Monthly Archives: July 2015

AMK mengecam tangkapan Syukri

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya penahanan Syukri Razab (Setiausaha Pengelola AMK Pusat) dan Adam Adli di bawah Akta Hasutan sebentar tadi.

Kedua-dua pemuda ini telah ditahan di Dang Wangi pada hari ini, setelah memberi kerjasama dengan pihak polis dan menghadirkan diri secara sukarela ke balai polis tersebut.

AMK menganggap ini sebagai satu taktik ancaman pihak polis ke atas ahli politik dan aktivis berkaitan himpunan ‪#‎TangkapNajib‬ yang akan diadakan esok di perkarangan Sogo.

Walaupun telah memberi jaminan untuk membenarkan perhimpunan aman, pihak polis masih menggunakan undang-undang yang tidak relevan untuk mewajarkan tindakan mereka, dan dengan itu telah melanggar hak kebebasan awam yang telah dijamin oleh perlembagaan negara.

Tindakan ini dikira telah melanggar kedaulatan undang-undang negara dan lebih mengancam prinsip demokrasi.

Kami menyeru pihak polis untuk menghentikan taktik ugutan ini dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun serta menyuarakan pandangan.

Pendidikan mangsa terbesar rombakan kabinet Najib

Rombakan kabinet baru-baru ini oleh Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini telah mengundang kritikan pelbagai pihak.

Ini terutamanya kerana langkah itu dibuat atas perkiraan politik semata-mata dan bukan mengambil kira kepentingan awam.

Salah satu sektor yang akan menerima akibat paling teruk di dalam hal ini adalah di dalam bidang pendidikan.

Rombakan itu telah memperlihatkan kerajaan berbalik semula kepada sistem sebelum ini dengan meletakkan dua Menteri berlainan bagi Pendidikan dan Pendidikan Tinggi. Perlantikan Mahadzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan, menggantikan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin
Yassin yang telah digulingkan, memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang kini begitu mengharapkan reformasi sebenar di dalam sektor pendidikan.

Sekarang ini ia seakan-akan Kerajaan BN tidak pasti apa hala tuju yang hendak diambil.

Seperti yang sedia maklum, setiap Menteri yang mengambil alih portfolio pendidikan akan mengetengahkan agenda sendiri dan ketidakselarasan itulah antara sebab mengapa masalah di dalam sektor pendidikan ini berlaku. Oleh itu, setiap usaha yang telah dijalankan baru-baru ini untuk memulihkan sektor pendidikan mungkin sia-sia.

Penstrukturan semula Kementerian Pendidikan akan mengakibatkan kekeliruan dan membantutkan sebarang usaha pemulihan, terutamanya kerana sistem yang dahulu baru sahaja ditetapkan berikutan perlantikan kabinet tahun 2013.

Rasanya semua sudah tahu bahawa sektor pendidikan negara ini sedang mengalami penyusutan, dan rombakan ini langsung tidak membantu dalam meningkatkan prestasinya,

Amatlah sedih apabila politik dalaman UMNO telah menyebabkan ketidakselarasan di dalam sektor pendidikan, dan mengorbankan kemakmuran rakyat negara ini sendiri.

Najib Razak dan kerajaan BN sepatutnya sedar bahawa kegagalan mereka untuk memainkan peranan mereka sebagai sebuah badan pentadbir sedang merosakkan sistem, dan akhirnya ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Penjelasan tentang desas-desus rombakan kabinet

Terdapat beberapa laporan media yang menyatakan bawah Perdana Menteri Najib Razak sedang melakukan satu perancangan untuk merombak semula ahli Kabinet Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat  dengan menggugurkan beberapa Menteri Kanan, termasuklah Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri haruslah menjelaskan dengan segera sama ada beliau sememangnya akan melakukan rombakan ini kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui sebarang perkembangan yang akan memberi kesan kepada kepentingan awam.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga haruslah menyatakan pendirian beliau sama ada beliau hendak kekal di dalam Kabinet jika tidak berpuas hati dengan pengendalian kerajaan terhadap isu 1MDB.

Perkara yang sama juga bagi Ketua Pemuda UMNO, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang banyak bercakap soal perubahan tetapi kerap bertindak sebaliknya.

Keputusan menggantung The Edge dan The Edge Financial Daily melanggar Kebebasan Media

Keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung akhbar mingguan The Edge dan The Edge Financial Daily untuk masa 3 bulan bermula 27 Julai amatlah menggusarkan, dan telah melanggar prinsip kebebasan media.

Kerajaan BN haruslah menjelaskan mengapa laporan The Edge berkenaan 1MDB adalah “memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara”.

