambah membebankan mereka dengan hutang-hutang kerana kegagalan gejala rasuah dan pembaziran yang menular di dalam pentadbiran Najib.

Respon kepada Rizal Mansor soal Unisel

Kebelakangan ini begitu rancak diperbincangkan oleh cybertrooper dan kuncu-kuncu Umno yang didalangi oleh Rizal Mansor, pegawai khas Perdana Menteri, berkenaan isu penyelesaian pertikaian di antara Universiti Selangor dan Jana Niaga.

Setelah membuat beberapa dakwaan palsu, berasaskan fakta-fakta yang salah dan lemah, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) telah menjawab setiap isu yang dimainkan.

Apa yang lebih menjengkelkan adalah Rizal bercakap bagaikan mewakili Unisel, sedangkan pihak Unisel sendiri yang terlibat dengan proses penyelesaian pertikaian ini telah memutuskan di peringkat Lembaga Pengarah untuk terus berbincang dengan ke semua pihak berkepentingan. Pada masa ini, Unisel dan Jana Niaga sudah tidak ada hubungan kontrak.

Di peringkat Unisel, dengan barisan pimpinan baru dan sokongan Kerajaan Negeri Selangor terhadap agenda transformasi universiti, pelbagai perubahan positif sudah boleh dilihat.

Kewangan Unisel kian kukuh, dan pada tahun ini juga setiap pekerja Unisel telah dinaikkan gaji setelah lima tahun tidak berganjak. Infrastruktur universiti juga diberi suntikan baru melalui dana Kerajaan Negeri Selangor yang menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu menaiktaraf kualiti universiti itu.

Rizal sepatutnya berhenti sahaja hendak berlagak seperti jaguh yang mempertahankan hak pelajar, dan berhenti bercakap bagi pihak Unisel. Jika betul dia mahu jadi jaguh, jawablah isu-isu berkenaan 1MDB, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, KWAP dan sebagainya.

Berjuta orang terkesan dengan setiap skandal yang terpalit dengan bos beliau, Najib Razak dan Rosmah Mansor. Walaupun bukti sudah jelas dibentangkan, pelbagai tindakan diambil di negara lain di dalam kes 1MDB, tetapi mereka masih berdiam.

Serangan Khairy terhadap Anwar-Dr Mahathir bukti UMNO-BN ketakutan

Serangan berterusan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin terhadap Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohammad membuktikan UMNO-BN dalam ketakutan.

Persefahaman yang dicapai oleh Pakatan Harapan menerusi gandingan Anwar dan Dr Mahathir melambangkan komitmen mereka untuk menyelamatkan Malaysia dan memberi harapan baru kepada negara.

Ketika rakyat dibebankan dengan ekonomi yang bermasalah, institusi-institusi negara punah dan rasuah berleluasa, penyatuan ini amat bermakna.

Sejarah membuktikan perubahan baru dicapai apabila tokoh-tokoh negara meletakkan perbezaan ke tepi dan mengutamakan kepentingan rakyat. Kita tidak boleh menolak sesiapa yang sanggup menerima agenda reformasi dan perubahan ke arah kebaikan untuk rakyat.

Yang pastinya, obsesi Khairy terhadap Anwar-Dr Mahathir menunjukkan beliau dan rakan-rakan pemimpin UMNO-BN berada dalam ketakutan. Mereka takut kerana tahu rekonsiliasi selepas hampir dua dekad ini akan menumbangkan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Jika gandingan Anwar-Dr Mahathir memberi harapan kepada negara, Najib Razak dan orang kanannya yang paling setia, Khairy pula melambangkan kerosakan yang dialami negara dan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Respon cabaran Idris Jusoh agar Selangor laksana pendidikan percuma

Saya merujuk kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkenaan pendidikan percuma.

Menurut laporan berita, Idris Jusoh telah mencabar Selangor untuk melaksanakan pendidikan percuma untuk universiti milik Kerajaan Negeri, UNISEL.

Kenyataan ini sengaja hendak mengelirukan kerana Menteri lebih suka berpolitik daripada membincangkan fakta.

Saya perlu ingatkan di sini bahawa janji Pakatan Harapan untuk memberikan pendidikan yang percuma dan adil hanya jika PH memenangi Kerajaan Perseketuan.

