Monthly Archives: November 2015

Ucapan penggulungan Kongres Nasional

Pengerusi Tetap, YB DS Presiden, YAB Timbalan Presiden, pimpinan, perwakilan dan pemerhati

 

  1. Generasi muda Malaysia dalam krisis. Anak-anak muda gusar dan berhadapan ketidaktentuan masa depan mereka – lebih dari mana-mana ketika dalam sejarah negara. Inilah yang saya dapati tiap-tiap kali bertemu dengan mereka.

 

  1. Mereka tidak tahu sama ada mereka mampu mendapatkan pekerjaan, rumah dan memulakan keluarga tanpa menanggung hutang keliling pinggang. Kejatuhan ekonomi global dan cabaran alam sekitar – semuanya cabaran-cabaran besar untuk generasi kami.

 

  1. Generasi muda memerlukan kepimpinan. Mereka memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai jawapan terhadap cabaran-cabaran ini. Mereka memerlukan pemimpin-pemimpin yang sanggup berkhidmat untuk mereka.

 

  1. Inilah yang mesti ditawarkan oleh AMK dan saudara-saudara kita di dalam Pakatan Harapan. Yang pastinya anak-anak muda tidak mahu mereka yang lebih berminat dengan agenda mereka sendiri. Jika itu yang kita pilih, kita pasti dibakulsampahkan mereka. Jangan kita habiskan masa dengan persoalan titek-bengek dan drama peribadi. Kita patut menabur bakti untuk rakyat. Inilah realiti sebenar yang harus kita hadapi.

 

  1. Tetapi saya ingin menyatakan dengan jelas kepada pengundi-pengundi muda Malaysia. Tiada gunanya anda mengharapkan UMNO-BN terutamanya pimpinan muda mereka. Mereka telah berkali-kali membuktikan bahawa mereka tidak mampu menegur kebangkrapan moral pimpinan utama mereka. Lihatlah kegagalan usaha Ketua Pemuda UMNO yang kononnya sederhana dan liberal.

 

  1. Beliau setia bersama Presiden Parti yang dibelenggu begitu banyak skandal dan kontroversi. Beliau gagal mengekang belenggu perkauman yang saban hari semakin serius di kalangan ahlinya. Beliau tidak menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik yang ada di negara ini. Pokoknya beliau telah gagal. Dan beliau akan terus gagal kerana UMNO sudah tidak mampu berubah. Nasihat saya kepadanya, lebih baik fokus saja menjadi bintang televisyen!

 

  1. Tetapi jangan tersilap, UMNO juga kuat. Ia telah menguasai sepenuhnya kerajaan yang sedia ada menjadi jentera parti mereka. Ia akan kekal kuat dan kita tidak boleh mengandaikan kita akan menang hanya kerana kelemahan mereka.

 

  1. Kita mesti terus berada di barisan hadapan, di mana rakyat Malaysia memerlukan kita. Kita mesti terus berani, sama seperti himpunan-himpunan #KitaLawan dan Bersih 4. Tiada apa yang mustahil jika kita bersatu dan bergerak dengan sederap langkah.

 

  1. Kita mesti meraikan kemasukan tokoh-tokoh berpengalaman dan muda ke dalam parti kita sebagaimana berlaku pada tahun ini. Kita mesti terus menjadi khemah besar yang menghimpun pelbagai tokoh dan berada di jalur tengah arus perdana politik negara.

 

  1. Tokoh Indonesia Mohammad Hatta atau Bung Hatta ada memetik puisi Freidrich Von Schiller:

 

Satu abad besar telah lahir. Namun ia hanya menemukan generasi kerdil. (petikan penuh di dalam Bahasa Inggeris –Doubtless an epoch important has with the century risen; But the moment so great finds but a race of small worth)

 

  1. Justeru apa yang dipinta daripada kita bukanlah luar biasa, tetapi apa yang dipinta ke atas anak-anak muda seluruh dunia untuk menjadi generasi besar. Perpaduan. Disiplin. Kita diseru agar menjadi generasi besar demi tanah air dan rakyat kita.

 

  1. Kegagalan ekonomi Kerajaan BN – GST, kenaikan tol, pemotongan subsidi dan hutang PTPTN membebankan semua rakyat, khususnya generasi muda. Laporan Standard and Poors mendapati Malaysia mempunyai hutang peribadi tertinggi di kalangan 14 ekonomi Asia, yang kini mencecah 88 peratus daripada KDNK kita.

 

  1. Jabatan Insolvensi turut mendapati 5547 individu bawah 35 tahun menjadi muflis tahun lepas, dua kali berbanding 2005. Pada 2014 bilangan yang muflis bawah 25 tahun adalah 635, meningkat tiga kali berbanding tahun sebelumnya.

 

  1. Seluruh generasi muda Malaysia, sedang diheret oleh hutang. Kita mesti mencari jalan untuk melakukan sesuatu untuk mereka. Bukanlah tongkat yang dipinta, kerana kita juga tidak mahukan satu generasi yang bergantung terus dengan kerajaan juga.

 

  1. Kita harus memastikan kerajaan ini berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia. Kita mesti memastikan kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan inovasi, tanpa menjadi beban kepada rakyat. Kita mesti menunjukkan kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda, anda boleh berjaya dengan idea yang baik atau bekerja keras. Kita mesti melahirkan ekonomi “Know How” bukan ekonomi “Know Who”.

 

  1. Namun jangan kita sekali-kali lupakan aspek politik perjuangan kita. Jangan kita lupa Ketua Umum kita yang dipenjarakan di Sungai Buloh kerana beliau mengutamakan kebenaran dan kebebasan rakyat melebihi segala-galanya. Kita harus terus menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apatah lagi pada hari ini di mana suaranya sebagai negarawan dan demokrat Muslim teramat penting.

 

  1. Kongres kali ini merupakan Kongres pertama tanpa Anwar sejak Kongres kita di sebuah tokong di Ipoh pada tahun 2004 sejuruh selepas beliau dibebaskan daripada kes fitnah pertama. Perjalanan dari parti dengan kerusi tunggal Parlimen hingga menjadi antara parti terpenting di negara tidak mungkin berlaku tanpa kerja kuatnya.

 

  1. Kita juga harus memuji keberanian dan inisiatif Datuk Seri Dr Wan Azizah, Presiden kita di dalam mencari jalan keluar dari kemelut parti-parti pembangkang di Malaysia dengan penubuhan Pakatan Harapan dan meneruskan usaha kerjasama dengan parti-parti lain yang ada di Malaysia. Lahirnya Belanjawan Alternatif 2015 dan rancangan Konvensyen Pakatan Harapan awal tahun hadapan adalah bukti tepatnya pilihan ini.

 

  1. Banyak tugas kita di depan sana teman-teman semua. Pilihan raya Sarawak semakin hampir. Kita tahu betapa liciknya Ketua Menteri Sarawak yang baru. Tetapi sedarlah semua, beliau tetap dari rejim yang sama, gabungan politik yang sama yang akhirnya dikuasai oleh Putrajaya. Sarawak hanya dapat berubah jika ada kerajaan yang baru dengan dasar yang baru dan iltizam yang baru.

 

  1. KEADILAN dan Pakatan Harapan mesti menang dan menang besar bagi membawa perubahan di negara kita. Kita mesti mahu untuk menang dan menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mahu menang.

 

  1. Bagaimana kita hendak menang? Yang paling penting ialah kita mesti berbeza daripada UMNO. Kita tidak boleh berlagak seperti mereka, tidak boleh bercakap seperti mereka dan bertindak seperti mereka, apatah lagi jika tampaknya lebih mudah berbuat demikian. Rakyat sedang menghakimi kita.

