Monthly Archives: October 2015

Bajet 2016 Kerajaan Persekutuan mengecewakan

Bajet 2016 kerajaan Barisan Nasional tidak memberi apa-apa nilai baru kepada negara, kerana kita hanya menyaksikan strategi fiskal yang sama sahaja semenjak Perdana Menteri Najib Razak mula berkuasa.

Seperti biasa, golongan pertengahan telah diabaikan, dan walaupun golongan berpendapatan tinggi dikenakan cukai lebih, tetapi kerajaan tidak berbuat apa kepada sektor korporat sementara itu golongan berpendapatan rendah masih terus dibebankan dengan GST.

Tetapi apa yang paling merisaukan berkenaan Bajet 2016 adalah potongan sebanyak RM1.4 billion daripada bajet Pendidikan Tinggi. Kerajaan akan mewajarkan tindakan ini dengan mengatakan bahawa ianya selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), yang menggalakkan pihak Universiti sendiri mencari dana kewangan. Tetapi dengan potongan yang begitu besar pastinya pihak Universiti akan menghadapi kesukaran kerana Pelan tersebut baru lagi diumumkan tahun ini dan Universiti hanya diberi beberapa bulan untuk menyesuaikan diri.

Dalam pada itu, perbelanjaan pembangunan yang ditetapkan bagi bajet Pendidikan Tinggi merupakan yang terendah sejak Najib menjadi Perdana Menteri, dan pada kadar 12.04% daripada keseluruhan bajet, ia merupakan pengurangan yang ketara berbanding dengan ketetapan 34.55% daripada keseluruhan bajet pada tahun 2010.

Sudah sedia maklum bahawa kualiti institut pendidikan tinggi negara ini semakin merosot, walaupun kita mempunyai rakyat yang begitu berbakat dan bijak. Isu pengaliran keluar pakar seringkali dibincangkan, sedangkan kerajaan sepatutnya meningkatkan lagi keyakinan terhadap IPTA, pengumuman bajet ini hanya mampu menggusarkan lagi keadaan.

Tindakan kerajaan itu akan membangkitkan pelbagai isu. Adakah Universiti akan terkesan dengan kekurangan kemasukan pelajar? Adakah penyelidikan akan berkurangan? Adakah pelajar sendiri mendapat kurang perhatian kerana pihak Universiti sibuk perlu mencari dana sendiri dengan begitu banyak?

Tempat di IPTA telah dikurangkan sejak dua tahun berturut-turut meskipun keputusan pelajar yang layak ke IPTA terus meningkat. Ini membuatkan pelajar yang tidak mendapat tempat atau jurusan sesuai di IPTA terpaksa ke IPTS dan berharapkan pinjaman PTPTN. Peruntukan PTPTN pula telah dipotong antara 15 hingga 25 peratus.

Ini juga terjadi berikutan isu-isu berkenaan biasiswa MARA dan JPA yang memperlihatkan polisi diubah secara rambang, jumlah penerima biasiswa berkurangan dengan banyak dan kebajikan pelajar diabaikan hampir sepenuhnya.

Semua ini menjadi persoalan sama ada kerajaan telah berputus asa terhadap pendidikan tinggi dan lebih rela memperjudikan masa depan generasi muda demi menutup masalah-masalah kewangan negara akibat kegagalan tadbir urus kerajaan Najib Razak.

Bajet 2016 membuktikan bahawa Najib Razak hanya mementingkan diri dan langsung tidak cekap. Dengan hanya menumpukan perhatian untuk memperoleh undi golongan luar bandar, Barisan Nasional seakan-akan sudah mengisytiharkan perang terhadap golongan pertengahan.66

Peningkatan harga kereta beban tambahan rakyat

Laporan Malaysian Insider baru-baru ini berkenaan peningkatan kos kenderaan amatlah merisaukan.

Menurut laporan tersebut, golongan muda Malaysia sekarang berhadapan dengan dilemma sama ada hendak membeli kenderaan sekarang atau tunggu sehingga ekonomi pulih.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pengenalan cukai GST telah menyebabkan kejatuhan permintaan di dalam sektor automotif.

Pada masa yangh sama, kejatuhan nilai matawang negara juga telah menyebabkan peningkatan harga. Contoh yang jelas adalah apabila UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan kenaikan harga kereta-kereta jenama Toyota dan Lexus masing-masing sebanyak 4% dan 16% kerana kejatuhan nilai matawang.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) juga telah memberi amaran bahawa mereka juga mungkin terpaksa meningkatkan lagi harga kenderaan antara 25%-30%.

Sebuah kereta, pada masa ini, merupakan satu keperluan bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutamanya kerana pembangunan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif di seluruh negara masih tidak nampak bayang.

Ini juga menekankan antara perkara yang penting pada masa ini, iaitu kos sara hidup, kerana kos-kos pengangkutan juga menyumbang kepada beban kewangan rakyat khususnya generasi muda. Beban perbelanjaan lain termasuklah hutang pinjaman pendidikan dan perumahan.

Daripada melakukan perkara yang bermanfaat untuk seluruh rakyat, kerajaan ini sebaliknya membebankan lagi, terutamanya di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil ini, dengan meningkatkan kadar harga tol.

Ini bukanlah ciri-ciri kerajaan yang mendahulukan rakyat.

Kerajaan Najib Razak harus mengaku sahaja bahawa dasar mereka telahpun gagal dan sepatutnya melaksanakan polisi kami untuk mengurangkan harga kereta.

Kegagalan kerajaan BN untuk melakukan perkara ini jelas membuktikan kepada para pengundi gabungan mana yang lebih mementingkan rakyat.

Kadar muflis golongan muda merisaukan

Laporan Reuters baru-baru ini berkenaan peningkatan kadar muflis golongan muda di Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan.

Laporan tersebut memetik data daripada Standard & Poors dan menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai kadar hutang persendirian tertinggi di antara 14 ekonomi Asia. Angka ini telah meningkat kepada 88% daripada jumlah KDNK negara, daripada 60% pada tahun 2008. Tambahan pula, data Jabatan Insolvensi Negara menunjukkan bahawa 5547 individu muflis adalah di bawah umur 35 tahun pada tahun lepas, lebih dua kali ganda daripada tahun 2005.

Pada tahun 2014. jumlah orang muflis bagi di bawah golongan umur 25 adalah seramai 635, tiga kali ganda daripada jumlah tahun sebelumnya.

Perkara ini amatlah mengecewakan kerana begitu ramai golongan muda Malaysia yang baru sahaja hendak mengorak langkah ke alam pekerjaan sudah digelar muflis.

Jika ini berlangsungan, ia akan memberi kesan kepada kadar kepenggunaan domestik yang amatlah diperlukan di dalam keadaan ekonomi yang kurang stabil.

Kita juga tidaklah sepatutnya sewenang-wenangnya mempersalahkan golongan muflis ini, kerana seperti yang dikatakan di dalam laporan tersebut, keadaan terjadi sebegitu akibat mereka mencuba untuk
menceburi sesuatu bisnes atau terpaksa berhutang kerana keadaan begitu terdesak.

Jabatan Insolvensi Negara juga mengaku ketika ditemuramah oleh Reuters bahawa ramai golongan muda ini yang dibebankan oleh hutang pelajaran dan juga perbelanjaan seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

Data yang dibentangkan ini jelas menunjukkan kegagalan polisi kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang mengutamakan kepentingan politik beberapa individu sahaja dan bukan rakyat keseluruhannya.

GST, peningkatan kos sara hidup dan harga perumahan yang semakin tinggi sehinggakan kebanyakan orang tidak akan mampu membeli mengisyaratkan kegagalan pentadbir untuk menyediakan peluang yang mampan dan sejahtera serta adil untuk setiap rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Najib Razak menyatakan bahawa pentadbirannya mendapatkan sokongan daripada golongan “Gen Y”. Tetapi siapa yang benar-benar percaya akan pengakuan itu?

KEADILAN dan rakan-rakan seperjuangan kami akan terus berjuang agar setiap rakyat Malaysia memperoleh kehidupan yang lebih baik. Ia perlu dilakukan terutamanya dengan memerangi rasuah serta kepincangan.

Kita juga perlu merombak semua ekonomi negara, dan memberi fokus kepada perkhidmatan dan modal insan, mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan serta produktiviti.

Kebankrapan belia merupakan satu tragedi untuk Malaysia yang mana sudah tentu kita perlu elak. Untuk itu, sesuatu perubahan politik diperlukan supaya kita boleh bergerak maju ke hadapan.

AMK kecam penggunaan Akta Hasutan dan SOSMA terbaru

Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau pihak berkuasa ke atas pihak pembangkang dan pengkritik kerajaan beberapa minggu ini.

Laporan terkini adalah berkenaan perilaku pihak polis terhadap Khalid Ismath, yang dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah berkenaan kesemua dakwaan yang dibuat ke atasnya.

Menurut laporan media, keluarga beliau sendiri mengatakan bahawa Khalid telah dipaksa mengaku bersalah untuk membolehkan beliau berjumpa dengan ahli keluarga.

Ugutan oleh pihak polis itu melanggar hak pihak yang tertuduh, kerana beliau sepatutnya tidak boleh dipaksa menjawab sebarang soalan dengan paksaan.

Penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi untuk menyekat suara pembangkang juga harus dipersoal, kerana kegunaannya hanyalah berteraskan politik. Kami tetap dengan pendirian bahawa undang-undang kolot itu, yang mana Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat, adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kejadian ini menyusuli penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, dan dakwaan tidak masuk akal ke atas mereka kerana melaporkan salahlaku pihak 1MDB.

Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal, dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang tersebut adalah untuk menyekat aktiviti keganasan.

Kerajaan BN haruslah berhenti mengugut rakyat dan menjawab segala persoalan yang di suarakan. AMK juga menggesa pihak kerajaan untuk berhenti berselindung di sebalik undang-undang yang telah disalah tafsir dengan sengaja semata-mata untuk mengelak daripada diambil tindakan kehakiman

AMK kecewa dengan keputusan kes Yuneswaran

Angkatan Muda KEADILAN kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes Pendakwaraya v R Yuneswaran.

Keputusan itu telah menyabitkan kesalahan ke atas Setiausaha Kerja KEADILAN Johor R Yuneswaran di bawah Akta Perhimpunan Aman  kerana gagal memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan yang diadakan pada tahun 2013, atau lebih dikenali sebab Perhimpunan Black 505. Beliau disaman RM6,000.

Ini bercanggah dengan keputusan yang telah dibuat oleh makamah yang sama pada awal tahun ini di dalam kes Nik Nazmi v Pendakwaraya di mana Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tindakan menghukum perhimpunan awam tanpa notis seperti yang ditetapkan oleh seksyen 9 (5) PAA adalah melanggari asas Perlembagaan.

Perubahan ketara ini bagaikan mengisyaratkan satu era di mana hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan semakin samar akibat penfasiran yang terhad oleh mahkamah.

Sekiranya kes ini dibawa ke peringkat Mahkamah Persekutuan, kami hanya boleh berharap bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengambil langkah yang lebih berani dan adil di dalam mentafsir Akta tersebut. Di dalam era global dan penuh kebebasan ini, tafsiran undang-undang berkenaan hak
asasi dengan cara yang jumud adalah tidak relevan, malah ia bertentangan dengan perkembangan Malaysia sebagai negara yang bebas dan demokratik

AMK akan turun menyokong Hari Kemarahan 2 Oktober atas isu pencerobohan Masjid Al-aqsa

Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tekanan rejim Zionis Israel yang berterusan menceroboh Masjid Al-Aqsa dan memberi tekanan kepada umat Islam Palestin yang hendak menjalankan ibadah.

Tentera Israel tetap tidak menghiraukan kecaman masyarakat antarabangsa terhadap tindakan mereka yang menyeksa masyarakat Islam dan Kristian di Palestin dan hari demi hari kerajaan Zionis dengan sengaja memburukkan lagi keadaan.

Kini, dengan pencerobohan kiblat pertama umat Islam, mereka jelas hendak memperkasakan lagi penguasaan Zionis di tanah suci itu dan mencabar kesabaran umat Islam seluruh dunia.

Dengan itu AMK menyarankan rakyat Malaysia untuk menyokong pengisytiharan ‘Hari Kemarahan’ pada 2 Oktober (Jumaat) oleh lebih 30 gagasan NGO, dan bersama-sama turun ke perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat bagi menyuarakan bantahan ke atas perlakuan dan tindakan rejim Zionis Israel.

Dunia Barat, khususnya Amerika, perlu berlaku jujur tentang pencerobohan dan kezaliman di Palestin dan tidak tunduk kepada lobi Israel lagi.

AMK juga mendesak kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Najib Razak untuk mengetengahkan isu ini di peringkat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan menggesa pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini untuk memberi tekanan kepada Israel agar mereka menghentikan kekejaman kepada rakyat Palestin.

AMK menggesa kerajaan benarkan DS Anwar dapat rawatan

Angkatan Muda KEADILAN ingin menggesa  pihak Kerajaan Persekutan untuk membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan rawatan pembedahan dengan kadar segera.

Sebarang penangguhan di dalam pemberian rawatan kepada beliau hanya akan memudaratkan lagi keadaan. Seperti yang telah dinyatakan oleh peguam-peguam Anwar, permohonan ini telah dibuat sejak Februari tanpa sebarang komitmen oleh pihak kerajaan untuk menyediakan rawatan yang baik sehinggalah keadaan beliau menjadi semakin parah seperti sedia ada.

Pakar perubatan yang dirujuk oleh keluarga Anwar juga berpendapat bahawa beliau memerlukan rawatan pembedahan segera ke atas bahu kanannya, namun begitu sehingga sekarang kebenaran masih belum diberikan.

Dalam pada itu, pakar yang menjadi ketua panel yang dirujuk oleh pihak kerajaan pula, Dr S Jeyaindran, sudah mempunyai sejarah layanan yang buruk kepada Anwar sejak 2003.

Kami menggesa pihak kerajaan untuk segera membenarkan Anwar mendapatkan rawatan yang sewajarnya dan menggantikan Dr S Jeyaindran dengan pakar yang lain untuk mengetuai panel rujukan perubatan.

Sebarang penangguhan hanya membuktikan sekali lagi bahawa BN sememangnya ingin berlaku kejam kepada seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Malaysia