Monthly Archives: June 2015

Malaysia harus menarik diri daripada TPPA

Saya tertarik dengan laporan-laporan yang mengatakan bahawa Barrack Obama, Presiden Amerika Syarikat, akan membuat lawatan ke Malaysia sekali lagi pada bulan November, walaupun baru sahaja membuat lawatan pada bulan April tahun ini.

Apa yang lebih menarik adalah lawatan pada bulan April itu merupakan lawatan pertama seorang Presiden Amerika Syarikat selepas hampir 50 tahun. Lawatan terakhir adalah pada tahun 1966 yang diketuai oleh Presiden Lyndon B Johnson.

Mengapa tiba-tiba seorang Presiden Amerika begitu tertarik dengan Malaysia dan rantau ini?

Adakah mungkin kerana beliau ingin meraih sokongan untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang semakin lama semakin lesu?

Pada bulan lepas, pentadbiran Obama gagal untuk mendapatkan sokongan Senat, terutamanya daripada golongan ahli parti Demokrat beliau sendiri bagi mendapatkan Kuasa ‘Fast-Track’ untuk berunding perihal TPPA. Walaubagaimanapun, Kongres Amerika Syarikat baru-baru ini meluluskan juga Trade Promotion Authority, dengan majoriti tipis dan kini ia perlu mendapatkan semula kelulusan di Senat.

Kesungguhan Obama untuk meluluskan perjanjian ini, yang sehingga sekarang masih tetap dirunding dengan penuh sulit, menimbulkan beberapa persoalan mengenai niat beliau.

Seperti yang sudah dilaporkan di merata-rata tempat, TPPA merupakan satu perjanjian yang berat sebelah dan hanya memberi manfaat kepada syarikat-syarikat transnasional besar Amerika, di samping menjejaskan kedaulatan negara-negara lain, termasuklah Malaysia, serta kesihatan awam dan kebebasan internet.

Obama sendiri tidak mampu menyakinkan rakan-rakan parti Demokrat beliau untuk menyokong perjanjian itu walaupun Amerika pasti menerima manfaat yang besar, maka Malaysia sepatutnya sedar perkara ini dan tidak meneruskan rundingan.

Dalam hal ini kerajaan Malaysia mestilah membuat pendirian terhadap komitmen mereka; sama ada mereka sanggup membenarkan Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat besar negara itu merobek kekayaan negara ini, atau membuat keputusan yang betul dan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan negara kita.

AMK dukung keputusan parti dalam isu Pakatan

Dimaklumkan bahawa kenyataan bertajuk “Pendirian AMK Terhadap Pakatan Rakyat” bertarikh 20 Jun 2015 bukan merupakan pendirian rasmi Angkatan Muda Keadilan (AMK).

AMK selaku sayap parti mendukung kenyataan rasmi parti menerusi Presiden dan dibincang dalam Biro Politik KEADILAN Pusat yang turut dianggotai Ketua AMK dalam isu ini.

Permasalahan Malaysia Airlines mencerminkan kemelut Malaysia hari ini

Malaysia Airlines Berhad yang telahpun dirombak kini sedang melalui proses getir untuk menamatkan dan mengambil semula pekerja. 6000 orang mendapat tahu bahawa mereka akan mula menganggur minggu ini. Kesan langsung daripada penamatan pekerjaan oleh Malaysia Airlines ini akan dirasai oleh semua yang terlibat dan bukan sahaja pekerja-pekerja itu; malah pasangan mereka, anak-anak serta tanggungan juga akan menghadapi kesusahan sementara menantikan mereka mendapat latihan-semula atau pekerjaan yang baru.

Peristiwa minggu ini, dan beberapa bulan yang sudah berlalu, merupakan kemuncak kepada tragedi-tragedi yang telah menimpa Malaysia Airlines sejak Mac 2014 dengan kehilangan pesawat MH370, dan kemudiannya disusuli dengan nahas kapal terbang MH17 yang telah ditembak jatuh akibat persengketaan di Ukraine Timur. Kejadian-kejadian ini pastinya memberi kesan kepada semangat pekerja-pekerja Malaysia Airlines, tambah pula dengan keadaan hal ehwal semasa syarikat sekarang ini yang sudah tentu akan mematahkan lagi semangat mereka.

Dalam pada itu, kami turut bersimpati dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja kesemua penumpang dan kru yang terlibat di dalam kedua-dua tragedi tersebut.

Terlalu banyak kemarahan yang diajukan kepada pekerja-pekerja Malaysia Airlines dan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja MAS (MASEU) beberapa minggu ini di media sosial dan media tradisional. Mereka telah dipersalahkan atas kejatuhan syarikat penerbangan nasional ini, dan ramai yang juga yang tidak bersimpati dengan setiap mereka yang telah kehilangan pekerjaan.

