Monthly Archives: August 2015

Mahasiswa boleh berfikir sendiri

Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Idris Jusoh, yang menyarankan mahasiswa agar tidak terlibat dengan perhimpunan Bersih 4 jelas menunjukkan betapa UMNO-BN tidak pernah berubah, masih dibelenggu cara pemikiran politik lama.

AMK ingin mengingatkan beliau bahawa mahasiswa pada hari ini lebih terdedah dengan perkembangan isu semasa di dalam dan luar negara, justeru itu mereka boleh dan mesti digalakkan untuk berfikir dan membuat keputusan sendiri.

Mahasiswa dan anak muda lambat laun akan menjadi majoriti pengundi, dalam pada itu mereka bukan sahaja berdepan dengan realiti kehidupan sebenar tetapi mesti sedar tentang pengaruh politik dan ekonomi dalam kehidupan mereka. Hutang PTPTN, harga rumah yang mahal, kesenjangan pendapatan yang semakin meluas, kos hidup yang kian meningkat, semuanya adalah masalah yang akan didepani oleh mahasiswa selepas mereka bergraduat.

Kekangan terhadap mahasiswa adalah bukti bahawa kerajaan sedar bahawa anak muda sememangnya boleh menggugat hegemoni kuasa parti pemerintah. Pindaan AUKU yang kononnya lebih memberi kebebasan untuk mahasiswa terlibat dalam aktiviti politik ternyata hanyalah cakap kosong pemimpin UMNO-BN. Hakikatnya, bukan sahaja mahasiswa seperti Fahmi Zainol dan kawan-kawan di UM, Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli di UIAM dikenakan tindakan tatatertib, tetapi pensyarah-pensyarah yang vokal, memberi pandangan berdasarkan ilmu mereka juga ditekan dan dihukum.

Malam tadi, 17 pelajar yang terlibat dengan protes aman #occupyparliament pula ditangkap. Sekali lagi polis menggunakan seksyen 124B Kanun Keseksaan atas alasan mereka menjejas demokrasi parlimen, sedangkan desakan supaya Perdana Menteri Najib Razak berundur tidak sepatutnya dikaitkan dengan pemudaratan parlimen mahupun demokrasi. Malah, ia sebahagian hak asas demokrasi.

AMK ingin mengingatkan bahawa universiti adalah medan mengukuhkan peribadi merdeka di kalangan warga. Pastinya, apabila UMNO-BN hilang kuasa pemerintahan, kami akan memastikan reformasi sampai ke setiap sudut universiti, hentikan segala kekangan dan mengembalikan nilai sebenar sebuah institut pengajian tinggi. Oleh itu AMK menyeru seluruh mahasiswa turut sama hadir dalam perhimpunan Bersih 4 pada 29-30 Ogos nanti.

Kita akan tunjukkan kepada UMNO-BN bahawa zaman ketakutan sudah berlalu, fajar perubahan pula akan mengambil tempat. Mahasiswa yang bebas dan beranilah yang akan mengisi perubahan ini dengan ilmu dan jiwa yang sentiasa bersama masyarakat.

Menyokong permohonan Sarawak untuk mendapat lebih kuasa dalam bidang pendidikan

Saya rasa tertarik dengan laporan media baru-baru ini yang menyatakan bahawa kerajaan pentadbiran Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem, berhasrat untuk mengambil alih sepenuhnya perihal pendidikan negeri untuk mendapatkan lebih kuasa autonomi daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau mengatakan bahawa Sarawak telah terkesan oleh polisi tidak tetap Putrajaya berkenaan pendidikan.

Saya amatlah bersetuju dengan perkara ini.

Lagipun, autonomi pendidikan merupakan sebahagian daripada Perjanjian Malaysia yang telah dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Perisytiharan Kuching 2012 yang turut ditandatangani KEADILAN, berhasrat antara lain memartabakan semangat Perjanjian Malaysia.

KEADILAN dan rakan-rakan kami juga telah berusaha mendapatkan autonomi pendidikan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran kami. Saya sendiri telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan pengagihan kuasa pendidikan ini.

Secara dasarnya, kita boleh mencontohi amalan terbaik negara-negara lain di mana pendidikan tinggi, kurikulum kebangsaan dan piawaian tetap dikawal oleh Kerajaan Persekutuan; manakala pendidikan rendah dan menengah adalah diseliakan oleh Kerajaan Negeri, dan pentadbiran sekolah pula mempunyai penglibatan lebih pihak tempatan.

