Monthly Archives: May 2015

Program Gotong Royong Perdana Desa Mentari

Berteraskan usaha untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah, di samping memantapkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk yang berbilang kaum, satu program gotong-royong telah diadakah anjuran Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Nik Nazmi Nik Ahmad, selaku Pengerusi Jawatankuasa, telah merasmikan program tersebut, dan beliau turut disertai oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, YB Wong Chen, yang turun ke padang untuk bersama-sama penduduk demi menjayakan program. Desa Mentari turut terletak di bawah DUN Seri Setia yang diwakili Nik Nazmi.

Program ini direncanakan dibawah Program Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang bertujuan untuk melahirkan Generasi Idaman Selangor yg berdaya saing dan berkualiti.

Kecewa dengan halangan terhadap aktivis demokrasi Hong Kong memasuki Malaysia

Saya amatlah kecewa dengan laporan akhbar yang menyatakan bahawa aktivis dan pemimpin pelajar Hong Kong, Joshua Wong dan juga Leung Kwok-hung (aka “Long Hair”), telah dihalang daripada memasuki Malaysia.

Wong dan Leung telah dijadualkan untuk berucap berkenaan gerakan pro-demokrasi Hong Kong dan peristiwa bersejarah di Tiananmen Square.

Menurut KPN, Wong telah dihalang memasuki negara ini kerana ia mungkin menjejaskan hubungan Malaysia dengan Cina dan akan mengancam keselamatan negara.

Bagi saya, alasan ini amatlah tidak munasabah.

Setahu saya, Wong dan Leung tidak pernah dijatuhkan hukuman jenayah di atas apa-apa kesalahan.

Oleh itu, tidak ada alasan kukuh mengapa mereka boleh dianggap sebagai mengancam kesalamatan negara dan tidak dimahukan di tanahair ini.

Lagipun, mengapa perlu hiraukan apa yang Cina fikir tentang tindakan kita sedangkan Malaysia sendiri adalah negara berdaulat. Oleh itu adakah patut kita membenarkan negara asing menentukan dasar dalam negara?

Malah, jika kerajaan begitu risau untuk tidak mahu menjejaskan perhubungan dengan Cina, mengapa Perdana Menteri Najib Razak menandatangani perjanjian untuk mengeratkan hubungan strategik dengan Jepun baru-baru ini ketika lawatan ke Tokyo? Sudah sedia maklum Jepun dan Cina sedang bergelut perihal geo-politik.

Atau mungkin juga tindakan kasar Putrajaya terhadap Wong dan Leung – seperti Beijing juga – adalah kerana mereka terlalu takut dengan anak muda yang boleh berfikir untuk diri sendiri dan menyuarakan pendapat?

Di dalam perkara ini, saya rasa lebih baik kerajaan Malaysia meminta maaf kepada Wong dan Leung serta membenarkan mereka memasuki negara ini.

Zahid tersilap tentang kedudukan Malaysia di Global Peace Index

Saya merujuk kepada jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kedudukan Malaysia di dalam Global Peace Index (GPI) 2014 telah merudum termasuklah kerana (antara beberapa sebab yang tidak diperinci) aktiviti tunjuk perasaan oleh ‪#‎Kitalawan‬, Gerakan Hapuskan Akta Hasutan, Anti-Lynas dan Perhimpunan Aman Mahasiswa.

Kenyataan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan langsung tidak tepat terutama sekali kerana beberapa contoh kempen demonstrasi yang diberikan itu hanya mula aktif pada tahun ini dan tidak mungkin memberi kesan kepada kedudukan GPI Malaysia tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri telah tersasar sama sekali daripada rumusan laporan tersebut yang menyatakan bahawa “Petunjuk dalaman penting yang paling teruk merosot dalam sekitar tujuh tahun kebelakangan ini adalah tahap aktiviti keganasan, kadar pembunuhan, kemungkinan berlakunya demonstrasi ganas, tahap konflik terancang dan persepsi jenayah.”

