Monthly Archives: September 2014

Perlantikan sebagai EXCO Selangor

Dengan rasa rendah diri, saya menerima tugas baru yang telah diberikan kepada saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, YAB Azmin Ali atas perlantikan saya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran baru ini.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Parti Keadilan Rakyat, khususnya Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah memberi kepercayaan kepada saya sejak usia yang muda apabila saya dipilih untuk dicalonkan bertanding sebagai ADUN Seri Setia pada tahun 2008, kemudian dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada tahun 2013 dan seterusnya menjadi Ahli MMKN pada tahun ini.

Kepada ahli-ahli AMK di semua peringkat, saya ingin ucapkan ribuan terima kasih atas sokongan anda. Tidak lupa kepada para pengundi di Seri Setia, terima kasih atas keyakinan anda yang berterusan selama ini.

Saya akan memastikan bahawa tanggungjawab saya kepada Dewan Negeri Selangor, tidak kira ADUN penyokong kerajaan atau pembangkang, akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Saya akan menjalankan tugas besar ini kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor dengan jujur dan ikhlas.

Solidariti menentang kezaliman UMNO-BN

Esok, Anwar Ibrahim akan disoal oleh pihak polis dibawah Akta Hasutan. Beliau sedang disiasat atas ucapannya yang dibuat di Gombak pada tahun 2011 bersama MenteriBesar Selangor terkini, Azmin Ali.

Jangan lupa bahawa dalam masa 32 hari pula, Anwar akan hadir di Mahkamah Persekutuan untuk rayuan kes Fitnah 2 pada 28 – 29 Oktober 2014.

Berulang-ulang kali Anwar Ibrahim dianiayai dan terpaksa mempertahankan kebebasannya terhadap dakwaan yang tidak berasas.

Walaubagaimanapun, tuduhan hasutan terhadap Anwar ini merupakan salah satu daripada kes-kes yang dibawa ke mahkamah baru-baru ini. Aktivis, peguam, mahasiswa, pendakwah, dan ahli-ahli akademik turut sama menjadi mangsa.

Ledakan siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa sedang menggunakan pelbagai kaedah untuk menahan pihak pembangkang dan masyarakat umum yang berfikiran bebas daripada menyuarakan pendapat mereka.

Bantahan bukanlah satu tanda penderhakaan. Kemakmuran dan kesejahteraan negara sukar digapai dengan menyekat suara-suara alternatif.

Jika corak menuduh yang tidak tentu hala ini berterusan, kebebasan Anwar Ibrahim berkemungkinan dirampas. Najib Razak tidak boleh terus berdiam diri sambil membiarkan orang lain menyalahgunakan undang-undang.

Oleh itu, sudah tiba masanya, setelah krisis MB Selangor tamat dan pada permulaan pentadbiran baru di Selangor, di dalam masa 1 bulan ini sebelum Anwar Ibrahim menghadapi penghakiman sekali lagi, untuk Angkatan Muda KEADILAN menyampaikan mesej jelas kepada pentadbiran Najib Razak bahawa kami tidak takut akan akta zalim ini. Kami akan turun ke seluruh negara bagi kempen solidariti menentang kezaliman UMNO-BN.

Angkatan Muda KEADILAN akan bekerjasama dengan masyarakat umum untuk meraih sokongan daripada rakyat untuk berani bersuara dan berdiri bersama-sama menentang penyalahgunaan Akta Hasutan yang bermotifkan politik. 1 bulan ini amat penting untuk perjuangan rakyat dan gerakan reformasi di Malaysia.

Iklan yang menyinggung perasaan dan mendiskriminasi oleh pemilik francais Old Town White Coffee

Sebuah pemilik francais Old Town White Coffee baru-baru ini telah mengeluarkan satu iklan pekerjaan untuk cawangan baru di Johor Bahru yang menyinggung perasaan di mana syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka lebih mengutamakan pemohon kaum Melayu dan Cina. Kelakuan ini adalah satu diskriminasi dan tidak boleh diterima kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan peluang pekerjaan sepatutnya ditawarkan secara adil dan tidak diberikan berdasarkan kaum.

Walaupun kenyataan maaf daripada Old Town White Coffee Malaysia dan Paramount Grand Success Sdn Bhd, selaku pemilik francais tersebut, adalah dihargai, namun wujudnya niat untuk memberi keutamaan pekerjaan berdasarkan kaum adalah sangat membimbangkan. Kalau tidak kerana pengguna-pengguna internet yang tajam pemerhatiannya dan mengambil berat akan perkara ini, kelakuan mendiskriminasi ini akan berterusan tanpa kesedaran orang ramai.

Mungkin mereka terlupa bahawa rakyat mempunyai hak asasi untuk bekerja tanpa diskriminasi berdasarkan kaum, agama, tempat kelahiran atau jantina yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, diskriminasi masih lagi berlaku terhadap kaum bukan Melayu di dalam sektor awam dan terhadap kaum bukan Cina di dalam sektor swasta. Oleh yang demikian, kita perlulah melihat dan mengkaji semula diskriminasi kaum yang berlaku di dalam negara secara keseluruhan.

Untuk mencapai perkara ini, semua komuniti perlu bekerjasama dan bersedia untuk membincangkan isu ini secara terbuka dan jujur jikalau kita ingin merumuskan sebuah polisi yang adil dan saksama untuk seluruh rakyat Malaysia. Kita harus melihat perspektif yang lebih luas dengan objektif untuk menggalakkan dan memastikan kehidupan yang harmoni dan peluang yang sama rata diberikan untuk semua.

Tuduhan Akta Hasutan ke atas Anwar: Siapa lagi selepas ini?

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ketua Umum KEADILAN Anwar Ibrahim menjadi individu terbaru yang akan berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Polis dijadualkan untuk merakamkan kenyataan beliau Jumaat ini di atas ucapan beliau di ceramah pada 2011 di Gombak.

Seperti biasa, Perdana Menteri Najib Razak terus diam membisu meskipun sebelum ini beliau berjanji memansuhkan akta ini dalam transformasi dasar-dasar negara ini. Perunding-perunding imej beliau juga giat melabelkan beliau sebagai pemimpin Islam yang mempromosikan demokrasi dan wasatiyyah meskipun gelaran-gelaran ini tidak diterjemahkan di dalam realiti.

Persoalannya, selepas pimpinan pembangkang, aktivis NGO, pendakwah bebas, ahli akademik dan mahasiswa – siapa lagi bakal menjadi mangsa akta zalim ini?

Sebagaimana kata-kata pemikir Islam tersohor, Tariq Ramadan, “Manusia itu sememangnya bebas, tetapi beliau bertanggungjawab di atas kebebasan ini di hadapan Tuhan sebagaimana di hadapan manusia yang lain. Tanggungjawab ini semestinya tanggungjawab yang moral. Bagi menjadi bebas adalah untuk melindungi kebebasan dan kemuliaan pihak yang lain.”

Inilah amanah besar Najib dan menteri-menterinya yang lain yang terus diam membisu.

Hukuman Penjara Satu Tahun Ke Atas Adam Adli Bawah Akta Hasutan Bukti Terbaru Kerakusan UMNO-BN

Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas Adam Adli di bawah Akta Hasutan adalah sesuatu keputusan yang mengejutkan.

Keputusan ini menggambarkan kerakusan Kerajaan UMNO Barisan Nasional untuk menyekat segala bentuk pandangan kritis yang selari dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan sepatutnya diterima di bawah mana-mana sistem demokrasi. Perdana Menteri Najib Razak menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan sebelum ini sebagai transformasi beliau, sebaliknya, tren terbaru menunjukkan semakin hari Malaysia semakin menjadi negara polis.

Lebih malang lagi, siri pendakwaan dan sabitan yang berlaku ini memuncak ketika negara menyambut Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Hari Malaysia. Akta Hasutan ini merupakan warisan perundangan penjajah yang digunakan untuk mengekang kebangkitan rakyat.

Namun Kerajaan tersilap sekiranya mereka memikirkan pendakwaan besar-besaran di bawah Akta Hasutan ini akan menakut-nakutkan rakyat. Malah, sebagaimana ditunjukkan di dalam kempen-kempen #mansuhaktahasutan selama ini, rakyat pelbagai lapisan dan latar belakang bangkit bersatu menolak undang-undang ini dan akan terus bergerak sehingga undang-undang ini dimansuhkan sama sekali.

Rentetan Pertemuan Pemuda Pakatan dengan Presiden PAS

Saya ingin merakamkan penghargaan AMK kepada Tuan Guru Dato Seri Haji Hadi Awang Presiden PAS kerana kesudian beliau bertemu saya bersama-sama Ketua DAPSY Teo Kok Seong dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat pagi Jumaat 12 September yang lalu.

