Monthly Archives: December 2014

Banjir: AMK ucap takziah dan usahakan bantuan

AMK ingin mengucapkan takziah kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri, terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Setakat makluman awal, situasi banjir kali ini khususnya di Kelantan, adalah lebih buruk jika dibandingkan dengan pengalaman sebelumnya.

AMK Pusat sedang berusaha mengumpulkan sekurang-kurangnya RM10,000 selain dalam bentuk barangan sebagai bantuan untuk disalurkan ke beberapa kawasan di negeri-negeri yang mengalami masalah banjir ini.

Minggu lalu, saya sendiri bersama beberapa pimpinan AMK Pusat dan rakan-rakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan AMK Kelantan telah melawat empat kawasan banjir di Gual Ipoh, Pasir Puteh, Palekbang dan Pengkalan Kubur untuk memberikan sedikit bantuan.

AMK juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sumbangan masing-masing melalui pelbagai pertubuhan dan jawatankuasa yang dibentuk oleh pelbagai pihak untuk memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang ada.

Ini adalah peluang terbaik untuk kita semua bekerjasama memastikan aspek keselamatan dan kebersihan terjaga, seterusnya menawarkan bantuan yang sesuai untuk waktu sementara sehingga situasi reda dan bantuan-bantuan lain diusahakan kemudian.

AMK Pusat sekali lagi mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan berdoa agar kesulitan ini dapat ditangani dengan baik pada kadar segera.

Bagi mereka yang berminat menyumbang, anda boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Islamic Bank di atas nama Khidmat Seri Setia bernombor 3810876621 atau menghubungi Nadzira 0122494613.

Perutusan Sempena Perayaan Krismas

Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada semua penganut Kristian di Malaysia.

Sambutan Krismas di seluruh negara adalah petunjuk penting bahawa penerimaan kemajmukan di negara ini masih kekal utuh.

Kita semua mesti meraikan dan mempertahankan ini daripada suara-suara ekstrimis.

Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia – terlepas apa juga kepercayaan dan kaum – tidaklah begitu asing dengan amalan memberi semasa Krismas serta sama-sama berkumpul meraikannya.

Bagaimanapun, kita tidak harus melupakan bahawa Krismas pada tahun ini juga, bagi ramai orang di seluruh dunia, adalah waktu sukar dan penuh penderitaan. Malangnya ini terpaksa dilalui oleh ramai penganut Kristian dan lain-lain penduduk di Timur Tengah – khususnya di Iraq dan Syria – berikutan konflik kelompok di sana. Begitu juga penderitaan rakyat Palestin Muslim dan Kristian bawah rejim Zionis Israel.

Kita berharap masyarakat antarabangsa tidak melupakan mereka terutama di waktu yang sangat diperlukan pada ketika ini dan perayaan Krismas serta Tahun Baru akan membawa keamanan berpanjangan di rantau itu yang merupakan kawasan kelahiran kepercayaan-kepercayaan besar warisan Nabi Ibrahim.

Sepanjang lebih seribu tahun di bawah pemerintahan Islam, penduduk Kristian berkembang dengan masyarakat Muslim dan Yahudi di rantau itu sebagai Ahli Kitab.

Selain itu, di negara kita, ramai rakyat Malaysia kini diuji dengan bencana banjir dan cuaca tidak menentu.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru.

Solidariti bersama “UM8” dan “Occupy UM”

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyokong pergerakan “Occupy UM” dan turut menyatakan solidariti kepada “UM8”, iaitu kumpulan pelajar yang dikenakan hukuman kerana menganjurkan satu program pidato Anwar Ibrahim di Universiti Malaya.

Kami juga menyokong usaha oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk bersama-sama pelajar dan menghantar nota bantahan kepada pihak pentadbiran Universiti pada hari Selasa hadapan bagi menolak hukuman yang dikenakan kepada UM8.

Pergerakan “Occupy UM” adalah berasas dan sah berdasarkan hak warganegara untuk ikut terlibat dalam bantahan aman terhadap hukuman drakonian dan tidak adil terhadap UM8.

Dengan tindakan menggantung pengajian pemimpin-pemimpin pelajar yang sebenarnya agak cemerlang dalam pencapaian akademik mereka, pentadbiran UM jelas menunjukkan bahawa mereka tidak berminat untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang terbuka, berfikir dan sedia untuk bertukar fikiran, terutama dalam isu-isu penting dalam negara. Sebaliknya, mereka jelas tunduk kepada tekanan dan kawalan politik.

