Monthly Archives: December 2015

Ahmad Maslan lebih baik berdiam diri

Kami merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ahmad Maslan baru-baru ini yang menyarankan agar penjawat awam menjawat dua perkerjaan untuk menampung kos sara hidup.

Cadangan menteri ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sendiri mengakui bahawa isu kenaikan kos sara hidup adalah sesuatu perkara yang serius, dan mereka juga sudah ketandusan idea untuk menangani isu ini.

Bukan sahaja cadangan itu tidak konstruktif sebagai satu kaedah penyelasaian daripada pucuk pimpinan negara, malah ia merupakan penghinaan kepada rakyat yang semakin tertekan menghadapi realiti kehidupan masa kini yang sudah cukup membebankan.

Sekiranya kerajaan BN benar-benar percaya menjawat dua pekerjaan sebagai sebuah jalan penyelesaian, ini juga bukti bahawa kerajaan negara ini sudah gagal di dalam menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan rakyat terpaksa memikul bebanan yang lebih.

Beliau juga ada menyenaraikan jawatan-jawatan yang disandang beliau di dalam parti Umno dan pentadbiran negara sebagai contoh mengamalkan #2kerja, tetapi ia hanya membuktikan bahawa menteri-menteri negara ini langsung tidak dapat membezakan jawatan yang dipegang dengan pekerjaan yang dibuat oleh rakyat biasa.

Kami syorkan mana-mana menteri, seperti Ahmad Maslan, jika tidak dapat menyumbang idea atau mengeluarkan polisi yang benar-benar membantu rakyat, baiklah mendiamkan diri daripada menyakitkan hati.

Retorik perpaduan Melayu hanyalah sandiwara ulangan UMNO

 

Angkatan Muda Keadilan yakin rakyat tidak lagi mudah termakan propaganda perpaduan Melayu yang cuba disampaikan oleh UMNO terutama pasca perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Rakyat sudah maklum, setiap kali terhimpit, UMNO akan lebih lantang dan kerap menyuarakan perpaduan Melayu, dengan harapan ia akan dapat mengalih perhatian ramai daripada kepincangan parti itu.

Hakikat yang tidak dapat disembunyikan UMNO ialah parti itu sendiri kini berpecah kerana skandal penerimaan wang kira-kira RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Presiden UMNO Najib Razak serta keraguan dalam tadbir urus 1MDB di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.

Jelas, meskipun perpaduan adalah sebuah idealisme unggul, ia mestilah atas prinsip keadilan dan kebebasan, bukan berkompromi dengan rasuah dan salah guna kuasa.

UMNO terus memainkan propaganda usang konon kuasa orang Melayu dan Islam kian terhakis, walhal bilangan ahli parlimen Melayu dan Islam terus bertambah meskipun penguasaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO merosot.

UMNO cuba meyakinkan orang Melayu kononnya tanpa UMNO mereka akan hidup susah dan ditindas. Hakikatnya, rakyat tanpa mengira kaum hari ini terbeban oleh pelbagai dasar kerajaan yang pentadbirannya dikuasai oleh UMNO. Orang Melayu yang merupakan majoriti dalam kumpulan 40 peratus rakyat berpendapatan paling rendah terpaksa bergelut dengan dasar-dasar tersebut.

Bantuan demi bantuan yang diberi, sebenarnya lebih memperkayakan golongan elit, yang ramai daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin UMNO. Sebab itu, meskipun pelbagai bantuan telah cuba diberikan sejak sekian lama, jurang ekonomi antara orang Melayu miskin dan orang Melayu kaya semakin melebar.

UMNO akan terus mengulang retorik perpaduan Melayu untuk menyelamatkan diri tetapi orang melayu akan berpadu menolak kebobrokan parti itu, seterusnya nanti bersama-sama dengan rakyat Malaysia seluruhnya membina semula negara ini yang lebih bebas, adil dan bersatu.