Suhaizan juga telah memberi maklumat ringkas tentang pertemuan tersebut kepada portal Malaysian Gazette.

Pertemuan itu adalah antara siri pertemuan dengan pimpinan tertinggi parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang dipersetujui Pemuda Pakatan dalam usaha menyelesaikan hubungan dalaman Pakatan berikutan isu Menteri Besar Selangor.

Cuma yang agak merisaukan saya adalah dalam perbincangan itu apabila ditanya tentang pandangan Tuan Guru Haji Hadi tentang jalan keluar isu ini, beliau memberi jawapan akhirnya adalah dengan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuan Guru sendiri akan memantau kelemahan Tan Sri Khalid.

Pilihan itu tentulah bertentangan dengan sokongan majoriti ADUN Selangor terhadap Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB Selangor. Meskipun isu perlantikan MB belum selesai, tetapi Tan Sri Khalid kini hanya bertindak sebagai MB peralihan yang telah diterima DYMM Sultan Selangor. Apatah lagi Tan Sri Khalid kini hanyalah ADUN bebas tidak berparti.

Ini ditambah dengan beberapa keputusan yang berubah-ubah sebelum ini malah berbeza dengan keputusan PAS sendiri.

Sebarang penyelesaian isu ini mestilah dibuat dalam kerangka bersama Pakatan.

Pengarah Besar FELDA Melawat Kelab Bola Sepak Scotland Bersama Lelaki Dikehendaki Polis

Saya mengecam tindakan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad kerana dilihat berurusan dengan Rafat Rizvi, seorang lelaki yang dikehendaki polis antarabangsa atas tuduhan rasuah, penipuan dan jenayah perbankan di Indonesia.

Faizoull Ahmad yang juga menyandang jawatan Pengerusi Kelab Bola Sepak Liga Super Malaysia Felda United telah melawat kelab pasukan bola sepak Scotland Glasgow Rangers bersama Rafat beberapa hari lepas. Menurutnya, tujuan lawatan tersebut adalah untuk melihat potensi untuk menjalankan program pembangunan anak muda bersama Felda United.

Walaubagaimanapun, mengapakah beliau perlu melibatkan Rafat, seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis dalam urusan ini? Apatah lagi melantik Rafat sebagai penasihat beliau?

Adakah Faizoull tidak sedar bahawa Rafat telahpun didapati bersalah atas kesalahan penipuan yang bernilai jutaan dollar oleh Mahkamah Jakarta kerana terlibat dalam skandal kejatuhan Bank Century Indonesia?

Tindakan Faizoull ini sangat mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan. Tambahan lagi, terdapat spekulasi bahawa beliau ingin membeli pasukan bola sepak Glasgow Rangers.

Oleh yang demikian, saya menekankan agar Faizoull memberi penjelasan tentang perkara ini kerana beliau sebagai Pengarah Besar Felda perlulah bertanggungjawab atas tindakannya.

Solidariti Bersama Dr Azmi Sharom

Angkatan Muda KEADILAN memandang serius tuduhan hasutan yang dikenakan kepada pelbagai pihak, antaranya kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah kanan Universiti Malaya.

Ini bukan sahaja ancaman kepada kebebasan akademik tetapi juga hak asasi secara umumnya.

Oleh kerana itu, AMK ingin menzahirkan sokongan kepada mahasiswa dan pensyarah UM yang mahu menunjukkan solidariti mereka kepada Prof Madya Dr Azmi Sharom dan menggesa semua pihak, khususnya kakitangan akademik dan mahasiswa di seluruh negara untuk bersama menyatakan sokongan.

AMK Malaysia ingin menggesa agar semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan digugurkan dan Akta Hasutan segera dimansuhkan tanpa diganti dengan Akta yang lain.

Perlantikan Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Disertakan nama-nama Ahli Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia yang terdiri daripada ahli-ahli yang memenangi pemilihan parti serta yang pemegang jawatan lantikan.

Masih ada jawatan dalam Majlis Pimpinan Angkatan Muda yang belum dilantik dan perlantikan akan dibuat pada masa yang sesuai.

Perlantikan Ketua-Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri akan dibuat selepas Perlantikan Pengerusi-Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN.

Saya yakin barisan ini menggabungkan pelbagai latar belakang, bakat dan kekuatan KEADILAN sebagai parti pelbagai kaum dan menginginkan pembaharuan budaya politik di Malaysia yang selari dengan cita rasa golongan muda.

