Monthly Archives: February 2015

Respon kepada Idris Jusoh tentang kualiti IPT Malaysia

Saya merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan II Malaysia, Idris Jusoh, bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia adalah setaraf dengan sistem-sistem di United Kingdom, Australia dan Negara Jerman. Jelas sekali kenyataan tersebut dilakukan tanpa merujuk kepada penilaian yang digunakan untuk menetapkan taraf atau kualiti sesebuah Universiti, tetapi hanya berdasarkan nombor serta data yang tidak teguh dan tidak didokong oleh penjelasan yang baik.

Kebolehan universiti tempatan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa sememangnya satu corak yang menggalakkan, namun begitu kita tidak seharusnya begitu cepat membandingkan universiti tempatan dengan universiti-universiti terulung dunia, kerana jurang di antara standard masih lagi begitu jelas seperti di dalam QS World Ranking.

Menteri tidak sepatutnya berasa angkuh dengan kedudukan universiti-universiti tempatan pada masa ini, namun ia sepatutnya menjadi dorongan untuk meningkatkan lagi kualiti yang sedia ada. Jika benar universiti tempatan sudah mula meningkatkan kedudukan di dalam senarai antarabangsa, kita haruslah mencari jalan untuk mengekalkan perkembangan ini dan bukannya berpuas hati dengan pencapaian yang terhasil hanya di dalam satu tahun.

Perlu diingatkan di sini bahawa Universiti Malaya juga pernah berkududukan lebih tinggi di dalam senarai antarabangsa, namun begitu reputasi universiti tersebut terjejas akibat kurangnya komitmen untuk mengekalkan mutu tersebut.

Matlamat utama sistem pendidikan tinggi negara sepatutnya adalah untuk menghasilkan graduan berkualiti tinggi yang mampu menyumbang semula kepada negara. Oleh itu saya rasa adalah lebih baik jika kita tumpukan usaha untuk menarik minat pelajar-pelajar terbaik kita sendiri dengan meningkatkan lagi kualiti universiti tempatan dan membiarkan kualiti tersebut menjadi tarikan, daripada mendabik dada hanya kerana kita berjaya menarik sekumpulan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

Kenyataan berkenaan penahanan saya

Saya kesal dan mengutuk tindakan luar biasa saya ditahan pada malam 22hb Februari 2015.

Pada sekitar 8.30 malam hari tersebut, pemandu saya memaklumkan saya ada lebih kurang 10 pegawai polis berpakaian biasa di sekitar rumah saya. Menurut jiran-jiran saya, mereka tiba lebih kurang tiga jam sebelum itu.

Mereka hanya memperkenalkan diri mereka kepada pemandu dan pembantu khas saya pada sekitar jam 9.30 malam, dan meminta saya turun bertemu mereka.

Pihak polis memaklumkan saya ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan niat melakukan jenayah.

Adam Adli dan Fariz Musa turut ditahan di bawah peruntukan yang sama sehari sebelum itu.

Saya mendapati tindakan pihak polis teramatlah aneh.

Sebagaimana saya telah maklumkan kepada media pada 21hb Februari, saya bersedia bekerjasama dengan pihak polis asalkan prosedur yang betul dan tepat dipatuhi.

Namun sebaliknya, saya ditahan dan dibawa ke balai di dalam kereta polis tidak bertanda diikuti sebuah lagi kereta di samping isteri dan kakitangan saya.

Pada mulanya saya dimaklumkan saya akan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi, tetapi di tengah-tengah perjalanan Pegawai Penangkap saya diminta ke Jinjang.

Di balai, Pegawai Penyiasat mengambil kenyataan mengenai Himpunan #KitaLawan pada 21hb Februari sekitar tengah malam.

Saya kemudian dibebaskan atas jaminan polis pada jam 2.00 pagi.

Saya tidak faham mengapa polis perlu memilih tindakan yang begitu dramatik hanya untuk merakamkan kenyataan daripada saya, apatah lagi selepas saya menyatakan dengan jelas bahawa saya akan bekerjasama dengan mereka.

Malah, saya ada asas untuk percaya bahawa pegawai Cawangan Khas mengikuti saya selepas perhimpunan pada 21hb Februari, di sekitar Sogo malah ketika saya solat di surau di sana dan ketika saya makan di Kompleks Pertama.

Pihak polis juga mempunyai ruang secukupnya untuk mengambil keterangan saya ketika saya solat di Balai Polis Jinjang dan selepasnya ketika program solidariti untuk Adam dan Fariz, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

Ini menimbulkan persoalan mengapa polis harus menunggu sehingga 22hb Februari untuk merakamkan kenyataan saya?

Mengapakah mereka perlu datang ke rumah saya pada lewat malam ketika anak kecil saya sedang tidur?

Sebagai wakil rakyat, saya tidak mungkin melarikan diri untuk apa-apa sebab.

Mengapakah mereka perlu mengambil kenyataan saya pada tengah malam jika mereka tidak mempunyai niat menahan saya?

Saya bukan seorang penjenayah ganas. Tuduhan ke atas saya bersifat politik dan seharusnya dilayan sedemikian.

Semua rakyat Malaysia boleh melihat ketidakadilan yang jelas dalam keadaan ini di mana wakil rakyat dan aktivis seperti Rafizi Ramli, Nga Kor Ming, S. Arutchelvan, Adam Adli, Fariz Musa dan Laurence Jeyaraj ditahan hanya kerana mempersoalkan keputusan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim, ketika mana Khairy Jamaluddin dan Shafee Abdullah dibiarkan meneruskan “jelajah” jijik mereka.

Inilah petanda betapa takutnya UMNO-BN terhadap kemarahan rakyat terhadap tindak-tanduk mereka.

Rakyat tidak seharusnya gentar. Tindakan kita terhadap ketidakadilan yang semakin nyata di negara kita adalah di dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

Saya menyeru agar semua yang dapat hadir himpunan #KitaLawan pada 28hb Februari dan kemuncaknya 7hb Mac untuk berbuat demikian, apabila kita secara aman akan menuntut kebebasan, keadilan dan pengiktirafan hak asasi kita.

Pada waktu UMNO-BN berada dalam ketakutan, rakyat berani. Kerajaan ini takut kepada rakyatnya, dan kita akan terus-menerus membuktikan kita tidak. Sebagaimana kata Anwar, kita tidak akan menyerah sama sekali.

#KitaLawan #BebasAnwar #March2Freedom

AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menahan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN dan Koordinator Jingga13 Fariz Musa serta aktivis mahasiswa Adam Adli selepas Himpunan #KitaLawan di Sogo.

Pihak polis berpakaian biasa turut cuba menangkap saya selepas Adam ditangkap. Saya mengecam tindakan mereka bertindak kasar tanpa memperkenalkan diri dan menjelaskan kesalahan saya dalam cubaan mereka menangkap saya.

Dalam kekecohan itu, orang ramai menarik saya meninggalkan Balai Polis.

Pihak polis harus membebaskan Fariz dan Adam serta-merta. Pihak berkuasa mesti menghormati hak demokrasi rakyat Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya menyeru anak-anak muda dan rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyatakan pendirian menolak kezaliman ini di perkarangan Sogo pada 28 Februari dan kemuncaknya 7 Mac nanti.

#KitaLawan #BebasAnwar

Perutusan Tahun Baru Cina

Bagi pihak AMK, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina di Malaysia.

Masyarakat Cina Malaysia adalah komponen penting dalam negara ini.

Malaysia tidak terbentuk tanpa mereka, atau mana-maan kumpulan etnik yang tinggal di negara ini semasa rundingan kemerdekaan dibuat.

Malah, sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia saban tahun adalah bukti kepelbagaian kita dan ia seharusnya menyatukan kita semua.

Ini adalah kekuatan yang mesti sentiasa dirayakan dan dipertahankan.

Tahun Baru Cina juga adalah peringatan tentang kepentingan hubungan baik kekeluargaan, sahabat handai dan jiran-jiran, terutama pada hari-hari mencabar ini. Kita berhadapan cabaran dari segenap segi: sikap perkauman, kesukaran ekonomi dan pencabulan institusi kehakiman.

Saya berharap semua rakyat Malaysia akan menikmati hari cuti yang panjang dan selamat dalam perjalanan pulang dan kembali dari pelbagai destinasi kampong halaman.

Semoga Tahun Kambing memberi kegembiraan, kesihatan dan kemakmuran buat semua dan negara kita.

Respon Terhadap Siri Jelajah Pemuda UMNO Dalam Isu Kes Fitnah 2 Anwar Ibrahim

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin bahawa barisan pemuda parti politik itu akan memulakan jelajah berhubung kes Fitnah 2 dengan orang yang kononnya paling layak untuk membuat penjelasan tersebut iaitu Shafee Abdullah, saya melihat ini sebagai satu tindakan yang terdesak oleh parti tersebut untuk mendapatkan kepercayaan rakyat.

Kesediaan Shafee Abdullah untuk bersama program tersebut bukan sahaja merupakan satu tindakan yang tidak wajar, malah merendahkan martabat sistem kehakiman dan Jabatan Peguam Negara seolah-olah penghakiman tersebut begitu lemah sehingga perlu dipertahankan sebegitu rupa walaupun keputusan tersebut memihak kepada mereka.

Shafee Abdullah yang telah dilantik secara ad-hoc sebagai timbalan
pendakwaraya dilihat telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menghina Anwar Ibrahim selepas keputusan kes berkenaan terutamanya menerusi media-media milik UMNO.

Ini adalah satu yang tindakan yang cukup tidak profesional. Tidak pernah berlaku dalam sejarah seorang ‘pendakwaraya’ daripada Peguam Negara keluar untuk membuat pelbagai kenyataan terhadap tertuduh lebih-lebih lagi melalui ‘roadshow’. Malah ketua pendakwaraya dalam kes Fitnah 1 terdahulu dan kes-kes berprofil tinggi yang lain juga tidak pernah dilihat mencanang penjelasan mereka di media UMNO apatah lagi melalui satu roadshow selepas keputusan kes mereka.

Saya melihat kelakuan Shafee Abdullah lebih-lebih lagi dengan kesediaannya untuk bersama Pemuda UMNO dalam jelajah tersebut sebagai tindakan kebudak-budakan beliau dalam berdepan dengan kritikan oleh masyarakat berhubung penglibatannya dan sekaligus keputusan kes tersebut yang dikecam hebat oleh masyarakat dan negara-negara luar.

Sekali lagi saya mengulangi cabaran kepada Shafee untuk berdebat secara terbuka, dan bukan menyorok di belakang hujah agama cetek mahupun tuan politiknya dalam hal ini.

#KitaLawan #BebasAnwar

18 Februari 2015

Respon kepada Nur Jazlan dalam isu Solat Hajat

Minggu lepas, Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed menyebut ‘Solat hajat tidak akan mengubah nasib Anwar’.

Beliau mengulas keputusan KEADILAN agar anggota-anggota Muslim di peringkat Cabang mengadakan solat hajat pada malam Jumaat lepas. Nur Jazlan menyifatkan tindakan ini sebagai menolak takdir.

Solat hajat, adalah soal berdoa dan berharap dengan kebesaran Allah. Soal makbul atau tidak, itu dibawah kehendak Allah swt. Yang penting, di sebalik solat hajat itu adalah mahu meletakkan diri kita sebagai hamba di hadapan Allah.

Memaksa doa agar dimustajabkan dengan segera tidak disukai oleh Allah SWT.

Dalam hadis al-Bukhari, daripada Abu Hurairah berkata bahawa Nabi Muhammad saw ada menyebut;

Maksudnya; “Doa seseorang kamu dimustajabkan selama dia tidak gopoh, iaitu seperti dia berkata, “aku berdoa, lalu doaku tidak dimustajabkan” (al-Bukhari, hadis no : 6340)

Jika makbul menjadi neraca solat hajat itu baru dilaksanakan, sudah pasti tidak perlu kepada konsep doa dalam mengikut ajaran Islam. Ini kerana, Nabi Muhammad saw pun tetap terus berdoa, walaupun ia tidak dimustajabkan oleh Allah. Dalam hadis riwayat Imam Muslim, daripada Saad bin Abi Waqas berkata bahawa ketika para sahabat bermusafir bersama Rasulullah, hingga sampai di sebuah masjid Bani Mu’awiyah. Baginda saw masuk dan menunaikan solat dua rakaat (solat sunat), dan para sahabat turut sama solat bersama Rasulullah saw. selepas itu, Baginda saw berdoa panjang. Kemudian, baginda saw mengadap kami dan berkata;

Maksudnya; “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara; Allah menerimanya dua perkara, dan menolak satu. Aku meminta dengan Allah; agar Allah tidak binasakan umatku selama setahun, dan Allah memberinya (terima).Aku meminta agar tidak dibinasakan umatku dengan tenggelam (dalam bumi seperti dilakukan kepada Qarun), dan Allah memberinya (terima). Dan aku bermohon agar tidak menjadikan mereka berpecah di kalangan mereka, lalu Allah mencegah aku (tidak makbul). (Muslim, hadis no : 20 -(2890))

Jelas, konsep doa dan solat hajat adalah konsep merendah diri di hadapan Allah SWT ketika berhadapan sebarang musibah. Jadi, ia tidak sewajarnya dipandang hina. Ia bukan kerana tidak dimustajabkan, tetapi ia dilarang dalam hadis bergopoh untuk doa itu dimustajabkan.

Jazlan kena faham bahawa soal mustajab adalah kerja Allah, sedangkan tugasan merendah diri di hadapan Allah dalam bentuk solat hajat adalah tugas kita sebagai hamba, sepertimana Jazlan perlu faham bahawa soal hidayah adalah kerja Allah, sedangkan tugas kita adalah berdakwah.

Berhimpun di Mahkamah Jalan Duta Esok sebagai Solidariti kepada Anwar Ibrahim

Bagi pihak AMK, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jutaan rakyat Malaysia, terutama golongan muda, yang telah menyuarakan kemarahan dan perasaan jijik di atas penahanan Anwar Ibrahim yang dilakukan tanpa keadilan.

Usaha anda untuk berturut serta menunjukkan solidariti melalui perhimpunan aman, perarakan dan usaha aktif melalui sosial media merupakan bukti kepada negara dan seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia tidak akan menyerah kalah kepada kekejaman dan penganiyaan. Semalam, anak-anak muda daripada pelbagai parti politik, NGO di samping golongan pekerja, profesional, mahasiswa dan aktivis bertemu dan menghasilkan Resolusi Anak Muda dan penubuhan gabungan #KitaLawan.

Tidak syak lagi, Anwar Ibrahim pada dasarnya adalah seorang tahanan politik. Tahanan beliau merupakan kes yang paling menonjol di antara semua kes ketidakadilan yang sudah terlalu banyak di tanahair ini.

Dalam pada itu, Shafee Abdullah seharusnya berhenti mengugut pengkritik keputusan tersebut dengan tindakan penghinaan mahkamah, malah sepatutnya mengambil bahagian di dalam perdebatan secara terbuka di dalam perkara ini, yang sememangnya mempunyai implikasi serius ke atas seluruh rakyat Malaysia.

Minggu ini merupakan minggu yang teramat sukar bagi KEADILAN, Pakatan Rakyat dan juga Malaysia dengan penahanan Anwar serta pulangnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah.

Malahan, kesedihan di atas pemergian mengejut Karpal Singh juga masih belum reda sepenuhnya.

Namun begitu, usaha untuk mengerakkan Malaysia ke hadapan tetap diteruskan.

Perjuangan ini mesti diteruskan, kerana kita bertanggungjawab memberi peninggalan terbaik demi negara dan dunia daripada apa yang ditinggalkan kepada kita setakat ini.

Kita harus memberi penghormatan kepada para wirawan dengan mencontohi kehidupan mereka dengan penuh kesabaran dan ketekunan.

Walaupun masa hadapan adalah teramat sukar, namun begitu marilah kita meneruskan usaha yang telah kita terajui selama inin.

Pada hari Selasa ini, bersamaan 17 Februari, saya menyeru rakyat Malaysia untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar di dalam kes mahkamah beliau terhadap Anifah Aman pada pukul 8.30 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

#KitaLawan #BebasAnwar

Zahirkan Kemarahan Anak Muda Tolak Kezaliman Terhadap Anwar Ibrahim

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam keputusan kes Fitnah 2 sebagai satu konspirasi politik untuk melemahkan perjuangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Namun kezaliman ini hanya menguatkan lagi semangat anak muda untuk melawan kebobrokan penguasa. Yang pasti anak muda tidak akan berdiam diri walaupun terdapat unsur-unsur tekanan dan ugutan daripada pihak berkuasa untuk menutup mulut rakyat daripada menyuarakan pendapat mengenai fakta-fakta kes yang ternyata menjurus ke arah konspirasi politik.

Sebagai permulaan, kami menyahut seruan Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN untuk berhimpun solidariti (vigil night) di hadapan penjara Sungai Buloh setiap malam yang telah bermula sejak malam semalam.

Manakala, pimpinan AMK di peringkat negeri juga akan menggerakkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi bermula dengan flashmob selepas solat Jumaat esok di masjid-masjid tumpuan utama di setiap negeri. Kami juga akan hidupkan pentas-pentas ceramah Jelajah Bebas Anwar di peringkat AMK cabang untuk menerangkan fakta-fakta kes dan menayangkan video ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di dalam Mahkamah.

Kami juga akan mengadakan pertemuan-pertemuan dengan anak muda dari pelbagai latar belakang sebagai usaha bersepadu menzahirkan kebangkitan orang muda bermula dengan sesi perbincangan pada hari Ahad ini di Kuala Lumpur.

#KitaLawan #BebaskanAnwar

AMK Kecam Keputusan Kes Anwar

AMK mengecam keputusan Mahkamah Persekutuan yabg jelas tidak adil untuk mengekalkan keputusan bersalah ketua kami, Anwar Ibrahim.

Keputusan ini mendedahkan kepada negara dan dunia bahawa keadilan sudah mati di Malaysia.

Anwar tidak bersalah dan merupakan mangsa kezaliman politik.

Kami menyeru semua penyokong untuk bertenang. Kami akan bertemu teman-teman Pakatan Rakyat untuk menentukan langkah seterusnya.

Kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarganya, kami berkongsi kesedihan anda. Tetapi kami juga bersama dalam ujian ini.

Perjuangan kita untuk keadilan dan reformasi berterusan meskipun adanya keputusan ini.

Hentikan Tindakan Terhadap Nik Raina

Dilaporkan bahawa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memfailkan permohonan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan JAWI salah dalam menyerbu dan merampas buku kontroversi di sebuah kedai buku Borders beberapa tahun sebelum ini, sekaligus telah membebaskan Nik Raina Nik Abdul Aziz, pengurus cawangan Borders tersebut.

AMK kecewa dengan keputusan JAWI tersebut terutama selepas Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan membuat keputusan jelas mengenainya. Keputusan JAWI ini bermaksudNik Raina akan terus melalui kesukaran sepanjang proses undang-undang yang dibawah ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

AMK menggesa JAWI berhenti daripada menjadikan Nik Raina sebagai kambing hitam. Mahkamah dengan jelas mengatakan bahawa tindakan JAWI ini bercanggah dengan Perlembagaan.

AMK mempersoalkan ketegasan JAWI meneruskan tindakan terhadap Nik Raina sedangkan masalah sebenar ialah buku yang diperkatakan. Nik Raina hanyalah pengurus cawangan yang menjual buku tersebut dan beliau tidak sepatutnya dipersalahkan kerana buku tersebut dijual di cawangan yang diuruskannya ketika ia belum pun diharamkan.

AMK sekali lagi menggesa JAWI menarik balik rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan tidak lagi meneruskannya pada masa akan datang.