Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kenyataan duta China kejadian luar biasa

Isu kenyataan Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkenaan perhimpunan “baju merah” di Petaling Street amatlah luar biasa.

Walaupun dinafikan oleh Kedutaan China, kejadian itu menunjukkan bahawa kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah menyebabkan kuasa asing terasa perlu untuk campur tangan di dalam isu politik tempatan. Ini juga jelas membuktikan bahawa reputasi negara ini, yang pada suatu ketika dulu dijadikan contoh negara-negara membangun, telah tercalar.

Benarlah bahawa tindakan Dr Huang mungkin telah melampai batas yang bersesuaian dengan seorang ahli diplomat.

China, melalui wakilnya ke Malaysia, bagaikan memberi isyarat bahawa mereka sudah bersedia menyatakan pendirian berkenaan perihal negara lain.

Oleh itu kami juga berharap agar negara China sendiri sudah bersedia untuk menerima teguran dan komentar daripada warga dunia berkenaan pelbagai isu di negara mereka, termasuklah mengenai cara mereka mengendalikan aktivitis-aktivis pro-demokrasi, masyarakat Muslim Uighur dan warga Tibet.

Namun begitu, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah perkara itu tidaklah terjadi sekiranya Najib Razak dan pihak kerajaan menunjukkan kepimpinan yang baik, serta berprinsip dan lebih tegas di dalam kes “baju merah” yang bagaikan sudah tidak terkawal.

Sebaliknya apa yang kita saksikan adalah ramai ahli kepimpinan di dalam pentadbiran dan parti UMNO yang mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dan tidak benar, termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Terdapat risiko bahawa ketandusan pemimpin yang baik di Malaysia ini boleh menyebabkan lebih banyak campur tangan kuasa asing seperti ini.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip jika kita hendak mengembalikan kegemilangan negara ini di persada antarabangsa.

Malaysia juga tidaklah harus begitu lekas terasa apabila menerima kritikan daripada pihak luar, terutamanya di dalam hal politik dan hak asasi manusia.

Pendirian kita yang begitu tegar di dalam prinsip “tidak campur tangan”, yang selama ini telah menentukan polisi luar Malaysia dan juga ASEAN, telah menyebabkan negara-negara Asia Tenggara —  walaupun sering mengulangi retorik perpaduan serantau— untuk berselindung apabila dihadapkan dengan masalah yang serius, daripada menanganinya bersama.

Tetapi, walaupun dengan prinsip “tidak campur tangan”, kita sering juga menyatakan pendirian dan memberi pendapat dalam isu-isu antarabangsa contohnya keadaan di Palestin. Malah, jika diimbau
kembali, Malaysia juga merupakan antara negara Komenwel pertama yang mengkritik polisi Apartheid di Afrika Selatan.

Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa Malaysia amat memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip sekiranya kita hendak memulihkan keadaan dan mengembalikan kegemilangan negara ini di persada dunia.