Monthly Archives: December 2016

AMK sambut baik cadangan Pakatan Harapan dan BERSATU guna logo KEADILAN

Angkatan Muda Keadilan menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Lee Boon Chye agar Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggunakan logo KEADILAN sebagai simbol bersama pilihanraya umum ke-14.

Ini kerana kita harus berdepan realiti pada masa ini bahawa Pakatan Harapan sendiri dan BERSATU merupakan entiti politik yang boleh dianggap baru.

Untuk membolehkan rakyat memilih sebuah alternatif yang dikenali, penggunaan logo KEADILAN adalah kritikal, kerana ia merupakan logo yang paling mudah diterima.

Dalam pada itu simbol KEADILAN serta ideologi parti ini sendiri melambangkan kepelbagaian di dalam masyarakat Malaysia.

Di dalam masa yang singkat ini kita tidak mungkin dapat mendaftar logo baru sebelum pilihanraya yang bakal menjelang. Pada masa yang sama ramai juga yang bersetuju bahawa barisan pembangkang perlu bertanding di bawah satu logo, termasuk Dr Mahathir Mohammad sendiri.

Rakyat Malaysia mahukan sebuah alternatif kepada Barisan Nasional namun begitu mereka juga pula diyakini bahawa Pakatan Harapan serta BERSATU merupakan satu kerjasama politik yang melangkaui ideologi.

Matlamat gabungan ini adalah untuk menyelamatkan negara ini daripada kerakusan pentadbiran Barisan Nasional dan membentuk masa depan Malaysia yang lebih baik, jadi kita harus jelas dengan teras ini dan berkerjasama untuk menyakinkan rakyat bahawa kita boleh mendapatkan konsensus ini.