Monthly Archives: September 2015

Kenyataan duta China kejadian luar biasa

Isu kenyataan Duta China ke Malaysia Dr Huang Huikang berkenaan perhimpunan “baju merah” di Petaling Street amatlah luar biasa.

Walaupun dinafikan oleh Kedutaan China, kejadian itu menunjukkan bahawa kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak telah menyebabkan kuasa asing terasa perlu untuk campur tangan di dalam isu politik tempatan. Ini juga jelas membuktikan bahawa reputasi negara ini, yang pada suatu ketika dulu dijadikan contoh negara-negara membangun, telah tercalar.

Benarlah bahawa tindakan Dr Huang mungkin telah melampai batas yang bersesuaian dengan seorang ahli diplomat.

China, melalui wakilnya ke Malaysia, bagaikan memberi isyarat bahawa mereka sudah bersedia menyatakan pendirian berkenaan perihal negara lain.

Oleh itu kami juga berharap agar negara China sendiri sudah bersedia untuk menerima teguran dan komentar daripada warga dunia berkenaan pelbagai isu di negara mereka, termasuklah mengenai cara mereka mengendalikan aktivitis-aktivis pro-demokrasi, masyarakat Muslim Uighur dan warga Tibet.

Namun begitu, apa yang tidak boleh dinafikan di sini adalah perkara itu tidaklah terjadi sekiranya Najib Razak dan pihak kerajaan menunjukkan kepimpinan yang baik, serta berprinsip dan lebih tegas di dalam kes “baju merah” yang bagaikan sudah tidak terkawal.

Sebaliknya apa yang kita saksikan adalah ramai ahli kepimpinan di dalam pentadbiran dan parti UMNO yang mengeluarkan kata-kata yang bercanggah dan tidak benar, termasuklah Perdana Menteri sendiri.

Terdapat risiko bahawa ketandusan pemimpin yang baik di Malaysia ini boleh menyebabkan lebih banyak campur tangan kuasa asing seperti ini.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip jika kita hendak mengembalikan kegemilangan negara ini di persada antarabangsa.

Malaysia juga tidaklah harus begitu lekas terasa apabila menerima kritikan daripada pihak luar, terutamanya di dalam hal politik dan hak asasi manusia.

Pendirian kita yang begitu tegar di dalam prinsip “tidak campur tangan”, yang selama ini telah menentukan polisi luar Malaysia dan juga ASEAN, telah menyebabkan negara-negara Asia Tenggara —  walaupun sering mengulangi retorik perpaduan serantau— untuk berselindung apabila dihadapkan dengan masalah yang serius, daripada menanganinya bersama.

Tetapi, walaupun dengan prinsip “tidak campur tangan”, kita sering juga menyatakan pendirian dan memberi pendapat dalam isu-isu antarabangsa contohnya keadaan di Palestin. Malah, jika diimbau
kembali, Malaysia juga merupakan antara negara Komenwel pertama yang mengkritik polisi Apartheid di Afrika Selatan.

Kami ingin menyatakan sekali lagi bahawa Malaysia amat memerlukan kepimpinan yang berketerampilan dan berprinsip sekiranya kita hendak memulihkan keadaan dan mengembalikan kegemilangan negara ini di persada dunia.

Penutupan institusi pendidikan di Selangor berikutan jerebu yang teruk adalah wajar

Saya mengalu-alukan keputusan Kementerian Pendidikan berkenaan penutupan sekolah-sekolah di sekitar Selangor akibat keadaan jerebu yang semakin teruk. Saranan ini juga telah dibuat oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Azmin Ali awal semalam, dan saya amatlah bersetuju dan berpuas hati dengan keputusan tersebut. Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam juga mengambil keputusan yang sama sementara Kampus Bestari Jaya terus dibuka memandangkan keadaan masih terkawal di sana.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang terlalu tinggi sehingga takat yang sangat tidak sihat di beberapa kawasan di Selangor mampu menjejaskan kesihatan pelajar, terutamanya pelajar sekolah rendah. Oleh itu ibu bapa disarankan untuk sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini berkenaan keadaan jerebu ini dan memastikan semua langkah diambil untuk melindungi anak-anak seperti memakaikan topeng (yang disyorkan adalah N95).

Dalam pada itu, saya tetap merasakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih boleh mengambil langkah yang lebih baik dalam menghadapi kemelut pencemaran udara yang sudah menjadi kejadian tahunan ini. Sistem bacaan IPU yang digunakan oleh pihak kerajaan, terutamanya, haruslah disamakan dengan piawai yang digunakan oleh negara-negara maju agar rakyat boleh didedahkan dengan bacaan yang lebih tepat. Ramai yang sudah terkesan dengan pencemaran udara ini, apatah lagi ia berulang hampir setiap tahun, maka sebarang usaha untuk menambahbaik sistem untuk menangani isu ini haruslah dipercepatkan.

Saya percaya semua pihak bersetuju bahawa kesihatan anak-anak mestilah diutamakan.

Dengan keadaan yang masih belum reda ini, saya juga ingin menyarankan agar ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luaran. Semoga kita semua dilindungi Allah s.w.t.

AMK alu-alukan pembentukan Pakatan Harapan

Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan pengumuman pimpinan KEADILAN, DAP dan AMANAH berkenaan pembentukan pakatan pembangkang baru, iaitu Pakatan Harapan.

Kami percaya ini adalah rangka kerja terbaik untuk pelbagai parti ini bergerak maju ke hadapan.

Yang paling penting pada ketika ini adalah perpaduan.

“Perpaduan” ini lebih daripada hanya bersetuju untuk mentadbir bersama beberapa kerajaan negeri atau untuk mengelak daripada bertanding kerusi yang sama ketika pilihanraya; walaupun perkara-perkara ini juga amatlah penting.

Lebih daripada itu, “perpaduan” juga membawa maksud membangunkan, mempromosi serta bergerak menuju satu agenda bersama yang boleh disokong oleh rakyat Malaysia.

Kita mestilah bersetuju tentang bagaimana jalan terbaik untuk melaksanakan perkara ini.

Pada masa ini kita telah terkesan oleh pemecahbelahan parti.

Oleh itu kita dilihat sebagai lemah, sedangkan pihak kerajaan persekutuan sedang dihantui pelbagai skandal dan mereka juga sekarang berpuak-puak.

Kita sepatutnya boleh buat lebih baik.

Rakyat Malaysia juga berhak mendapat yang lebih baik daripada kita.

Setiap 5.6 juta rakyat Malaysia yang telah mengundi kita – majoriti pada Pilihanraya Umum yang lalu – mengharapkan suatu pimpinan yang berketerampilan.

Ini tidak mungkin berlaku jika kita hanya berminat untuk berbalah sesama sendiri dan bukannya fokus menumbangkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional.

Kesemua rakyat Malaysia sedang merasakan keperitan di atas kegagalan kerajaan BN ini mentadbir negara.

Namun begitu mereka tidak akan menyokong kita jika apa yang kita tawarkan tidak berbeza dengan kerajaan BN.

Kita tidak boleh jangka bahawa kita akan terus kekal berkuasa di negeri-negeri yang sedang ditadbir, apatah lagi untuk mengambil-alih Putrajaya, jika kita tidak boleh menyampaikan suatu visi untuk menggerakkan negara ke hadapan di kalangan para pengundi.

Rakyat Malaysia sedang memerhatikan kita dengan harapan kita membawa pimpinan baru.

Jadi kita mestilah berusaha mencapaikan hasrat itu dan maju ke hadapan.

Najib hanya mementingkan kerjaya politik peribadi

Ucapan Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini kepada Persatuan Silat Negara, yang mempertahankan sikap perkauman yang memalukan “Perhimpunan Baju Merah” di Kuala Lumpur pada 16 September 2015 jelas membuktikan bahawa dia langsung tidak mempedulikan tugasnya sebagai pemimpin demi menyelamatkan kerjaya politik peribadinya.

Pemimpin tidak bolehlah semudah-mudahnya tunduk pada tekanan sesetengah pihak. Ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk membuatkan setiap rakyat berasa selamat dan sejahtera.

Kenyataan Najib bahawa perhimpunan baju merah tersebut adalah demi mempertahankan maruah Melayu bukan sahaja mengambing hitamkan golongan bukan Melayu, malah ia merupakan suatu penghinaan kepada kaum Melayu. Ia tidak menggambarkan Islam sebagai ‘rahmatan lil alamin’ – rahmat kepada sekalian alam.

Walau apa sekalipun, sebenarnya tindak tanduk beliau serta kegagalan kerajaan yang telah mencalarkan reputasi Melayu, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di peringkat global.

Ahli-ahli “sederhana” UMNO, seperti Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin haruslah menyatakan pendirian di dalam hal ini, sama ada mereka setuju dengan pendapat Perdana Menteri. Kesemua masyarakat Melayu tidak kira di mana haruslah sedar bahawa Najib hanya mementingkan diri.

Mereka haruslah sedar bahawa masa depan agama, bangsa dan negara, tidak seharusnya disandarkan pada cita-cita seorang opportunis politik, tetap pada penyatuan setiap masyarakat Malaysia. Hanya itulah yang mampu menggerakkan kita maju ke hadapan.

Setiap rakyat Malaysia juga mestilah menolak politik kotor untuk menakut-nakutkan kita, dan mengamati perubahan politik yang positif kepada negara.

Kita tidak boleh terus tunduk tatkala keadaan sebegini.

Kerajaan Negeri Selangor dan UNISEL sedia membantu pelajar mangsa biasiswa JPA

Shah Alam: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil maklum mengenai isu pelajar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kolej INTEC.

Ekoran beberapa aduan daripada pelajar-pelajar biasiswa JPA ini, kami dapati bahawa pihak JPA telah menamatkan kontrak dengan 26 pelajar (A-Level 16 2014/2016), tanpa notis awal. Alasan yang digunakan hanyalah kerana mereka tidak melepasi sesuatu piawaian yang telah ditetapkan berdasarkan keputusan peperiksaan terkini – dan ini pula hanyalah disampaikan oleh Ketua Program A Level Kolej INTEC.

