Monthly Archives: April 2015

Jadikan PRK Permatang Pauh referendum GST

Pilihan raya kecil N44 Permatang Pauh yang akan menyaksikan pertembungan antara President Parti Keadilan Rakyat, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Barisan Nasional, Suhaimi Sabudin, bukanlah pilihan raya kecil biasa tetapi ia juga memberi peluang rakyat menyuarakan penolakan terhadap penindasan yang dilakukan kerajaan BN dengan pengenalan cukai GST.

Saya kira pilihan raya kecil ini berserta pilihan raya kecil Rompin merupakan satu referendum terhadap cukai GST dan saya mengesyorkan agar pengundi menjadi wakil kepada seluruh rakyat Malaysia dengan mengundi Pakatan Rakyat dan menyatakan bahawa rakyat menolak perlaksanaan cukai yang membebankan itu.

Jelas kepincangan dalam perlaksanaan GST adalah satu isu yang tidak dapat dielak oleh kerajaan Barisan Nasional walaupun sudah sebulan ia dilaksanakan. Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan, berulang kali cuba mengalih isu sebenar cukai tersebut dengan memberi gambaran bahawa ianya lebih baik daripada cukai SST, bahawa kenaikan harga barang hanya dilakukan oleh peniaga “pro-pembangkang” dan rakyat tidak akan terbeban malah sudah menerima GST.

Namun begitu apa yang lebih jelas diperlihatkan setelah sebulan perlaksanaannya adalah ia merupakan satu cukai yang menindas rakyat dan kenyataan bahawa ia tidak membebankan pengguna adalah satu penipuan sama sekali. Rakyat tidak boleh diperbodohkan lagi.

KEADILAN dan Pakatan sudah berulang kali meminta penjelasan terhadap isu-isu kritikal cukai GST malah kami juga telah menjemput Ahmad Maslan untuk berdebat tentang cukai tersebut, namun ia telah ditolak, jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN masih tidak mahu mendengar aduan dan persoalan yang dikemukakan oleh rakyat.

Rakyat Malaysia sudah semakin menyedari kekejaman kerajaan BN yang menghukum rakyat negara ini sedangkan mereka yang tidak berupaya mengurus kewangan negara, oleh itu pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin memberi peluang yang terbaik untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cukai GST dan kelemahan kerajaan BN mentadbir urus negara.

AMK kecewa tindakan menekan Himpunan 1 Mei

Angkatan Muda Keadilan ingin menyatakan kekecewaan dengan tindak-tanduk pihak polis yang berterusan mengugut serta mengancam sesiapa sahaja yang melibatkan diri dengan Himpunan 1 Mei #KitaLawanGST minggu ini.

Pagi ini Maria Chin Abdullah telah dipanggil untuk siasatan. Mandeep Singh yang hadir sebagai penyokong pula telah ditahan pihak polis untuk disiasat berkaitan himpunan-himpunan sebelum ini. Rakyat bukannya tidak maklum pihak polis sebenarnya mahu menakut-nakutkan rakyat menjelang Himpunan 1 Mei.

Telah sedia maklum sebelum ini ratusan ahli politik, aktivis serta ahli akademik telah ditangkap, direman dan disiasat berkenaan pembabitan di dalam himpunan aman yang merupakan hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kini taktik kotor untuk mengugut sesiapa sahaja yang ingin membabitkan diri dengan perhimpunan aman bermula sekali lagi.

Tambahan pula, taktik ugutan ini juga dibuat di Sabah yang akan mengadakan himpunan besar 1 Mei anjuran Bersih Sabah. Pihak polis telah mengeluarkan amaran mendakwa sesiapa yang terbabit dalam himpunan ini. Penggunaan Akta Perhimpunan Aman, terutamanya Seksyen 9 (5), adalah melanggar undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan sepertimana yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan tahun lepas di dalam kes Nik Nazmi.

Walau apa pun ancaman yang dilakukan dan kekerasan yang digunakan, percayalah kami tidak akan putus asa dalam usaha untuk mengenengahkan suara keramat rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan penambahbaikan di dalam tadbir urus negara.

