Monthly Archives: October 2014

Peristiwa Kampung Chubadak Tambahan: AMK gesa keadilan ditegakkan

Angkatan Muda KEADILAN kesal dengan insiden di Kg Chubadak Tambahan, Sentul sehingga melibatkan tangkapan dua aktivis mahasiswa semalam.

AMK juga maklum bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu telah memutuskan bahawa penduduk di Kg Chubadak ini adalah setinggan dan bukan pemilik tanah yang sah. Keputusan ini dibuat berasaskan keputusan mahkamah persekutuan pada tahun 1982 yang menyatakan bahawa penduduk setinggan tidak berhak di sisi undang-undang dan ekuiti.

Keputusan ini jelas berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa Kg Chubadak adalah milik penduduk yang membuka penempatan di sana dan sekiranya ia mahu dimajukan, pampasan setara mesti diberikan kepada penduduk.

Malah, mahkamah rayuan pada tahun 2000 juga menolak dakwaan bahawa penduduk Kg Chubadak adalah setinggan dan penceroboh, sebaliknya bersetuju bahawa mereka adalah pemegang lesen yang sah dan dibenarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

AMK kesal apabila Kg Chubadak Tambahan disenaraikan bersama lima kampung lain sebagai kawasan setinggan oleh pihak DBKL melalui Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 sehingga membawa kepada pengusiran penduduk dan kejadian hari ini. Jelas, tindakan DBKL ini dibuat untuk memaksa pengambilalihan tanah di kawasan tersebut.

AMK berpendirian bahawa tindakan DBKL ini bukan sahaja tidak wajar, malah zalim. DBKL seharusnya menghormati kemuliaan insan dan tidak mengambil jalan mudah dalam proses pengambilalihan yang ingin dilakukan.
Sekiranya benar kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan bahawa pengusiran ini perlu dibuat untuk memberi laluan kepada pembangunan rumah kos rendah, maka apa yang sepatutnya dibuat ialah bukan pengusiran, tetapi pemindahan sementara dan jaminan bahawa setiap penduduk di Kg Chubadak Tambahan ini masing-masing akan diberikan satu unit rumah sebagai pampasan kepada pengambilalihan tanah mereka.

AMK sekali lagi ingin mendesak agar tindakan mengusir penduduk Kg Chubadak Tambahan segera dihentikan. Pihak kerajaan dan DBKL wajib membentuk prosedur yang jelas untuk memastikan agenda pembangunan diuruskan dengan cara manusiawi.

Sistem Kehakiman dan Demokrasi Malaysia Sedang Dinilai

Kita berhadapan hadapan hari-hari yang gelap buat Malaysia. Esok dan lusa adalah kes rayuan akhir Fitnah II buat Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Kerajaan juga nampaknya tidak lagi boleh menerima pemikiran kritis sebagaimana dilihat di dalam siri pendakwaan Akta Hasutan dan undang-undang menindas yang lain.

Pada masa yang sama, kerajaan telah melaksanakan dasar ekonomi tempang yang akan menjadi lebih dasyat dengan pelaksanaan GST tahun depan. Hanya kepentingan kroni diutamakan.

Kes Anwar bukan kes seorang individu semata-mata. Kes ini melibatkan semua rakyat Malaysia. Kes ini menggambarkan bagaimana institusi-institusi negara kita telah disalahguna untuk kepentingan politik. Ia menggambarkan betapa UMNO-BN sanggup mencabul undang-undang demi tujuan sempit mereka.

Kes Fitnah II menjejaskan kewibawaan negara kerana ia membuktikan tiadanya kedaulatan undang-undang. Tiada rakyat Malaysia yang selamat.

Pun begitu jangan kita putus harapan. Dengan cara aman dan mengikut perlembagaan, kita akan menyatukan rakyat Malaysia dan melawan kezaliman. Salut kepada anak-anak muda yang menyertai flashmob Rakyat Hakim Negara seluruh Malaysia. Salut kepada mahasiswa yang berani menganjurkan program di UM malam ini.