Pendidikan, termasuk pendidikan tinggi berada di bawah senarai Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, belanjawan Kerajaan Selangor hanyalah RM3 billion berbanding belanjawan Kerajaan Persekutuan yang mencecah RM260 billion, walaupun Selangor menyumbang lebih daripada 20% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ini berkait rapat dengan dasar cukai negara yang tidak memberikan pengagihan hasil secara adil. Tidak seperti di Jerman contohnya, melalui sistem Federal Financial Equalisation yang menyaksikan pembahagian cukai yang lebih efisyen dan adil di antara negeri dan mencecah hampir separuh hasil kutipan cukai-cukai tertentu (cukai syarikat, cukai pendapatan dan cukai tambah nilai).

Sekiranya Menteri terasa seperti ingin menyokong usaha PH untuk memberi pendidikan percuma, cadangkan kepada rakan menteri lain di peringkat kabinet untuk memperlihatkan semula pengagihan hasil di antara negeri.

Pada masa ini pun, dengan belanjawan sebanyak RM3.4 billion, Selangor berjaya mengagihkan kekayaan negeri secara adil melalui inisiatif yang pelbagai di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menyaksikan kira-kira 40 inisiatif untuk kebajikan rakyat Selangor.

Inisiatif-inisiatif ini termasuklah air percuma, bas percuma, WiFi percuma, skim Peduli Sihat yang memberi subsidi penjagaan kesihatan, serta subsidi untuk anak golongan berpendapatan rendah di tadika.

Struktur yuran UNISEL juga adalah di kadar berkemampuan berbanding universiti swasta yang lain, dan di bawah IPR Selangor juga memberi sokongan pendidikan melalui Hadiah IPT. Tabung Biasiswa Selangorku, Peduli Siswa, bantuan pinjaman pendidikan boleh ubah yang bebas faedah serta Brain Bank, iaitu program biasiswa khas peringkat PhD ke universiti terkemuka luar negara.

UNISEL juga memperkenalkan program dermasiswa di peringkat asasi di mana pembelajaran asasi adalah percuma sekiranya pelajar menyambung peringkat sarjana muda di UNISEL.

Jadi Menteri sepatutnya bercakap berlandaskan fakta, fokus untuk mempertingkatkan semula taraf pendidikan negara dan berhentilah main politik.

Setelah berpuluh tahun Barisan Nasional memerintah negara, Malaysia bagaikan semakin ke belakang, jadi kita seharusnya menghentikan arus ini.

Jangan gadaikan masa depan anak kita dengan memilih kerajaan yang langsung tidak menghiraukan kebajikan rakyatnya.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak dirasai rakyat

Baru-baru ini ada laporan yang menyatakan bahawa ekonomi Malaysia dijangkakan akan berkembang lebih lima peratus pada tahun ini.

Ini berita baik yang dialu-alukan kerana kita jarang hasilkan berita baik kebelakangan ini.

Tetapi kami perlu juga bertanya sama ada hasil daripada perkembangan ini dapat dirasai oleh rakyat?

Ternyata beberapa tahun ini rakyat semakin rasa tertekan.

GST bukan sahaja membebankan kita, tetapi pada masa yang sama keberlangsungan perniagaan-perniagaan kecil juga terkesan.

Pelaksanaan GST serta penarikan balik subsidi memberi kesan kepada kenaikan kos sara hidup.

Di samping itu, kos pendidikan dan penjagaan kesihatan terus meningkat tetapi tidak banyak yang dilakukan menambahbaik kehidupan rakyat.

Anak muda semakin susah untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang mampu menampung kehidupan dan kos perumahan. Ramai juga rakyat yang dibebankan dengan hutang.

Justeru, meskipun KDNK negara nampaknya memberangsangkan, tetapi apa yang kita dapat lihat adalah rakyat semakin terasa susah terutamanya golongan anak muda.

Tidak cukup sekadar kerajaan mengharapkan kaedah penyelesaian segera serta bersifat politik seperti BR1M sahaja.

Tetapi apa yang diperlukan sebenarnya adalah reformasi dasar yang radikal agar ia mampu merombak ekonomi Malaysia untuk memenuhi keperluan digitalisasi dan automasi masa kini.