Kerajaan BN sepatutnya menjawab segala persoalan yang telah diajukan dengan lengkap dan jelas, dan bukannya mencari jalan keluar yang mudah dengan menggantung penerbitan akhbar tersebut.

Seperti yang telah disebut berulang kali, kegagalan kerajaan ini untuk menjawab persoalan-persoalan isu 1MDB sebenarnya yang mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat dengan keadaan sekarang ini, bukannya laporan media.

Kerajaan haruslah menarik balik penggantungan ini dan memberikan penjelasan yang diinginkan oleh rakyat berkenaan pelbagai isu kritikal yang telah dibangkitkan kebelakangan ini.

 

Perubahan untuk Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan

Izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakyat Malaysia yang meraikannya pada 22 Julai 2015.

Semenjak penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, Sarawak telah menjadi sebahagian penting negara kita ini.

Sememangnya Malaysia telah mendapat manfaat yang baik daripada kepelbagaian dan sifat majmuk rakyat negeri Sarawak.

Negeri tersebut juga merupakan contoh yang terbaik untuk Malaysia secara amnya dalam mencapai hasrat perhubungan kaum yang harmoni.

Namun sedemikian, ada benarnya juga sepertimana yang dirasakan oleh sebahagian rakyat Sarawak bahawa Malaysia tidak berjaya mencapai cita-cita yang diimipikan dan negeri itu terutamanya tidak memperoleh kemajuan yang sepatutnya dikecapi.

Pihak berkuasa Persekutuan tidak sewajarnya menghukum perbezaan pandangan rakyat Sarawak meskipun mereka tidak bersetuju dengannya.

Walaubagaimanapun saya percaya masa depan Sarawak, dan juga Malaysia, hanya dapat diberi jaminan yang baik sekiranya kita kekal sebagai sebuah persekutuan.

Sebuah negara Malaysia yang adil dan saksama tidak mungkin tercapai tanpa persepakatan rakyatnya dalam menjalankan usaha yang sama.

KEADILAN amatlah komited untuk melaksanakan Deklarasi Kuching 2012, dengan ikrar “…kami berpegang teguh dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kami yang terdahulu”, ini termasuklah untuk memulihara kedudukan Sarawak dan Sabah sebagai rakan setaraf di dalam Persekutuan, memberi perwakilan yang adil kepada kedua negeri itu, menyelesaikan permasalahan dan isu-isu kerakyatan, menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat, mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, keadilan di dalam isu minyak serta pembangunan sejagat.

Malahan kami percaya bahawa hanya dasar persekutuan yang lebih menyeluruh mampu menghasilkan perkembangan dan kemajuan yang lebih mampan kepada semua rakyat Malaysia.

Kita harus ingat bahawa Malaysia merupakan sebuah persekutuan.

Oleh itu perpaduan dan persetujuan di dalam matlamat adalah penting, di samping sikap saling hormat-menghormati dan usaha berterusan untuk mencapai kebaikan bersama.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Sarawak bagi rakan-rakan saya di Malaysia Timur, dan saya berharap dapat meraikan Hari Malaysia bersama-sama semua rakyat Malaysia pada 16 September 2015 akan datang.

AMK dukacita dengan sekatan ke atas Sarawak Report

AMK amatlah dukacita dan risau dengan tindakan kerajaan untuk menyekat akses kepada laman sesawang Sarawak Report.

Pada masa yang sama, kelakuan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan untuk mempertahankan tindakan kerajaan itu adalah tidak wajar sama sekali.

Sikap beliau bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri Najib Razak yang menyatakan sebelum ini bahawa kerajaan sudah tidak boleh lagi menentukan segalanya untuk rakyat negara ini.
Pendirian Menteri tersebut bagaikan hendak mengatakan bahawa rakyat Malaysia belum cukup matang dan tidak boleh berfikir untuk diri sendiri.

Padahal, penyangkalan dakwaan Lester Melanyi baru-baru ini oleh Sarawak Report lebih membawa padah kepada Menteri dan kerajaan Malaysia. Kebergantungan mereka kepada testimoni seorang individu yang tidak berwibawa tanpa menyelidik dahulu dakwaan-dakwaan tersebut hanya mempamerkan ketidakcekapan mereka dalam menangani isu ini.

Lester sebelum ini telah mengaku bahawa beliau dibayar untuk membuat pengakuan, dan kini beliau juga didapati telah menipu dengan sewenang-wenangnya menggunakan gambar seorang individu di London untuk melengkapkan cerita dongeng beliau tentang seorang pereka web yang memalsukan dokumen. Kebergantungan kepada dakwaan-dakwaan Lester hanya membawa kesan buruk kepada reputasi negara ini.

Para pengundi Malaysia sekarang bolehlah fikir sendiri apa yang pihak kerajaan sebenarnya anggap tentang rakyat negara ini.

