Monthly Archives: August 2016

Perutusan Hari Kemerdekaan Ke-59

Kemerdekaan bukan hanya bererti kebebasan daripada penjajah, tetapi ia membawa makna yang lebih besar. Kemerdekaan merupakan simbol pengorbanan, penyatuan, perjuangan dan perubahan.

Sedang kita menyambut hari yang gemilang ini, kita tidak harus lupa menghargai di samping mencontohi semangat perjuangan bapa-bapa kemerdekaan Malaysia. Penat lelah serta kepayahan yang mereka hadapi untuk membebaskan tanahair daripada genggaman penjajah adalah berasaskan kesatuan matlamat.

Semangat ini jugalah yang seharusnya kita amati ketika negara berhadapan kecelaruan sama ada daripada sudut politik atau ekonomi pada hari ini.

Setelah 59 tahun merdeka, rakyat Malaysia kini sepatutnya sudah cukup matang untuk merancang kemajuan bersama tidak kira bangsa, agama mahupun latarbelakang.

Saya percaya setiap rakyat Malaysia mahukan negara yang aman, adil dan maju, serta kekal berdaulat dan bermaruah, jadi kita mestilah pikul tanggungjawab sebagai rakyat untuk memelihara negara ini dan memastikan generasi akan datang juga boleh menikmati erti kemerdekaan yang sama.

Akhir kata, izinkan saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-59 kepada semua warga Malaysia. Saya berdoa agar negara kita kekal aman damai dan sejahtera.

Keputusan PTPTN menghentikan pembiayaan penuh mengecewakan

Kenyataan terkini oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Shamsul Anuar Nasarah, bahawa PTPTN tidak mampu memberi pinjaman 100 peratus kepada pelajar yang ingin ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amatlah mengecewakan.

Menurut kenyataan itu, keputusan dibuat berdasarkan kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

Kami memahami kekangan ini akan memberi implikasi kepada pihak PTPTN, namun begitu PTPTN juga perlu sedar bahawa institusi tersebut merupakan sumber utama rakyat Malaysia untuk menyambung pelajaran di peringkat pendidikan tinggi. Oleh itu keputusan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada pelajar secara khususnya, tetapi ia juga akan memberi kesan kepada masa depan Malaysia yang semakin sempit ruang untuk mendapatkan pendidikan tinggi.

Masalah pembayaran semula ini telah lama dikenalpasti oleh pihak PTPTN dan sehingga kini nampaknya mereka masih gagal untuk melaksanakan apa-apa tindakan perancangan yang berkesan untuk mengatasinya. Malah, daripada dulu lagi KEADILAN sudah menyarankan pihak kerajaan untuk mengkaji punca sebenar permasalahan ini. Sehingga kini kami tidak dimaklumkan tentang sebarang kajian yang dibuat.

Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti akan memberi kesan kepada para peminjam. Dalam pada itu, segelintir peminjam juga pastinya menghadapi masalah mendapat pekerjaan, atau hanya mampu memperoleh pekerjaan dengan gaji yang tidak seberapa. Faktor-faktor ini perlu juga diambil kira kerana keperluan kehidupan harian seperti makan dan minum, kos pengangkutan dan bayaran sewa serta utiliti rumah mesti diutamakan.

Kerajaan juga perlu sedar bahawa kos pembiayaan pendidikan di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia menurut sebuah kajian oleh pakar di London (High cost of varsity degree, The Star, 27 OKtober 2015). Kajian yang berasaskan perbandingan pendapatan keluarga dan kos pengajian ini menyatakan ibu bapa rata-ratanya perlu membelanjakan 55% gaji bulanan mereka untuk seorang anak mendapatkan ijazah.

Tanpa PTPTN atau apa-apa bantuan kewangan seumpamanya, majoriti rakyat Malaysia akan menghadapi kesusahan untuk menyambung pelajaran sehinggakan ada yang terpaksa meminjam daripada keluarga, kawan-kawan, malah yang lebih teruk lagi ada juga yang meminjam daripada ah long.

Jadi kami menyarankan pihak kerajaan untuk mengkaji semula keputusan ini dan mengambil langkah-langkah yang sebaiknya untuk mengatasi masalah ini dengan lebih menyeluruh. Jangan gadaikan masa depan Malaysia sedangkan pengurusan oleh pihak PTPTN dan kerajaan sendiri tidak baik. Betulkan diri dahulu sebelum menghukum rakyat yang semakin tertindas.

Kenyataan Khairy tentang 1MDB gambarkan kejahilannya tentang undang-undang

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin baru-baru ini tentang tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) ke atas individu-individu berkait 1MDB hanya menunjukkan kejahilan beliau di dalam perihal undang-undang.

Jelas di sini DoJ — sebuah agensi Kerajaan yang berdaulat — mempunyai hak untuk mengambil tindakan pelucuthakan dan rampasan ke atas aset yang berkaitan demi menjaga kepentingan AS. Ini juga dilakukan berdasarkan fakta-fakta yang jelas sepertimana yang dibentangkan di dalam kes mereka.

Apatah lagi, saman tersebut dilakukan ke atas beberapa individu yang diberi hak mempertahankan diri mereka sendiri. Tiada pula Kerajaan Malaysia dikaitkan atau dikatakan bersalah.

DoJ cuma membentangkan fakta berdasarkan bukti yang terperinci, oleh itu jika Putrajaya merasakan mereka diberi layanan yang tidak adil, Kerajaan hanya perlu menyangkal fakta-fakta tersebut dengan jelas.

Ini boleh dilakukan, pertama sekali, dengan menjelaskan siapa sebenarnya Pegawai Malaysia Nombor 1 (Malaysian Official 1) yang telah dikaitkan tanpa nama, tetapi diterangkan dengan pelbagai cara termasuklah sebagai seorang pegawai kanan kerajaan yang juga mempunyai kuasa di dalam 1MDB dan mempunyai tali persaudaraan dengan Riza Aziz (yang telah dinamakan di dalam saman tersebut); dan juga telah menerima jumlah dana yang besar melalui urusan 1MDB.

Lagipun rakyat Malaysia memang berhak menerima penerangan yang terperinci dan telus daripada Kerajaan Malaysia berkenaan fakta yang berkait dengan kes tersebut. Kerajaan mesti jelaskan sama ada kesemua dakwaan di dalam saman tersebut adalah benar ataupun tidak, dan rantaian kejadian kes itu.

Jika tidak, apa gunanya merungut?

Tapi kami faham, Khairy mestilah mempertahankan Perdana Menteri walaupun digelar macai. Oleh itu janganlah merungut sahaja, bentangkan fakta-fakta yang jelas, benar dan tidak mungkin disangkal oleh mana-mana pihak.