Monthly Archives: November 2014

Ucapan dasar Khairy terus membelakangi masa

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, di dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO menyuarakan partinya sudah ‘membelakangi masa’ dengan mengenepikan pimpinan muda berbanding Pakatan Rakyat.

Pun begitu, nampaknya, Khairy sendiri membelakangi masa apabila beliau terus mempertahankan Akta Hasutan dan cuba membangkitkan sentimen perkauman menerusi soal Kedudukan Istimewa Bumiputera.

Khairy berkata undang-undang kolonial Akta Hasutan adalah perlu untuk mengelakkan negara hancur apabila isu-isu sensitif dimainkan. Namun selama ini kita lihat pimpinan UMNO sendiri dan kumpulan-kumpulan ekstrem yang didokong UMNO memainkan isu-isu sensitif, tiada kekecohan berlaku meskipun hampir keseluruhannya tidak didakwa bawah Akta Hasutan.

Sebaliknya, pemimpin Pakatan, aktivis masyarakat, mahasiswa, ahli akademik dan agamawan menjadi mangsa. Malang sekali Khairy sendiri mendapat pendidikan terbaik di Universiti Oxford, tetapi nampaknya tidak dapat menerima keterbukaan di kalangan ahli akademik di Malaysia.

Sudah wujud peruntukan di bawah Kanun Keseksaan bagi memastikan sebarang pengucapan yang boleh mendatangkan kacau-bilau diambil tindakan. Ini sepatutnya alternatif kepada undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan.

Khairy juga mencabar golongan bukan Melayu agar tidak mencabar Kedudukan Istimewa Bumiputera. Beliau berkata perkara-perkara dalam Perlembagaan seperti hak pendidikan vernakular tidak dipersoalkan oleh masyarakat Melayu. Namun pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sebelum ini ada mempersoalkannya.

Hakikatnya, majoriti besar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum tidak mempersoalkan muafakat Perlembagaan. Yang dipersoalkan adalah rasuah yang berleluasa dan kesenjangan ekonomi yang semakin melebar, yang membebankan semua rakyat Malaysia termasuk golongan Bumiputera.
Statistik menakutkan ini didedahkan oleh laporan Institut Penyelidikan Khazanah baru-baru ini. Hakikatnya, UMNO lah yang menerajui kerajaan selama ini. Tidak wajar untuk Khairy menuding jari pada kaum-kaum lain, sebaliknya beliau perlu melihat dimanakah kegagalan dasar-dasar kerajaan selama 57 tahun mereka mentadbir negara.

Soalnya, adakah ini wajah sebenar Khairy? Jika di khalayak umum, beliau menampilkan imej liberal tetapi di dalam perhimpunan UMNO beliau mengikut rentak perkauman.

Penghapusan subsidi: Komitmen dan keutamaan Kerajaan wajib dipersoal

Keputusan kerajaan menghentikan subsidi bagi petrol RON 95 dan diesel adalah langkah yang tidak bertanggungjawab apatah lagi mengambilkira pengenalan cukai GST pada tahun depan. Rakyat akan dibebankan dengan kenaikan harga yang berganda.

Meskipun bersetuju bahawa pemulihan kedudukan kewangan negara perlu dilaksankan, AMK berpendapat komitmen dan keutamaan kerajaan perlu jelas. Oleh kerana itu, AMK mengajak orang ramai mempersoal komitmen dan pilihan keutamaan yang diambil oleh kerajaan pada masa kini.

AMK melihat, meskipun langkah rasionalisasi subsidi telah mula dijalankan sejak beberapa tahun lalu, perbelanjaan kerajaan tidak pernah menyusut. Untuk belanjawan 2014, kerajaan telah membentangkan jumlah belanjawan sekitar RM264 billion, tidak termasuk belanjawan tambahan yang dipohon kemudian. Bagi tahun 2015 pula, kerajaan telah membentangkan belanjawan yang bernilai hampir RM274 billion.

Justeru, AMK mendesak pihak kerajaan mendedahkan mekanisme penentuan harga minyak, jumlah bayaran yang diberikan oleh Petronas kepada kerajaan mengikut tahun sejak ia mula ditubuhkan, ke manakah ia digunakan.

Begitu juga penghapusan subsidi ini diperkenalkan ketika isu rasuah dan ketirisan terus berleluasa, malah timbul persoalan demi persoalan mengenai 1MDB yang menambahkan beban hutang yang ditanggung oleh Kerajaan.

Ketika banyak persoalan lain berkaitan perbelanjaan besar kerajaan tidak dijelaskan dengan baik, memangsakan rakyat menunjukkan lemahnya komitmen dan keutamaan kerajaan bagi membela rakyat.

AMK sokong turun usia pemimpin belia, Pemuda UMNO bila lagi?

Saya ingin menzahirkan sokongan kepada kenyataan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan agar had umur pemegang jawatan dalam badan-badan NGO yang berorientasikan belia diturunkan.

Menurut laporan media, Khairy mencadangkan had umur ini diturunkan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Ini tentulah satu perkara yang baik. Sebagaimana pernah saya tekankan, anak muda lebih mudah didekati jika dipimpin dan diberikan khidmat oleh mereka yang berada dalam lingkungan usia setara.

Untuk rekod, Angkatan Muda KEADILAN (AMK), telah menurunkan had usia bagi pemegang jawatan dan anggota dalam sayap parti KEADILAN ini kepada 35 tahun berkuatkuasa bermula pemilihan parti pada tahun ini.

Sudah tentu, perlaksanaannya akan menjadi cabaran besar. Usul penurunan usia yang dinyatakan boleh menjadi agak drastik bagi sesetengah organisasi.