Kami akan teruskan dengan rancangan untuk berhimpun secara aman pada 1 Mei dan kami akan tetap dengan pendirian untuk menyatakan bantahan kami terhadap kerakusan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Pihak polis mungkin boleh menahan seorang, puluhan orang atau ratusan orang tapi mustahil mereka dapat menangkap puluhan ribu rakyat Malaysia yang inginkan perubahan.

AMK juga menggesa pihak polis Kuala Lumpur agar tidak menggunakan taktik yang sama digunakan oleh pihak polis Sabah untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia untuk berhimpun pada 1 Mei akan datang.

#KitaLawan

Tunjuk perasaan di hadapan gereja dedah dwi-standard KPN

Saya mengecam sekeras-kerasnya kejadian di Taman Medan baru-baru ini, di mana sekumpulan penunjuk perasaan telah memaksa sebuah gereja untuk menurunkan lambang salib daripada bangungan tersebut.

Saya ambil perhatian penerangan pihak MBPJ berkenaan isu permit gereja tersebut. Namun begitu ia tidak patut mewajarkan tindakan penunjuk perasaan yang telah bertindak sewenang-wenangnya sedangkan sebarang masalah sepatutnya dihadapkan dahulu kepada pihak berkuasa.

Lagipun tunjuk perasaan itu pada zahirnya telah dilakukan di atas alasan keagamaan kerana pada masa itu tidak seorang pun antara mereka yang mempersoalkan sama ada premis tersebut adalah sah digunakan.

Perlu diingatkan di sini bahawa setiap orang berhak mengamalkan agama masing-masing dengan aman, dan ini adalah hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana dengan memaparkan lambang salib tersebut, ia boleh menghakis kepercayaan atau keimanan seseorang individu – sama ada Muslim ataupun tidak.

Setiap individu yang menunjuk perasaan tempoh hari perlu benar-benar cermin diri dan kepercayaan masing-masing jika mereka rasakan sesuatu yang begitu remeh boleh mencabar kepercayaan mereka kepada agama Islam.

Tindak laku mereka sangat memalukan umat Islam di seluruh dunia.

Apa yang lebih mengecewakan adalah sikap Ketua Polis Negara yang bersahaja dalam hal ini, dan dengan mudah beliau menolak perlunya penyiasatan ke atas kes ini.

Bukankah menunjuk perasaan di kawasan berdekatan tempat ibadat merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman? (Jadual Pertama, Seksyen 3 – Tempat Larangan)

Pada masa yang sama, oleh kerana keluarga Ketua Polis Negara sendiri terlibat dengan penunjuk tersebut, dia sepatutnya mengundurkan diri daripada sebarang penglibatan di dalam kes ini dan membiarkan ianya disiasat oleh pegawai yang lain.

Ia amatlah menghampakan apabila kedaulatan undang-undang dan juga perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang tidak dipraktik secara adil di Malaysia pada masa kini.

Khairy patut cermin diri dahulu

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkenaan #KitaLawan hanyalah satu taktik untuk mengalih perhatian daripada apa yang sedang berlaku di dalam UMNO.

Jelas sekarang ini rakyat masih tidak berpuas hati dengan tadbir urus kerajaan BN di dalam pelbagai isu seperti 1MDB dan GST, dan mereka sendiri sedar akan perkara ini. Jika tidak mengapa perlu Anwar Ibrahim dipenjarakan? Jika tidak mengapa pula Najib Razak rasa perlu untuk mengadakan wawancara di TV3?

Perlu diingatkan di sini bahawa gerakan Reformasi pada tahun 1998 merupakan satu gerakan spontan yang lahir daripada kemarahan rakyat terhadap kekejaman BN terhadap Anwar. Situasi pada masa itu berbeza terutamanya kerana pada waktu itu rakyat tidak mempunyai barisan kempimpinan alternatif yang boleh seperti pimpinan Pakatan Rakyat sekarang ini. Kebangkitan kali ini juga melibatkan rakyat pelbagai kaum, bukan hanya golongan Melayu seperti dahulu.

Apatah lagi, kerajaan BN yang sedia ada sering menakut-nakutkan rakyat dengan tindakan undang-undang yang kejam. Malah penangkapan dan soal siasat tanpa asas yang kukuh oleh pihak polis terhadap lebih daripada 150 orang ahli politik Pakatan Rakyat dan aktivis jelas membuktikan kerakusan dan penindasan rejim BN.

Walaupun diugut dengan tindakan undang-undang, rakyat tetap gigih menyuarakan pendapat melalui media sosial dan suara rakyat semakin jelas didengari dari hari ke hari. Oleh itu Khairy dan BN tidak patut memandang remeh terhadap perkara ini.

Khairy juga harus ingat bahawa majoriti rakyat tidak mengundi BN pada Pilihanraya Umum ke-13 dan Pakatan Rakyat juga telah memperoleh kerusi terbanyak di dalam sejarah Malaysia bagi pimpinan alternatif diperingkat persekutuan dan negeri, oleh itu beliau harus menerima hakikat bahawa kerajaan di bawah pimpinan Najib sudah lama ditolak oleh rakyat.

Saya sarankan Khairy dan BN cermin diri dahulu untuk menyelesaikan masalah negara dan bukan bermain sandiwara politik untuk menunjukkan siapa lebih hebat menyokong Najib. Sepatutnya sokongan padu itu diberikan kepada rakyat yang tertindas.

Pindaan Akta Hasutan satu pengkhianatan terhadap rakyat

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dapati tindakan kerajaan untuk menguatkan lagi Akta Hasutan dengan pindaan-pindaan terbaru ini sebagai satu tindakan yang mengkhianati kepercayaan rakyat, yang telah dijanjikan suatu reformasi tadbir urus kerajaan.

Pada tahun 2012, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan. Walaubagaimanapun, janji tersebut tidak dikotakan sehingga kini, malahan jelas sekarang ini Akta tersebut telah disalahgunakan dengan lebih 160 orang disoal siasat dan ditahan tanpa sebab yang munasabah oleh pihak polis di bawah undang-undang yang zalim.

Tambahan pula, Akta zaman penjajah yang menyerang rakyatnya sendiri itu sedang diperkuatkan lagi oleh pihak kerajaan dengan pindaan-pindaan yang akan memberi kerajaan kuasa mutlak untuk menafikan hak dan kebebasan rakyat, padahal hak tersebut telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya pindaan-pindaan kepada Akta Hasutan tersebut dan menyeru Perdana Menteri serta kerajaan Barisan Nasional untuk menepati janji dengan memansuhkan Akta Hasutan dan bukannya menambahkan lagi beban dan tekanan kepada rakyat Malaysia.

AMK kecewa dengan kelulusan POTA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) ingin menyatakan kekecewaan kami terhadap Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada jam 2.25 pagi tadi tanpa sebarang
pindaan walaupun telah dibahaskan dengan terperinci oleh ahli-ahli Dewan Rakyat Pakatan Rakyat.

Kami tetap dengan pendirian Pakatan Rakyat yang berpendapat bahawa POTA merupakan satu Rang Undang-Undang zalim yang hanya menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kerana membenarkan tahanan tanpa bicara di samping menarik hak-hak asasi manusia yang termaktub di bawah sistem undang-undang negara.

POTA secara amnya telah melanggar prinsip keadilan sisi undang undang dengan membenarkan tahanan tanpa bicara, malahan Akta yang tidak membenarkan semakan kehakiman tersebut bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan yang menjamin kesamarataan di bawah undang-undang.

Kelulusan Akta tanpa mengambil kira kritikan terhadap isinya menunjukkan bahawa kerajaan serta ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional tidak mengendahkan keluhuran prinsip undang-undang di negara
ini. Ia juga membuktikan bahawa kerajaan mempunyai niat yang terselindung dalam meluluskan rang undang-undang tersebut.

Telah sedia maklum bahawa ISA yang telah dipinda sebelum ini telah digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Barisan Nasional untuk menahan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan, dan keluasan definisi
individu yang boleh ditahan di bawah POTA juga memberi andaian yang sama, bahawa Akta tersebut boleh disalahgunakan untuk membuat tahanan politik.