 

  1. Sebagaimana yang saya katakan, kita mesti mempunyai keinginan kita untuk menang, kita mesti menunjukan keinginan kita untuk menang kepada rakyat. Generasi muda meletakkan harapan mereka di atas bahu kita. Sejarah tidak akan memaafkan kita jika kita tidak menggunakan peluang ini untuk menang. Kita harus menggemblengkan kekuatan Pakatan Harapan dan parti-parti lain untuk menggantikan Najib dan menumbangkan UMNO-BN.

 

  1. Malaysia bagaimanakah anda mahukan untuk anak-anak anda? Masa depan bagaimanakah anda mahukan untuk generasi akan datang? Sudah tentu kita mahu mereka tinggal di negara yang adil dan makmur, yang menghargai semua rakyatnya dan di mana undang-undang dihormati kerana ia melindungi mereka secara saksama. Inilah Malaysia yang kita mahukan!

Ucapan Dasar Ketua AMK di Kongres Nasional AMK 2015

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.

Yang berbahagia sdr Pengerusi Tetap Azmizam Zamanhuri,
Yang dihormati rakan-rakan seperjuangan:
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN,
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda KEADILAN (AMK).
Pimpinan parti di segenap peringkat, khususnya AMK,
Tetamu-tetamu kita dari pemuda Amanah, DAPSY, DPPP, PSM,
Rakan-rakan NGO,
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

1. Syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan kasih sayangnya kita semua dapat bersama dalam majlis yang sederhana tetapi cukup penting bagi kita meneruskan misi perjuangan reformasi melalui wadah keadilan.

Dinamika politik semasa

Sidang perwakilan yang dihormati,

2. Pada hari ini kita bertemu dalam suasana politik dunia, serantau dan negara berubah dan kadangkala tidak menentu.

3. Di peringkat global, isu-isu yang banyak diperkatakan dewasa ini menjurus kepada persoalan keganasan, perubahan iklim, pelarian dan peningkatan hubungan dagang antara negara, yang membayangkan bagaimana semua negara perlu bersatu.

4. Kita baru menyaksikan serangan pengganas di Paris yang mengejutkan kita semua. Kita harus mengulangi dengan jelas, keganasan di atas apa jua alasan tidak boleh diterima sama sekali. Pihak militan bukan sekadar mencemar imej agama, tetapi juga melanggar prinsip-prinsip yang diajar kepada kita.

5. Bagaimanapun manusia tidak pernah berputus asa. Dalam pelbagai cabaran yang ada, politik dunia menunjukkan betapa idealisme manusia tetap ada. Baru-baru ini misalnya, warga Myanmar, yang berterusan ditindas di bawah pemerintahan junta sejak sekian lama, kini berpeluang sekali lagi mengundi dan tetap menyatakan sokongan besar kepada NLD.

6. Meskipun sistem di negara itu tidak ideal sebagaimana yang diharapkan. Ia masih boleh dianggap sebagai satu kemajuan penting.

7. Kita juga tahu, di banyak negara kini, ramai anak muda diangkat sebagai pemimpin mewakili suara rakyat di pelbagai peringkat.

8. Semua ini adalah satu kemajuan yang tidak boleh dipandang remeh. Suara rakyat dan perjuangan yang boleh merangkul imaginasi ramai pasti akan menang.

9. Malaysia, sebagai ahli dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sering dirujuk oleh negara-negara OIC dan tergolong dalam kelompok ekonomi pertengahan atas, mesti mengesan ciri-ciri perubahan ini dan memberikan reaksi yang betul untuk kekal dihormati di persada antarabangsa dan serantau.

10. Namun sayang, apa yang kita lihat pada hari ini, pemimpin kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) nampaknya terus selesa dan tetap merasakan tidak ada apa yang perlu diperbaiki. Bagi mereka, semuanya baik belaka.

11. Malah, bukan sahaja pemimpin utama pembangkang, sdr. Anwar Ibrahim iaitu Ketua Umum KEADILAN terus difitnah dan dipenjarakan, tetapi undang-undang zalim seperti Akta Hasutan, POTA dan SOSMA digunakan untuk mengekang suara-suara melawan. Saya sendiri berdepan dengan akta perhimpunan aman untuk Himpunan Black 505 yang sama, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali (triple jeopardy)!

12. Ramai lagi pimpinan KEADILAN yang berada dalam senarai pelbagai pertuduhan. Insya Allah, kita akan terus lawan! Lawan tetap lawan! KEADILAN akan terus menjadi parti perjuangan!

Bermaharajalelanya keserakahan

13. Tidak cukup dengan pemimpin pembangkang, Perdana Menteri kini menggunakan segala cara untuk mengekang bantahan daripada dalam UMNO sendiri.

14. Kita semua mengetahui apa yang sedang berlaku. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Perdana Menteri. Tidak ada jawapan yang memuaskan.

15. Apa yang malang, kita melihat bagaimana seorang Perdana Menteri secara mudah memperkotak-katikkan institusi-institusi dalam negara. Peguam Negara ditukar tanpa notis awal. Pegawai-pegawai penyiasat dipindah tugas ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). Orang nombor dua dalam cawangan khas pula ditukar.

16. Ia cukup untuk membayangkan kemelut politik yang sangat meruncing. Namun, setakat ini, keserakahan kuasa Perdana Menteri masih belum dapat dibendung lagi.

17. Perdana Menteri Najib Razak pernah menyatakan Malaysia merupakan demokrasi terbaik di dunia. Kita tidak tahu di dunia mana Najib dan Rosmah tinggal. Dalam demokrasi terbaik, seharusnya Perdana Menteri meletak jawatan apabila berhadapan dengan skandal sebesar ini. Perdana Menteri wajar meletak jawatan setelah memberi jawapan yang bercanggah terhadap pertuduhan ini. Perdana Menteri wajib meletak jawatan apabila mengakui menerima RM2.6 bilion masuk ke dalam akaunnya. Tetapi Najib masih terus mempertahankan kedudukannya.

18. Isu RM2.6 billion hanyalah satu contoh penyalahgunaan kuasa, dan ia mungkin yang paling besar dan jelas. Anak-anak diajar menghafal rukunegara, tetapi pemimpin tertinggi negara sendiri mencabuli nilai-nilainya.

19. Meskipun begitu, kita tidak boleh meremehkan kebijaksanaan rakyat. Mereka pasti sedar tentang kebobrokan yang ada. Perdana Menteri mungkin boleh meremehkan rakyat pada sesetengah masa. Namun pastinya tidak pada setiap ketika.

20. Kita yakin, beberapa petunjuk melalui kenyataan-kenyataan Bank Negara dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cukup untuk menyedarkan rakyat bagi menghumban BN dalam pilihan raya akan datang.

Kemelut ekonomi

21. Tidak cukup dengan itu, negara juga berdepan dengan kemelut ekonomi.

22. Kerajaan persekutuan terus mengamalkan perbelanjaan defisit. Sememangnya tiada masalah berbelanja defisit dalam iklim kemelut ekonomi, namun ketika zaman mewah pun kerajaan persekutuan berbelanja berlebihan.

23. Lebih daripada 80 peratus perbelanjaan digunakan untuk belanja mengurus.

24. Kesan utamanya ialah kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta perlahannya kenaikan gaji. Ini telah menyumbang kepada hutang isi rumah yang tinggi, antara yang tertinggi di rantau ini.

25. Di kalangan professional muda, hutang kad kredit, diikuti pendidikan, hutang peribadi dan akhirnya hutang perumahan merupakan hutang yang tertinggi dipikul generasi ini. Kadar pendapatan terus berada pada tahap yang membimbangkan.

