Monthly Archives: October 2016

Yang Di-pertua Dewan Rakyat sewajarnya sedar ucapan di Parlimen dilindungi hak keistimewaan Parlimen

Yang di-Pertua Dewan Rakyat harus memperjelaskan komen beliau yang diterbitkan pada 27 Oktober 2016 apabila pihak media melaporkan kenyataan beliau berkenaan bekas menteri kerajaan pusat bahawa “…mereka yang mendedahkan rahsia dan maklumat kerajaan termasuk di dalam Dewan Rakyat dianggap melanggar sumpah kerahsiaan dan etika, dan mungkin berdepan dengan tindakan perundangan.”

Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat, sudah tentu beliau sedar kata-kata ahli Parlimen di dalam persidangan adalah dilindungi oleh hak keistimewaan Parlimen.

Parlimen di United Kingdom mentakrifkan hak keistimewaan parlimen sebagai “…memberi imuniti kepada ahli…untuk membolehkan mereka menjalankan tugas tanpa gangguan di luar Dewan. Hak keistimewaan Parlimen ini termasuklah kebebasan bersuara.”

Di Malaysia, aspek hak keistimewaan ini telah termaktub di dalam Artikel 63 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 63(2) menyatakan: “Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.”

Terdapat beberapa pengecualian di dalam perkara ini.

Artikel 63 (4) menyatakan bahawa: “Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170].”

Sesiapa sahaja yang munasabah boleh mengesahkan bahawa apa yang dinyatakan oleh bekas Menteri yang dikatakan itu di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini tidak mungkin boleh ditakrifkan sebagai hasutan.

Malah selain itu sebarang tindakan yang mungkin dikenakan kepada mana-mana bekas Menteri itu hanya boleh berlaku sekiranya mereka telah melakukan penghinaan terhadap Dewan yang mulia, mungkin dengan kata-kata yang mengelirukan Dewan tersebut.

Di dalam hal ini, tanggungjawab membuktikan perkara ini jatuh di tangan Yang di-Pertua Dewan Rakyat — sebagai penjaga utama kehormatan Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen juga mempunyai tanggungjawab untuk membela kepentingan rakyat, daripada tanggapan rahsia dengan takrifan yang sudah ketinggalan zaman.

Integriti Dewan Rakyat ada kebergantungan dengan integriti yang kita pegang sebagai sebuah negara. Oleh itu Yang di-Pertua Dewan Rakyat seharusnya menegakkan kepentingan rakyat melebihi segala perkara yang lain dan membenarkan ahli Parlimen, tidak kira siapa mereka, untuk membawa isu-isu penting negara daripada melindungi maruah Kerajaan yang semakin rapuh.

Bajet 2017: Sekali lagi pendidikan menjadi mangsa

Sekali lagi kita sudah masuk musim bajet. Sebagai Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor, fokus perincian saya di dalam ucapan Perdana Menteri adalah berkenaan polisi dan inisiatif yang mampu menambahbaik mutu pendidikan negara ini.

Saya boleh merumuskan, bajet ini agak mengecewakan di dalam perkara ini.

Perkara yang paling membimbangkan di dalam Bajet 2017 ini adalah potongan besar bajet operasi Universiti-Universiti awam Malaysia.

Saya hanya perlu berikan dua contoh, iaitu bajet untuk Universiti Kebangsaan Malaysia yang dipotong kepada RM352.7 juta daripada RM512.33 juta sebelumnya (potongan 31.16%), manakala Universiti Teknologi MARA pula dipotong sebanyak 25.2%, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23%, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion.

Ini juga potongan besar untuk tahun kedua berturut-turut selepas potongan teruk pada Bajet tahun lepas.

Saya rasa masyarakat memahami bahawa penjimatan adalah perlu terutamanya di dalam keadaan ekonomi global yang kurang stabil ini.

Tapi tidakkah universiti awam patut diberi pelepasan daripada potongan ini?

Sepatutnya di dalam keadaan begini pendidikan, yang merupakan satu perkara asas dan bermanfaat secara meluas termasuklah memenuhi keperluan pekerjaan, adalah cara terbaik untuk membantu golongan B40 dan M40 yang diperkatakan oleh Perdana Menteri di dalam ucapannya.

Tidakkah patut lebih banyak penjimatan boleh dibuat daripada RM15.9 billion yang diperuntukkan kepada Pejabat Perdana Menteri sendiri, yang jelas masih terlalu besar?

Saya bukanlah hendak menggalakkan pemberian wang sewenang-wenangnya kepada Universiti awam.

Universiti juga perlu membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka selepas mutu yang kian merudum. Universiti mestilah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka mampu mengeluarkan graduan yang kompetitif, dan juga penyelidikan yang berkualiti.

Tetapi pada masa yang sama kita patut sedar bahawa Universiti pasti menghadapi kekangan yang lebih besar untuk berubah dengan peruntukan yang semakin berkurangan.

Dalam pada itu kita pula boleh lihat penambahan berganda-ganda untuk program PERMATA misalnya yang diselia oleh isteri Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri, daripada RM36.3 juta pada tahun 2016 sehingga RM85 juta untuk tahun 2017, satu kenaikan yang melebihi 100%.

PERMATA ini merupakan satu program yang boleh dipersoalkan kerana ia tidak dimasukkan di bawah portfolio mana-mana menteri sedangkan ia berkait rapat dengan pendidikan, atau kebajikan, namun ia diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Adakah kita sudah jelas dengan manfaat daripada program itu sehingga Bajet boleh dilipat ganda begitu sekali?

Tidak semua yang di dalam Bajet 2017 itu tidak baik. Saya menyokong langkah kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM4.6 billion untuk kehadapankan agenda TVET, tambahan pula dengan penggunaan sembilan maktab perguruan kepada kolej politeknik dan vokasional.

Tetapi ini juga mengundang pertanyaan, mengapa maktab-maktab ini seakan-akan tidak digunakan?

Ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan mempunyai mekanisma perancangan yang lemah, dan ini membuatkan saya khuatir tentang “transformasi” yang hendak dibawa oleh mereka.

Proses ini akan memakan belanja sebanyak RM400 juta, bukanlah jumlah yang kecil. Ke manakah wang ini akan dibelanjakan?

Perkara-perkara seperti ini dan beberapa kelemahan yang lain di dalam bajet ini memberi gambaran bawah Bajet ini merupakan bajet anti-pendidikan. Iaitu suatu bajet yang semakin melebarkan kerajaan yang sudah parah, tetapi menggadaikan kepentingan rakyat Malaysia.

PTPTN Tidak Mampu Beri Pembiayaan Penuh – Rakyat Jadi Mangsa

Kenyataan PTPTN bahawa mereka tidak lagi mampu memberi pembiayaan penuh kepada pelajar menjadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa. Kegagalan PTPTN akan memberikan kesan besar dalam melahirkan generasi muda yang berpendidikan.

AMK kecam tindakan UM atas mahasiswa

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak Universiti Malaya (UM) yang memberi surat tunjuk sebab kepada pelajar-pelajar mereka Anis Syafiqah, Suhail Wan Azahar, Luqman Hakim dan Luqman Nul Haqim berkaitan isu perhimpunan #TangkapMO1.

Tindakan UM ini adalah tidak berasas dan bercanggah sama sekali dengan undang-undang Akta Universiti dan Kolej Universiti yang telahpun membenarkan pelajar menyertai aktiviti berunsur politik di luar kampus universiti.

UM seakan-akan hendak menakut-nakutkan pelajarnya agar tidak menyertai apa-apa program aktivism seperti itu.

Pelajar-pelajar universiti tidak patut dibelenggu dengan sekatan terhadap kebebasan berpolitik, kerana mereka juga berhak menyuarakan pandangan terutamanya apabila masa depan mereka sendiri yang sedang diperjudi oleh pemimpin negara.

Apakah salah pelajar-pelajar ini hendak menuntut hak agar perompak negara yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dibawa ke muka keadilan?

Kita juga lihat bagaimana sebarang program atau aktiviti yang melibatkan ahli politik pihak kerajaan Barisan Nasional pula dibenarkan, walaupun di dalam kampus sepertimana yang berlaku minggu lalu apabila Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda, diberi pentas untuk menerangkan isu 1MDB dan dipromosi pula oleh para menter.

Kenapa pula layanan yang bertentangan diberikan bagi mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN/Umno, dan mengapa UM perlu bersifat dwi-standard terhadap pelajar-pelajar sendiri?

AMK akan terus menuntut hak kebebasan akademik serta politik setiap mahasiswa negara ini tidak kira fahaman politiknya dan kami menyarankan agar pihak UM menghentikan segala tindakan intimidasi terhadap pelajar-pelajar ini.

PTPTN – Krisis Pendidikan Tinggi Angkara Najib

Krisis pendidikan tinggi negara bermula dengan penswastaan pendidikan tinggi yang bermula ketika Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan. Kini krisis tersebut semakin serius. Kerajaan perlu kembali menjadi penyedia utama pendidikan tinggi negara