Monthly Archives: March 2015

AMK mengecam serbuan ke atas Ibu Pejabat KEADILAN

Angkatan Muda KEADILAN mengecam tindakan polis menyerbu Ibu Pejabat KEADILAN semalam. Tindakan membawa Setiausaha Agung dan Ahli Parlumen Pandan Rafizi Ramli yang sedang direman dan merampas peralatan pejabat dengan alasan menyiasat perhimpunan #KitaLawan juga tidak perlu.

Kami kesal dalam isu-isu melibatkan masyarakat sivil dan parti-parti lawan UMNO-BN polis mengambil pendekatan yang keterlaluan.

Ini usaha terancang untuk menakut-nakutkan rakyat. Namun sebagaimana dilihat akhir-akhir ini, tangkapan demi tangkapan hanya menyemarakkan lagi semangat rakyat khususnya anak muda untuk melawan kezaliman dan menuntut keadilan.

Usia IPT tidak wajar jadi alasan ketinggalan

Saya merujuk kepada berita baru-baru ini yang menyatakan bahawa universiti tanahair tidak berjaya diiktiraf di dalam senarai tujuh universiti muda yang paling cepat membangun oleh Times Higher Education (THE).

Ketidakupayaan universiti-universiti tempatan untuk ditempatkan bersama universiti-universiti terbaik dunia sekali lagi membuktikan kegagalan kerajaan negara ini untuk melaksanakan sebuah sistem pendidikan yang efektif secara sistematik dan strategik, serta boleh melonjakkan universiti-universiti ini ke tahap antarabangsa.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, memberi alasan sebelum ini bahawa universiti-universiti di Malaysia ini adalah masih terlalu muda jika dibandingkan dengan universiti luar negara. Namun begitu ini bukanlah alasan yang baik kerana Nanyang Technological University (NTU) daripada Singapura, yang diiktiraf sebagai universiti terbaik di dalam senarai terbaru ini, adalah satu pertiga lebih muda daripada Universiti Malaya. Ini membuktikan bahawa umur sesebuah universiti bukanlah satu halangan ke arah kemajuan yang pantas dan berkekalan.

Jurucakap THE mencadangkan supaya universiti-universiti tempatan meningkatan lagi reputasi antarabangsa mereka, melalui kaedah-kaedah akademik, oleh itu saya menyarankan agak kerajaan BN duduk semeja dengan universiti-universiti tempatan dan berbincang dengan teliti untuk menyelesaikan segala masalah yang menjadi kekangan kepada kemajuan – samada perihal kewangan, hala tuju mahupun campur tangan kerajaan.

Dalam pada itu saya juga ingin menyatakan di sini bahawa kebebasan akademik di negara ini, yang merupakan salah satu asas penting kepada kemajuan akademik, sedang diancam teruk oleh tindakan-tindakan kerajaan BN, termasuklah di dalam kes Professor Azmi Sharom dan yang terkini Dr Khoo Ying Hooi, kedua-duanya daripada Universiti Malaya.

Jika kerajaan BN tidak mahu mengiktiraf kepentingan mendukung prinsip-prinsip asas seperti kebebasan akademik, serta mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk memperkembangkan pendidikan negara, saya percaya negara ini masih terlalu jauh dalam usaha untuk mencapai aspirasi akademik yang ditetapkan.

Pada masa ini, pendidik-pendidik kita tidak dibenarkan berbincang secara terbuka perkara-perkara yang mempunyai kepentingan akademik, termasuklah di dalam perihal tadbir urus negara, oleh itu bagaimana mereka hendak menyakinkan rakan sejawat mereka di peringkat antarabangsa bahawa mereka mempunyai kewibawaan di dalam bidang akademik?

Kerajaan BN haruslah sedar bahawa kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada reputasi akademik tempatan, tetapi ia juga memberi kesan yang besar kepada para cendekiawan serta pemimpin masa depan negara ini.

Sudah masanya kerajaan BN mengotakan kata-kata serta janji mereka, jika tidak sudah tentu Malaysia akan terus mengejar bayang, termasuklah bayang negara-negara jiran yang terdekat.

AMK mengecam ikat jamin RM3000 seorang dengan seorang penjamin ke atas 25 pembantah GST

Keputusan Mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM3,000 seorang dengan seorang penjamin ke atas 25 individu yang ditahan ekoran protes GST baru-baru di ini dilihat sebagai suatu yang berlebihan dan bersifat menghukum.

Ikat jamin hanyalah bertujuan untuk menjamin kehadiran orang kena tuduh ke Mahkamah dan oleh yang demikian, ikat jamin RM3,000 yang dikenakan ke atas setiap seorang yang ditahan tersebut adalah dikritik tegas. Mahkamah sepatutnya menggunakan budi bicara yang di amanahkan kepadanya dengan penuh kebijaksanaan. Mereka yang ditahan tersebut bukan dari kalangan penjenayah berbahaya mahupun mempunyai rekod jenayah lampau yang harus diikat jamin begitu tinggi demi memastikan kehadiran mereka di Mahkamah.