“Occupy UM” dan “UM8” melambangkan anak muda Malaysia yang bermaruah dan ada jati diri, kelompok yang tidak lagi dapat menerima kekangan untuk suara mereka diketengahkan dalam isu-isu negara.

AMK menggesa semua rakyat Malaysia – yang muda dan tua – untuk menyokong mereka dan kumpulan seumpamanya, dalam perjuangan memastikan adanya kebebasan akademik dan pastinya lebih besar lagi ialah kebebasan bersuara di negara kita yang sekian lama dikekang dalam pelbagai bentuk.

AMK menggesa pihak pentadbiran UM menarik balik hukuman-hukuman yang dikenakan kepada UM8 di samping menjamin kebebasan bersuara dan akademik.

Penyeksaan CIA terhadap suspek keganasan: Malaysia wajib beri penjelasan

Satu rumusan daripada laporan panjang yang memperincikan penggunaan paksaan dan penyeksaan oleh Agensi Risikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat selepas serangan pengganas dalam apa yang kini dikenali sebagai peristiwa 9/11 telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Risikan Senat negara itu.

Laporan ini mengandungi perincian grafik cara penyiasatan yang keras yang dikatakan telah digunakan oleh CIA terhadap suspek pengganas yang ditahan.

Laporan ini mempunyai kesan rumit kepada Malaysia kerana ia mungkin mendedahkan “peranan luar biasa” negara kita dan negara sekutu yang lain dalam “Perang global terhadap keganasan”, iaitu tangkapan sulit terhadap suspek dan pemindahan mereka ke tempat penahanan rahsia yang disedia untuk tujuan tersebut.

Rumusan laporan ini walaubagaimanapun, memadamkan nama-nama negara sekutu Amerika Syarikat telah dipadamkan.

Sebenarnya, pada Februari 2013, Open Society Justice Initiative menerbitkan sebuah laporan bertajuk “Globalising Torture: CIA Secret Detention and Extraordinary Rendition” yang mendakwa Malaysia telah membantu CIA dalam hal ini sekurang-kurangnya dalam dua kes.

Apa yang dilihat ialah – berbeza dengan dakwaan Tun Dr. Mahathir – Malaysia tidak ada masalah bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam hal ini.

Meskipun usaha memerangi keganasan sangat penting dan menjadi keutamaan, Malaysia tidak patut mengkompromi integriti moral dengan cara ini.

Perang terhadap keganasan dan sikap ekstrim adalah perang berkaitan nilai.

Dua ancaman ini hanya mungkin dapat dikalahkan jika masyarakat kita terus berdedikasi dalam menjaga kebebasan sivil dan asasi meskipun kita sedang melindungi kehidupan warga yang lebih ramai.

Sebenarnya, keberkesanan dan kualiti risikan yang hasil amalan penahanan luar biasa telah seringkali dipersoal. Terdapat juga dakwaan bahawa mereka yang tidak bersalah telah secara zalim ditahan sedemikian.

Rumusan ini mendedahkan sekurang-kurangnya seorang individu mati kesan diseksa dan 26 daripada lebih 100 tahanan didapati tidak bersalah.

Sikap paranoid, menggantung kebebasan asasi dan memburukkan suara-suara yang menentang atas sebab “keselamatan” yang boleh dipersoalkan akan digunakan oleh mereka yang mahu menjejaskan dan akhirnya akan memusnahkan sebuah ketamadunan.

Kita mesti ingat ungkapan yang dinisbahkan kepada Benjamin Franklin,: “Mana-mana masyarakat yang mengorbankan sebahagian kebebasan untuk mencapai keselamatan tidak akan mendapat kedua-duanya.”

Amerika Syarikat dan Malaysia perlu menjejaskan kepada rakyat masing-masing, bahkan masyarakat dunia, mengenai perkara jijik dan memalukan ini.

Mengharapkan perlawanan yang positif di Hanoi

Kekalahan 2 – 1 kepada Vietnam di laman sendiri sudah pasti mengecewakan seluruh rakyat Malaysia amnya dan pada diri saya secara peribadi. Namun kepercayaan kepada Harimau Malaya untuk 90 minit di Hanoi nanti tidak akan sesekali luntur.

Semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Harimau Malaya di dalam stadium mahupun di rumah malam semalam jelas menunjukkan semangat ‘Demi Malaysia’ begitu kuat tidak kira kalah atau menang. Namun, suasana yang harmoni itu telah dicemari oleh beberapa insiden yang agak memalukan penyokong bola sepak Malaysia dan nama Malaysia sendiri.

Insiden pergaduhan di dalam stadium dikalangan penyokong adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut sama sekali terjadi. Lebih-lebih lagi apabila kita sebagai tuan rumah kepada lawan dari negara luar. Biar apa pun alasan yang diberikan yang mencetus kepada pergaduhan ini, tindakan membaling botol dan menyebabkan kecederaan tidak boleh diterima sama sekali.

Jelas sekali insiden ini telah memberi pandangan dan tanggapan yang negatif oleh penyokong Vietnam dan seluruh peminat bola sepak dari luar negara. Hanya kerana sejumlah kecil penyokong Malaysia yang bertindak ganas dan berkelakuan seperti itu, seluruh penyokong Malaysia telah terheret sama.

AMK mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam sukan seperti yang terjadi malam semalam. Saya juga mengharapkan pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mereka ini demi keharmonian sukan di Malaysia.

Semoga Malaysia beroleh kejayaan dalam pusingan kedua di Hanoi nanti.

Halang Anwar hadir jemputan pelajar: UIAM patut bersikap profesional

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal dengan campur tangan keterlaluan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menghalang Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada hadir memenuhi jemputan persatuan pelajar universiti itu untuk berucap dalam satu majlis yang bakal dilangsungkan esok.

Lebih mengejutkan, AMK dimaklum wujud campur tangan daripada pihak Bukit Aman untuk memastikan halangan ini dikuatkuasakan.

Ini bukanlah halangan pertama yang dikenakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat daripada kerajaan. Ironinya, banyak universiti terbilang di peringkat antarabangsa, termasuk antaranya Universiti Oxford, Universiti Georgetown dan Universiti Stanford, bukan sahaja mengundang beliau berucap tetapi turut memberi ruang untuk beliau menjadi tenaga pengajar jemputan di sana.

Malah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa reformasi pendidikan di dunia Islam. Ini tidak termasuk undangan dan lantikan oleh pelbagai badan antarabangsa yang lain.

Undangan, jemputan dan pelantikan ini jelas merupakan satu bentuk penghormatan dan juga perakuan akan sumbangan, pengalaman dan ilmu yang dimiliki Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Halangan oleh pihak pentadbiran universiti, bukan sahaja di UIAM, jelas menunjukkan ada di kalangan pihak pentadbiran universiti membuat keputusan politik yang sempit dan tunduk kepada tekanan untuk membuat keputusan mengikut garis parti.

Adalah malang jika pihak pentadbiran universiti gagal untuk menghayati semangat kebebasan akademik, dan mengiktiraf bahawa semua wakil rakyat, baik di peringkat Persekutuan atau negeri, telah dipilih oleh majoriti di kawasan masing-masing, dan adalah sebahagian daripada anggota badan legislatif.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja ahli parlimen tetapi juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan rekod cemerlang.

Selain daripada itu, Falsafah Pendidikan Negara dibentuk semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan. Lebih dekat lagi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga merupakan bekas Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seorang yang cukup dikenali dengan perjuangan Islamisasi ilmu dan pembudayaan ilmu sejak usia mudanya.

AMK menyeru pihak pentadbiran UIAM bersikap profesional dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam mempertahankan budaya ilmu dan mengangkat martabat universiti.

Khairy membuktikan beliau tidak bebas dari sikap perkauman UMNO

Menilai daripada kenyataan terkini, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin ternyata gagal meneruskan lakonan sebagai seorang yang “sederhana” atau “liberal”, sebaliknya telah membuktikan kepada dunia bahawa beliau tidak terkecuali daripada keangkuhan dan juga sikap perkauman yang membelenggu partinya.

Tugas mana-mana pemimpin ialah memimpin. Memimpin membawa maksud menggerakkan pengikut ke hadapan. Ia bermaksud mendidik dan mengangkat kedudukan pengikut, bukan mengukuhkan lagi imaginasi ketakutan dan rasa tidak puas hati yang ada.