BIL NAMA JAWATAN
01 NIK NAZMI NIK AHMAD KETUA
02 AFIF BAHARDIN TIMBALAN
03 NOR HIZWAN AHMAD SETIAUSAHA
04 RAYMOND AHUAR NAIB KETUA
05 MOHD RADZLAN JALALUDIN NAIB KETUA
06 SANGETHA JAYAKUMAR NAIB KETUA
07 AHMAD FAHMI MOHAMAED FADZIL NAIB KETUA
08 TAN KAR HING NAIB KETUA
09 LEE CHEAN CHUNG KETUA PENERANGAN
10 AHMAD ZAHID KHALID BENDAHARI
11 ANWAR NEKHAN EXCO
12 FASYARINI AZAHARI EXCO
13 JESTIN RAJ A/L SAVARIMUTHU EXCO
14 ZAFRIL MOHD EUSOFF EXCO
15 MOHD IZAD BUQHARY MOHD KAMRI EXCO
16 THARMENTRA A/L PERIANNAN EXCO
17 TAMIL SELVAN A/L SUPRA MANIAM EXCO
18 MOHD RIDZUAN BASRI EXCO
19 AMMAR BIN GHAZALI EXCO
20 MOHD FARHAN AHMAD KAMAL EXCO
21 LEE LIAN JENG EXCO
22 HALIMAH NASOHA EXCO
23 KUMASERAN A/L ARAMUGAM EXCO
24 MOHD FIRDAUS YUSOFF EXCO
25 MOHD SUKIRMAN MUSTAFA EXCO
26 TANGAH JANSA ANAK SIEL EXCO
27 NAGARAJAN A/L KANIAPPAN EXCO
28 AFZAINIZAM ABDUL RAHMAN EXCO
29 MOHD RAMLY AHMAD EXCO
30 MURNIE HIDAYAH ANUAR EXCO
31 JOHAN ARIF SALIM EXCO & PENGARAH KOMUNIKASI
32 AKMAL NASRULLAH MOHD NASIR EXCO & PENGARAH STRATEGI
34 MELISSA SASIDARAN EXCO & KETUA BIRO PENDIDIKAN POLITIK
33 NOOR AMIN AHMAD EXCO & KETUA BIRO LATIHAN
34 GINIE LIM SIEW LIN EXCO & KETUA BIRO WANITA MUDA
35 FITRI JAMALUDIN KETUA SKUAD
36 EDIKOUP LAKIP SEDIYANTO KETUA BIRO MAHASISWA
37 NOR AFNI MD YUSUFF KETUA BIRO PENDIDIKAN
38 SUM DEK JOE KETUA BIRO ANTARABANGSA / PENGERUSI KELAB PROGRESIF MALAYSIA
39 SYED SHAH SYED OSMAN PENOLONG SETIAUSAHA I
40 HAFIZ ZAIMUDDIN TIMB KETUA BIRO MAHASISWA

Kesal Sikap Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia kesal dengan kenyataan Presiden PAS Dato’ Seri Haji Hadi Awang yang mendakwa bahawa Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Setelah PAS bermesyuarat secara berasingan, dan kemudian bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, di mana nama Dr. Wan Azizah dikemukakan dalam kedua-dua proses ini, kenyataan Tuan Guru Haji Hadi Awang yang mendakwa Presiden KEADILAN sebagai tidak berkebolehan sangat tidak wajar.

AMK Malaysia percaya mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada kemungkinan kelemahan dan ini seharusnya menjadikan mereka lebih demokratik dan tidak meminggirkan kepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam membuat keputusan.

Dr. Wan Azizah telah memimpin KEADILAN sejak 1999, dan pernah diangkat sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008 yang turut diiktiraf Presiden PAS. Beliau telah mencipta sejarah membina gagasan parti politik pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara yang telah memberi peluang kepada begitu ramai wanita turut serta sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.

Saya menggesa Presiden PAS agar menghormati keputusan pimpinan pusat PAS dan Majlis Pimpinan Pakatan dan menarik balik kenyataan beliau yang telah mendakwa Presiden KEADILAN sebagai tidak berkebolehan. Kenyataan itu amat tidak kena dalam semangat setiakawan Pakatan apatah lagi dikeluarkan daripada Presiden sebuah parti komponen kepada Presiden parti komponen yang lain.