 

Dewan Negara harus menolak RUU MKN bagi menyelamatkan demokrasi Malaysia 

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (“RUU MKN”) yang diluluskan secara tergesa-gesa melalui Dewan Rakyat baru-baru ini adalah ancaman paling teruk ke atas demokrasi berparlimen dan hak asasi rakyat Malaysia.

RUU MKN ini memusatkan anggota keselamatan seperti tentera, dan polis di bawah Perdana Menteri. RUU ini merampas kuasa dan perogatif Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat dan memberikan kuasa ini secara natijahnya kepada Perdana Menteri dengan memberikannya kuasa untuk mengisytiharkan ‘kawasan keselamatan’. Di samping itu, Kerajaan juga diberikan kuasa yang besar di dalam kawasan keselamatan tersebut yang akan memberi kesan ke atas hak-hak rakyat.

Amat membimbangkan bahawa walaupun ‘keselamatan negara’ digunakan berkali-kali di dalam RUU tersebut, ia tidak ditakrifkan di dalam RUU MKN. Ini memberi ruang kepada kerajaan untuk menggunakan kuasa besar yang diberikan oleh RUU MKN dengan sewenang-wenangnya. Hakikat bahawa negara ini mempunyai bermacam-macam undang-undang yang setiap satunya lebih kuku besi dari yang sebelumnya kononnya atas alasan ‘keselamatan’ jelas sekali menunjukkan bahawa RUU MKN ini hanyalah suatu alat oleh kerajaan yang makin hari makin terdesak untuk berpegang pada tampuk kuasa.

Rakyat Malaysia tidak lupa bagaimana undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain telah disalahgunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika membuat laporan di negara lain terhadap 1MDB boleh dikatakan sebagai mensabotaj institusi kewangan negara, tidak keterlaluan untuk kita membayangkan penyalahgunaan kuasa yang akan  digunakan oleh Kerajaan Barisan Nasional atas nama ‘keselamatan’ melalui undang-undang MKN. Kita tidak boleh menerima sebarang jaminan bahawa kerajaan ini tidak akan menyalahgunakannya ke atas rakyat.

Mengapa RUU yang sebegini penting hanya didedahkan kepada Malaysia pada saat-saat akhir dan perbahasan serta pengundiannya digesa-gesakan melalui Parlimen? Apakah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional tidak sedar akan kesannya ke atas seluruh Malaysia, dan kuasa yang bakal digegang oleh seorang individu bergelar Perdana Menteri?

Pada tahun ini sahaja, kita sudah melihat sekurang-kurangnya 2 undang-undang yang diluluskan Parlimen yang mencabuli hak rakyat iaitu Akta Pencegahan Keganasan (PoTA) dan pindaan ke atas Akta Hasutan. Nampaknya Kerajaan Barisan Nasional mahu mengakhiri 2015 dengan menggubal satu lagi undang-undang yang mengancam demokrasi negara.

 

Kami menggesa Ahli-ahli Dewan Negara untuk menolak keseluruhan RUU MKN ini dengan segara demi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan kerajaan autoritarian.

AMK mengecam tindakan kerajaan Sarawak menghalang Izzah 

Angkatan Muda KEADILAN mengecam tindakan kerajaan negeri Sarawak yang telah menghalang Ahli Parlimen Pantai, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri tersebut tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Sekali lagi kerajaan Sarawak telah menyalahguna kuasa untuk menghalang warga negara Malaysia sendiri sepertimana mereka menghalang Rafizi Ramli, Tony Pua dan Ambiga Sreenavasan.

Tindakan ini bertambah mengecewakan kerana Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Adenan Satem, sentiasa menggambarkan diri mereka sebagai kerajaan yang progresif dan terbuka, namun hakikatnya mereka tetap meneruskan budaya politik di bawah pentadbiran Taib Mahmud yang lalu.

Jelas kerajaan Barisan Nasional tidak kira di mana jua dan siapa sahaja pemimpinnya, tidak akan mampu berpegang pada prinsip demokrasi yang sebenar. Tindakan yang memalukan ini hanya akan mencalarkan lagi kredibiliti mereka pada pandangan rakyat Malaysia.