Amatlah mengecewakan salah faham begini terus wujud kerana kebanyakan daripada 20,000 pekerja Malaysia Airlines adalah jujur dan rajin, dan telah menjalankan tugas sebaik mungkin untuk syarikat tersebut. Ribuan orang telah bekerja dengan penuh dedikasi kepada syarikat selama bertahun-tahun dan telah menaikkan nama syarikat itu. Saya percaya, Malaysia Airlines bertahan selama ini pun kerana pekerja-pekerjanya yang bekerja dengan penuh bangga demi mengharumkan nama ikon kebangsaan itu.

Memang benar kesatuan juga ada silapnya, tetapi Malaysia Airlines menjadi begini kerana kepincangan di dalam tadbir urus serta campur tangan politik yang telah berlangsungan selama lebih dua dekad.

Selama beberapa tahun ini Malaysia Airlines telah menandatangani kontrak-kontrak yang berat sebelah, memihak kepada syarikat-syarikat dan rakan-rakan kroni, yang menyebabkan kenaikan berlipat ganda harga barangan dan servis yang dibekalkan. Kontrak-kontrak ini telah meningkatkan lagi kos operasi syarikat secara drastik, dan membenarkan kroni-kroni yang bekerjasama dengan pengurusan tertinggi untuk merompak Malaysia Airlines daripada kekayaannya.

Bahagian-bahagian yang menguntungkan seperti Malaysia Airlines Catering juga telah dirompak oleh kroni. Malah terdapat pilih kasih dalam pengurusan bakat yang menyebabkan ramai orang yang berkelayakan dipinggirkan untuk memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai rangkaian politik.

Keputusan-keputusan dan polisi-polisi ini bukanlah diambil oleh pekerja biasa mahupun kesatuan yang mewakili mereka. Kesemua keputusan dan polisi ini telah diambil oleh pengurusan tertinggi Malaysia Airlines selama 20 tahun yang sudah berlalu. Syarikat ini telah diusahakan demi menguntungkan beberapa pihak yang berkepentingan politik dan bukannya sebagai syarikat komersil seperti yang sepatutnya.

Apa yang sedang berlaku kepada Malaysia Airlines sebenarnya mencerminkan apa yang berlaku kepada Malaysia secara keseluruhannya pada hari ini. Kelemahan tadbir urus akhirnya menggagalkan Malaysia Airlines, dan kelemahan tadbir urus jugalah yang akan menggagalkan Malaysia.

Sepertimana 6000 pekerja Malaysia Airlines yang kini menganggur, apa yang lebih tragik adalah rakyat biasalah yang paling terkesan akibat tadbir urus yang tidak bertanggungjawab serta kerakusan dalam mengurus kekayaan negara. Kejadian yang berlaku kepada Malaysia Airlines ini merupakan amaran kepada Malaysia, kerana jika pihak atasan tidak mengambil iktibar daripada peristiwa pahit ini, ia mungkin berlaku kepada negara juga.

Sementara itu, saya memanggil semua rakyat Malaysia untuk berdiri teguh bersama 6000 orang yang telah kehilangan pekerjaan minggu ini. Kami berharap dan mendoakan agar mereka dan keluarga mereka tidak akan menghadapi kesusahan yang berterusan, dan akan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.

AMK mengecam kenaikan harga petrol

Kenaikan harga petrol hari ini merupakan tamparan yang hebat untuk rakyat Malaysia yang kini berterusan menanggung bebanan kenaikan harga barang.

Sememangnya harga petrol negara bergantung kepada harga pasaran dunia, namun begitu implementasi polisi untuk mengapungkan harga petrol tersebut tidak mengambil kira keadaan ekonomi masyarakat Malaysia yang semakin merosot dengan polisi gaji minima yang gagal dan juga pelaksanaan cukai GST yang membebankan.

Walaupun dijanjikan bahawa harga barang akan turun selepas GST, namun jelas sekali perkara ini tidak benar. Sekarang ditambah pula dengan kenaikan harga minyak yang kemungkinan tidak akan berkesudahan, sampai bila rakyat terpaksa menanggung beban?

Kenaikan ini terutamanya memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan juga anak-anak muda.

Bukan sahaja terdapat cabaran yang hebat bagi generasi muda mencari pekerjaan, malah tahap gaji yang rendah, tanggungan hutang PTPTN dan kos kehidupan yang semakin meningkat memang cukup membebankan.

Sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia sepatutnya memulangkan hasil bumi itu kepada rakyatnya pada harga yang berpatutan. Namun begitu, Kerajaan Barisan Nasional terus boros berbelanja dan menekan rakyat sendiri, untuk menampung bebanan hutang, termasuk 1MDB akibat tadbir urus kerajaan yang lemah dan korup.