Kerajaan sepatutnya menjawab dengan lengkap setiap dakwaan yang dibuat oleh Sarawak Report dan media-media lain berkenaan hal ini, bukannya menafikan buta-buta sahaja dan menyekat akses kepada sesuatu laman sesawang.

Apa yang jelas sekarang ini adalah kerajaan telah gagal menjawab dakwaan dengan baik dan ini menjejaskan lagi kepercayaan rakyat kepada pihak kerajaan.

Menyekat laman sesawang atau menghalang pihak media daripada melaporkan sesuatu itu bukanlah tindakan yang wajar bagi sesuatu demokrasi yang matang atau negara yang membangun.

Tindakan sebegitu hanya memburukkan lagi reputasi negara yang semakin parah di persada dunia. Pada masa ini, tindakan kerajaan untuk menyekat akses kepada Sarawak Report sudah pun dilaporkan oleh media antarabangsa, termasuklah media The Guardian, UK.

Kerajaan mestilah menghentikan sekatan itu dan menjalankan penyiasatan penuh dan berkecuali ke atas setiap dakwaan yang telah dibangkitkan.

Kerajaan juga mesti bertekad untuk menghentikan sebarang penindasan ke atas pihak media.

Perutusan Ketua AMK Malaysia sempena Hari Raya Aidil Fitri 1436H

Dengan baki beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal menjelang, saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, segala kesyukuran ke hardrat Allah s.w.t. yang telah memberi kita peluang untuk beribadah selama sebulan di bulan Ramadhan.

Sebulan sudah kita berpuasa, menjalani pelbagai ujian rohani dan fizikal berteraskan pengawalan serta didikan diri supaya menjadi insan yang penuh kesabaran dan berakhlak mulia dalam usaha mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t., di samping mendapatkan keredhaan-Nya.

Bulan Ramadhan merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang tiada bandingnya dengan bulan-bulan yang lain. Sepanjang bulan ini, dengan izin Allah s.w.t., suatu proses penambahbaikan berlaku pada diri kita, menjana perubahan positif untuk menjadi seorang Muslim yang sejati.

Di dalam keadaan umat Islam sekarang yang sering dilemparkan dengan pelbagai persepsi negatif, kita terus komited kepada ajaran Islam dengan mengabdikan diri selama satu bulan penuh dengan ibadah kepada-Nya serta mencerminkan sifat sederhana dan rendah diri umat Islam yang sebenar. Ibadah puasa itu juga memberi peluang untuk kita mentarbiyyah diri agar beristiqamah dengan tuntutan Allah s.w.t. dan menjauhkan diri daripada sikap-sikap keji yang sentiasa menjadi penghalang kepada kejayaan Islam itu sendiri.

Kini, Syawal pula hampir tiba dan ia kebiasaannya disambut dengan kalimah “Min Al Aidin Wa al-Faidzin” yang memberi erti “(semoga) termasuk dari orang-orang yang kembali sebagai orang yang menang”. Ucapan ini sering kali didengari tatkala umat Islam menyambut Aidil Fitri di Malaysia, kerana ia menandakan sebuah sambutan bagi kemenangan umat Islam yang telah berjaya mengharungi ujian di bulan Ramadhan.

Lazimnya, dalam syiar meriahnya sambutan Aidil Fitri serta besarnya jiwa kemenangan itu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sama-sama dijemput meraikan perayaan ini tidak kira bangsa dan agama.

Syawal merupakan bulan terbaik untuk menerapkan nilai perpaduan di dalam setiap lapisan masyarakat Malaysia. Pada sambutan Aidil Fitri tahun ini, marilah kita sama-sama memperkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang sesama Islam dan juga yang bukan Islam, dengan matlamat untuk meneguhkan lagi asas kemasyarakatan sesama kita, bagi mengekalkan negara Malaysia yang aman dan makmur.

Dalam pada itu, kita hendaklah insaf mengenangkan saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan dan terpaksa mengharungi kehidupan dhaif sama ada di dalam Malaysia mahupun di luar. Mari sama-sama mendoakan semoga mereka juga memperoleh keberkatan dan kemudahan daripada Allah s.w.t. di bulan yang mulia ini.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin, serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada sekalian umat Islam di Malaysia.

Semoga negara Malaysia sentiasa diberkati Allah s.w.t.

Eid Mubarak.

Minta rakyat bertenang selepas insiden Low Yat

AMK ingin menasihatkan agar orang ramai kembali bertenang berikutan isu-isu perkauman yang telah dibangkitkan sejak beberapa hari yang lepas.

AMK difahamkan bahawa isu ini berlaku akibat salah faham masyarakat secara umumnya, akibat mempercayai perkongsian di laman media sosial yang tidak berasas.