Begitu juga Akta Hasutan yang digunakan sebagai senjata politik. Malah, Akta Perhimpunan Aman yang kononnya merupakan reformasi perundangan di bawah Najib Razak turut lari daripada tujuan asalnya.

Sekali lagi hak asasi manusia dan sistem demokrasi negara telah dimatikan oleh kerakusan kerajaan Barisan Nasional dan ahli Dewan Rakyatnya.

AMK ikrar teruskan reformasi dan pertahan Permatang Pauh

Angkatan Muda KEADILAN maklum akan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, bahawa Lembaga Pengampunan telah menolak petisyen pengampunan kepada Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN yang juga ahli parlimen bagi kawasan Permatang Pauh.

Kami kekal dengan keyakinan kami bahawa Anwar Ibrahim tidak bersalah dan menganggapnya seorang tahanan politik. Beliau difitnah sedemikian rupa sejak lebih 17 tahun lalu kerana tidak berkompromi dengan amalan rasuah, tamak dan tidak peduli oleh segelintir pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Kejayaan beliau memimpin kerjasama politik antara KEADILAN, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) rentas kaum sehingga berjaya menafikan majoriti majoriti dua pertiga yang selama ini dinikmati UMNO-BN semasa pilihan raya umum tahun 2008, dan kemudian mencapai undi majoriti melebihi UMNO-BN semasa pilihan raya umum tahun 2013 ternyata merupakan sejarah baru yang menggerunkan elit pemerintah UMNO-BN yang takut kehilangan kuasa.

Jika diteliti proses penyiasatan dan pendakwaan yang ternyata ada kesungguhan luar biasa untuk memastikan Anwar Ibrahim disabitkan bersalah dan merengkok di dalam penjara buat sekian kalinya.

Siri pemenjaraan Anwar sejak dekad 1970-an adalah bukti bahawa beliau bukan seorang pemimpin yang gentar, sebaliknya seorang yang komited dengan perjuangannya. Rekodnya semasa menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menjelaskan komitmen beliau untuk mewujudkan Malaysia yang lebih adil, khususnya dalam membela golongan termiskin dan rapuh dalam masyarakat.

AMK akan menggiatkan usaha bersama Pemuda Pakatan dan masyarakat sivil dalam mencari jalan membebaskan Anwar. Kempen bersama #KitaLawan dengan gesaan agar Anwar dibebaskan, Perdana Menteri Najib Razak berundur dan membantah cukai GST akan diteruskan.

AMK akan meneruskan cita-cita reformasi, berjuang bagi menegakkan keadilan untuk semua.

AMK akan berada di barisan hadapan bagi mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung rentetan pengumuman ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK telah bersetuju melantik Dr. Afif Bahardin, Timbalan Ketua AMK yang juga merupakan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ADUN Seberang Jaya sebagai Pengarah Pilihan Raya AMK untuk pilihan raya kecil ini.

Rakyat harus bangkit lawan GST

Pengenalan Cukai GST pada hari ini adalah satu kesilapan besar Kerajaan UMNO-BN. Angkatan Muda KEADILAN mengecam pengenalan GST dalam keadaan ekonomi negara yang gawat dan dibelenggu rasuah yang semakin serius.

Jelas sekali tangkapan luar biasa dan tindakan terhadap aktivis, pengamal media dan pimpinan Pakatan Rakyat meskipun dengan pelbagai alasan adalah usaha mengalihkan perhatian rakyat dari GST dan skandal 1MDB.

Sehingga kini, kerangka GST negara yang mempunyai kadar sifar dan pengecualian masih kabur. Penjelasan Kerajaan masih gagal dalam memberikan pemahaman kepada syarikat, pekerja dan pengguna.

AMK menyeru semua rakyat Malaysia untuk bangkit melawan GST dengan bersama-sama dalam Himpunan Hari Pekerja 2.30 petang 1 Mei 2015 di Kuala Lumpur.

#KitaLawan #BatalGST