Minta rakyat bertenang selepas insiden Low Yat

AMK ingin menasihatkan agar orang ramai kembali bertenang berikutan isu-isu perkauman yang telah dibangkitkan sejak beberapa hari yang lepas.

AMK difahamkan bahawa isu ini berlaku akibat salah faham masyarakat secara umumnya, akibat mempercayai perkongsian di laman media sosial yang tidak berasas.

Perihal yang dipertikaikan di dalam kes ini, sebuah telefon pintar, adalah terlalu kecil untuk digembar-gemburkan sehingga menjadi permasalahan negara.

Sama ada kisah-kisah yang dikongsikan benar mahupun tidak, apa yang jelas di sini adalah ia bukanlah satu isu yang patut disandarkan kepada perkauman.

Rakyat Malaysia sepatutnya lebih matang daripada itu.

Di dalam keadaan ekonomi dan sosial negara yang tidak berapa stabil ini, janganlah pula kita berpecah dan memburukkan lagi keadaan.

Jikapun pucuk pimpinan telah gagal memerintah negara, rakyat masih berpeluang untuk bersatu dan menggerakkan negara ini ke hadapan – terutamanya golongan muda.

Oleh itu, kembalikan tumpuan kita kepada perkara yang lebih penting, yakni kemakmuran tanahair dan kemajuan ekonomi.

Berkenaan kes itu, saya yakin pihak polis sedang berusaha mengendalikannya secara professional serta mendoakan semoga mereka berjaya mengawal keadaan dengan sebaiknya agar keadaan aman sepenuhnya.

Hentikan juga penyebaran maklumat palsu yang hanya akan mengapi-apikan sesetengah golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kita punyai undang-undang; julanglah kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.

Utamakan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, dan terapkan nilai perpaduan kepada setiap lapisan masyarkat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *