Monthly Archives: July 2016

Kerajaan mesti membuka semula siasatan 1MDB

Semalam merupakan hari yang sungguh bermakna di dalam sejarah negara kita dan dunia, kerana Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) sudah memfailkan satu kes ke atas beberapa individu yang berkait dengan 1MDB dalam satu inisiatif perolehan dan pelucuthakan aset bernilai USD1 Billion. Ini juga merupakan kes terbesar di dalam sejarah AS.

Pegawai kerajaan AS menyatakan bahawa pegawai-pegawai 1MDB telah menggunakan dana pelaburan negara itu seperti akaun bank peribadi, dan rakyat Malaysia telah ditipu dalam skala yang begitu besar sekali.

Apa yang begitu genting di dalam hal ini adalah ahli keluarga Najib Razak sendiri, iaitu Riza Aziz, dan juga rakan karibnya, Jho Low, telah dinamakan di dalam kes ini di atas pembelian aset di AS serta pemberian dana untuk membikin filem Wolf of Wallstreet, sebuah hasil filem syarikat produksi Riza Aziz, Red Granite.

Inisiatif kerajaan US ini amatlah memalukan kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Najib Razak, kerana kerajaan sering mempertahankan 1MDB dan melepaskan anak syarikat Kementerian Kewangan tersebut daripada sebarang kesalahan.

Walaupun negara-negara lain termasuklah Singapura, Switzerland, Hong Kong dan AS terus menyiasat kes 1MDB berdasarkan aktiviti-aktiviti penipuan yang dijalankan, kerajaan Malaysia tetap menidakkan ia dan sehingga sekarang masih belum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana individu. Malah, mereka telah menutup kes ini.

Kejadian baru ini sedikit sebanyak memberi harapan kepada negara yang telah dirompak oleh mereka-mereka yang diamanahkan untuk mentadbirnya. Setiap tuduhan yang dibuat, dan seringkali dinafikan oleh pihak berkuasa, bagaikan telah dibuktikan dengan jelas melalui tindakan ini.

Sememangnya perkara ini masih belum jumpa penyelesaiannya, namun begitu apa yang jelas di sini adalah kerajaan wajib membuka semula penyiasatan terhadap kes ini, dan bertindak dengan jujur untuk membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal besar ini ke muka keadilan.

Jika tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan AS ini didapati berjaya, setiap ahli kabinet sedia ada, dan yang terdahulu, yang sentiasa mempertahankan 1MDB juga haruslah bertanggungjawab ke atas kes jenayah terbesar negara ini. Mereka sedikit sebanyak bersekongkol sama ada dengan berdiam diri atau secara vokal menafikan sebarang salah laku.

Rakyat mestilah tuntut keadilan kerana kita bukan sahaja hilang duit berbillion, malah mereka-mereka yang tamak ini juga telah membebankan kita, anak-anak kita dan beberapa generasi akan datang dengan hutang melampau yang kini dibayar dengan duit GST, potongan peruntukan pendidikan dan kesihatan, tol dan tambang kenderaan awam yang tinggi, sehinggalah peningkatan kadar bayaran parkir awam sekalipun.