Ini bukanlah kali pertama Mahkamah berbuat demikian ke atas peserta perhimpunan aman. Keadaan ini seakan mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa undang-undang di negara ini di gunakan secara selektif dan tidak samarata terutamanya apabila ia melibatkan rakyat yang menentang usul dan tindakan kerajaan Barisan Nasional. 15 orang Penyokong UMNO yang merempuh masuk Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang tahun lepas yang mengugut dan merosakkan harta awam di dalam dewan tersebut hanya didenda RM1,500 sementara peserta perhimpunan aman di luar pejabat Kastam ini yang belum pun dibicarakan telah ‘dihukum’ terlebih dahulu.

Adalah tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan bahawa Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesamaraatan di sisi undang-undang hanyalah butir-butir huruf yang cantik yang dibukukan namun ia tidak diterjemahkan dalam keadaan ini.

AMK menegaskan bahawa mereka yang ditahan tersebut adalah individu yang hanya menggunakan hak bersuara mereka sepertimana yang dijamin di bawah Perlembagaan dan oleh yang demikian mengecam keputusan Mahkamah mengenakan ikat jamin keterlaluan tersebut.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kasar polis terhadap pembantah GST

Saya sangat terkejut dengan tangkapan beramai-ramai peserta Gabungan Bantah GST semasa mereka menjalankan protes terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Jabatan Kastam di DUN saya di Kelana Jaya semalam. AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kasar yang dilakukan pihak polis.

Semalam lebih 80 orang ditahan di balai polis Kelana Jaya termasuk mereka yang cuba disuraikan oleh polis anti rusuhan kerana berkumpul di luar balai untuk memberikan sokongan.

Dilaporkan bahawa pihak polis telah bertindak secara provokatif terhadap khalayak yang berhimpun.

Tindakan demikian tentulah berlebihan dalam menyuraikan perhimpunan yang umumnya berlangsung secara aman.

Pada masa yang sama, adalah tidak adil apabila pihak polis kelihatan cuba menafikan hak mereka yang ditahan untuk mendapatkan peguam.

Pihak polis sepatutnya memberikan fokus utama melindungi orang ramai dan menyelesaikan masalah jenayah berbanding menangani perbezaan pandangan dalam dasar-dasar awam.

Semua 106 soalan yang dikemukakan oleh Gabungan ini adalah sah dan mesti dijelaskan segera oleh pihak kerajaan.

Insiden terkini hanya menunjukkan mengapa Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar perlu segera meletakkan jawatan sebagai tindakan awal untuk mengurangkan pencabulan terhadap kebebasan asasi kebelakangan ini.

Respon terhadap Idris Jusoh

Saya menyambut baik janji Menteri Pendidikan Kedua, Idris Jusoh, yang telah menaruh jawatannya jika prestasi pelajar di dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pengajian Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) tiada peningkatan.

Tidak ramai ahli kabinet kerajaan UMNO-BN yang sanggup bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perkara di bawah bidangkuasa sendiri.

Kami akan memastikan Idris memegang pada janjinya, dan dalam pada itu kami juga berminat untuk mengetahui lebih lanjut rancangan beliau bagi memastikan peningkatan prestasi pelajar di dalam PISA dan TIMSS.

Walaubagaimanapun, beliau perlu ambil maklum bahawa keresahan ibu bapa, ahli pendidik dan pihak majikan bukanlah hanya tertumpu kepada kedua-kedua ujian penilaian antarabangsa tersebut.

Masalah yang dihadapi oleh sistem pendidikan Malaysia adalah lebih mendalam daripada prestasi pelajar yang kurang memberangsangkan di dalam PISA dan TIMSS — sememangnya penurunan dalam presetasi tersebut adalah membimbangkan.

Masih terdapat penyalahgunaan kuasa secara sistematik dan beberapa kelemahan di dalam sistem pendidikan yang tidak diendahkan. Ini termasuklah kelemahan di dalam latihan dan pengurusan guru, campur tangan politik di dalam kurikulum sekolah, dan juga dakwaan penyalahgunaan perolehan serta kes-kes perlakuan prejudis terhadap pelajar minoriti.

Adalah lebih baik jika Menteri berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah sekian lama tidak diatasi ini, dan menaruhkan jawatan di samping usaha untuk menyelesaikannya.

NIK NAZMI NIK AHMAD
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

Mengapa Shafee tak konsisten?

Saya baru-baru ini mengulas tindakan tidak profesional Shafee Abdullah kerana turut serta di dalam jelajah Pemuda UMNO berkaitan kes Fitnah II.

Hakikat bahawa beliau merupakan pendakwa di dalam kes itu dan bertungkus-lumus menyerang dan memfitnah watak Anwar Ibrahim selepas kes itu selesai adalah suatu insiden yang luar biasa di dalam sejarah sistem keadilan kita. Semasa program itu beliau telah menghina pasukan pembelaan, mengecam Anwar dan secara angkuhnya menyatakan bahawa Anwar akan “pengsan di mahkamah” sekiranya Anwar memilih untuk disoal balas oleh pihak pendakwa – tuduhan-tuduhan yang tidak boleh dijawab oleh Anwar. Malah, Shafee sanggup berkongsi kononnya butir-butir lucah dalam kes tersebut – yang mana sesetengahnya tidak ada pun di dalam transkrip mahkamah.

Tindakan menjijikkan beliau bukan sahaja menarik kritikan daripada ahli-ahli politik malah juga pengamal dan pengkaji undang-undang. Ramai peguam-peguam telah mengecam tindakannya – sehingga dua anggota terkemuka dan kanan iaitu Peguam Perlembagaan Tommy Thomas dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri V.C George telah membawa usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam yang terbaru terhadap Shafee untuk “mengecam sekeras-kerasnya” tindakan memalukan beliau.

Amat aneh ketika mana Shafee secara bebas mengutuk pihak lain – namun ketika giliran tindakannya diadili – beliau memilih untuk pada saat-saat akhir mendapatkan injunksi interim daripada mahkamah menghalang anggota Badan Peguam membincangkannya. Malang sekali Shafee, yang sebelum ini mendabik dada tentang kehebatannya sebagai seorang pendakwa di dalam kes Fitnah II dan secara berterusan melemparkan kecaman dan fitnah terhadap seorang yang dipenjara – namun gagal berhadapan dengan tekanan dipersoalkan kerana tindakannya. Mungkin Shafee sendiri yang akan “pengsan” sekiranya dipersoal.

AMK mengecam sekeras-kerasnya tangkapan terhadap pemimpin politik dan aktivis #KitaLawan

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya ancaman ke atas ahli politik dan aktivis yang terlibat dengan perhimpunan #KitaLawan di perkarangan Sogo pada 7 Mac melalui penangkapan serta penyoalsiasatan yang tidak berasas.

Terbaru, Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dan aktivis-aktivis muda Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh ditahan semalam. Sebelum ini saya sendiri; Ketua AMK Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli; Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Faris Musa; Naib Presiden dan Setiausaha Agung KEADILAN Rafizi Ramli.

Kami ingin mengingatkan di sini bahawa perhimpunan di Sogo tempoh hari yang dihadiri oleh lebih 10,000 orang adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan telah dianjurkan dengan aman tanpa sebarang permasalahan ataupun gangguan. Ketika perhimpunan berlangsung pihak polis telah membantu menjaga trafik dan kelancaran program.

Namun begitu, selepas perhimpunan pihak polis telah menggunakan undang-undang yang tidak relevan untuk mewajarkan tindakan mereka. Peruntukan 9(5) Akta Perhimpunan Aman terus diguna pakai meskipun keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkannya bertentangan dengan Perlembagaan.

Tindakan itu bukan sahaja memberi persepsi negatif ke atas kedaulatan undang-undang tanahair, malah ia juga memberi ancaman kepada teras prinsip demokrasi negara.

Kami menyeru pihak polis untuk menghentikan taktik ugutan ini dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun serta menyuarakan pandangan.

Terus Bersolidariti Di Jinjang

AMK menyeru semua anggota-anggotanya dan anak muda yang cintakan keadilan untuk terus bersolidariti di Balai Polis Jinjang pada malam ini dan mana-mana balai di mana ada aktivis #KitaLawan ditahan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan Koordinator Jingga 13 Fariz Musa direman sehingga esok di sana. Bendahari Dewan Pemuda PAS Perak Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar turut ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan tadi.

Kehadiran orang ramai pada #KitaLawan Sabtu lepas dan himpunan solidariti sewaktu saya ditahan membuktikan desakan rakyat agar Anwar Ibrahim dibebaskan, Najib Razak berundur dan UMNO-BN digantikan mendapat dokongan ramai.

Ayuh, kita kuatkan semangat. Lawan tetap lawan.

Tahniah rakyat Malaysia jayakan #KitaLawan

AMK ingin ucapkan tahniah kepada ribuan rakyat Malaysia yang bersama-sama menyokong himpunan #KitaLawan hari ini. Pada masa yang sama himpunan #KitaLawan di lokasi-lokasi seluruh dunia diadakan dengan jayanya.

Desakan kita agar Anwar Ibrahim bebas dan Najib Razak berundur didengari seluruh negara. Kejayaan perjuangan ini bukannya akan datang mudah, tetapi dengan usaha gigih dan berterusan insya Allah impian kita untuk melihat Malaysia yang lebih baik akan tercapai.

Saya ucapkan penghargaan atas kerjasama yang baik oleh pihak polis. Ini membuktikan himpunan aman boleh diadakan dengan jayanya sekiranya tiada provokasi.

Walau bagaimanapun,saya turut menyesali tindakan penggodam tidak bertanggungjawab yang telah menghantar mesej berunsur provokasi dengan menggunakan nombor telefon saya sewaktu aksi demonstrasi #KitaLawan ini sampai ke kemuncaknya sebentar tadi.