Monthly Archives: March 2016

AMK mengecam tindakan terhadap Dr. Mahathir dan peguam

Kami amat terganggu oleh laporan-laporan media berkenaan tindakan pihak berkuasa yang sedang menyiasat mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di bawah Akta Hasutan.
Kami juga tidak senang hati dengan penyiasatan di bawah Akta yang sama ke atas beberapa peguam yang telah membuat satu usul berkenaan Peguam Negara di Mesyuarat Agong Tahunan Majlis Peguam baru-baru ini.
Kami sering berpendirian bahawa Akta Hasutan haruslah dihapuskan, tidak kira ia digunakan ke atas sesiapa pun.
Amatlah tidak masuk akal apabila pihak berkuasa berpendapat bahawa keselamatan negara boleh diancam hanya dengan mesyuarat tahunan sebuah badan professional, atau dengan kata-kata seorang negarawan yang sudah berumur 90 tahun dan telah menghabiskan hampir keseluruhan usianya di dalam perkhidmatan awam. Undang-undang keselamatan sepatutnya digunakan untuk melindungi negara daripada ancaman keganasan yang sebenar, bukan untuk menyelesaikan pertikaian politik.
Terlalu banyak kesalahan-kesalahan jenayah serta perkara lebih serius yang harus ditangani oleh pihak berkuasa pada masa ini.
Kami percaya semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras berkongsi sentimen ini dan tidak mahu sebarang tindakan diambil sama ada ke atas Dr Mahathir mahupun peguam-peguam tersebut.
Malah, dengan segala pendedahan baru-baru ini ke atas Perdana Menteri sama ada di dalam kes 1MDB mahupun pemindahan wang dengan jumlah yang besar ke akaun peribadinya, kami yakin pihak berkuasa mempunyai bukti yang cukup untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perdana Menteri Najib Razak.

Menteri bertanggungjawab penuh isu penyelewengan wang KBS tidak cukup dengan hanya memantau siasatan

Khairy Jamaluddin baru-baru ini menyatakan bahawa beliau akan mengambil tanggungjawab penuh di dalam kes penyelewengan wang lebih RM100 juta di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Angkatan Muda Keadilan menganggap ini sebagai satu janji yang harus diambil serius kerana ia melibatkan integriti menteri dan kerajaan.

Walaupun beliau seakan-akan berpendirian tegas mahu memantau siasatan ini sehingga ianya selesai, untuk kes yang sebesar ini ia bukanlah suatu tindakan yang sudah cukup memadai.

Siasatan di dalam penyelewengan ini seharusnya melibatkan siasatan ke atas peranan Menteri yang telah mengaku tidak mengetahui langsung tentang kejadian itu. Oleh itu, Menteri juga sepatutnya dijadikan sebahagian daripada subjek penyiasatan. Maka dengan itu sebaiknya Khairy mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan dan membiarkan KSN serta pihak SPRM mengetuai siasatan.

Perlu diingatkan di sini bahawa di sesetengah negara maju, jika Menteri berjanji untuk mengambil tanggungjawab penuh di atas sesuatu penyelewengan yang berlaku di bawah penyeliaan mereka, Menteri tersebut akan meletakkan jawatan.

Di samping itu kami juga menggesa pihak SPRM untuk menyiasat setiap Menteri yang pernah menyelia Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh berlakunya penyelewengan tersebut.

Perkara serius seperti ini memerlukan penyiasatan komprehensif dan tidak boleh terhenti sekadar menghukum seorang penjawat awam. Jelas di sini kelemahan sistem pentadbiran dan perbendaharaan telah didedah dengan mudah tanpa disedari, oleh itu kerajaan memerlukan satu reformasi lengkap agar kejadian ini tidak berulang lagi.