Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Penangkapan Maria Chin adalah salah guna SOSMA

Sudah dua hari berlalu sejak rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyokong tuntutan Bersih yang mahukan pilihanraya dan kerajaan yang bersih.

Sekali rakyat telah menunjukkan kematangan di dalam menegakkan beberapa prinsip penting demokrasi iaitu hak untuk berhimpun dan bersuara.

Walaubagaimanapun, keadaan ini diburukkan pula dengan penangkapan beberapa individu, terutamanya Maria Chin, yang telah ditahan secara jahat di bawah SOSMA.

Berkenaan hal ini, saya terpanggil untuk mengingatkan Menteri Khairy Jamaluddin yang pernah menyatakan dengan tegas ketika perdebatan SOSMA di Parlimen bahawa Akta tersebut tidak akan digunakan ke atas perhimpunan aman, terutamanya Bersih, kerana ia tidak menjejaskan Demokrasi Berparlimen.

Khairy, kenapa begitu senyap berkenaan penangkapan Maria? Tidakkah anda bersetuju bahawa penangkapan tersebut merupakan satu penyalahgunaan SOSMA?

Saban kali Bersih menunjukkan ia berprinsip dan terhormat, oleh itu penangkapan Maria bukan sahaja tidak beretika, malah ia merupakan penyalahgunaan undang-undang yang jelas.

Sebenarnya sikap Khairy yang mendiamkan diri di dalam hal ini hanya membuktikan sekali lagi bahawa dia bukanlah seseorang yang berprinsip, dan lebih mementingkan survival politiknya.

Namun begitu Khairy masih berkesempatan untuk membaikpulih keadaan ini dan menyarankan kebebasan Maria. Kegagalan untuk melakukan ini sekali lagi menunjukkan bahawa watak beliau yang ‘progresif’ itu hanyalah lakonan semata-mata.