26. Pada 2015, statistik KWSP menunjukkan daripada lebih 6 juta ahli KWSP, 75.5 peratus berpendapatan RM3000 ke bawah sebulan. Satu pertiga ahli KWSP berpendapatan bawah RM1000.

27. Ini diburukkan lagi dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

28. Tekanan ini pastilah lebih dirasakan apabila subsidi dikurangkan secara mendadak, kos pengangkutan yang tinggi terutama bagi mereka yang tinggal di bandar. Bagi yang mengimport barangan luar, bukan sahaja cukai berkaitan import perlu dibayar, tetapi penurunan nilai mata wang pasti memberi kesan besar terhadap perniagaan mereka.

29. Suka atau tidak, golongan pekerja dan kelas menengah yang paling merasa kesan ini.

30. Harga kereta – yang sudahpun berada pada kadar yang tinggi kerana cukai eksais dan duti yang tinggi – kini semakin meningkat kerana pengenalan cukai GST dan penurunan kadar ringgit. Beberapa syarikat kereta sudah mengumumkan pengenalan harga baru tahun hadapan bagi berhadapan isu ini. Harga tol juga dinaikkan terutamanya di Lembah Klang.

Propaganda usang

Hadirin dan hadirat yang dikasihi,

31. Bagi menutup segala masalah ini, pihak berkuasa meneruskan propaganda usang, memainkan isu perkauman sempit yang disadurkan dengan mesej agama. Untuk kekal berkuasa, terdapat beberapa individu dibiar mencetuskan kebencian serta syak wasangka kaum dan agama. Masyarakat Melayu terutamanya dimomokkan dengan ancaman asing yang bakal menghilangkan identiti dan hak mereka. Orang Melayu diajar agar membenci dan mempunyai perasaan takut kepada kaum dan penganut agama lain. Dengan mesej inilah kemudiannya mesej reformasi tentang kebebasan dan keadilan diremehkan.

32. Walhal, negara ini sebenarnya cukup kosmopolitan. Pada zaman kesultanan Melaka lagi, sejarah menunjukkan terdapat 84 bahasa yang dipertuturkan. Orang-orang Cina dan India telah lama menjadi tamadun besar dan bertebaran di seluruh dunia. Orang Melayu, sebagai pemerintah sejak zaman dahulu cukup terbuka sikap mereka.

33. Pada zaman globalisasi ini, didorong dengan kemudahan teknologi maklumat, adalah sesuatu yang biasa bila kita membandingkan kehidupan di negara lain berbanding Malaysia. Memang, ada negara yang jauh lebih ketinggalan berbanding kita. Kita wajib bersyukur, bukan dengan rasa selesa dan berpuas hati, tetapi dengan cara melihat apa yang masih kurang dan perlu diperbaiki kerana masih ada negara lain yang kehidupannya lebih baik berbanding negara kita.

34. Ia mungkin relatif kerana faktor budaya. Namun, negara kita sendiri bukanlah tidak lebih baik pada satu ketika berbanding masa kini. Dengan izin, even the best can be improved!

35. Politik wujud kerana mustahil manusia boleh bersetuju dalam semua perkara pada setiap masa. Demokrasi memberikan jalan untuk manusia menangani perbezaan-perbezaan yang ada. Menjadi tugas pemimpin memastikan keamanan dengan cara mendorong persefahaman, menghormati perbezaan berasaskan prinsip-prinsip demokrasi. Bukan tugas pemimpin menggalakkan pergeseran untuk membolehkan mereka bertindak keras menjadi suara pemutus. Politik perkauman yang diamalkan oleh pemimpin BN tidak akan membawa negara kita ke hadapan, sebaliknya akan menjadi hambatan kepada kita.

36. Dalam Al-Quran, dipamerkan semangat perkauman ini selalu dimainkan oleh puak-puak Yahudi. Mereka mainkan itu, kerana mereka mahu menutup kebenaran kenabian Nabi Muhammad yang bukan sebangsa dengan mereka.

37. Dalam banyak negara, termasuk negara kita, Malaysia, ada dua isu besar yang sering dijadikan asas untuk menutup kejahatan pemerintah, iaitu isu perkauman dan isu agama. Hal ini pernah berlaku di Pakistan, Burma, Mesir, bekas-bekas Republik Yugoslavia dan sebagainya. Perkara ini sengaja dibangkitkan oleh penguasa yang jahat, untuk memastikan rakyat terkabur dan terus melupakan skandal yang melibatkan dirinya. Kejahatan sebegini, pasti akan menjadikan sesebuah negara itu hancur dan rosak, jika rakyat tidak berusaha untuk membendungnya. Seorang ulama Melayu tersohor bernama Syeikh Daud Fatani ada berkata dalam kitab beliau, Munyatul Musalli, “tiada negeri melainkan dengan rakyat. Dan tiada rakyat yakni yang memeliharakan dengan adil”.

38. Pemerintah yang baik, pasti tidak akan mengambil kesempatan untuk menyuburkan persengketaan antara penganut agama dan bangsa, sebaliknya sebarang unsur yang boleh melahirkan permusuhan akan dibanteras dengan bijaksana, tanpa melibatkan pertumpahan darah dan kekerasan. Syaikh Muhammad Al-Ghazali dari Mesir pernah berkata, “rakyat jadi rosak sebab pemerintah rosak”.

39. Dalam ungkapan lain, beliau berkata lagi, “jika tiada hakim jahat dan tiada ulama jahat, pasti pemerintah kurang melakukan kerosakan. Kerana, pemerintah takut dengan penentangan mereka”.

40. Tindakan menolak perkauman, malahan menyuburkan budaya saling hormat menghormati adalah dituntut dalam ajaran Islam. Malahan, negara yang rakyatnya saling berusaha menolak budaya permusuhan akan dijaga oleh Allah. Dalam buku Duwar Ul-Qiyam Wal-Akhlak Fil-Iqtisad Islami, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi ada menyatakan bahawa negara yang dijaga oleh Allah adalah negara yang rakyatnya saling menyuburkan kebaikan, seperti bangun membetulkan pemerintah yang rasuah, yang menyelewengkan dana rakyat dan sebagainya. Kenyataan Al-Qardawi itu merujuk kepada firman Allah dalam Surah Hud, ayat 117 yang bermaksud, “dan tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.”

41. Kewujudan perkauman sempit merupakan benih-benih permusuhan dalam masyarakat. Ekoran itu, ia tidak akan memberi kebaikan kepada rakyat, walaupun ia dilakukan oleh orang Islam. Ibn Taimiyyah ada berkata, “Allah tidak akan menolong negara yang zalim, walaupun ia diperintah oleh orang Islam sekalipun”.

42. Justeru AMK ingin menuntut agar badan-badan kerajaan yang menjadi perkakas sentimen perkauman dan politik partisan seperti Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dibubarkan dengan serta-merta! Tidak masuk akal jutaan wang ringgit rakyat disalurkan untuk agensi-agensi ini, apatah lagi ketika kegawatan ekonomi yang menyaksikan agensi-agensi yang penting untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat dipotong peruntukan mereka.

Pulihkan persekitaran pendidikan

Sidang perwakilan sekalian,

43. Salah satu senjata menentang perkauman ini tidak lain dan tidak bukan adalah pendidikan.

44. Kita harus menjadikan institusi-institusi pendidikan tinggi sebagai wadah membentuk insan dan membina wacana intelektual. Kini IPT-IPT milik kerajaan disalahertikan seolah-olah milik UMNO, malah wujud Naib Canselor dan Rektor yang berlagak mengalahkan ketua cawangan UMNO dan bukannya tokoh akademik.

