Monthly Archives: January 2015

Ucapan Perasmian Pesta Buku Selangor 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

Saudara Pengacara Majlis;

Yang Berhormat Puan Dr Hajah Halimah Ali
Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang
Merangkap:
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor;

Puan Mastura Haji Muhamad
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor;

Exco-Exco;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Perpustakaan Awam Selangor;
Ketua-ketua jabatan; Wartawan dan media; Para jemputan, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah rahmat-Nya kita dapat bersama-sama berkumpul di majlis yang sungguh bermakna di Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015.

Hari ini merupakan satu penghormatan kepada saya untuk bersama-sama warga perpustakaan yang berdedikasi dan bersemangat tinggi dalam tanggungjawab masing-masing, yang mana dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang lain, penganjuran Pesta Buku Selangor dilaksanakan dengan lancar sejak tahun 2006. Tahniah dan syabas saya ucapkan atas kejayaan penganjuran pesta buku untuk kali yang kesepuluh ini. Saya yakin Pesta Buku Selangor yang saban tahun dijalankan oleh PPAS dan Kerajaan Negeri Selangor akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat bukan sahaja di dalam negeri ini, malah negeri-negeri di sekitar Selangor.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Mana-mana kerajaan yang berdiri pada hari ini bertanggungjawab sebagai penerus legasi kepimpinan yang adil, berintegriti, berjati diri, dan prihatin. Bagi Kerajaan Negeri Selangor, berpandukan agama dan prinsip kepimpinan, inilah perjalanan yang kita teruskan.

Kita mesti sentiasa terus efektif, progresif, dan produktif. Jentera dan kakitangan kerajaan hendaklah tidak kurang produktif sama ada sebelum ataupun sesudah apa-apa malapetaka dan bencana alam. Minda dan pemikiran kita hendaklah sentiasa kreatif dan inovatif, kerana perkhidmatan yang cekap dan amanah sentiasa diperlukan untuk menambah nilai kehidupan masyarakat. Mengambil pengajaran daripada bencana banjir yang melanda penduduk Pantai Timur, bermula hari ini, marilah kita sama-sama bangkit untuk mendirikan semula sebuah negeri.

Di mana-mana sahaja kita lihat, begitu banyak kerja dan tugasan yang perlu dilakukan. Situasi ekonomi semasa memerlukan tindakan yang berani dan pantas, dan kita akan sama-sama bertindak – bukan sahaja untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu, tetapi untuk membina sebuah asas yang kukuh untuk pembangunan.

Semua ini kita boleh lakukan. Dan semua ini insya Allah kita akan laksanakan.

Hadirin sekalian,

Membaca adalah amalan yang penting. Tidak ada peradaban yang bangkit tanpa membudayakan ilmu dan pembacaan. Meskipun medium kini semakin berubah, amalan pembacaan kekal penting, bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi ilmu yang berteraskan hikmah atau wisdom.

Justeru saya menyeru ibu bapa untuk mengamalkan budaya membaca bermula di rumah. Sebagai bapa muda dengan anak yang kecil, saya tahu lebih mudah meninggalkan anak di rumah dengan gadget terkini tetapi ibu bapa mestilah menanam amalan ini dari awal.

Di sini peranan perpustakaan adalah amat penting.

Bagaimanakah sebuah perpustakaan boleh memainkan peranan dalam pembangunan sebuah negeri?

Perpustakaan pada hari ini bukanlah sekadar sebuah bangunan yang menguruskan buku dan data semata-mata. Perpustakaan adalah ibarat jendela kepada dunia yang lebih luas; tempat di mana komuniti berkumpul untuk mencambahkan idea hebat dan konsep baharu. Perpustakaan mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila Internet menjadi pencetus revolusi pencarian maklumat. Gelombang revolusi ini sudah tentunya menuntut perpustakaan agar melakukan perubahan segera supaya kekal relevan sebagai institusi maklumat untuk masyarakat.

Perpustakaan awam, sesuai dengan kedudukannya yang neutral dalam memberi khidmat kepada semua lapisan masyarakat, adalah sebuah institusi paling strategik untuk mendidik dan membangunkan modal insan. Posisi unik perpustakaan awam ini juga tidak dinafikan telah lama berada dekat di hati masyarakat. Perpustakaan awam memberikan khidmat terbaik tidak mengira umur, kaum, latar belakang agama, pendidikan, dan julat pendapatan.

Maka tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa perpustakaan awam juga berperanan sebagai prevention center. Ini kerana perpustakaan mampu mendidik hati dan jiwa masyarakat melalui suasana persekitarannya yang kondusif, layanan kakitangan yang mesra dan prihatin, koleksi buku dan bahan bermaklumat yang memperkaya minda, serta prasarana dan kemudahan yang selesa, bersih dan terkini untuk menambah nilai kehidupan.

Tahniah kepada PPAS yang mana telah mendapat pengiktirafan antarabangsa di atas infrastruktur yang inovatif dan penjenamaan yang kreatif bukan sahaja di Perpustakaan Raja Tun Uda malah perpustakaan-perpustakaan seluruh negeri Selangor.

Oleh sebab itu juga, baru-baru ini Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin bin Ali, menguar-uarkan program penterjemahan karya antarabangsa yang bakal dikawalselia oleh PPAS. Ini sudah tentunya kerana beliau percaya bahawa perpustakaan berupaya memastikan hanya buku-buku berkualiti yang akan diterjemah kandungannya ke Bahasa Melayu. Gerakan penterjemahan ini adalah strategi membudayakan ilmu sebagaimana yang diperlihatkan melalui tamadun Islam di Tanah Arab (The Baghdad Enlightenment) pada kurun ke-10, budaya Renaissance di Barat bermula kurun ke-16 dan kebangkitan Meiji di Jepun pada kurun ke-19.

Justeru, amatlah malang sekali ketika budu, cencalok dan lobster dikecualikan dari GST, buku tidak dikecualikan sepenuhnya dari cukai baru ini! Persatuan Penerbit Buku Malaysia telah menyuarakan kebimbangan tentang hal ini. Syabas saya ucapkan kepada Dubook Press yang memberi komitmen mencari jalan tidak mengenakan GST terhadap buku-buku mereka.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas penganjuran Pesta Buku Selangor melalui sinergi kolaboratif di antara:

• Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor,
• Kerajaan Negeri Selangor,
• Majlis Bandaraya Shah Alam,
• Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,
• Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor,
• Selangor Kini dan TV Selangor,
• Jabatan Perpaduan,
• Tourism Selangor,
• Tourism Malaysia Selangor,
• Yayasan Selangor,
• Jabatan Agama Islam Selangor,
• Persatuan Taska Negeri Selangor,
• Majlis Permuafakatan Tadika Selangor,
• Pihak Berkuasa Tempatan, dan
• Pusat Komuniti Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Tidak ketinggalan juga terima kasih yang tidak terhingga kepada para pempamer, syarikat-syarikat penerbit tempatan, wartawan dan media, dan agensi swasta seperti Kumpulan Media Karangkraf, Telesign Communications, dan Nasyeed.com, yang menerusi kolaborasi inovatif mereka, Pesta Buku Selangor 2015 berjaya direalisasikan.

Alhamdulillah Shah Alam pada masa yang sama menyaksikan dua acara ilmu gergasi – Pesta Buku Selangor yang merupakan sebahagian daripada Temasya Selangor 2015 dan Karnival Karangkraf. Ini menunjukkan masyarakat menghargai program-program seperti ini.

Besar harapan saya, penyertaan penulis antarabangsa Leila Chudori dari Indonesia membuka ruang agar tahun hadapan kita dapat mengangkat martabat acara ini menjadi Pesta Buku Antarabangsa Selangor. Malah, kita sewajarnya meletakkan pesta buku terbesar dunia kelolaan sejarahwan William Dalrymple, Jaipur Literary Festival sebagai tauladan.

Dan untuk itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Pesta Buku Selangor 2015.

Sekian, wassalam.

Penubuhan Jawatankuasa Penambahbaikan UNISEL

Sebuah Jawatankuasa Penambahbaikan Universiti Selangor telah ditubuhkan dengan dianggotai pakar-pakar pendidikan bagi meneliti isu-isu yang dihadapi oleh UNISEL secara lebih khusus dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengarah PIYS.

Terma rujukan Jawatankuasa Penambahbaikan ini adalah

1. Membuat penilaian prestasi pegawai-pegawai utama UNISEL;

2. Membuat penilaian program-program akademik UNISEL;

3. Membuat penilaian penyelidikan yang dijalankan oleh UNISEL;

4. Melihat strategi korporat, pengurusan kewangan dan governans UNISEL; dan

5. Mengkaji kemudahan prasarana sedia ada UNISEL.

Keanggotaan Jawatankuasa Penambahbaikan yang dicadangkan adalah:

1. Dr Shaharir Mohamad Zain, Felo Penyelidik Kanan, Institut Pengurusan dan Pemantauan Penyelidikan, Universiti Malaya / Felo Akademi Sains Malaysia / bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

2. Profesor Dato’ Ir Dr Hasan Basri, Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar / bekas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia

3. Profesor Dato’ Dr Jamil Osman, bekas Rektor Kolej Universiti Insaniah / bekas Timbalan Rektor (Akademik) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

4. Profesor Dato’ Dr Anuar Zaini Md Zain, Ketua Fakulti Jeffrey Cheah School of Medicine, University of Monash Malaysia Campus / bekas Naib Canselor Universiti Malaya; dan

5. Dato’ Dr Toh Kin Woon, Ahli Panel Penasihat Institut Rakyat / Felo Penyelidikan Kanan Penang Institute / bekas EXCO Pendidikan Pulau Pinang / bekas pensyarah UKM / bekas pensyarah HELP University.

Isu Daim: Anwar Konsisten Dedahkan Kepincangan

Saya ingin memberikan sedikit maklum balas mengenai kenyataan Ariff Sabri Abdul Aziz, ahli parlimen Raub mewakili DAP yang mempersoal Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga Ketua Umum KEADILAN yang dikatakan meletakkan keutamaan salah dalam strategi,  bersungguh menentang Daim Zainuddin dan bukan untuk menjatuhkan BN daripada kuasa, khususnya dengan mendedahkan kelemahan kepimpinan Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai ahli politik dan penganalisa isu semasa yang cekap, saya berpandangan bahawa Ariff Sabri seharusnya menyedari bahawa komitmen Anwar Ibrahim kepada usaha mereformasi politik negara, menjatuhkan BN dan mengeratkan hubungan antara parti-parti pembangkang tidak wajar dipersoalkan lagi.

Beliau mungkin nampak bersungguh dalam menawarkan diri memberi maklumat berkenaan kes Daim, namun jangan dilupakan bahawa beliau juga tegas menyatakan pendirian dan sikap terhadap pentadbiran di bawah kepimpinan BN yang lain sejak zaman Dr. Mahathir lagi. Malah, sejak 1998 sehingga hari ini Anwar telah konsisten menyatakan pendiriannya terhadap dakwaan rasuah terhadap Daim.

Saya yakin, sebagai sahabat Daim, Ariff sendiri sedar perkara ini.

Apakah Daim boleh dilepaskan begitu saja hanya kerana beliau bukan ahli politik yang memegang jawatan utama dalam kerajaan kini? Saya yakin komitmen untuk mendedahkan banyak kepincangan yang disorok sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa akan menjelaskan hal ini dan inilah yang sangat ditakuti oleh sesetengah pencatur politik seperti Daim.

Berkaitan keputusan mahkamah, saya fikir kita semua jelas bahawa ia adalah fitnah jahat yang sengaja dibuat utuk menyekat kemaraan beliau dalam politik. Ini bukan serangan terakhir dan satu-satunya dakwaan yang akan dihadapkan kepada beliau.

Usah Respon Kepada Tweet Eric Paulsen Dengan Ancaman

Saya merujuk kepada kontroversi melibatkan peguam Eric Paulsen mengenai Islam.

Eric menulis twitter di akaunnya @EricPaulsen101 bahawa “JAKIM is promoting extremism every Friday. Government needs to address that if serious about extremism in Malaysia.”

(JAKIM menyebarkan pandangan melampau setiap Jumaat. Kerajaan harus menanganinya jika mereka serius tentang ekstremisme di Malaysia)

Ada dua perkara utama yang mana saya tidak bersetuju dengan Eric:

1) Sememangnya ada kandungan khutbah Jumaat yang mana tidak disenangi ramai rakyat Malaysia, sama ada yang beragama Islam mahupun tidak. Pun begitu, untuk mengatakan semua khutbah, JAKIM menyebarkan fahaman pelampau juga adalah salah;

2) Juga bukan semua khutbah yang menyebarkan fahaman yang melampau datang daripada skrip yang diluluskan JAKIM.

Harus diingat bahawa Solat Jumaat adalah wajib bagi semua lelaki Islam. Seperti yang dikatakan oleh Syeikh Hamza Yusuf, ini merupakan temujanji kita bersama Allah s.w.t., di mana umat Islam memakai pakaian terbaik mereka, seperti mana tradisi Kristian yang memakaikan pakaian paling kemas ketika hari Ahad. Maka Solat Jumaat apa dimuliakan oleh umat Islam.

Pun begitu, saya tidak bersetuju bahawa kita patut bertindak ganas, mengugut mahupun menggunakan Akta Hasutan sebagai respon. Eric mengutuk badan berkanun, bukannya Islam itu sendiri. Umat Islam sepatutnya bertindak dengan menggunakan hujah sebagai respon terhadap perkara yang kita tidak setujui.

Pada masa yang sama, harus diingat bahawa khutbah Jumaat sepatutnya bersifat mencerahkan dan menyatupadukan masyarakat setiap minggu. Sebab itulah kita memohon kesejahteraan umat dan negara di dalam doa Solat Jumaat.

Khutbah-khutbah ini seharusnya memupuk persefahaman dan perpaduan. Ini menjadi lebih penting di dalam negara majmuk seperti Malaysia di mana prinsip rahmatan lil alamin – Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam – sepatutnya diperkukuhkan.

Justeru, khutbah-khutbah Jumaat sepatutnya memfokuskan kepada asas-asas Islam iaitu menegakkan keadilan, dan menyebarkan kesejahteraan dan keamanan untuk semua.

Tidak sepatutnya khutbah-khutbah dijadikan alat untuk tujuan politik yang tertentu, dengan menyebarkan matlamat partisan golongan pemerintah.

Lindungi SKMM Dari Lantikan Politik

Saya merujuk laporan media yang mendakwa seorang ahli politik UMNO, Dr Mazlan Ismail mungkin dilantik untuk menggantikan Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini Dr Mazlan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum lalu dan tewas kepada Anwar Ibrahim.

Kontrak Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

Akhbar milik UMNO, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat.

Ini tidak ada kena mengena dengan kelayakan Dr Mazlan.

Namun, kepentingan awam hanya akan dijaga dengan lebih baik sekiranya badan kawal selia yang penting dipimpin oleh seorang teknokrat.

Ini lebih-lebih lagi kepada badan sepenting SKMM yang mengawal selia media atas talian di Malaysia yang kian memainkan peranan penting.

Adalah penting semua keputusan dan tindakan SKMM dibuat tanpa sebarang keraguan yang dikaitkan dengan kepentingan dan sikap memihak secara politk.

Malah, seorang pengerusi baru yang bakal dilantik nanti mesti meastikan amalan kebebasan bersuara yang banyak dikekang di negara ini terus dihakis.

Oleh kerana itu, saya menggesa pihak bertanggungjawab dalam Kerajaan Persekutuan dan SKMM segera menjelaskan persoalan ini kepada orang ramai.

Kenyataan Berhubung Pembunuhan di Paris

Saya amat kesal dengan serangan terbaru ke atas pejabat majalah satira Perancis, Charles Hebdo.

Serangan itu merupakan tindakan keganasan yang bacul.

Tiada agama yang akan menyokong tindakan keganasan sedemikian. Kita perlu mengingati warisan Amir Abdul Qadir al-Jazairi, pejuang kemerdekaan Algeria kurun ke-19 yang dihormati bukan sahaja di kalangan umat Islam malah musuh-musuhnya, iaitu orang Perancis dan seluruh dunia kerana akhlaknya bersama kawan dan lawan.

Itulah Islam sebenar yang mesti kita perjuangkan.

Sebagaimana disebut Tariq Ramadan, “Bertentangan dengan apa yang didakwa dikatakan oleh para pembunuh di pengeboman pejabat Charlie Hebdo, bukan maruah Rasulullah s.a.w. yang diperjuangkan, sebaliknya agama kita, nilai-nilai kita dan prinsip Islam yang telah dikhianati dan dicemari.”

Saya ingin menyuarakan simpati saya terhadap keluarga dan sahabat-sahabat mangsa.

Saya juga berharap golongan yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya ditakutkan oleh kebencian dan fanatisme ini.