Jawapan bertulis itu, yang menyalahkan kempen demonstrasi jalanan di dalam hal ini, hanya berniat untuk mengelirukan. Kebanyakan aktiviti tunjuk perasaan yang dijalankan adalah aman dan tidak termasuk kategori demonstrasi ganas. Laporan itu juga telah menyatakan secara spesifik bagi Malaysia bahawa negara ini terdapat peningkatan tahap dari segi aktiviti pengganas dan ketidakstabilan politik.

Kita sudah sedia maklum bahawa Malaysia telah bertarung dengan kumpulan pengganas (contohnya, gerakan “Islamic State” dan juga saki baki daripada kejadian Lahad Datu). Oleh itu, ini mungkin lebih tepat untuk menjadi pengukur kepada keadaan kedamaian negara ini. Satu lagi faktor yang mungkin boleh diambil kira adalah jenayah ganas, yang mana statistik pihak polis sepertimana dilaporkan oleh Pemandu pada tahun 2013, juga terdapat peningkatan.

Bacaan sepintas lalu laporan sudah cukup untuk memberi gambaran jelas bahawa di antara tiga petunjuk am yang digunakan iaitu “Konflik Dalaman dan Antarabangsa yang Berterusan”, “Keselamatan dan Sekuriti Masyarakat” dan “Ketenteraan”, Malaysia mendapat markah yang teruk di dalam dua kategori yang akhir.

Laporan itu juga menyatakan bahawa “Keselamatan dan Sekuriti Masyarakat” yang merupakan indeks yang paling merosot, adalah berkait rapat dengan tadbir urus kerajaan, persekitaran perniagaan dan korupsi; semua ini merupakan sebahagian daripada lapan Tunggak Kedamaian.

Saya sarankan agar pihak kerajaan tumpukan usaha untuk memperbaiki kelapan-lapan Tunggak Kedamaian dan bukan sewenang-wenangnya menyalahkan rakyatnya sendiri yang hanya melunaskan hak asasi mereka.

*Tunggak-Tunggak Kedamaian: Tadbir Urus Kerajaan Baik, Persekitaran Perniagaan yang Baik, Kadar Korupsi yang Rendah, Tahap Modal Insan yang Tinggi, Penerimaan Hak Masing-Masing, Pengagihan Sumber Secara Adil, Hubungan Baik dengan Negara Jiran, Aliran Maklumat yang Bebas

Nik Nazmi berbahas dengan ‘ADUN-ADUN Muda’

Nik Nazmi Nik Ahmad telah mengambil bahagian di dalam sesi pertama persidangan ADUN Muda Selangor 2015 pada hari ini.

Persidangan yang dikendalikan oleh Tuan Timbalan Speaker, YB Mohd Shafie bin Ngah, berlangsung dengan baik dan memperlihatkan kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, mengambil bahagian.

Sesi pertama program ADUN Muda tahun ini, yang berlangsung pada 27-28 Mei, telah dianjurkan oleh Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor bertujuan memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang.

Program ini telah bermula pada tahun 2013, dan dimulakan oleh Nik Nazmi sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ketika beliau memegang jawatan Timbalan Speaker.

Majlis Agihan Bantuan Pendidikan Selangor Daerah Sabak Bernam

Daerah Sabak Bernam merupakan daerah ke-5 untuk menerima agihan bantuan sekolah Kerajaan Negeri Selangor hari ini di dalam satu majlis penyerahan cek yang disempurnakan oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

Di dalam ucaptama beliau , Nik Nazmi menerangkan objektif Kerajaan Negeri Selangor memberi bantuan penambahbaikan infra iaitu bertujuan untuk menumpukan kepada bantuan menyeluruh yang dapat dinikmati oleh setiap pelajar dan guru.

Khusus untuk daerah Sabak Bernam jumlah peruntukan yang diagihkan adalah sebanyak RM384,000 kepada 27 buah sekolah yang terdiri daripada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Bertujuan menyediakan infra dan keadaan sekeliling yang kondusif untuk pembelajaran, bantuan tersebut diagihkan berdasarkan keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah berdasarkan borang permohonan yang dilengkapkan oleh setiap sekolah.

Hadiah Pengajian IPT turut diberi agihan di majlis tersebut. Hadiah tersebut merupakan skim Kerajaan Negeri Selangor bagi pelajar lepasan SPM yang berjaya ditempatkan di institut pengajian tinggi.

Pelancaran Program Stem Sel Usaha Inovasi Pendidikan Selangor

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah melancarkan program Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) Selangor ketika merasmikan bengkel STEM SEL di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah pada hari ini.

Bengkel STEM tersebut, yang diadakan buat pertama kalinya pada tahun ini, merupakan anjuran International Islamic Academy for Life Sciences and Biotechnology (IAB), UNISEL dengan sokongan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Di dalam ucaptama beliau, Nik Nazmi telah menyatakan bahawa pendekatan Kerajaan Negeri dalam memberdayakan Pendidikan STEM ini adalah kerana Pendidikan STEM melibatkan pendekatan interdisiplin bersepadu yang membolehkan pelajar mengaitkan penggunaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dengan aplikasi dunia sebenar.

“Kerajaan Negeri Selangor berazam agar STEM SEL akan menjadi model untuk pendidikan, inovasi penyelidikan dan keusahawanan STEM di Malaysia. Dengan bantuan UNISEL, kita percaya bahawa proses inovasi pendidikan dengan menggerakkan pendidikan STEM di rantau ini boleh dipercepatkan supaya selari dengan tuntutan kerja baru bagi abad ke-21,

“Dengan falsafah Inovasi STEM yang menyatukan pendidikan, penyelidikan dan keusahawanan, serta menyediakan rangkaian di antara universiti, industri dan masyarakat luar bandar, dasar ini diketengahkan dengan fahaman bahawa bukan sahaja semua orang mempunyai hak untuk pendidikan, tetapi semua orang pasti boleh mendapat manfaat daripada STEM SELANGOR.”

Bengkel STEM 2015 yang dihadiri oleh lebih daripada 180 orang pelajar dan guru daripada empat buah sekolah di Selangor itu dijalankan dengan hasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan murid dilengkapi kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dunia yang sedang berubah dengan pengaplikasian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

Di dalam bengkel ini, para pelajar menjalani beberapa aktiviti. Aktiviti ini terbahagi kepada dua bidang iaitu Bidang Sains Hayat & Bidang Kejuruteraan. Pada sebelah pagi, para pelajar akan didedahkan dengan beberapa teknik yang seringkali digunakan di dalam bidang penyelidikan Sains Hayat. Aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan oleh para pelajar di setiap makmal tersebut adalah seperti Microbe Streaking, Gram-Staining, Penghasilan Biofuel, ekstrakan DNA, penghasilan aiskrim dan aktiviti yang melibatkan kejuruteraan sivil, elektrik dan mekanikal.

Nik Nazmi Hadiri Acara Penutup Sukan Malaysia di Taiwan

Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad telah menghadiri Majlis Penutup Sukan Malaysia (SUKMAS) diantara pelajar-pelajar Malaysia anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Taiwan yang diadakan di National Taiwan Sports University.

SUKMAS yang diadakan pada 23-24 Mei 2015 itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Taiwan untuk bersaing sesama mereka di dalam pelbagai aktiviti sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga telah dijemput menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang acara sukan tertentu. Di samping itu, beliau juga telah mempersembahkan cek sumbangan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pelajar Malaysia Taiwan.

Turut serta menghadiri majlis tersebut adalah YB Chang Lih Kang, Adun Teja (KEADILAN), YB Wong Shu Qi, Adun Senai (DAP) dan Ahli Parlimen Barisan Nasional Dato Wee Ka Siong, Dato Seri Tiong King Sing, Dato Wira Johari Baharum serta YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga telah menghadiri satu majlis suai kenal bersama Malaysian Progressives di Taiwan. Malaysian Progressives merupakan satu persatuan penggerak pelajar yang bergerak secara global untuk mengetengahkan isu-isu penting di dalam dan di luar negara bagi pelajar-pelajar Malaysia di seluruh dunia.

AMK mengutuk hukuman mati ke atas pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir

AMK amatlah kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas pemimpin-pemimpin dan para aktivis Mesir, termasuklah Presiden yang telah digulingkan, Mohamed Morsi, Pemimpin Kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan ulama’ tersohor Dr Yusuf Al Qaradawi (seorang tokoh Ma’al Hijrah Malaysia) di atas beberapa tuduhan. Malah, terdapat 105 orang lain yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Mesir.

Seperti yang dinyatakan oleh Amnesty International di dalam kes Presiden Morsi, “Menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohamed Morsi selepas perbicaraan yang tidak adil hanya memperlekehkan hak asasi manusia. Beliau telah dihukum walaupun belum sempat menjejak kaki ke mahkamah. Beliau telah ditahan berbulan-bulan tanpa bayang, dan tidak mendapat pengawasan kehakiman, malah tidak diwakili peguam semasa soal siasat. Hal-hal ini jelas mencerminkan bahawa perbicaraan ini adalah sandiwara semata-mata berdasarkan prosedur yang tidak sah.”

Saya juga bersetuju dengan kutukan keras Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan, yang menyatakan, “Mesir sudah berubah menjadi Mesir zaman purba”. Beliau juga berhujah bahawa negara-negara Barat terus buat tak endah berkenaan rampasan kuasa Sisi dan hanya mampu melihat hukuman yang melampau di Mesir ini walaupun di negara sendiri mereka menghapuskan hukuman mati.

Malang sekali, masih belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia untuk mengutuk hukuman mati tersebut. Adakah ini kerana kerajaan BN berasa malu dengan penyalahgunaan mahkamah undang-undang tersendiri?Tambahan pula, perkara ini berlaku pada masa yang sama dengan krisis kemanusiaan Rohingya di Asia Tenggara di mana Malaysia masih belum bertindak mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan.

Sikap acuh tak acuh oleh Pengerusi ASEAN dan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini adalah amat mengecewakan.

Ini jauh berbeza dengan tradisi kita memperjuangkan keadilan di Afrika Selatan, Palestin, Bosnia Herzegovina, Negara Thai dan Filipina.

AMK menggesa kerajaan Malaysia untuk menekan kerajaan Mesir agar menarik semula hukuman-hukuman mati tersebut dan menggalakkan usaha ke arah pendamaian politik yang berkesan. Pada masa yang sama, kerajaan juga harus menggerakkan usaha serantau untuk menamatkan keganasan dan penindasan ke atas komuniti Rohingya di Myanmar dan mencari penyelasaian kemanusiaan di dalam isu pelarian itu.

Perutusan Hari Guru 2015

Pendidikan merupakan teras kepada pembangunan yang berdaya saing dan mampan. Bagi mencapai cita-cita negeri Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan bersifat global dari segi pencapaian, matlamat itu bergantung erat kepada sumber modal insan yang terhasil daripada sistem pendidikan dan pelaksanaan sistem itu dengan telus dan progresif, serta mempunyai fokus yang jelas dan relevan.

Kebanyakan daripada pelaksanaan ini mengharapkan kepada keberkesanan proses pembelajaran di sekolah yang diterajui oleh komuniti guru. Guru mempunyai peranan serta tanggungjawab yang penting dalam memperkasakan nilai insan yang tinggi di kalangan pelajar secara khususnya, dan masyarakat secara amnya. Para guru juga harus menjalankan kerja dengan ikhlas bukan sahaja untuk mengajar sukatan pelajaran di sekolah, tetapi juga menerapkan nilai-nilai murni yang perlu ada di dalam setiap murid. Dengan itu, barulah ia dapat membentuk satu masyarakat yang seimbang dan celik serta beretika.