Perihal yang dipertikaikan di dalam kes ini, sebuah telefon pintar, adalah terlalu kecil untuk digembar-gemburkan sehingga menjadi permasalahan negara.

Sama ada kisah-kisah yang dikongsikan benar mahupun tidak, apa yang jelas di sini adalah ia bukanlah satu isu yang patut disandarkan kepada perkauman.

Rakyat Malaysia sepatutnya lebih matang daripada itu.

Di dalam keadaan ekonomi dan sosial negara yang tidak berapa stabil ini, janganlah pula kita berpecah dan memburukkan lagi keadaan.

Jikapun pucuk pimpinan telah gagal memerintah negara, rakyat masih berpeluang untuk bersatu dan menggerakkan negara ini ke hadapan – terutamanya golongan muda.

Oleh itu, kembalikan tumpuan kita kepada perkara yang lebih penting, yakni kemakmuran tanahair dan kemajuan ekonomi.

Berkenaan kes itu, saya yakin pihak polis sedang berusaha mengendalikannya secara professional serta mendoakan semoga mereka berjaya mengawal keadaan dengan sebaiknya agar keadaan aman sepenuhnya.

Hentikan juga penyebaran maklumat palsu yang hanya akan mengapi-apikan sesetengah golongan yang tidak bertanggungjawab.

Kita punyai undang-undang; julanglah kedaulatan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.

Utamakan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, dan terapkan nilai perpaduan kepada setiap lapisan masyarkat.

AMK ucap tahniah kepada #UM5

AMK ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa Universiti Malaya, #UM5, yang telah berjaya mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan Universiti tersebut untuk menghukum mereka kerana menganjurkan pidato bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas.

Keputusan Universiti Malaya untuk menidakkan hak pelajar-pelajar ini memasuki kelas malah menghukum mereka dari sudut kewangan hanya kerana membuka universiti tersebut kepada wacana ilmu amatlah menggusarkan.

Hakim Datuk Azimah Omar, dengan membenarkan semakan kehakiman itu, telah memberi harapan baru kepada pelajar-pelajar universiti tanahair yang dahagakan kebebasan di dalam perihal akademik dan pembelajaran.

Pelajar-pelajar universiti tidak patut dibelenggu dengan sekatan terhadap kebebasan berpolitik, kerana realitinya adalah pelajar-pelajar ini yang akan menentukan arah tuju pimpinan negara pada masa akan datang.

Kita juga lihat bagaimana sebarang program atau aktiviti yang melibatkan ahli politik pihak kerajaan Barisan Nasional dibenarkan, tetapi layanan yang bertentangan diberikan bagi mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan BN/Umno. Mereka perlu bersifat dwi-standard terhadap pelajar-pelajar sendiri?

Dengan itu saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada #UM5, Fahmi Zainol, Safwan Shamsuddin, Haw Yu Hong, Adam Fistival Wilfred dan Khairol Najib Hashim di atas kecekalan anda dalam menghadapi kezaliman, dan menegakkan keadilan.

AMK akan tetap menuntut kebebasan akademik bagi setiap mahasiswa negara ini tidak kira fahaman politiknya dan menyokong sebarang usaha untuk membentangkan wacana keilmuan di dalam dan di luar Universiti.

Najib mesti bercuti serta-merta

Akhbar Wall Street Journal baru sahaja menyiarkan beberapa siri dokumen yang didakwa menunjukkan kemasukan berbilion ringgit di dalam akaun Perdana Menteri Najib Razak seperti yang telah didedahkan baru-baru ini.

Dokumen-dokumen ini, jika benar, amatlah merisaukan dan memberi gambaran yang buruk terhadap ketelusan Najib dan juga pentadbiran serta sistem perbankan negara. Ini ditambah dengan kenyataan panel siasatan Kamar Peguam Negara, SPRM, Polis dan Bank Negara bahawa enam akaun bank telah dibekukan selepas pendedahan WSJ.

Lebih serius lagi, empat bulan selepas dikatakan bermulanya transaksi pertama ke akaun Najib, pengasas Ambank Hussain Ahmad Najadi dibunuh.

Saya mengulangi gesaan yang telah dibuat sebelum ini supaya Perdana Menteri dan pihak yang melindungi beliau untuk memperjelaskan isu ini dan membersihkan nama beliau.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa mestilah jalankan siasatan yang terperinci dan bebas daripada pengaruh mana-mana pihak lain dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Keadilan haruslah ditegakkan dengan penuh ketulusan demi maruah perundangan negara.

Najib juga mestilah mengambil untuk memastikan bahawa siasatan yang dijalankan adalah terperinci, telus dan diyakini.

Najib mestilah mengambil cuti serta-merta agar siasatan yang menyeluruh, telus dan berwibawa dapat dijalankan.