45. Ketika pelbagai isu semasa timbul, daripada GST sehingga 1MDB dan TPPA, universiti kita sunyi daripada perbincangan terbuka. Begitulah merosotnya kualiti di universiti kita pada hari ini.

46. Sekonyong-konyong, ada ahli akademik muncul mendabik dada memperlekehkan ahli akademik lain dan mahasiswa yang berani menuntut ruang keterbukaan dan kebebasan bersuara. Universiti tidak lagi menjadi sarana pembebasan, sebaliknya ia sudah menjadi kilang pengeluaran manusia bersifat robot – memuntahkan semula apa yang diajar – dan tampil di majlis graduasi mengutip sekeping ijazah yang ada kalanya lebih dekat maksudnya dengan ‘surat hutang’.

47. Sistem pendidikan tinggi berhadapan dengan krisis. Buat dua tahun berturut-turut, nisbah tempat yang ditawarkan di IPYA berbanding bilangan pelajar berkeputusan cemerlang menurun dan dijangka akan terus menurun dengan pemotongan rm1.4 bilion peruntukan pengajian tinggi baru-baru ini. Biasiswa ke luar negara juga giat dipotong ataupun dihadkan dengan pelbagai syarat-syarat baru sehingga pelajar-pelajar yang cemerlang SPM tidak lagi berpeluang melanjutkan pengajian di luar negara.

48. Mahasiswa terpaksa ke IPTS. Ini bermakna mereka perlu menanggung hutang PTPTN. Namun peruntukan PTPTN pula dipotong 15-25 peratus dalam situasi kos sara hidup yang makin meningkat.

49. Kita juga tidak harus melupakan majoriti anak-anak muda yang tidak dapat masuk ke universiti. Bidang kemahiran harus dikembangkan agar mencapai tahap piawai antarabangsa. Di negara maju, bidang-bidang kemahiran memberikan kadar upah tinggi yang membolehkan mereka yang menceburinya tidak dipandang rendah, sebaliknya dapat menikmati kehidupan kelas menengah yang selesa.

Memang salah UMNO-BN

50. Kita tidak mahu teragak-agak bahawa semua masalah utama yang ada di Malaysia pada hari memang salah UMNO-BN. Lihat sahaja Dr Mahathir Mohamad sekarang ini yang juga menyalahkan UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak.

51. Dr. Mahathir berkata “pemimpin yang buruk lahir daripada sistem demokrasi yang disalah guna.” Justeru itu, kita harus sedar bahawa Perdana Menteri yang kita miliki pada hari ini sebenarnya lahir daripada sistem demokrasi yang telah disalah guna, termasuk oleh Dr. Mahathir sendiri.

52. Jadi rakyat Malaysia jangan tersilap mempercayai Dr. Mahathir sekali lagi. Kita boleh berterima kasih kepada beliau kerana bercakap tentang kebebasan bersuara, kepentingan ketinggian undang-undang (rule of law) dan melawan rasuah serta salah guna kuasa yang ada kini. Namun, kita tidak akan lupa siapa yang menjadikan demokrasi negara ini tempang – melemahkan elemen semak dan imbang. Kita tidak akan lupa siapa bertanggungjawab ke atas satu demi satu skandal kewangan mega terawal negara. Kita tidak akan lupa siapa yang memfitnah dan menyeksa Anwar Ibrahim. Kita tidak akan lupa siapa pemimpin ketika rakyat diseksa kerana bangkit menuntut reformasi.

53. Sememangnya kerja gila jika kita berulang kali membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan kesudahan yang berbeza.

Menggerakkan reformasi

Sidang perwakilan,

54. Tetapi apa yang kita benar-benar perlukan bukanlah hanya pertukaran kerajaan. Ia memang penting. Tetapi kita juga mesti merubah secara radikal kaedah bagaimana negara ini ditadbir. Kita mesti ubah tingkah laku politik kita dan cara kita menjalankan kerja. Perubahan mestilah dilakukan ke atas gerak kerja parti politik kita. Malah, setiap aspek pengurusan negara ini mesti diubah. Inilah erti agenda reformasi.

55. KEADILAN yang sepatutnya menggerakkan proses ini. AMK yang sepatutnya menjadi barisan hadapan gerakan ini. Seluruh rakyat Malaysia sepatutnya mendukung kita di dalam usaha ini.

56. Namun, kita mesti mengakui, rakyat semakin sinis. Kepercayaan kepada ahli politik sudah terhakis. Adakah tanggapan itu salah atau tidak tepat? Tidak semestinya.

57. Malah, suara-suara sinis inilah yang seharusnya menyedarkan kita bahawa usaha ini adalah usaha bersama. Sekiranya kita mempercayai sistem demokrasi yang telah mengatur bagaimana kuasa boleh bertukar tangan seperti yang berlaku di negara-negara maju khususnya, malah di Myanmar baru-baru ini, maka mahu atau tidak, kita mesti memperbaiki kekurangan yang ada dalam parti dan kerjasama antara parti.

58. Kita perlu belajar daripada pengalaman revolusi Mesir yang ditunjuk melalui sebuah filem dokumentari bertajuk The Square. Di sana, meskipun Ikhwan Muslimin disalahkan oleh penggerak revolusi kerana didakwa merampas perjuangan mereka, namun, akhirnya mereka mengakui bahawa proses peralihan kuasa memerlukan pemimpin pengganti dan proses pemilihannya tetap perlu melalui sistem pilihan raya di mana parti politik dikatakan lebih tersusun dan mahir dalam aspek ini.

59. Ini tidak menjadikan suara-suara di luar parti politik tidak penting, sebaliknya sebuah ketumbukan yang kuat boleh dicapai sekiranya kita memahami persoalan ini.

60. Kita perlu kembali kepada asas politik. Parti politik bukan hidup hanya untuk pilihan raya. Parti juga bukan jentera untuk mengagihkan kuasa. Ia perlu hidup dengan mampan, dan sentiasa membangun mengikut peredaran zaman. Apabila negara dihantui permasalahan, parti politik perlu bersedia tampil dengan penyelesaian. Parti bertanggungjawab ke atas rakyat, terutamanya yang lemah.

61. Ironinya, dalam konteks politik Malaysia, meskipun kita lebih banyak bercakap hal-hal kepentingan golongan luar bandar, ternyata sokongan yang diterima buat masa ini lebih dirasakan dari golongan bandar.

62. Bukan sekadar itu, kita mesti melihat Malaysia dengan lebih tepat, bukan merujuk hanya kepada semenanjung dan mengabaikan Sabah dan Sarawak. Begitu juga, ketika rakan-rakan bercakap tentang kepentingan Sabah dan Sarawak, janganlah melupakan Semenanjung. Selepas sekian lama dipinggirkan UMNO-BN, yakinlah bahawa kita semua mahukan perubahan.

63. KEADILAN telah mengorak langkah dengan mengiktiraf kedudukan kedua-dua buah negeri tersebut yang dimaktubkan ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Kita harus menghantar mesej yang jelas, perubahan untuk kedua-dua buah negeri tersebut hanya boleh datang dengan perubahan yang menyeluruh dari Sabah, Sarawak hinggalah ke Putrajaya.

64. Kita mesti sedar bahawa Ketua Menteri Sarawak dan Sabah itu masih merupakan pemimpin BN, sebaik apa pun imej yang ditonjolkan mereka. Dengan mereka menolong BN, bererti negara ini masih ditadbir dengan cara lama – sumber ekonomi lebih banyak dikawal oleh persekutuan.

65. Dalam merealisasikan misi mengembangkan pengaruh di negeri Sarawak khususnya, kerana pilihan raya negeri itu akan diadakan pada tahun hadapan (dijangka Mac 2016), Jawatankuasa Pilihan Raya AMK Pusat sedang giat mempersiapkan calon-calon AMK. Kita sudah mengumumkan enam calon – empat daripada AMK dan dua daripadanya merupakan calon bersama AMK dan Wanita KEADILAN, dan kita berharap rakyat Sarawak mampu memberikan kemenangan kepada mereka. Kita membariskan calon daripada pelbagai latar belakang: ada aktivis, profesional dan usahawan. Kita mengalu-alukan anggota-anggota AMK yang berminat untuk terlibat membantu persediaan dan bertugas untuk berhubung dengan JPRP AMK. Insya Allah, Sarawak akan menyaksikan kemenangan sulung calon AMK.

Menyusun semula pergerakan AMK

Sidang perwakilan sekalian,

66. Ramai yang menaruh harapan tinggi kepada AMK kerana kitalah wajah-wajah yang mencerminkan gambaran masa depan perjuangan reformasi di negara ini. Ayuhlah kita berikrar untuk berada di barisan hadapan pergerakan ini.

67. Untuk itu, kita mestilah segera menginsafi tanggungjawab yang sedang digalas. Ini bukan tugas kecil dan tidak ada sesiapa di kalangan kita, termasuk diri saya, dapat menggerakkannya sendirian.

68. Saya juga ingin meminta maaf di atas sebarang kesilapan saya sepanjang memimpin AMK. Marilah kita berazam untuk bersama-sama membina AMK yang mantap dan berwibawa.

69. Kita mesti saling membahu, bergabung tenaga untuk mencapai perkara yang lebih besar, berpandukan asas perjuangan yang telah pun digariskan.

70. Justeru itu, AMK akan mula melaksanakan konvensyen-konvensyen AMK Negeri bagi negeri-negeri yang sudah bersedia. Satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk menentukan mekanisme terbaik dalam pelaksanaannya. Kita berharap, proses ini akan memantapkan lagi AMK di peringkat negeri, sekaligus menjadi inisiatif terbaik untuk mengukuhkan pendemokrasian dalam parti.

71. Sebagai sebuah parti yang mendokong cita-cita reformasi, tentulah apa yang telah berlaku semasa dua proses pemilihan yang lepas memerlukan perhatian serius agar ia tidak berulang.

72. Pada masa yang sama, kita harus memahami bahawa perbezaan dalam parti ini sememangnya cukup banyak sejak ia mula ditubuhkan. Ini kerana latar belakang anggota yang pelbagai, malah boleh dikatakan hampir semua pernah melibatkan diri dalam protes di jalan raya – petunjuk keberanian mengambil pendirian dan sikap bebas.

73. Kita wajib menguruskan perbezaan pandangan dalam parti secara bijak. Sementara kebebasan perlu dijamin, kita juga mesti berlaku adil. Parti mempunyai disiplin dan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi. Tidak semua apa yang kita yakini baik boleh dan mesti dicapai segera. Ada pepatah Inggeris yang menyebut, they can’t see the forest for the trees – jangan kerana asyik melihat sebatang pokok terlepas pandang hutan yang lebih besar. Jangan kita gigih memperbesarkan perbezaan dalaman, seolah-olah hanya kita yang berjuang, sehingga terlupa siapa lawan politik sebenar.

74. Kita mesti mengukuhkan kedudukan parti di jalur tengah arus politik negara. Tidak keterlaluan mengatakan KEADILAN adalah parti berbilang kaum yang terbaik pernah wujud dalam sejarah negara Malaysia. Kini kita mempunyai wakil rakyat di setiap negeri. Kita harus berbangga dengannya dan mesti memastikan ia terus subur.

75. Parti kita juga memberi peranan besar kepada wanita dan anak muda. Peranan kita di Parlimen dengan Ketua Pembangkang dan Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail berserta kedudukan kita sebagai parti peneraju di Selangor bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali adalah petanda kejayaan kita.

76. Kita harus berbangga dengan kejayaan parti melahirkan tokoh-tokoh muda – bukan sekadar di AMK malah di arus perdana politik seperti Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Naib-Naib Presiden Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar, Darell Leiking serta senator Siti Aishah Shaik Ismail. Gerakan mengumpulkan dan meraikan bakat-bakat baru sama ada golongan aktivis, mahasiswa, pekerja, agamawan mahupun professional harus diteruskan dengan giat.

Bebaskan Anwar, jatuhkan UMNO-BN

Saudara pengerusi tetap,

77. Ketua umum kita, Anwar Ibrahim masih lagi dipenjarakan. Hari ini hampir 300 hari beliau merengkok di dalam penjara semata-mata kerana perjuangannya menjadi ancaman terbesar kepada UMNO-BN. Bukan sahaja badan-badan antarabangsa seperti Inter Parliamentary Union, Human Rights Watch, Amnesty International dan PBB mengecam pemenjaraan beliau, malah tokoh-tokoh termasuk ulama’ tersohor Syeikh Yusuf Qardhawi dan barisan intelektual besar di seluruh dunia juga menggesa pembebasan beliau.

78. Lebih mendukacitakan lagi, hak beliau mendapat rawatan terbaik turut dinafikan. Sebab itu, kita tidak pernah percayakan UMNO-BN. Tangan mereka mungkin sekali-sekala akan menghulur salam, tetapi kaki mereka akan terus menerajang kita.

79. Alat-alat propaganda UMNO-BN mengatakan semua kecaman dari luar sebagai ‘campurtangan asing’. Tetapi pemimpin negara sendiri tidak segan silu mengeluarkan kenyataan mengecam banyak negara lain. Pada masa yang sama, kenyataan dari sebuah badan PBB tidak boleh diperlekehkan sedemikian memandangkan kita juga merupakan anggota PBB, malah menganggotai majlis keselamatan PBB pada waktu ini.

80. UMNO-BN boleh terus menindas. Sejak dulu hingga kini kita boleh senaraikan ratusan malah ribuan mangsa penindasan mereka. Dari pelajar, mahasiswa, ahli akademik, ketua hakim, tokoh korporat, profesional dan pekerja, pelbagai kaum dan agama, semuanya ada.

81. Namun sebagaimana dinukilkan oleh Gene Sharp dalam manual perjuangan tanpa keganasan, from dictatorship to democracy yang kini dijadikan rujukan pejuang-pejuang demokrasi dari Eropah Timur hingga ke Indonesia, peningkatan tekanan ini sebenarnya menggambarkan kelemahan rejim autoritarian dan bakal mengundang peningkatan amarah rakyat.

82. Kita memerlukan suatu wawasan; serta perancangan jitu bagi mengerakkan negara ini ke hadapan. Tidak cukup sekadar mengulangi retorik membantah kezaliman dan rasuah. Masyarakat mahu penjelasan dan contoh keadilan yang mahu ditegakkan.

83. Kita mesti buktikan kepada rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, bahawa jika politik lama menjadi kekangan terhadap kemajuan masyarakat, politik baru berupaya mengubahnya.

84. Maka berkumpulnya kita saban tahun dalam kongres seperti ini janganlah dijadikan formaliti, sebaliknya ambillah peluang agar ia menjadi sebahagian daripada batu-bata perjuangan kita. Serlahkan idealisme dan intelektualisme kita di medan ini.

85. Insya Allah, dalam pilihan raya akan datang, kita akan menumbangkan UMNO-BN dan memastikan Malaysia ditadbir dengan lebih adil.

Kerjasama pembangkang

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan,

86. Antara isu yang sering dibicarakan kini ialah persoalan kerjasama pembangkang. Kita harus akui, krisis politik pembangkang dihadapi terutama sejak tahun lalu wajar diinsafi. Ia sekaligus menggambarkan betapa besarnya peranan Anwar selama ini.

87. Anwarlah yang berjaya membawa parti-parti pembangkang duduk berbincang dan mencapai persetujuan yang diungkap dalam dasar bersama sebelum ini. Ia tidak pernah berjaya dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Insya’Allah, dasar bersama ini akan terus kita pertahankan.

88. Dengan itu juga, kita mengucapkan tahniah kepada Presiden parti Dr Wan Azizah yang mengambil inisiatif memulakan rundingan parti-parti pembangkang selepas kerjasama Pakatan Rakyat tidak lagi berfungsi. Pada masa yang sama, kita memahami gesaan untuk merangkul semua pihak lain – termasuk badan bukan kerajaan serta individu-individu yang turut berjuang untuk mencapai politik baru yang lebih baik.

89. Pakatan Harapan mungkin baru. Namun kita telah membuktikan keseriusan semasa dengan menawarkan belanjawan alternatif serta menghidupkan semula mesyuarat tertinggi kerjasama antara parti. Awal tahun depan Konvensyen Pakatan Harapan akan diadakan, dan Pemuda Pakatan Harapan yang telah dibentuk juga telah bersetuju diadakan satu Konvensyen Pemuda Pakatan Harapan pada tahun 2016.

90. Antara perkara yang dipersetujui ketika penubuhan Pemuda Pakatan Harapan baru-baru ini adalah memperjuangkan isu pendaftaran pengundi dengan keadaan hari ini di mana Penolong Pegawai Pendaftar anggota parti sudah dimansuhkan oleh SPR. Ada 4 juta warganegara muda yang tidak berdaftar hari ini.

91. Justeru, AMK hari ini akan melancarkan kempen ‘Undilah’ bagi menggerakkan usaha pendaftaran pengundi. Setiap AMK Negeri harus menggerakkan AMK-AMK Cabang bagi mendaftar seramai mungkin pengundi menggunakan bahan kempen yang disediakan oleh Jawatankuasa Pilihanraya AMK.

92. Sesetengah mungkin pesimis, menganggap undi orang Melayu akan berkurangan dan sekaligus menjadikan kerjasama baru semakin tidak relevan. Kita jangan mudah meremehkan sikap politik orang Melayu. Sebaliknya, kita yang mesti bekerja keras untuk meyakinkan orang Melayu bahawa politik baru yang ditawarkan adalah untuk semua, termasuk orang Melayu itu sendiri.

93. Kita mesti bingkas melihat ke hadapan dan tidak tersangkut dalam nostalgia lama. Jika tidak, kita mungkin menerima nasib yang sama seperti pembangkang di negara jiran, Singapura. Selepas berjaya memenangi beberapa kerusi dalam pilihan raya sebelum ini, pembangkang masuk ke pilihan raya lalu dengan lebih tersusun, satu lawan satu. Pada masa yang sama, PAP menjadikan penggal lalu sebagai tempoh memperbaiki diri. Hasilnya, rakyat Singapura kembali memberi kepercayaan kepada PAP, parti-parti pembangkang tewas teruk meskipun ceramah yang dianjurkan oleh mereka dihadiri puluhan ribu penyokong dan pendengar.

94. Kita juga mungkin menghadapi hukuman yang sama jika lalai. Pengundi kini lebih kritikal dan tidak lagi hanya melihat lambang parti semata-mata. Mereka hanya akan memberi kepercayaan sekiranya parti-parti pembangkang tersusun baik. Pengundi tidak akan teragak-agak menghukum keegoaan kita, tambahan pula jika gagal menunjukkan kesediaan mengambil alih kepimpinan negara.

95. Untuk mencapai ini, kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan mentadbir Selangor dan Pulau Pinang. Kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan menghalang UMNO dan BN daripada memperoleh majoriti dua pertiga. Kita mestilah meletakkan misi yang lebih tinggi: menang dan mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Tidak ada pilihan kedua.

96. Kita sebenarnya mempunyai kemampuan tersebut. Rakyat juga mahu menunjukkan kuasa mereka yang selama ini disimpan. Model kerjasama BN – UMNO sebagai big brother, UMNO mendominasi parti-parti lain ¬– sebenarnya sudah tidak lagi diterima. Model kerjasama Pakatan Rakyat – equal partnership ¬– masih belum cukup sempurna. Ia terlalu longgar dan samar.

97. Pakatan Harapan harus memperbaiki aspek ini, melangkah ke hadapan. Apa yang perlu dibuat, pada hemat saya, ialah pembentukan institusi-institusi yang aktif dan berfungsi; bukan hanya seperti Majlis Presiden dan sekretariat di pusat, tetapi juga di negeri-negeri hinggalah ke peringkat akar umbi.

98. Pengumuman pertandingan kerusi secara unilateral, harus dihentikan serta-merta!

99. Secara peribadi, saya berpendapat, sudah tiba masanya parti-parti pembangkang mencapai konsensus untuk menubuhkan kabinet bayangan bagi menggambarkan keseriusan kita mentadbir putrajaya. Kita sudah tampil sejak Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat dengan belanjawan alternatif dan manifesto bersama. Kabinet bayangan adalah langkah ke hadapan yang perlu kita laksanakan seterusnya.

100. Kabinet ini tidak perlu ramai seperti kabinet kerajaan, sebaliknya streamline dan mungkin mempunyai 18 wakil sahaja dan perwakilan sama rata ketiga-tiga parti.

101. Kerjasama dan hubungan badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu yang sering mewarnai thought leadership negara ini juga perlu terus dipergiatkan. Selaras dengan itu, tahniah kepada skuad yang tampil bersama-sama memimpin pasukan keselamatan semasa perhimpunan Bersih 4.0. Pihak skuad baru selesai program latihan dan pentauliahan kumpulan yang pertama.

102. Kita akan terus mendokong apa sahaja agenda yang selaras dengan dasar perjuangan kita. Jangan malu untuk belajar dan jangan lokek berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman.

KEADILAN adalah masa depan Malaysia

Tuan pengerusi tetap dan teman-teman seperjuangan,

103. Kita telah memilih KEADILAN sebagai wadah perjuangan. Kitalah yang menentukan jatuh bangun parti dan perjuangan ini. Pilihan ini sebenarnya tidak mudah. Namun, kita juga tidak mudah mengalah.

104. Semua yang berada di sini merupakan anak muda yang mempunyai wawasan untuk memajukan tanahair kita. Setiap yang berada di sini telah mengorbankan sesuatu demi usaha ini. Adakalanya pengorbanan ini sangatlah pahit. Tetapi kita tetap pendirian dan telah berjaya menggegarkan asas rasuah negara ini yang diterajui golongan elit BN. Kita berjaya meledakkan gelombang harapan rakyat. 2008 dan 2013 tidak mungkin terjadi jika bukan kerana semua di sini.

105. Ada kalanya kita berasa sukar, serba serbinya tidak mencukupi. Namun yakinlah, tidak ada yang terlalu sukar jika kita melakukannya bersama-sama. Seperti kata pujangga Tiong Hua, lao tsi: qian li zhi xing, shi yu zu xia, perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.

106. Perjuangan selalu menuntut pengorbanan, dan politik kita adalah perjuangan. Marilah kita selalu mengikhlaskan niat, cuba menyumbang dengan sedaya upaya kita. Tidak ada yang terlalu kecil atau terlalu besar.

107. Jika kita gagal menumbangkan BN, bukan kita yang patut kecewa; seluruh rakyat Malaysia yang layak rasa kecewa. Marilah kita memenuhi harapan besar itu. Ingatlah setitik air tetap boleh membentuk gelombang bila jatuh ke permukaan air yang besar. Setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing. Ingatlah apa yang pernah diungkap dalam hikayat malim deman:

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang capik menghalau ayam,
Yang pendek tinjau meninjau,
Yang kurap memikul buluh.

108. Kita anak-anak muda mahukan negara yang lebih baik untuk didiami bersama. Kita akan mewariskan negara ini kepada generasi baru dengan keyakinan baru bahawa Malaysia adalah milik kita semua bersama. Semua anak Malaysia berhak hidup dan memajukan diri tanpa diskriminasi kerana faktor usia, kaum dan agama.

Tuan pengerusi tetap,

109. KEADILAN adalah masa depan Malaysia. Ia akan direalisasikan oleh kita bersama.

Sekian, terima kasih.

Reformasi!
Reformasi!
Reformasi!

AMK kecewa siasatan polis ke atas Akmal

Angkatan Muda KEADILAN ingin menyatakan kekecewaan kami dengan pengesahan pihak polis bahawa Pengarah NOW yang juga Pengarah Strategi AMK, Akmal Nasir, sedang disiasat kerana memperoleh dokumen YaPEIM secara tidak sah.

Jelas di sini bahawa masih ada yang hendak melindungi penyalahguna kuasa dengan menyiasat sesiapa sahaja yang mendedahkan kepincangan, daripada menyiasat dengan telus perihal yang telah didedahkan.

Walaubagaimanapun, tindakan ini sudah dijangka, kerana sebelum ini di dalam kes seperti 1MDB dan NFC juga pihak polis telah menumpukan sepenuh tenaga menyiasat pendedahan maklumat dan mengabaikan kepincangan yang memakan jutaan, malah berbillion duit rakyat.

Di dalam kes YaPEIM ini, kesemua maklumat yang didedahkan telah disahkan ketulenannya oleh pihak YaPEIM jadi mengapa perlu menyiasat perolehan dokumen tersebut? Adakah pihak berkuasa berharap agar maklumat-maklumat ini tidak langsung diketahui rakyat? Bukankah rakyat berhak mengetahui ke mana perginya duit sumbangan mereka?

Pihak berkuasa perlu sedar bahawa segala wang perolehan YaPEIM adalah hak-hak pihak berkepentingan, yakni orang awam, yang telah memberikan derma secara ikhlas mengharapkan setiap sen wang yang disumbang digunakan untuk kebajikan dan pembangunan masyarakat Islam Malaysia, bukannya untuk membiayai perlancongan Menteri dan keluarganya.

Tindakan pihak berkuasa dan polis di dalam hal ini hanya mengakibatkan penghakisan keyakinan kepada institusi-institusi ini kerana sudah jelas apa yang didedahkan semuanya adalah benar, namun ada pula pihak yang bersekongkol untuk megaburinya daripada pandangan rakyat.

Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan amalan mengancam pendedah maklumat – malah mereka sepatutnya dilindungi – dan menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk menyiasat dakwaan salahguna kuasa dan membawa mereka yang bersalah mengkhianati kepercayaan rakyat ke muka keadilan. Itulah yang rakyat mahukan

Jangan alih dari isu pembebasan Anwar

Merujuk kepada isu berkenaan Nurul Izzah Anwar yang dilihat telah bergambar dengan Jacel Kiram dan menyebabkan ketidak senangan beberapa pihak, Angkatan Muda KEADILAN ingin mengulangi kenyataan Naib Presiden KEADILAN itu bahawa perjumpaan itu telah diaturkan oleh Manila, dan bukannya oleh beliau sendiri.

Beliau berada di Filipina untuk bertemu dengan beberapa pimpinan masyarakat, yang mana ramai di antara mereka telah menyuarakan sokongan kepada Anwar Ibrahim, yang telah dipenjarakan secara tidak adil, satu tindakan yang mendapat kecaman masyarakat antarabangsa — termasuklah Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Working Group on Arbitrary Detention) yang membuat deklrasi bahawa Anwar mangsa penahanan arbitrari.

Malangnya, satu gambar ini telah digembar-gemburkan menjadi isu yang melampau sedangkan isu sebenarnya adalah berkenaan kebebasan Anwar. Barisan Nasional tidak seharusnya lari daripada perkara ini dan bagaikan sengaja hendak mengalihkan perhatian daripada deklarasi UN yang dinyatakan tadi.

Harus diingatkan juga bahawa KEADILAN dan rakan-rakan pembangkang kami di Parlimen, adalah antara yang paling lantang untuk mengecam pencerobohan Lahad Datu, yang kami masih percaya kerajaan Malaysia tidak berjaya menangani dengan teratur dan baik.

KEADILAN, termasuklah Izzah, amatlah komited untuk melaksanakan Deklarasi Kuching 2012, dengan ikrar “…kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan
dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu”, ini termasuklah untuk memulihara kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf di dalam Persekutuan, memberi perwakilan yang adil kepada kedua negeri itu, menyelesaikan permasalahan dan isu-isu kerakyatan, menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat, mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, keadilan di dalam isu minyak serta pembangunan sejagat.

AMK gesa masyarakat antarabangsa prihatin

Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan pengisytiharan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Working Group on Arbitrary Detention) yang mengiktiraf Anwar Ibrahim sebagai mangsa penahanan arbitrari, atau tahanan politik. Pengiktirafan ini amatlah memalukan, terutamanya untuk Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional.

Pengisytiharan ini adalah berdasarkan penilaian Kumpulan Kerja tersebut yang mendapati Anwar telah dipenjarakan secara haram setelah melalui satu perbicaraan yang tidak adil dan tidak menghormati
elemen-elemen asas perundangan. Oleh kerana Perdana Menteri gemar untuk memberikan ceramah kepada masyarakat antarabangsa berkenaan kesederhanaan dan kedaulatan undang-undang, pendirian PBB ini telah mencalar kewibawaannya.

Dalam pada itu, kritikan dan kecaman terhadap pemenjaraan Anwar juga semakin kuat didengari di peringkat antarabangsa. Negara-negara seperti Australia dan Amerika Syarikat telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap layanan kerajaan BN kepada Anwar – selain itu terdapat juga pihak-pihak NGO seperti Amnesty International dan tokoh agamawan seperti Syeikh Yusuf Qardawi yang turut menyuarakan kerisauan.

Sekarang ini ramai rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa yang berpendapat tegas bahawa perbicaraan Anwar hanyalah sandiwara pihak kerajaan dan sememangnya tidak punyai asas keadilan.

Kepada rakan-rakan kami yang berada di kamar kuasa dan yang berpengaruh di luar negara, terutamanya negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Malaysia, kami menggesa agar pendirian PBB terhadap pemenjaraan Anwar diiktiraf dan pengiktirafan ini disampaikan kepada pentadbiran Najib. Tindakan ini penting bukan sahaja kerana beliau telah menjadi mangsa tahanan politik, tetapi beliau juga memerlukan rawatan pakar dengan kadar segera oleh kerana kesihatan yang semakin teruk.

AMK ingatkan Jamil : jangan guna wang zakat untuk saman Akmal

Angkatan Muda Keadilan tertarik dengan perkembangan terkini isu pendedahan penyalahgunaan wang YaPEIM oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom oleh Akmal Nasir, Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) yang turut merupakan Pengarah Strategi AMK.