Polisi ini tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pihak kepada pelajar-pelajar ini dan ia memberi kesan kepada mereka yang terus hilang hala tuju. Kemasukan mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga mempunyai rintangan akibat kebanyakan Universiti yang tidak menerima pensijilan A Level, apatah lagi pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan menghabiskan pelajaran.

Keputusan JPA untuk menghentikan serta-merta pembiyaan pelajar-pelajar cemerlang ini tanpa rundingan amatlah mengecewakan dan ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa kerajaan tidak menghiraukan kebajikan pelajar. Beberapa minggu ini terdapat juga isu berkenaan 115 pelajar biasiswa JPA (INTEC) (batch A-Level 11 2013/2015) yang juga tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak ditempatkan di Universiti tempatan walaupun sudah berjaya menamatkan pelajaran Tahun Asas. Malah 40 orang pelajar daripada mereka juga telah ditamatkan kontrak tanpa diberi sebarang notis formal.

Mengikut carian kami dan pihak Universiti Selangor (UNISEL), keputusan-keputusan pelajar ini sudah dikira lulus dan bukanlah pada tahap gagal oleh itu ia masih boleh digunapakai di peringkat Universiti.

Dengan itu, berteraskan falsafah “Mempedulikan Rakyat” dan keperihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, pihak UNISEL dan Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa Universiti bersedia menawarkan tempat melanjutkan pengajian di peringkat Tahun Asas dengan pembiayaan ‘Derma Siswa’ iaitu penajaan yuran pengajian kepada semua mereka yang layak dan berminat.

Derma Siswa tersebut juga turut merangkumi pembiayaan yuran penginapan pelajar semasa sedang melanjutkan pengajian diperingkat Tahun Asas di UNISEL. Semua pelajar cemerlang ini akan ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi kemasukkan Oktober 2015.

Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar-pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Di samping itu kami  juga mohon penjelasan daripada pihak JPA dan kerajaan Barisan Nasional mengenai isu ini, dan mahukan satu alasan yang kukuh mengapa polisi pembiayaan JPA ini berubah-berubah dengan begitu kerap, dan seakan-seakan tidak menggalakkan pelajar-pelajar untuk ke luar negara sedangkan itulah yang telah dijanjikan. Jikapun pelajar-pelajar itu tidak layak untuk ke luar negara atas sebab keputusan yang tidak cemerlang, mengapa mereka terus diabaikan sedangkan mereka sepatutnya tetap diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, kami juga akan meneliti cara lain untuk membantu para pelajar ini termasuklah mendapatkan nasihat guaman.

Perutusan Hari Malaysia AMK

Angkatan Muda KEADILAN ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kami mengharapkan agar kesemua rakyat Malaysia tidak kira di mana, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak,  dan juga mereka yang berada di perantauan, dapat menyambut hari ulang tahun penyatuan Malaysia ini dengan aman dan bersepadu. Hari Malaysia adalah suatu peristiwa yang amat penting kerana ia menekankan ciri kepelbagaian serta perpaduan kita. Kedua-dua aspek itu saling bergantung pada satu sama lain, dan kedua-duanya kekal menjadi sumber kekuatan dan kecekalan kita.

Memang benarlah rakyat Malaysia pada hari ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Kegawatan ekonomi, ketidakstabilan politik yang berpanjangan, penyalahgunaan kuasa serta tadbir urus yang lemah dan provokasi perkauman termasuklah yang sedang berlaku ketika kita menyambut hari penting negara ini. Mungkin juga ada yang akan memandang Hari Malaysia dengan penuh sinis, terutamanya anak muda. Namun begitu kita tidak akan berlaku adil kepada diri sendiri dan warisan perjuangan negara jika kita putus harapan dan membiarkan peristiwa ini berlalu sahaja.

Kami yakin Malaysia masih boleh diselamatkan. Kita masih mempunyai masa depan yang cerah jika nilai keberanian dan kebijaksanaan diamalkan untuk merealisasikan impian. Tapi apa yang penting adalah kita memahami bahawa reformasi mesti berlaku dari setiap sudut termasuklah, politik, ekonomi dan sosial. Kita mesti mempunyai keinginan untuk berubah sama ada secara kendiri mahupun untuk negara. Hanyalah masyarakat yang sedar dan berketerampilan, dari setiap suku kaum, yang mampu melakukan perubahan ini dengan memastikan pihak yang berkuasa bertanggungjawab terhadap tindak tanduk mereka.

Pastinya akan ada kekangan di dalam usaha ini. Tapi ketahuilah bahawa setiap generasi mempunyai hakikat kecermalangan tersendiri. Inilah cabaran utama kita; untuk menyatukan setiap individu masyarakat dan menggerakkan Malaysia ke hadapan. Di hari yang bersejarah ini, marilah kita bertekad untuk mencapai kecemerlangan ini.

Sekali lagi kami akan mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia.