Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pemberian imbuhan tahunan kakitangan Unisel Hari Raya Eidul Fitr 1436 H / 2015 M

Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan pemberian Imbuhan Tahunan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1436 H / 2015 M berjumlah satu (1) bulan gaji kepada 887 orang anggota kakitangan Universiti Selangor (Unisel). Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah membuat pengumuman tersebut hari ini di dalam satu sidang media khas pagi ini di kampus Unisel Shah Alam bersama pihak pengurusan universiti.

Menurut Nik Nazmi, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor, Imbuhan Tahunan ini bertujuan menghargai khidmat kesemua kakitangan Unisel, di samping memberi motivasi dan meningkatkan semangat kerja warga pekerja Universiti tersebut.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lepas telah meluluskan peruntukan RM2,685,329.23 bagi melaksanakan pemberian imbuhan ini.

Pengumuman ini menyusuli pengumuman YAB Dato Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, berkenaan pemberian Imbuhan Tahunan kepada semua penjawat awam Negeri Selangor bagi menghargai khidmat mereka dalam usaha mencapai matlamat Kerajaan Negeri yang mengetengahkan teras Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli.

Di samping itu, Nik Nazmi turut membentangkan perkembangan Program Pembangunan Bakat (talent development) yang merupakan program di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC).

Antara program yang dijalankan adalah Internship – High Impact Talent (i-HIT), dengan kerjasama institusi di bawah pengawasan kerajaan Negeri Selangor iaitu Unisel, INPENS dan KUIS. Program i-HIT Big Data Analytics & Automation Systems sudah pun berlangsung di Unisel dengan penyertaan seramai 31 orang belia yang dijalankan selama 3 bulan.

Program pensijilan kemahiran tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada keperluan spesifik industri dari segi teknologi terkini dan pengkhususan latihan.

Turut dalam perancangan adalah program Youth Enhancement Strategy (YES) yang bermatlamat memberi peluang kepada lepasan sekolah untuk membangunkan karier dan memberi latihan, persijilan dan peluang pekerjaan di dalam industri.

Ini semua sebahagian daripada proses reformasi UNISEL yang bermula dengan perlantikan Jawatankuasa Penambahbaikan UNISEL oleh Kerajaan Negeri beberapa bulan yang lalu. Jawatankuasa yang dianggotai tokoh-tokoh akademik luar terkemuka ini telah memberi saranan dan cadangan kepada Kerajaan Negeri yang sudah mula digunapakai. Nik Nazmi berharap pemberian imbuhan ini menaikkan semangat warga UNISEL bagi melalui proses ini.