Kami percaya penyeliaan Kerajaan Negeri bukan sahaja boleh mempertingkatkan kualiti dan tahap pendidikan pelajar-pelajar Malaysia, tetapi juga mampu menggalakkan perpaduan dan integrasi nasional.

Kerajaan Negeri adalah lebih arif, malah berada di tempat yang lebih baik untuk menangani isu-isu tempatan.

Ia juga akan mengalakkan persaingan yang sihat di antara negeri, dan akan merangsang pihak tenaga pengajar dan pentadbir demi mencari jalan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Yang hairannya Malaysia ini, walaupun kita merupakan negara persekutuan, setiap perihal pentadbiran di negara ini adalah berpusat padahal negara-negara lain sekarang ini lebih menjurus kepada
pengagihan kuasa. Ini termasuklah negara kesatuan seperti Indonesia yang sudah mula membentuk polisi pengagihan kuasa semenjak zaman Reformasinya, dan juga Afrika Selatan yang mengekalkan kuasa pendidikan rendah dan menengah kepada kerajaan wilayah.

Saya benar-benar berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan ini dengan teliti, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk semua negeri-negeri yang lain juga.

Pengakuan Rahman Dahlan timbulkan lebih banyak persoalan

Di dalam satu temubual panjang yang telah disiarkan akhbar The Star semalam, Menteri UMNO, Rahman Dahlan, telah mengakui bahawa satu draf kertas dakwaan yang telah tersebar luas di internet mungkin sememangnya sah dan Perdana Menteri Najib Razak terpaksa mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan.

Pendedahan oleh Menteri ini bukan sahaja membuktikan bahawa ada kebenaran juga di dalam kisah itu – walaupun mula-mulanya dinafikan – tetapi ia juga menunjukkan penyalahgunaan kuasa sekali lagi oleh Perdana Menteri semata-mata untuk kekal di atas.

Rahman Dahlan dengan penuh lagak memberi alasan bahawa Perdana Menteri wajar berbuat begitu demi menghentikan satu tindakan jenayah dikenakan ke atas beliau. Adakah kita perlu percaya bahawa Perdana Menteri boleh lakukan ikut suka beliau, sedangkan sebarang tindakan hanya akan diambil oleh pihak pendakwaan yang berkuasa?

Jika benar sekalipun Perdana Menteri mungkin dikenakan tindakan undang-undang melalui jalan yang sah – iaitu tindakan mahkamah – kenapa Perdana Menteri boleh menghentikannya sesuka hati hanya kerana beliau tidak berkenan? Jika Peguam Negara tidak mempunyai bukti yang kukuh, buktikanlah perkara itu di mahkamah.

Tindak-tanduk Najib yang bermatlamat menjaga kesejahteraan politik beliau kini membawa kesan-kesan yang buruk kepada negara terutamanya dengan kemusnahan institusi-institusi awam termasuklah Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan juga Polis negara, yang mana kesemuanya telah dikompromi demi politik.

Perlu saya ingatkan di sini bahawa sehingga kini tidak satu bukti pun dikeluarkan oleh Rahman Dahlan dan kerajaan BN, bahawa terdapat dokumen yang telah diubah berkenaan 1MDB atau bukti bahawa terdapat percubaan untuk menggulingkan kerajaan. Kita juga perlu ingat bahawa sebarang pendedahan jenayah berkenaan Perdana Menteri tidak patut disamakan dengan serangan ke atas kerajaan mahupun negara.

Malahan, Perdana Menteri sepatutnya mempunyai tanggungjawab ketelusan yang tertinggi di negara ini, tetapi di dalam kes ini kita hanya dapat lihat yang sebaliknya.

Pendedahan terbaru ini, dan juga persoalan yang masih tidak terjawab berkenaan pemindahan duit sebanyak RM2.6 billion ke akaun peribadi Perdana Menteri telah mengundang lebih banyak kontroversi yang memburukkan nama negara. Kita jelas boleh lihat betapa terdesaknya mereka untuk menjaga kepentingan sendiri dan dengan itu telah mengorbankan kemakmuran negara.

Oleh itu saya hendak menyarankan agar semua orang menunjukkan ketidakpuashatian terhadap penyalahgunaan kuasa yang melampau ini, dan pastikan kerajaan tahu bahawa kita mahukan tahap akauntabiliti yang tinggi di dalam semua perkara.

Saya juga hendak menjemput kepada rakyat Malaysia agar menunjukkan sokongan kepada Bersih 4.0 yang sedang menumpukan usaha untuk memperkasakan demokrasi negara dan institusi-institusi awam, serta memanggil undi tidak percaya kepada Najib Razak secara terus daripada rakyat Malaysia.

Pendedahan pegawai bank Australia memalukan MARA

Laporan berita Sydney Morning Herald hari ini amatlah menggusarkan.

Menurut laporan tersebut, seorang pegawai bank Australia telah diugut oleh “seorang lelaki berwajah Asia” berkenaan permohonan pinjaman AUD22.5 juta oleh MARA untuk tujuan jual beli hartanah yang penuh kontroversi.

MARA, Pengerusinya Annuar Musa dan Perdana Menteri Najib Razak mestilah menjelaskan perkara ini dan menafikan dakwaan ini jika ia tidak benar.

Segala jawapan MARA berkenaan jual beli hartanah Melbourne setakat ini langsung tidak memuaskan, terutamanya dakwaan yang mengatakan AUD4.5 juta daripada nilai pembelian itu telah diambil oleh pegawai-pegawai Malaysia.

Rakyat Malaysia, terutamanya golongan Bumiputera, berhak mengetahui apa yang sedang berlaku. Jika ada kebenaran di dalam dakwaan tersebut, ia tidak boleh diambil mudah dan tindakan mestilah diambil ke atas pihak yang terlibat. Pada masa yang sama, pelajar-pelajar yang menerima pinjaman dan tajaan MARA menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan syarat yang tidak adil.

Malaysia tidak mungkin boleh menerima satu lagi skandal antarabangsa yang hanya akan mencemarkan nama negara.

Ketika lawatan saya bersama-sama Akmal Nasir (National Oversight and Whistleblowers Center / NOW) ke Melbourne sebulan yang lepas, isu ini merupakan isu paling hangat bukan sahaja di bandaraya itu malah di seluruh Australia.

Mengutuk sekeras-kerasnya penggantungan #UIA2

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak pengurusan tertinggi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang telah menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) berkenaan isu penganjuran forum GST dan menjemput Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Hukuman yang terlampau berat itu, hanya kerana memberi ruang kepada seorang ahli Parlimen untuk berdiskusi perihal GST, amatlah mendukacitakan. Ini kerana ia bukan sahaja melanggari prinsip kebebasan akademik, tetapi ia juga memberi kesan kepada kehidupan dua orang pimpinan mahasiswa.

Apakah pihak Universiti tidak memikirkan kebajikan dan masa depan anak muda ini? Bukankah kepentingan mahasiswa itu merupakan pertimbangan utama sebuah institusi pendidikan? Apakah kesalahan mereka begitu berat sehingga terpaksa menggantung pelajaran untuk sekian lama?

Saya rasa tidak salah jika saya katakan bahawa Rektor yang sedia ada sekarang ini merupakan antara yang paling menghampakan di dalam sejarah Universiti tersebut. Mengimbau kembali perilaku dan tindak balas beliau kepada beberapa perkara semenjak perlantikannya, ia seakan-akan Universiti tersebut sudah lebih ke belakang dari segi kebebasan akademik dan perkembangan ilmu. Dua perkara yang amat penting bagi sesebuah institut pengajian tinggi. Sedangkan UIA pada suatu ketika dahulu adalah lebih terbuka, malah menggalakkan perkongsian ilmu tanpa mengira latar belakang penyampainya. Saya sendiri beberapa kali turut serta dalam forum di UIA.

Rektor yang sedia ada terlalu menitikberatkan faktor politik UMNO – daripada berusaha mempertingkatkan martabat Universiti yang menampilkan moto “Taman Ilmu dan Budi”.

Saya menggesa pihak Universiti untuk menimbang semula keputusan tersebut dan membenarkan kedua-kedua belajar tersebut untuk menyambung pelajaran serta-merta. Saya juga ingin menyarankan agar UIA memulihkan kredibiliti Universiti dengan memberikan keutamaan semula kepada kepentingan akademik dan pelajar.

Cukup-cukuplah mencalarkan reputasi sebuah institusi akademik yang dahulunya disegani ramai, tiada manfaat yang baik jika terus-menerus berpaksikan dasar dengan politik UMNO yang kolot.

 

Pengumuman MH370

Pengumuman bahawa serpihan kapal terbang yang dijumpai di Reunion Island adalah sisa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang lebih setahun lalu seharusnya memberi semangat kepada pihak-pihak berkuasa untuk mempertingkatkan usaha dalam pencarian pesawat tersebut.

Saya menyeru Kerajaan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsa untuk teruskan pencarian tanpa mengira penat lelah sehinggalah menjumpai serpihan pesawat MH370, serta jenazah penumpang dan anak kapal dapat dipulangkan ke pangkuan keluarga.

Ini sememangnya suatu penemuan yang besar, namun begitu kami masih mengharapkan penyelesaian yang jitu terutamanya dalam mendapatkan kata putus mengapa tragedi itu boleh berlaku.

Sekali lagi kami mengucapkan takziah kepada keluarga tersayang penumpang dan anak kapal pesawat MH370, dan kami akan terus menyampaikan doa kepada kesemua mangsa tragedi tersebut.

Pada ketika ini, kami harap seluruh rakyat Malaysia boleh bersatu dan berdiri teguh bersama mereka.

Pendirian Khairy dedah watak sebenar

Khairy Jamaluddin hari ini akhirnya bersuara berkenaan isu-isu yang berbangkit sejak beberapa minggu ini setelah sekian lama menyepi.

Namun begitu apa yang disuarakan oleh beliau langsung tidak mengejutkan, kerana seperti yang disangkakan beliau berdiri teguh bersama Perdana Menteri.

Sebagai seorang yang tidak mementingkan ketelusan, tidak hairan Khairy boleh berkata begitu.

Dengan mengarahkan ahli Pemuda Umno untuk tidak mempersoalkan Najib Razak, beliau menunjukkan dirinya yang sebenar berbeza dengan watak progresif dan berketerampilan yang sering diketengahkan.

Apa yang penting bagi Ketua Pemuda Umno itu adalah survival politik. Malah, tidak tolak juga kemungkinan jika dana negara hilang lebih RM2.6 bilion sekalipun, Khairy tidak akan ambil peduli.

Sekarang sudah jelas bahawa Khairy, yang sebelum ini beliau sendiri pernah memohon penjelasan daripada Najib Razak berkenaan 1MDB, hanyalah seorang yang lebih gemar bersandiwara politik dan bukannya ikhlas ingin mengetengahkan kepentingan awam dan masa depan anak muda.

Khairy mesti menyatakan pendirian

Ketika negara dilanda begitu banyak isu beberapa minggu ini; termasuklah rombakan kabinet dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri, serbuan di pejabat SPRM dan penahanan beberapa penyiasat kes 1MDB serta penangkapan rakyat Malaysia yang hanya menunaikan hak asasi mereka, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin masih terus mendiamkan diri.

Saya rasa begitu pelik bagaimana Khairy tidak sedikit pun bersuara sedangkan negara sedang melalui satu kemelut politik yang besar.

Najib dan barisan kabinet yang baru telahpun menyatakan niat mereka untuk memperketatkan lagi undang-undang yang akan mengganggu hak asasi rakyat disebabkan 1MDB. Kita juga sedang menyaksikan dengan jelas pemusnahan lanjut institusi-insitusi yang menyemak dan mengimbangi kuasa kerajaan.

Oleh itu saya menggesa Khairy Jamaluddin untuk menyatakan pendiriannya, sama ada beliau berdiri bersama Najib dalam hal 1MDB ataupun beliau bersama rakyat Malaysia yang lain termasuk anggota UMNO sendiri yang mempersoalkan skandal berbilion ringgit ini.

AMK mengecam tangkapan di himpunan #TangkapNajib

AMK mengecam tindakan polis menangkap aktivis-aktivis di Himpunan #TangkapNajib termasuk Naib Ketua AMK Tan Kar Hing, Setiausaha AMK Chang Lih Kang dan EXCO AMK Afzainizam Abdul Rahman.

Ini berikutan tangkapan Adam Adli, Mandeep Singh dan Setiausaha Pengelola AMK Syukri Razab semalam.

Pada masa yang sama Najib terus bertindak terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam siasatan 1MDB termasuk mereka yang mengkritiknya.

AMK menyeru anak muda terus bersama menyatakan pendirian menolak Najib dan kerakusan pentadbirannya. Lagi ditangkap, lebih ramai akan ke hadapan!

‪#‎KitaLawan‬ ‪#‎UndurNajib‬