Kita juga tidak boleh memandang rendah dengan impak sentimen politik ke atas ekonomi.

Menurut kajian Financial Times Confidential Research (FTCR) berkenaan Indeks Sentimen Ekonomi ASEAN, walaupun indeks Malaysia meningkat daripada 34.1 ke 29, bacaannya tetap terendah jika dibandingkan dengan Indonesia, Thailand, Philippines dan Vietnam.

Tambahan pula, Indeks Sentimen Politik ASEAN FTCR pula mendapati bahawa indeks Malaysia pada takat 31.8 (peningkatan 1.5%) merupakan yang terendah berbanding negara-negara di atas, dan satu-satunya yang di bawah 50. Ini memberi gambaran bahawa para responden menjangkakan keadaan politik akan bertambah buruk selama enam bulan akan datang ini.

Jelaslah Malaysia perlukan perubahan dan satu-satu caranya adalah untuk memastikan perubahan politik.

Pemuda Pakatan Harapan akan menyentuh keperluan anak muda di dalam ekonomi melalui #HarapanAnakMuda. Kami mengharapkan agar semua anak muda Malaysia boleh mengambil tahu polisi yang dibentangkan serta menyokong kami untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi tanah air yang tercinta.

Najib yang sepatutnya tinggalkan dunia politik

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir dan Lim Kit Siang untuk meninggalkan pentas politik.

Semua sedia maklum bahawa ketiga-tiga tokoh ini sememangnya digeruni oleh Umno BN kerana sering memperjuangkan permasalahan rakyat.

Bukankah lebih baik sekiranya Khairy menasihatkan pimpinan dalam partinya sendiri yang terpalit dengan rasuah dan kegagalan mentadbir ekonomi negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meninggalkan politik?

Jangan secara berterusan untuk memperdayakan rakyat yang berfikiran waras untuk menilai, siapa yang memberi manfaat dan siapa pula yang merosakkan negara.

Adakah dengan gesaan seperti ini hanya akan lebih memudahkan pemimpin UMNO-BN untuk terus merompak hasil kekayaan negara? Cukuplah negara kini sudah terpalit dengan pelbagai isu seperti 1MDB.

Dengan pelbagai isu yang menghantui kehidupan seharian rakyat seperti bebanan kos sara hidup, kenaikan harga barangan, penghapusan subsidi, GST, rasuah dan penyelewengan duit rakyat.

Saya yakin pada PRU akan datang, rakyat akan menilai sendiri dan menuntut perubahan agar negara tidak lagi ditadbir oleh golongan penyamun dan perompak.

Perubahan sangat diperlukan untuk mengangkat martabat IPT Malaysia

Telah dilaporkan bahawa IPT tanahair gagal untuk mendapat tempar di antara 100 teratas bagi Kedudukan Universiti Asia-Pasifik Times Higher Education (THE) 2017 yang diadakan buat julung kalinya. Senarai ini juga menggunakan penanda aras prestasi yang sama digunakan Kedudukan Universiti Dunia THE, dengan penyelarasan tertentu.

Menurut senarai Asia-Pasifik THE itu, lima universiti teratas di rantau ini adalah National University of Singapore, Peking University, University of Melbourne, Tsinghua University dan Nanyang Technological University.

Manakala lima IPT Malaysia tertinggi di dalam senarai adalah Universiti Putra Malaysia (128), Universiti Teknologi Malaysia (130), Universiti Teknologi Petronas (138), Universiti Sains Malaysia (149) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (154).

Prestasi ini amatlah mengecewakan walaupun diakui kedudukan universiti tidak boleh dijadikan kayu ukur utama untuk menilai sesuatu institusi.

Walaubagaimanapun, kegagalan IPT kita untuk menduduki 100 tempat teratas menggambarkan pandangan hambar diperingkat antarabangsa terhadap institusi pendidikan negara.

Adalah membimbangkan juga bahawa institusi bersejarah seperti Universiti Malaya langsung tidak mendapat di dalam senarai itu.

Kedudukan itu petanda jelas bahawa dasar pendidikan kerajaan BN tidak menjadi walaupun seringkali berlaku perubahan dasar diperkenalkan.

Malaysia amatlah memerlukan perubahan jika kita hendak menyediakan pelajar-pelajar kita untuk masa hadapan, termasuklah cabaran pendidikan atas talian, automasi dan globalisasi.

Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini telah menggariskan #HarapanAnakMuda berkaitan pendidikan yang akan dijayakan oleh kerajaan Pakatan Harapan sekiranya kami memenangi Pilihanraya Umum yang akan datang.

Kami akan melaksanakan inisiatif seperti pendidikan percuma di IPTA, di samping menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi yang berkualiti termasuklah universiti, kolej perguruan dan kolej vokasional untuk memenuhi permintaan pendidikan tinggi yang kian meningkat.

Kami juga akan memperkasakan dan mempertahankan kuasa autonomi institusi pendidikan tinggi yang semakin terhakis di bawah kerajaan sedia ada.

Akhirnya, menambah baik mutu pendidikan Malaysia memerlukan keazaman politik dan ini hanya mungkin berlaku sekiranya Pakatan Harapan diberi kepercayaan menerajui pentadbiran negara di Pilihanraya Umum akan datang.

#HarapanAnakMuda: Ke arah sistem pendidikan yang terbaik dan adil

Kerajaan baru-baru ini telah mengakui bahawa sistem pendidikan negara perlu dikaji semula, tetapi langsung tidak menyentuh perihal Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang baru sahaja dihasilkan sambil menelan jutaan ringgit untuk merancang pelan jangka panjang sistem pendidikan dengan sasaran pencapaian pada tahun 2025.

Acap kali kita dapat melihat perkara ini berlaku di negara ini di mana Menteri Pendidikan baru mengambil alih tugas dan terus hendak mengolah semula pendidikan negara tanpa sasaran yang jelas mahupun perancangan yang baik dan mampan dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

Ia bukan sahaja menjejaskan kualiti pendidikan negara, tetap ia juga memberi kesan buruk kepada sesetengah golongan masyarakat yang tidak mampu mendapatkan pendidikan yang lebih baik, sama ada kerana tiada kemampuan mahupun kerana kerajaan tidak memberi perhatian yang secukupnya.

Mendemokrasikan pendidikan

Kerajaan ini telah memberi begitu banyak janji manis di dalam hal pendidikan, tetapi akhirnya hampir ke semuanya tidak langsung menyelesaikan permasalahan sebenar. Mereka langsung tidak menetapkan strategi yang serasi dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bersifat mahu mengukuhkan lagi asas insan melalui pendidikan.

Salah satu perkara asas yang dipertikai adalah hak dan capaian kepada pendidikan yang pada ketika ini amatlah tidak sama rata pada setiap tahap perkembangan. Di dalam hal ini Pemuda Pakatan Harapan menjanjikan pengagihan pendidikan berkualiti yang lebih adil, yang akhirnya akan menangani kesenjangan sosial yang semakin meluas akibat keadaan sedia ada.

Kami percaya sepenuhnya bahawa pendidikan bermula sejak lahir, oleh itu kami juga percaya bahawa pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan percuma adalah penting agar semua orang boleh memulakan kehidupan dengan baik. Mengambil contoh program TUNAS di negeri Selangor yang menyara sebahagian yuran taska golongan kurang berkemampuan, konsep ini boleh diperkembangkan lagi di peringkat kebangsaan.

Pada peringkat sekolah rendah dan menengah pula, kami mencadangkan desentralisasi sebahagian pentadbiran sekolah, dengan memberi kuasa autonomi yang lebih kepada sekolah dan pejabat pendidikan daerah. Kami sedar bahawa pendidikan adalah dinamik, dan dengan kesenjangan yang jelas di pelbagai peringkat masyarakat negara ini, tidak mungkin semua sekolah boleh berteraskan satu sistem pendidikan tanpa kesan-kesan yang berlainan.

Kerajaan Persekutusan juga haruslah memainkan peranan yang lebih besar untuk membantu sekolah-sekolah alternatif, mengiktiraf pilihan ibu bapa untuk menetapkan pendidikan anak mereka. Kerajaan Selangor dan juga Pulau Pinang telah mengusahakan perkara ini melalui sokongan mereka kepada sekolah aliran agama dan vernakular.

Di dalam hal yang sama, kami juga akan melaburkan lebih banyak wang untuk menambahbaik prasarana sekolah di kawasan luar bandar terutamanya dengan membina jalanraya yang selamat ke sekolah dan juga pembinaan asrama. Pelajar perlu belajar di dalam keadaan yang kondusif untuk pembelajaran, namun begitu keadaan sekarang terlalu lemah bagi kebanyakan mereka.

Mengiktiraf UEC dan empat thanawi

Satu lagi isu yang saban tahun diketepikan oleh kerajaan adalah pengiktirafan sijil UEC dan empat thanawi. Perkara ini amatlah membingungkan kerana pihak kerajaan dan juga negara bakal memperoleh begitu banyak kesan positif dengan mengiktiraf sijil-sijil ini.

Untuk UEC terutamanya, sijil ini telahpun diiktiraf oleh universiti-universiti terkemuka di peringkat antarabangsa tetapi terus tidak diendahkan di Malaysia. Akibatnya, Malaysia sering kehilangan bakat insan sendiri kepada negara luar.

Kerajaan Selangor telah mengiktiraf sijil UEC melalui universiti yang dimiliki kerajaan negeri, dan kerajaan Pulau Pinang dan Sarawak juga sama telah mengisytiharkan pengiktirafan yang sama. Polisi ini haruslah dipanjangkan ke peringkat kebangsaan untuk mengelakkan aliran keluar bakat yang berterusan.

Agenda pendidikan tinggi

Tambahan daripada itu, kami juga tetap dengan pendirian untuk memberikan pendidikan percuma di universiti-universiti awam.

Dengan kenaikan kos sara hidup serta kadar gaji yang mendatar, tindakan pihak kerajaan BN amatlah tidak adil, dan dalam pada itu mereka masih bertindak tidak berhati perut dengan memotong belanjawan pendidikan tinggi dan biasiswa dengan begitu banyak sekali seakan-akan ingin menghukum rakyat.

Realiti yang telah ditunjukkan di negara lain seperti Finland, Jerman, Sweden dan Norway adalah konsep pendidikan percuma ini boleh berjaya, kerana negara-negara ini juga telah diiktiraf mempunyai antara sistem pendidikan terbaik di dunia.

Pada masa yang sama kami juga tidak menganggap PTPTN boleh dilupuskan secara serta-merta tetapi perlu ada pertimbangan terutamanya di dalam pembayaran semula pinjaman. Dengan mengambil kira kos kehidupan yang meningkat, kami mengesyorkan agar pembayaran semula pinjaman PTPTN hanya wajib sekiranya gaji seseorang itu sudah mencapai tahap minima RM4,000.

Universiti juga haruslah diberikan kuasa autonomi dan kebebasan agar pelajar boleh melibatkan diri di dalam isu-isu yang memberi kesan kepada negara. Pemilihan Naib Canselor dan Rektor Universiti mestilah dilakukan tanpa campurtangan politik.

Pakatan Harapan juga mencadangkan pembinaan lebih banyak institusi pendidikan tinggi termasuklah universiti, kolej pendidikan dan kolej vokasional, untuk mengurangkan kebergantungan kepada institusi pendidikan tinggi swasta. Dengan ini, IPTS yang tidak berkelayakan akan berkurangan dan memastikan hanya yang terbaik kekal berdaya saing.

Manakala untuk mengurangkan kadar graduan yang berlebihan, kami juga akan menyemarakkan lagi sistem pendidikan teknikal dan vokasional bertaraf tinggi yang berperanan penting sekiranya negara ini hendak bergerak ke arah ekonomi maju berteraskan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Komitmen ke arah masa depan yang saksama

Kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengendali sistem pendidikan negara dan telah mempertaruhkan masa depan rakyat. Kita haruslah mengambil pendirian tegas untuk menolak kerajaan yang tidak dapat merancang satu program pendidikan yang lebih adil, saksama dan mampan bertujuan menambahbaik kehidupan setiap anggota masyarakat. Oleh kerana pedidikan adalah asas penting untuk menangani kesenjangan sosial, Pakatan Harapan berjanji untuk mengutamakan pendidikan demi kesejahteraan masa depan.

#HarapanAnakMuda

Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua AMK

Wong Kah Woh
Ketua Pemuda DAPSY

Syed Saddiq Abdul Rahman
Ketua ARMADA

Mohd Sany Hamzan
Ketua Pemuda AMANAH