Di dalam hal ini, Selangor mempunyai potensi yang hebat untuk menjadi peneraju era global terutamanya di dalam bidang akademik. Kekayaan sumber manusia yang terdapat di negeri ini sememangnya menjadi pemangkin kepada hasrat murni Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi negeri yang maju dan sentiasa membangun. Oleh itu sumbangan para guru amatlah bernilai bagi memastikan sumber manusia yang berkualiti dan berketerampilan mulia tidak akan putus malahan sentiasa meningkat hasilnya. Kerajaan Negeri Selangor adalah sangat komited kepada pendidikan, dalam pada itu kami juga mengharapkan agar para guru dapat memberi kerjasama untuk berganding bahu dalam memperkayakan modal insan negeri ini.

Sama ada pendidikan yang terhasil daripada sekolah-sekolah kebangsaan yang dilihatkan sebagai pilihan ideal, mahupun sekolah-sekolah lain pilihan para ibu bapa termasuklah sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta dan sebagainya, Kerajaan Selangor menghormati pilihan itu dan hanya mengharapkan komitmen yang sama di kalangan semua yang terlibat di dalam mendidik pelajar.

Sempena sambutan Hari Guru pada tarikh 16 Mei 2015 ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap para pendidik yang memainkan peranan penting dalam membentuk dan mendorong pembangunan modal insan yang bersifat holistik di negeri Selangor dan seluruh Malaysia.

Malaysia memerlukan anjakan paradigma pendidikan

Laporan terbaru kajian Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD) berkenaan tahap kedudukan sekolah global jelas menunjukkan potensi dan cabaran sistem pendidikan Malaysia.

Kajian tersebut mendapati jika setiap mereka yang berumur 15 tahun di negara ini diberikan pendidikan asas, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepatutnya mampu meningkat sebanyak 500 peratus.

Ini bukanlah perkara yang asing bagi kebanyakan daripada kita kerana memang sudah diketahui bahawa pendidikan adalah amat penting untuk pembangunan yang berdaya saing dan mampan.

Namun begitu, seperti yang dinyatakan di dalam laporan kajian tersebut, Malaysia masih terlalu jauh lagi tahap untuk mencapai matlamat ini. Lihat sahajalah pada satu metrik yang dibentang, iaitu Malaysia telah ditempatkan di kedudukan ke 52 daripada 76 negara dari segi kemahiran matematik dan sains.

Jelas Malaysia memerlukan anjakan paradigma dari sudut pendidikan.

Kita perlu berikan para ibu bapa, pendidik dan pelajar keterbukaan untuk bersuara di dalam perihal pembikinan polisi, dan bukan hanya memberi kuasa penuh kepada ahli politik Kerajaan Pusat dan birokrat yang terselindung di Putrajaya.

Dalam pada itu, kuasa di dalam bidang pendidikan perlulah diturunkan untuk membolehkan setiap negeri mempunyai persaingan sesama sendiri. Kuasa ini juga boleh diturunkan seterusnya ke peringkat daerah dan sekolah.

Pada masa yang sama, kita perlulah pastikan bahawa setiap guru dibayar dan diberi layanan yang sama standard dengan pihak profesional dan bukan seperti pegawai kerajaan awam.

Prejudis di institusi pendidikan awam dan pengecualian sesetengah pelajar kerana bangsa dan agama juga perlulah diatasi.

Pokoknya, sikap mempolitikkan pendidikan – termasuklah dengan tindakan pendakwaan ke atas pimpinan pelajar dan kawalan ketat kebebasan bersuara seperti apa yang dilihat di UM dan UIA – haruslah dihentikan.

Saya ulangi sekali lagi, sistem pendidikan Malaysia mempunyai potensi yang hebat, tetapi hanyalah jika kita mempunyai keberanian dan imaginasi yang baik untuk membuat keputusan yang susah tetapi teramatlah perlu demi penambahbaikan sistem tersebut.