Ayuh, kita turun ke Putrajaya beramai-ramai esok dan lusa sebagai tanda solidariti kepada Anwar dan semua rakyat yang dizalimi selama ini.

Perutusan Hari Deepavali

Saya dan Imaan ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua rakan-rakan kami yang beragama Hindu di Malaysia.

Perayaan Deepavali – di mana orang Hindu memperingati kejayaan Kebaikan mengatasi Kejahatan – sekali lagi menunjukkan tahap kepelbagaian budaya yang merupakan asas kekuatan Malaysia.

Deepavali juga mengingatkan kita untuk sentiasa mempunyai harapan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik walau betapa sukarnya cabaran yang dihadapi.

Lebih-lebih lagi, peristiwa sebegini sesuai untuk kita memperbaharui dan menguatkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang menghubungkan kita bersama.

Semoga seluruh rakyat Malaysia dapat menyambut Hari Deepavali dengan meriah bersama orang tersayang pada tahun ini.

Bagaimanakah Kenyataan Ambiga Berkenaan BTN Satu Hasutan?

Saya sangat kecewa dan risau tentang laporan-laporan bahawa pengusaha pergerakan Negara-Ku, Datuk Ambiga Sreenevasan sedang disiasat untuk hasutan.

Ini berikutan satu laporan dibuat oleh Persatuan Pertubuhan Merah Terengganu terhadap beliau selepas komennya yang didakwa berkaitan Biro Tata Negara (BTN).

Saya gagal untuk melihat bagaimana kata-kata beliau-seperti yang dilaporkan oleh media- adalah menghasut atau akan mengugut keselamatan negara.

Sebenarnya, saya juga telah membuat komen-komen yang serupa tentang masalah BTN sebagai ADUN Penyokong Kerajaan pada penggal pertama, saya telah mendesak Kerajaan Pakatan Negeri Selangor untuk berhenti menghantar penjawat awam ke BTN.

Kerajaan Najib Razak perlu memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang mengapa dalam jangka masa yang pendek, ramai orang yang berpendirian bebas sedang didakwa atas kesalahan hasutan manakala terdapat banyak lagi masalah yang lebih serius yang jelas diabaikan atau tidak dilayan.

Saya percaya bahawa eksploitasi isu-isu agama dan perkauman adalah satu cubaan untuk mengalih perhatian orang awam khususnya orang Melayu daripada melihat masalah yang semakin teruk berkenaan ketidaksamaan dan inflasi akibat taraf hidup yang semakin meningkat.

Mereka yang berlagak nasionalis perlu fokus tingkatkan sekolah kebangsaan

Gesaan Mohamad Azli Mohemed Saad, Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara bagi Kerajaan Pusat membincangkan pemansuhan sekolah-sekolah jenis Cina pada Perhimpunan Umum yang seterusnya adalah sangat merunsingkan.

Menurut laporan media, Azli telah menyatakan bahawa sekolah-sekolah jenis Cina Malaysia telah dieksploit oleh parti-parti pembangkang untuk mewujudkan perasaan kebencian terhadap kaum-kaum lain dan untuk sentimen perkauman dan anti-kerajaan.

Pertama sekali, kenyataan Azli bahawa parti pembangkang sedang memanipulasikan sekolah-sekolah vernakular untuk tujuan jahat adalah tidak benar sama sekali.

Keduanya, Artikel 152(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk pendidikan vernakular. Kenyataan Azli merupakan satu contoh lagi yang UMNO dan perkakas mereka hanya menggunakan Perlembagaan apabila sesuai dengan tujuan mereka.

Benar, kepelbagaian aliran pendidikan di Malaysia menimbulkan cabaran kepada perpaduan negara.

Walaubagaimanapun, hakikatnya adalah “Kontrak Sosial” Malaysia menjamin hak untuk pendidikan vernakular dan ini tidak boleh diubah tanpa persetujuan semua kumpulan-kumpulan etnik yang terlibat.

Tidak dinafikan bahawa banyak sekolah-sekolah vernakular Cina Malaysia lebih “berbilang kaum” berbanding sekolah kebangsaan, atau saya berani katakan –parti-parti berasaskan kaum yang lain.

Anak-anak daripada semua kaum, termasuk kaum Melayu, sedang berkembang dalam sekolah-sekolah vernakular pada hari ini.

Sememangnya jumlah kemasukan pelajar ke sekolah antarabangsa telah bertambah (berikutan liberalisasi yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan sebelum ini Hishammudin Hussein), selain kemasukan ke sekolah swasta yang menawarkan kurikulum nasional atau sukatan pelajaran berunsurkan Islam dan penambahan didikan di rumah menunjukkan pengenepian aliran pendidikan kebangsaan bukanlah satu fenomena yang dihadkan kepada satu bangsa sahaja.

Akhirnya, pendidikan adalah pilihan ibu bapa. Ibu bapa akan memilih aliran yang akan memberi pendidikan terbaik dan suasana pembelajaran yang menyeluruh.

Idea bahawa pendidikan sepatutnya “satu sistem yang sesuai untuk semua” sudah lapuk dan akan merosakkan ekonomi Malaysia dalam jangka masa yang lama apabila pelabur akan menuju ke arah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan yang fleksibel dan menghasilkan modal insan yang lebih baik dan produktif.

Tahap pelajar-pelajar Malaysia dalam penyelesaian masalah berada di kedudukan 39 daripada 44 negara di dalam laporan Programme for International Student Assessment (PISA) terbitan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) pada awal tahun ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan negara sedang mengagalkan anak-anak kita.

Kita tidak patut membazirkan masa dan tidak perlu menambahkan ketegangan kaum dengan memansuhkan atau menyusahkan sekolah-sekolah vernakular. Walhal, usaha-usaha kita sepatutnya fokus ke atas peningkatan keadaan sekolah-sekolah jenis kebangsaan supaya menjadi pilihan pertama untuk semua ibubapa warga Malaysia.

Ramai ibubapa telah berkata kepada saya bahawa mereka teringin menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana jauh lebih murah tetapi keberatan kerana kualiti pendidikan tidak cukup baik dan juga kerana persekitaran yang kurang menyeluruh di sana.

Mereka yang berlagak nasionalis dan patriotik seperti Azli sepatutnya memberi perhatian kepada peningkatan tahap pendidikan dan keadaan di sekolah-sekolah kebangsaan daripada tidak habis-habis mengungkit tentang sekolah-sekolah vernakular.

Kita harus berusaha untuk menggalakkan anak-anak kita menuju ke hadapan dan bukanlah mengheret mereka ke bawah.

Kenaikan Harga Minyak Petrol dan Diesel

Kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu “hadiah” iaitu kenaikan harga minuak sebanyak 0.20 sen.

Harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter dan diesel kepada RM2.20 seliter.

Ini merupakan kesan sampingan terbaru akibat sikap Kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kisah atas kebajikan rakyat Malaysia dan kegagalannya untuk mengurus ekonomi negara.

Sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula.

Walhal, hakikatnya sangat menyedihkan kerana sangat ramai rakyat Malaysia bergantung kepada harga minyak yang mampu dibeli, daripada pekerja di bandar yang perlu ke kerja kepada para nelayan yang perlu ke laut untuk mencari rezeki.

Tambahan pula, pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar.

Apatah lagi, implementasi GST yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Kumpulan ini pasti akan menghadapi kesusahan yang amat serius disebabkan kenaikan tersebut.

Inilah bukti yang jelas bahawa kenyataan Kerajaan Persekutuan yang menyatakan rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar satu lawak jenaka.

Selain daripada itu, pembaziran juga berlaku dalam perkara-perkara lain seperti kontrak penswastaan yang berat sebelah dan kebocoran kewangan yang tidak dibetulkan, yang sebenarnya boleh dikurangkan atau diubah sebelum rakyat yang menjadi magsa dan dibebankan sebegini.

UMNO-BN dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang penting.

Pentadbiran Najib Razak tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang “Mendahulukan Rakyat”apabila mereka tanpa ragu-ragu boleh membebankan masyarakat yang paling lemah.