Mengikut laporan media, Jamil buat kali keduanya telah menetapkan syarat agar Akmal memohon maaf di atas pendedahan itu, jika tidak mahu disaman. Ini sedangkan Akmal sendiri telah menyatakan dengan tegas bahawa beliau tidak akan berbuat sedemikian kerana yakin penuh dengan bukti-bukti yang telah dibentangkan – yang mana Menteri sendiri tidak menafikan, tetapi hanya memberikan alasan-alasan lemah untuk mewajarkan penggunaan.

Di dalam hal ini, AMK ingin mengingatkan Jamil agar sebarang tindakan undang-undang yang beliau hendak ambil haruslah dilakukan atas kapasiti dan wangnya sendiri, dan tidak melibatkan wang zakat
sepertimana yang berlaku pada tahun 2011 apabila beliau dan dua pegawai MAIWP didapati menggunakan RM63,650 untuk membiayai kos guaman mereka di dalam kes permohonan qazaf Anwar Ibrahim.

Wang zakat, seperti wang kebajikan juga, merupakan wang yang diamanahkan untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf atau golongan yang telah ditetapkan, bukannya untuk kegunaan sang Menteri.

Penyokong-penyokong Jamil seperti Azalina Osman dan MyKMU juga mesti berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama dalam kes salahguna seperti ini. Jika Akmal tidak betul, buktikan beliau tidak betul, bukan dengan membakar lagi api perkauman.

AMK gusar dengan pendedahan terkini tentang YAPEIM

Angkatan Muda Keadilan mendapati pendedahan terkini oleh Pengarah National Oversight & Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berkenaan kepincangan penggunaan wang badan kebajikan YaPEIM sebagai menggusarkan.

Akmal turut merupakan Pengarah Strategi AMK.

Laporan pertama yang didedahkan adalah berkenaan gaji bulanan beberapa pengurusan atasan yang mencecah RM154,700 sebulan, satu amaun yang agak melampau jika dikira organisasi itu adalah satu badan kebajikan.

Sekarang keluar pula pendedahan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, telah menyalahgunakan sebanyak RM410,978.56 daripada duit badan berkaitan kerajaan itu untuk
membiayai rombongannya ke Amerika Syarikat, yang melibatkan permainan golf dan perlbagai hiburan.

Jutaan ringgit wang yayasan yang telah diamanahkan oleh penderma, telah disalahguna untuk mengayakan beberapa individu. Perlu diingatkan di sini bahawa organisasi tersebut adalah sebuah badan kebajikan yang ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan termasuklah anak yatim piatu. Tindakan menggunakan wang yayasan tersebut untuk kepentingan sendiri amatlah tidak berhati perut.

Kami menyeru Menteri tersebut untuk ke hadapan dan memberi penjelasan agar dapat membersihkan nama sendiri daripada dakwaan yang berasas ini, dan menjelaskan kepincangan yang melibatkan orang-orang yang dia sendiri lantik ke pengurusan YaPEIM. Kegagalan untuk berbuat demikian bermakna dia mengaku salah dan seharusnya meletakkan jawatan sebagai Menteri kerana telah memecah amanah yang telah diberikan.

Kami juga minta pihak berkuasa, terutamanya SPRM, untuk menyiasat perkara ini dengan telus untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang terlepas, dan mereka yang bersalah dibawa ke muka keadilan.

Pihak berkuasa harus memastikan pendedah maklumat, Akmal, dilindungi sepenuhnya.

Kenyataan balas berkenaan temubual peguam negara

Saya merujuk kepada temubual Peguam Negara Mohamed Apandi Ali yang telah disiarkan di laman web The Malaysian Insider pada hari ini dengan tajuk ‘Pendakwaan terhadap Nik Nazmi bukan bersifat peribadi, kata peguam negara’

Tindakan Peguan Negara mendakwa saya untuk kali ketiga adalah menyalahi sistem kerana kes tersebut telah pun mencapai keputusan muktamad pada peringkat Mahkamah Rayuan.

Bagaimana Peguam Negara boleh mewajarkan tindakan mendakwa saya untuk kali ketiga sedangkan Perlembagaan Persekutuan telah mengharamkan perbicaraan berulang (double jeopardy), malah di dalam kes ini triple jeopardy.

Di dalam siri temubual yang sama dengan The Malaysian Insider, Peguam Negara menyatakan bahawa beliau hanya akan membuat dakwaan sekiranya tindakan itu mempunyai 99 peratus kemungkinan sabitan, untuk mengelak daripada membuang masa penguatkuasa dan mahkamah. Tetapi jelas beliau
cakap tak serupa bikin di dalam hal ini. Tindakan ini hanya membazirkan tenaga kerja yang sepatutnya boleh digunakan untuk menyelesaikan kes-kes jenayah berat dan korupsi.

Adakah ini juga akan menjadi satu kebiasaan untuk Peguam Negara? Adakah beliau akan mendakwa semula kesemua kes-kes duluan (precendet cases) yang berakhir di Mahkamah Rayuan? Jika tidak, kenapa beliau memilih kes di bawah Akta Perhimpunan Awam sahaja?

Mendakwa seseorang sewenang-wenangnya hanya untuk mendapatkan keputusan muktamad berkenaan sesuatu perundangan, walaupun ia menyalahi sistem yang sedia ada, adalah tidak wajar sama sekali.

Perutusan Deepavali Ketua AMK Malaysia

Menjelang perayaan Deepavali yang akan berlangsung pada 10 November ini, saya ingin mengucapkan selamat hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu.

Perayaan Deepavali amatlah simbolik kerana ia menggambarkan kehebatan cahaya menyinari kegelapan; kemenangan yang baik ke atas yang jahat, keadilan mengatasi kerakusan. Apabila cahaya dinyalakan pada hari perayaan, ia diibaratkan sebagai suatu sinar harapan kepada manusia.

Kekuatan yang dilambangkan melalui ‘cahaya’ tersebut merupakan suatu nilai positif yang sepatutnya menjadi aspirasi setiap manusia. Melihatkan konteks kehidupan sedia ada, kita seharusnya berdiri teguh sebagai satu masyarakat berbilang kaum, untuk sentiasa mengusahakan perubahan ke arah yang lebih baik dan memperoleh kejayaan bersama.

Semoga kita memperoleh iktibar daripada semangat yang dibawa oleh perayaan ini, dan “cahaya” pada tahun ini akan membawa satu sinar lembaran baru kepada kita semua.

AMK mengecam tindakan pihak berkuasa berkenaan serbuan ke atas Malaysiakini dan Star Online

AMK mengecam tindakan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan polis yang telah menyerbu pejabat Malaysiakini dan Star Online.

Terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa tindakan ini diambil akibat laporan mereka berkenaan pemindahan seorang Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai tersebut, dimaklumkan, adalah sebahagian daripada kumpulan penyiasat yang sedang menyiasat anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, sudah pun mengesahkan bahawa pegawai tersebut telah dipindahkan secara dalaman di SPRM.

Sebuah media yang bebas untuk berfungsi tanpa sebarang tekanan atau pemerhatian melampau pihak kerajaan adalah penting untuk sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Tindakan pihak SKMM dan polis ini bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Malaysia, tetapi juga kewibawaan kedua-dua institusi ini sendiri.

Kejadian ini lebih menggusarkan kerana rakyat pasti akan melihat serbuan ini sebagai bersangkut-paut dengan kontroversi Kerajaan Persekutuan yang tidak berkesudahan.

SKMM serta pihak polis haruslah menerangkan dengan telus mengapa tindakan ini perlu diambil, sebelum keyakinan rakyat terhadap mereka kian terhakis.

Segala tindakan zalim terhadap institusi awam dan pihak pengkritik mestilah dihentikan dengan segera.