Monthly Archives: April 2016

PTPTN menjadikan anak muda sebagai mangsa

Laporan berkenaan para graduan yang gagal atau tidak mampu membayar hutang PTPTN, dan oleh itu menghadapi kesukaran untuk membeli kereta, rumah atau memohon kad kredit, amatlah mengecewakan.

Ini diakibatkan oleh rekod yang dihantar oleh PTPTN ke pengkalan data CCRIS.

PTPTN sememangnya hanya melakukan apa yang patut untuk mendapatkan semula hutang belum berbayar yang kini berjumlah RM8.3 billion.

Pada masa yang sama semua orang haruslah bertanggungjawab menyelesaikan hutang mereka.

Tetapi kejadian ini menunjukkan sekali lagi bawah tadbir urus kerajaan yang kurang cekap terhadap ekonomi Malaysia hanya menyusahkan rakyat.

Memang mudah jika kita hendak menyalahkan graduan muda di dalam hal ini. Tetapi tindakan itu seakan-akan tidak menghiraukan keadaan realiti hidup yang semakin sempit untuk semua orang.

Dalam hal ini kerajaan bertanggungjawab kerana telah memotong pelbagai peruntukan di dalam sektor pendidikan sehinggakan untuk menyambung pelajaran ke pendidikan tinggi juga amat sukar tanpa PTPTN atau pinjaman lain.

Begitu juga dengan keperluan lain seperti kereta yang sudah menjadi satu benda wajib untuk hidup di bandar. Jika disenarai hitamkan oleh CCRIS maka lebih susahlah anak muda hendak mendapat pekerjaan dengan gaji yang baik yang membolehkan mereka membayar hutang.

Apa yang turut merisaukan adalah PTPTN juga menggalakkan pembayaran hutang melalui pengeluaran KWSP. Ini sedangkan wang persaraan juga perkara yang penting. 

Ramai anak muda Malaysia menghadapi risiko dibelenggu hutang, dan ini mungkin berlangsung sehingga selepas mereka bersara.

Alasan yang diberikan oleh Pengerusi PTPTN Shamsul Anuar Nasarah, bahawa tindakan menyenarai hitamkan mereka yang gagal membayar hutang adalah untuk menggalakkan pembayaran juga jelas menunjukkan mereka tidak memahami isu sebenar di dalam hal ini; iaitu nilai kos sara hidup yang tinggi di samping gaji yang rendah memberi tekanan kepada anak muda untuk menguruskan kewangan harian mereka.

Apa yang pasti di sini adalah Malaysia amatlah memerlukan satu rombakan yang radikal terhadap model pembiayaan pendidikan tinggi.

Juga majikan perlulah mula meningkatkan tangga gaji pekerja, terutamanya golongan “Bawah 40”. Di samping itu majikan yang melakukan sedemikian haruslah diberikan pelepasan cukai.

Negara ini juga amat memerlukan reformasi ekonomi untuk memastikan semua rakyat diberi peluang yang cerah.

Rakyat Malaysia mampu mengubah keadaan ini dengan memilih kerajaan yang akan mementingkan rakyat, daripada survival politik.

Pengundi di Sarawak patut menjadi contoh pada 7 Mei 2016, dengan menolak kerajaan yang jelas sudah gagal melaksanakan polisi mesra rakyat.

MARA : Kekalkan peruntukan, hentikan ketirisan

Merujuk kepada kenyataan Khairy Jamaluddin, saya ingin menyatakan bahawa masalah MARA pada masa ini adalah hala tuju dan kepimpinannya. Niat asal penubuhan MARA sebagai sebuah institusi yang akan mempertingkatkan status Bumiputera telah menyimpang.

Sekarang ini, dana MARA juga digunakan untuk projek-projek yang tidak patut seperti pembelian hartanah di Australia yang menyebabkan kerugian besar.

Ramai yang mengadu sekarang ini bahawa mereka tidak menerima pembiayaan walaupun telah menepati segala pra-syarat, kerana pihak MARA sendiri mengaku bahawa mereka tidak mempunyai wang. Sama juga untuk pelajar yang sudah tidak mendapat pembiayaan MARA.

Seperti yang saya nyatakan, sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan, MARA akan terus wujud dan dipulihkan semula untuk memastikan operasinya adalah konsisten dengan matlamatnya.

Sebagai permulaan, MARA haruslah menyelesaikan isu ketirisan yang semakin parah. Kita tidak boleh bercakap mengenai penubuhan UniMara atau melabur di dalam hartanah jika institusi tersebut terus disalahguna oleh individu korup yang mengambil kesempatan daripada sistem yang sedia ada.< Ketelusan juga amatlah penting. MARA merupakan institusi akar umbi maka penglibatan komuniti adalah mustahak. Pada masa ini, pendekatan MARA adalah terlalu berpaksi kepada golongan atasan, dan ia mudah dipolitikkan kerana ia diterajui oleh golongan yang mempunyai hubungan akrab dengan ahli politik atasan. Rakyat mestilah terlibat di dalam perancangan dan proses membuat keputusan pihak MARA. Kita juga akan memastikan perbelanjaan pendidikan oleh MARA dikhususkan dan dilindungi. Pendidikan adalah penting untuk pembangunan masyarakat Bumiputera yang berkualiti dan mampan, oleh itu ia tidak boleh dikorbankan semata-mata untuk menutup kepincangan kewangan di sektor yang lain. Saya percaya jika perkara-perkara ini ditangani dahulu, kita boleh mula membangkitkan semula MARA dan terus memperkasakan status ekonomi golongan Bumiputera.

Umno sendiri khianat Mara

Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa Mara  akan terhapus sekiranya Umno hilang kuasa.

Kenyataan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan mencerminkan betapa terdesaknya Najib ketika mana kuasa beliau sedang dipertikai.

Sedangkan jelas pelbagai isu dan skandal yang berbangkit baru-baru ini berkenaan Mara berpalit dengan Umno sendiri.

Kami jamin Mara akan terus wujud sekiranya Pakatan Harapan berkuasa. Malah kami akan memperbaiki insititusi ini agar ia mencapai matlamat sebenarnya untuk membela kebajikan masyarakat Bumiputera.

Apa yang berlaku sekarang kepada Mara sudah menyimpang daripada matlamat ini. Kebajikan golongan yang memerlukan sudah tidak dibela lagi, malah Mara digunakan untuk kepentingan beberapa individu sahaja.

Kerugian ratusan juta pihak Mara akibat pembelian hartanah di Australia sedikit sebanyak diakibatkan oleh budaya korupsi yang dipupuk oleh Umno sendiri.

Dalam pada itu kita juga dapat lihat sekarang ini dengan tadbir urus kewangan negara yang semakin teruk, Mara juga yang menjadi mangsa. Bukan sahaja biasiswa pelajaran dikurangkan, malah UiTM juga merupakan antara IPTA yang paling banyak dikurangkan peruntukannya.

Kewujudan Umno tidak memberi jaminan Mara akan terus maju sekiranya pemimpin terus mentadbir negara dengan rakus. Oleh itu janganlah kita mudah terpedaya dengan kata-kata Najib Razak itu, yang kian lama semakin hilang kredibiliti sebagai seorang Perdana Menteri.

Semua rakyat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup

Saya membaca laporan baru-baru ini berkenaan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak di Parlimen yang menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi akan kurang terkesan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Menurut laporan tersebut, Najib Razak menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang memiliki tahap pendidikan rendah tidak akan memperoleh pekerjaan yang memberi pendapatan yang baik, dan kerajaan sedang cuba mempertingkatkan bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kelulusan lebih tinggi daripada SPM.

Saya mengalu-alukan usaha tersebut, namun begitu kenyataan Perdana Menteri ini secara keseluruhannya amatlah pelik. Bukankah ahli-ahli kabinet sebelum ini pernah bermegah dengan mendakwa bahawa Malaysia mempunyai antara sistem pendidikan terbaik di dunia?

Tetapi kenyataan terbaru Perdana Menteri bahawa rakyat Malaysia masih mempunyai tahap pendidikan yang rendah seakan-akan menidakkan dakwaan tersebut.

Bagaimana kita boleh mendakwa bahawa kita antara yang terbaik sedangkan ramai ahli masyarakat yang hanya mempunyai kelulusan yang rendah?Keduanya, kenyataan Perdana Menteri juga tidak mencerminkan realiti sebenar yang seringkali dilaporkan oleh pihak media kebelakangan ini berkenaan kesusahan anak muda Malaysia untuk menyara diri dan mendapatkan gaji tetap — kebanyakan mereka juga adalah pelajar Universiti dan graduan baru.

Sememangnya keadaan ini — dengan masalah kewangan para graduan Malaysia terutamanya untuk membayar semula pinjaman pendidikan, serta peningkatan kos pengangkutan dan perumahan — jelas membuktikan bahawa orang yang berkelulusan tinggi tidak semestinya dijamin hidup senang.

Pada masa yang sama, keputusan kerajaan untuk membuat potongan besar ke atas bajet pendidikan negara serta mengurangkan jumlah penerima biasiswa pendidikan tinggi tidak bertepatan dengan aspirasi Perdana Menteri untuk mempertingkatkan bilangan rakyat berkelulusan tinggi.Oleh itu Perdana Menteri haruslah menjelaskan apa sebenarnya maksud kenyataan beliau dan bagaimana pula dengan tindakan-tindakan pihak kerajaan yang dilihat telah bercanggah dengan kenyataan tersebut.

Jelas di sini bahawa Malaysia sebenarnya memerlukan reformasi pendidikan dan ekonomi yang lebih holistik untuk memastikan kita tidak sahaja menghasilkan modal insan yang cemerlang, tetapi pada masa yang sama para pekerja kita diberi pendapatan yang adil.