Justeru, kelonggaran wajar diberikan. Sebagai contoh, had penurunan usia boleh dikurangkan kepada 35 tahun di peringkat permulaan.

Pada masa yang sama, parti-parti politik tidak wajar dikecualikan daripada had usia ini.

Adakah YB Khairy turut mencadangkan had usia yang sama untuk sayap Pemuda partinya, UMNO?

Kita menunggu, namun tanpa harapan besar mengenainya. Ahli politik patut mengamalkan apa yang mereka katakan

Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan: Utamakan inisiatif yang bermanfaat untuk generasi muda

Saya menyokong penuh gesaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar agar satu audit penuh sambutan tahunan Hari Belia didedahkan kepada umum oleh Ketua Audit Negara.

Sebagaimana dinyatakan oleh Mahfuz, kos sambutan tersebut telah meningkat daripada RM16 juta pada tahun 2011 kepada RM18.07 juta pada tahun 2013.

Beliau turut menyatakan sambutan untuk tahun ini bakal mencecah RM30 juta.

Menteri Belia dan Sukan telah menyatakan komitmennya untuk memperbaiki isu-isu yang diketengahkan dalam laporan ketua audit tersebut.

Namun, demi ketelusan dan pertanggungjawaban dapatan penuh audit mesti didedahkan kepada umum.

Rakyat Malaysia – khususnya golongan muda – berhak untuk mengetahui sekiranya ada masalah atau kekurangan dalam cara wang pembayar cukai dibelanjakan, dan apakah yang telah dilakukan untuk menanganinya agar tidak berlaku lagi.

Dengan langkah penjimatan yang terus meningkat, di mana lebih banyak beban dipindahkan kepada rakyat, setiap sen yang dibelanjakan mesti dihitung.

Seterusnya, kerajaan mesti memberikan justifikasi bagaimana acara-acara ini – yang kos bagi melaksanakannya cukup tinggi – benar-benar memberikan manfaat dan dapat memperkuasa generasi muda di Malaysia.

Meskipun diakui hampir semua generasi muda sukakan acara sambutan, adalah lebih baik perbelanjaan besar digunakan untuk keutamaan lain yang lebih penting, untuk tujuan yang lebih berbaloi seperti biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan untuk generasi muda dan kemudahan rumah mampu milik yang lebih dekat dengan keperluan generasi muda.

Kita mesti mempersoalkan kenapa Putrajaya kelihatan sedia berbelanja besar dalam acara sebegini tetapi bersikap acuh tidak acuh dalam perkara lebih penting, seperti inisiatif pro generasi muda yang tidak memerlukan belanja besar, misalnya tekanan kepada mahasiswa dan mengurangkan usia layak mengundi kepada 18 tahun.

Saya berharap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melihat perkara ini secara serius

Solidariti bersama UM8

Kini, sekumpulan pelajar daripada Universiti Malaya, diketuai oleh saudara Fahmi Zainol, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) akan menghadapi tindakan tatatertib kerana mereka telah menganjurkan satu ceramah untuk Anwar Ibrahim, alumni UM di universiti tersebut.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sedang digunakan sebagai satu alat untuk menghalang minda anak-anak muda daripada membincangkan dan menyuarakan pendapat mereka tentang situasi politik di negara mereka sendiri. Ini merupakan salah satu sebab Angkatan Muda KEADILAN memperjuangkan kemansuhan AUKU dan menghentikan kerajaan hari ini daripada mengawal kebebasan para mahasiswa. AMK akan mempertahankan nasib mahasiswa-mahasiswa dalam krisis ini.

UM, selaku salah satu institusi pengajian tinggi yang dihormati di Malaysia perlu melihat dengan teliti akibat dan kesan yang ditinggalkan jika pihak Universiti membuat keputusan untuk menggantung atau membuang pelajar-pelajar tersebut. Ini bukan sahaja akan memburukkan pentadbiran universiti tetapi imej universiti secara keseluruhan akan terjejas kerana mereka akan dilihat menguatkuasakan peraturan-peraturan yang ketat yang menghindarkan penkembangan minda daripada menggalakkan pelajar-pelajar berfikir dan bertindak secara kritis.

Jika UM membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman berat dengan menggantung atau membuang mereka daripada universiti, saya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor, akan buat yang terbaik untuk memastikan mereka diberi peluang untuk menyambung pelajaran mereka di universiti-universiti lain seperti Universiti Selangor (UNISEL) or Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Langkah PTPTN memotong pembiayaan tidak wajar

Langkah PTPTN memotong pembiayaan sebanyak 5 peratus ke IPTA dan 15 peratus ke IPTS adalah amat tidak wajar pada ketika rakyat berhadapan keadaan kewangan yang semakin tertekan.

Ini membuktikan bahawa dasar pembiayaan pendidikan Kerajaan Persekutuan telah gagal sama sekali. Pembaziran dan ketirisan yang melampau dibiarkan begitu sahaja sementara akses kepada pendidikan menjadi mangsa.

Pendidikan tinggi bukanlah keistimewaan atau kemewahan. Pendidikan tinggi semakin hari menjadi kepentingan awam. Rakyat Malaysia yang didedahkan kepada pendidikan yang mudah dicapai dan berkualiti menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan pekerja yang produktif yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Justeru, matlamat kita sewajarnya meluaskan capaian ke IPT, bukannya menyukarkan keadaan atau lebih dasyat lagi memusnahkan impian anak-anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran mereka. Pada masa yang sama perlu ada penstrukturan menyeluruh IPTS di mana banyak kolej-kolej tidal berkualiti hidup semata-semata atas pembiayaan PTPTN tetapi gagal memberikan pendidikan berkualiti dan membebankan generasi muda kita dengan hutang keliling pinggang.