UMNO, dinilai daripada kenyataan dan tindakan terkini pemimpin seperti Najib Razak dan Khairy, cenderung melakukan sebaliknya.

Mereka kelihatan mahu melihat rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu, terus takut berbanding semakin yakin dan berfikiran terbuka.

Mereka lebih rela berlakunya perpecahan di kalangan pelbagai kelompok dalam masyarakat berbanding perpaduan dan kebersamaan.

Dalam memungkiri janji memansuhkan Akta Hasutan, mereka jelas menunjukkan rasa tidak percaya bahawa orang ramai boleh berfikir dan menjaga diri sendiri.

Era “kerajaan tahu segalanya” masih berlangsung dan meluas di Malaysia pada hari ini, di mana janji-janji perubahan dan transformasi tidak lebih daripada sekadar omong-omong kosong.

Tidak ada salahnya – sebagaimana juga disebut oleh ramai pemimpin UMNO – apabila mana-mana pihak bercakap mengenai masalah dan keperluan masyarakat Melayu. Namun, adalah salah untuk membingkaikan isu-isu yang ada dalam konteks “kita lawan mereka”.

Cukup berbahaya dan sangat tidak bertanggungjawab – sebagaimana yang turut dilakukan oleh beberapa pemimpin UMNO – untuk mendakwa banyak masalah, sama ada berkaitan sosio-ekonomi dan politik atau agama yang melanda masyarakat Melayu pada hari ini – sebagai kesalahan yang berpunca daripada masyarakat bukan Melayu.

Pada akhirnya, kita yang harus bertanggungjawab terhadap nasib diri sendiri.

Adalah salah untuk sesiapa juga percaya bahawa masyarakat Melayu boleh digerakkan ke hadapan dengan mengancam atau menjadikan rakyat Malaysia yang lain sebagai warga kelas kedua.

Pemikiran begini bukan sahaja telah lapuk tetapi juga tidak menggambarkan perwatakan sebenar Melayu dan Muslim.

Masyarakat Melayu mempunyai pilihan. Daripada satu perspektif, kita boleh menjarakkan diri daripada rakyat Malaysia yang lain dan perkembangan dunia.

Selain itu ialah kita menerima bahawa realiti di negara kita dan dunia sedang berubah dan kita juga perlu berubah, dengan segala kesukaran dan perbezaan yang ada.

Untuk memilih yang kedua, masyarakat Melayu mesti bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain, daripada semua kaum dan kepercayaan agama.

Saya yakin pilihan pertama hanya akan membawa negara kita kepada situasi lembap malah menyusut. Pilihan kedua, meskipun sukar, akan menjamin masa depan kita bersama.

Ketika negara dan rakyat memerlukan kepimpinan untuk membuat pilihan ini, nampak jelas elit UMNO lebih rela rakyat tidak bersatu dengan terus menanam prejudis dan melagakan antara satu sama lain.

Mereka nampaknya lebih mementingkan laba politik berbanding kepentingan masyarakat dan negara.

Rakyat Malaysia berhak mendapat kepimpinan yang lebih baik daripada ini.

Peluang pekerjaan: Pegawai Dasar kepada EXCO

EXCO Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor membuka jawatan kosong untuk diisi segera seperti berikut:

Pegawai Dasar kepada EXCO

Skop tugas :
1) Melakukan penyelidikan dalam perkara berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi sebagaimana diarahkan oleh EXCO.
2) Berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan institusi-institusi lain yang berkaitan dengan tanggungjawab EXCO.
3) Mewakili EXCO dalam mesyuarat-mesyuarat bersama jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), universiti dan institusi-institusi lain yang berkaitan dengan tanggungjawab EXCO.
4) Menyediakan ucapan, kenyataan media dan isi-isi ucapan untuk EXCO dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Terma dan syarat:
1) Mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dalam sebarang disiplin akademik.
2) Sebaik-baiknya mempunyai pengalaman bekerja selama satu atau dua tahun.
3) Berminat dengan dasar-dasar awam.
4) Boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kemahiran menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil adalah bonus.
5) Keutamaan akan diberikan jika boleh memulakan tugas pada 1 Januari 2015.
6) Perkara berkaitan gaji dan elaun akan dimaklumkan semasa sesi temuduga.

Sekiranya berminat, hantarkan resume ke career@niknazmi.com. Calon-calon yang telah disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga.