Monthly Archives: August 2014

Hentikan Serangan dan Pendakwaan Terhadap Pimpinan Pakatan

Pada Julai 2012, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 selari dengan pelan transformasinya.

Namun, sehingga kini setelah lebih dua tahun, hasrat tersebut dilihat sekadar janji kosong semata-mata. Tambah mengecewakan lagi, semakin ramai pimpinan Pakatan yang disiasat di bawah akta ini.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, antara pimpinan yang disiasat atau didakwa atas Akta Hasutan atau undang-undang lain termasuklah Ahli Parlimen Pandan; Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Shah Alam; Khalid Samad, Ahli Parlimen Padang Serai dan peguam Anwar Ibrahim; N. Surendran, ADUN Seri Delima; RSN Rayer, Ahli Parlimen Seputeh; Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak; Nizar Jamaluddin.

Apa yang lebih teruk adalah apabila akta ini seolah-olah hanya digunapakai dikalangan ahli pimpinan Pakatan sahaja. Banyak pimpinan BN, ISMA dan Perkasa yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang nyata bersifat jenayah tetapi tiada apa-apa tindakan. Misalnya, saya pernah membuat laporan polis terhadap kenyataan pemimpin Perkasa; Ruslan Kassim ingin memancung empat Ahli Parlimen PAS Selangor kira-kira dua bulan lepas namun tiada tindakan susulan selepas kenyataan saya diambil.

Kalau benar Najib menepati janji, saya mendesak supaya beliau segera memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini seperti yang telah beliau katakan. Hentikan pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan Pakatan serta-merta. Dengan penghapusan Akta Hasutan 1948 ini, tiada lagi rakyat yang akan ditindas hanya kerana kelantangan mereka menyuarakan pendapat mahupun mengkritik kerajaan.

AMK Sedia Menerajui Perubahan

Saya mengucapkan tahniah kepada anggota AMK di semua peringkat yang hadir menggunakan hak mereka memilih pimpinan Keadilan di peringkat Cabang dan Pusat serta semua rakan-rakan yang telah dipilih menjadi pimpinan AMK di peringkat Pusat dan Cabang. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih, khusus kepada semua yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai Ketua Angkatan Muda bagi penggal 2014-2017.

Satu perbincangan telah diadakan di antara saya, Dr. Afif Bahardin dan kesemua pimpinan AMK Pusat yang melakukan ‘walkout’ kelmarin. Persefahaman yang telah dicapai bersama di dalam perbincangan tersebut:

Kesemua pimpinan AMK pusat telah menyatakan sokongan penuh sebagai Ketua AMK Pusat.

AMK akan bersama menetapkan halatuju dan masa depan AMK.

‎Pimpinan AMK Pusat juga bersetuju bahawa semua isu yang timbul berkenaan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan dibincangkan mengikut saluran dalaman parti.

Saya yakin semua anggota memahami bahawa menang dan kalah adalah adat biasa persaingan. Sesungguhnya ia wajar mengingatkan semua pimpinan bahawa selain sokongan yang diterima, prestasi sepanjang penggal baru ini akan dinilai dan dipertanggungjawabkan kepada kita. Justeru, keputusan ini seharusnya menginsafkan semua. Ia bukan saja mengiktiraf kita sebagai pimpinan rasmi tetapi menjadi petunjuk bahawa tanggungjawab besar kini ada di bahu kita.

Pemilihan AMK yang lepas cukup menarik kerana ia secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa KEADILAN tidak ketandusan pemimpin muda di semua peringkat. InsyaAllah, kini tibalah semua bersatu di bawah nama AMK Malaysia. Saya ingin mengajak kita semua untuk memandang ke hadapan dan bersama memperkukuh parti di segenap peringkat agar lebih diterima sebagai wadah alternatif politik baru di Malaysia.

Untuk penggal baru ini, saya dan pimpinan baru AMK akan berusaha untuk menyatukan tenaga AMK di segenap peringkat, selaras dengan Perlembagaan Parti dan menurut kepentingan dan keperluan semasa yang ada.

Pimpinan AMK 2014-2017 bertekad untuk meneruskan perjuangan membawa politik baru dan sedia untuk menjadi peneraju perubahan.

Ucapan Penggulungan Kongres AMK 2014

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim.
Terima kasih Sdr Pengerusi Tetap,
Sdr Shamsul Iskandar Md Akin selaku mantan Ketua, Angkatan Muda KEADILAN,
Saf pimpinan AMK yang lama dan yang baru di pelbagai peringkat,
Seterusnya perwakilan dan dan pemerhati dari seluruh negara,

Assalamu’alaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, marilah kita bersama mengucap syukur kepada Tuhan yang mengizinkan kita bersama pada hari yang penuh keberkatan ini. Dialah Tuhan yang memerintahkan manusia agar menegakkan keadilan, menentang kezaliman, memakmurkan muka bumi ini dengan ilmu dan usaha baik.

Isu-isu Kemanusiaan dan Antarabangsa

Rakan-rakan perwakilan sekalian,

Hari ini merupakan Hari Perkabungan Negara bagi nahas pesawat MH17. Tahun ini juga negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370. Kedua-dua peristiwa ini telah meninggalkan parut yang begitu mendalam bagi keluarga dan sahabat mangsa kedua-dua peristiwa khususnya dan rakyat amnya.
Dunia pula menyaksikan pelbagai keganasan sama ada rakyat Palestin di Gaza, rakyat Syria, golongan minoriti di Iraq mahupun masyarakat Rohingya di Myanmar antara lainnya.

Marilah kita mendoakan kesejahteraan bagi mereka yang telah pergi dan agar adanya penyelesaian bagi pelbagai krisis kemanusiaan di dunia dengan peranan tegas dan pro-aktif masyarakat antarabangsa.

Pembunuhan orang awam yang tidak berdosa di atas nama keselamatan, agama mahupun bangsa tidak boleh diterima sama sekali. Tiada agama atau bangsa yang meraikan keganasan mahupun menyambut kesedihan.

Jiwa Merdeka

Bulan ini juga bersejarah apabila buat pertama kalinya Tanah Melayu diisytiharkan Merdeka pada tahun 1957, sebelum kemudiannya membuat keputusan penting untuk bersama dengan Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Penting untuk kita sedar bahawa terdapat beberapa prinsip asas dinyatakan dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 dan Pemasyhuran Malaysia 1963 – yang menjamin hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu serta hak-hak asasi dan kebebasan rakyat di dalam kerajaan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Juga dinyatakan jelas dalam dokumen yang sama hasrat bahawa negara ini akan “kekal sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan…”

Saya percaya dua dokumen asas negara ini bukanlah sesuatu yang baru dan asing bagi anggota KEADILAN. Namun, penting untuk kita sentiasa mengingatkannya, terutama pada waktu-waktu bersejarah bagi negara kita. Ia wajar dijadikan renungan oleh kita semua, agar kita sedar bahawa perjuangan KEADILAN tidak terpisah daripada pemahaman masa lalu dan cita-cita untuk masa depan.

UMNO dan NGO-NGO perkakas mereka kini membakar sentimen perkauman bagi kepentingan sempit politik mereka. AMK sebagai pergerakan anak muda parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara harus terus berani mempertahankan prinsip kita dan menolak ekstremisme yang mereka bawakan.

Ancaman Pemenjaraan Ketua Umum

Saudara-saudari sekalian,

Di celah-celah itu, kita tahu bahawa Ketua Umum Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kini berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan semula. Kita tidak menolak tekanan yang ada di balik tabir politik melalui tindakan menangkap peguam beliau yang juga Naib Presiden Keadilan, Sdr. N. Surendran serta kenyataan terkini Tun Dr. Mahathir yang menyatakan rasa tidak senang terhadap Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.

Kita tahu, dalam kes 1998, rakyat, khususnya majoriti orang Melayu telah bangkit menyatakan sikap mereka terhadap kezaliman dan tuduhan jahat yang dilemparkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kita ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti rakyat Malaysia, malah kini sedang kuat ditekan oleh Tun Dr. Mahathir yang telah memfitnah dan menzalimi Dato’ Seri Anwar.

Saya ingin tegaskan di sini bahawa AMK tidak akan berdiam diri walau sesaat pun membiarkan Dato’ Seri Anwar dipenjarakan atas tuduhan jahat yang jelas bermotif politik. Kita akan sama-sama bangkit untuk menggerakkan masyarakat dan menghumban UMNO-BN ke dalam tong sampah sejarah sebagai parti yang tidak bermaruah.

Kita akan menentang tekanan politik juga terhadap pimpinan Pakatan seperti Surendran dan Sdr Tian Chua. Kita menolak penindasan terhadap masyarakat sivil yang semakin menjadi-jadi. Kita akan melawan kezaliman terhadap mana-mana insan.

Dalam pelbagai cabaran yang ada di hadapan kita ini, kita sebagai anggota AMK tidak mempunyai kemewahan masa dan tenaga selain untuk digunakan bagi tujuan yang jelas: memperkukuh wadah, menggiatkan perkaderan dan penerangan serta memastikan pimpinan dan anggota di pelbagai peringkat bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan.

Pemilihan AMK dan KEADILAN

Teman-teman seperjuangan,

Saya ingin melahirkan ucapan terima kasih kepada Sdr Shamsul. Beliau telah memimpin untuk membina semula AMK ketika ditinggalkan begitu sahaja oleh Sdr Ezam Mohd Nor dahulu.

Tahniah diucapkan kerana beliau menang sebagai Naib Presiden pada pemilihan kali ini.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya, Sdr Amirudin Shari dan Sdr Nazree Yunus, terima kasih kerana turut bertanding untuk menjadi Ketua AMK Malaysia. Kedua-dua mereka telah menyampaikan ucapan tahniah kepada saya sebaik sahaja keputusan diumumkan semalam. Saya gembira dapat bertemu mereka di Kongres AMK pada hari ini. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan pada mereka.

Tahniah kepada Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin, Naib-Naib Ketua dan Ahli-Ahli Majlis Pimpinan AMK Malaysia yang dipilih.

Penglibatan luar biasa dari segi anggota yang bertanding dan mengundi di dalam pemilihan AMK khususnya dan KEADILAN amnya membuktikan keyakinan bahawa parti ini punya masa depan.

Namun antara pesanan yang saya ingin tinggalkan kepada para perwakilan, wajarlah kita mengambil iktibar, bahawa keghairahan ini, suka atau tidak, telah sedikit sebanyak mencalarkan hasrat murni KEADILAN untuk memberikan kuasa lebih banyak kepada anggota melalui sistem ‘seorang anggota, satu undi’.

Ia bukan sahaja mencalarkan imej KEADILAN sebagai parti yang mendokong reformasi pilihan raya, tetapi lebih berbahaya apabila ianya dijadikan alasan oleh sesetengah pihak mendakwa ‘pengukuhan kuasa akar umbi’ yang cuba diterapkan melalui sistem ‘seorang anggota, satu undi’ gagal dan tidak boleh dijadikan alternatif.

Saya menolak tuduhan itu. Ya, kita perlu mengkaji semula prosesnya dengan lebih teliti. Ya, kita perlu mengkaji skop sama ada memfokuskan pemilihan ‘seorang anggota-satu undi’ hanya di kalangan pimpinan paling kanan bagi MPP, AMK dan Wanita adalah lebih praktikal. Tetapi prinsip ‘seorang anggota, satu undi’ adalah kelainan KEADILAN yang selari dengan prinsip kita dan harus dipertahankan.

Keghairahan ini telah meninggalkan luka di kalangan kita. Tetapi saya menggesa, sebagaimana pesanan Timbalan Presiden Sdr Azmin Ali di dalam ucapan perasmiannya pagi tadi agar kita mengenepikan sentimen fanatik sama ada AMK Untuk Malaysia, AMK Baru ataupun Nadi AMK kerana pokoknya kita semua anggota AMK. Kita semua anggota KEADILAN. Kita semua cintakan Pakatan. Marilah kita menjalinkan wahdatul fikrah berasaskan idealisme keadilan melangkaui kumpulan-kumpulan kita.

Rakyat tidak berminat cerita di dalam kelambu. Rakyat mahu melihat penyelesaian isu Menteri Besar Selangor dan perlantikan segera Presiden KEADILAN Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN Selangor sebagai Menteri Besar. Kita ada Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada masa terdekat di Kelantan. Pilihan Raya Negeri Sarawak akan diadakan bila-bila masa sahaja.

Pesanan saya, mari kita rapatkan saf, bekerja sebagai suatu keluarga AMK dan KEADILAN. Pesan saya, pulang ke negeri dan cabang masing-masing dan siapkan jentera parti. Sampaikan salam kepada aktivis dan anggota akar umbi untuk kita menggiatkan usaha kita.

Saya dan saf pimpinan baru akan memberi fokus 100 hari pertama bermula hari ini untuk menggariskan dasar-dasar AMK penggal ini. AMK-AMK di peringkat cabang-cabang yang lemah, terutamanya bagi kawasan-kawasan tumpuan yang ditandingi KEADILAN akan diperkasakan.

Bangkitlah kita wahai anak muda! Ayuh persiapkan diri ke medan juang dan perkasakan AMK sebagai sayap paling progressif dalam parti seterusnya ke peringkat nasional. Marilah kita semarakkan jiwa merdeka. Suara kita suara merdeka. Membujur lalu melintang patah!

Reformasi! Reformasi! Reformasi!

Sekian, Terima kasih.

Terpilih sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia 2014-2017

Anggota AMK telah membuat pilihan mereka.

Perjalanannya panjang dan mencabar, tetapi akhirnya anggota-anggota muda KEADILAN telah memberikan saya amanah untuk memimpin mereka.

Dengan rasa rendah diri, saya menerima mandat yang telah diberikan kepada saya.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua saya yang baru, Dr Afif Bahardin dan Naib-Naib Ketua Raymond Ahuar, Radzlan Jalaluddin dan Sangetha Jayakumar serta Ahli Majlis Pimpinan AMK yang lain.

Saya akan bekerjasama dengan mereka untuk membawa AMK ke tahap yang lebih baik.

Kepada sahabat-sahabat seperjuangan saya, Amirudin Shari dan Nazree Yunus, saya ucapkan tahniah kepada mereka di atas kempen yang sengit.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada teman-teman, pasukan kempen dan sukarelawan-sukarelawan AMK Untuk Malaysia. Meskipun bukan semua di antara kita menang, tetapi kita telah bekerja keras dan mencipta sejarah baru. Kita membuktikan kepada parti dan negara apakah erti sebenar menjadi rakyat Malaysia dengan nilai-nilai berani, dinamik dan peduli.

Pokoknya, kita semua mencintai AMK dan KEADILAN. Kita semua mencintai Pakatan. Tidak kira AMK Untuk Malaysia, AMK Baru mahupun Nadi AMK kita semua mencintai tanah air kita. Kepada semua anggota AMK tanpa mengira pasukan – anda telah menyumbang tenaga, masa dan jiwa anda untuk kempen pemilihan parti. Anda telah buktikan apakah yang boleh dilakukan oleh anak muda yang komited kepada perubahan.

Ini masanya kita untuk AMK bersatu demi KEADILAN, Pakatan dan negara kita.

Marilah bersama berganding bahu. Banyak tugas di hadapan kita.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas pengorbanan petugas-petugas pemilihan parti yang bekerja siang malam selama empat bulan ini.

Proses pemilihan yang kita tempuhi tidaklah mudah, tetapi dengan melakukan penambaikan, insya Allah kita boleh melihat proses yang lebih baik di masa akan datang. Kita tidah pernah gentar melakukan perubahan.

Akhir sekali terima kasih kepada keluarga saya, Imaan dan Ilhan yang telah memberikan kasih sayang dan dorongan yang tidak berbelah bahagi. Tidak mungkin saya dapat melakukannya tanpa dorongan tersebut.

Kepada semua anggota AMK, kita melalui hari-hari yang penting untuk AMK, parti, Pakatan dan negara kita.

Perkembangan di Selangor kini melibatkan kita semua.

Sebab itu keperluan untuk merapatkan saf dan perpaduan di kalangan kita bertambah penting. Sokonglah saya bila saya melakukan perkara yang betul, dan tegurlah saya bila saya membuat kesilapan.

Jika kita bersatu-padu dan terus berkhidmat demi rakyat, tiada apa yang mampu menghalang kita.

Kita harus pastikan suara rakyat terjamin di Selangor. Kita harus berganding tangan memperkukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat. Kita mesti menjuarai hak generasi muda Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.

Dengan dokongan anda – semua perkara ini, malah lebih lagi – boleh kita capai. Sejarah dikarang oleh para optimis.

Percayalah, hari-hari terbaik KEADILAN dan Malaysia ada di hadapan kita. Jika kita bekerjasama, kita boleh mengubah parti dan negara kita menjadi lebih baik.

Tetapi keinginan itu mestilah ada di dalam diri kita. Kita mestilah percaya bahawa kita boleh berbuat demikian.

Pokoknya mudah, mulai detik ini kita tumpukan kepada keinginan berkhidmat.

Marilah kita, bersama-sama, memulakan tugas besar ini.

Mari kita bertemu di Kongres AMK Malaysia esok dan sambutnya dengan suasana sederhana sesuai dengan Hari Perkabungan Negara.

Dengan ucapan tulus ikhlas, terima kasih.

Isu Pemuda: Saranan Nur Jazlan dan Khairy harus dipandang serius oleh UMNO

Saya menyambut baik saranan Ahli Parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed bagi menetapkan had umur 40 untuk Ketua Pemuda UMNO.

Menurut satu laporan Malaysian Insider pada 17 Ogos 2014, usul ini dibuat bagi menarik lebih ramai golongan muda terhadap Pemuda UMNO.

Ini diikuti dengan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mencadangkan supaya pada Pilihanraya Umum yang akan datang, 30 peratus calon adalah mereka yang berumur 40 tahun dan kebawah.

Kesemua cadangan ini perlu diberikan pertimbangan yang serius oleh pimpinan UMNO.

Kadang-kala, umur hanyalah sekadar angka dan pengalaman tidak boleh dipandang rendah, namun hakikat bahawa generasi muda lebih tertarik dan lebih terkesan apabila dipimpin oleh mereka sendiri.

Bagi KEADILAN, kami telah menetapkan kesemua anggota Angkatan Muda KEADILAN adalah berumur sehingga 35 tahun sahaja. Ini juga sama dengan had umur Pemuda Sosialis DAP.

Dalam pada masa yang sama, KEADILAN dan Pakatan Rakyat tidak pernah mengenepikan anak muda untuk diletakkan sebagai calon dalam Pilihan Raya mahupun jawatan dalam parti.

Ia merupakan satu langkah yang bagus apabila akhirnya UMNO menyedari kepentingan anak muda di Malaysia – walaupun agak terlambat.

Walaupun penetapan had umur adalah urusan UMNO, saya dengan rendah diri ingin mengatakan bahawa 40 tahun adalah agak tua. Majlis Belia Malaysia pernah meminta umur belia diturunkan daripada 40 tahun, sementara definisi PBB meletakkan umur belia pada 15-24 tahun.

Bagi sesiapa pun anak muda di dunia ini, perbezaan beberapa tahun boleh menjadi penentu dari segi nilai, matlamat dan pandangan.

Sudah pasti agak sukar untuk katakan, seorang yang berusia lingkungan 38-40tahun benar-benar memahami pemikiran mereka yang berumur lingkungan 20-25tahun.

Ini sesuatu yang perlu pemimpin mengambil kira – bukan hanya dalam poltik.
Sebelum ini, sudah terlalu banyak organisasi untuk anak muda dipimpin oleh mereka yang lebih tua.

Selain itu, terdapat banyak dakwaan pengurusan yang salah dan berpuak-puak dalam organisasi ini.

Hampir tiada sebarang tindakan yang telah dilakukan- sekurang-kurangnya berdasarkan apa yang telah dikatakan awam- untuk memperbaiki keadaan ini.

Walaupun baru-baru ini Khairy dilihat sering terlibat dengan program-program yang berkait dengan sukan, harus diingatkan jawatan beliau adalah “Menteri Belia dan Sukan.”

Oleh itu, beliau hendaklah juga berusaha memperbaiki dan membawa perubahan dalam separuh lagi portfolionya.

Terdapat beberapa organisasi di Malaysia hari ini yang benar-benar membawa anak-anak muda bersama-sama serta memenuhi keperluan mereka.

Jikalau beliau tidak mampu berbuat demikian – pemimpin UMNO seperti Nur Jazlan- perlu menjelaskan kenapa parti mereka tidak mampu lagi untuk menyokong beliau dalam hal ini.

Namun, apa yang dikatakan dan dilakukan hanyalah sia-sia berdasarkan hakikat bahawa pelajar Malaysia –di dalam dan luar negara- yang menunjukkan minat dalam hal ehwal awam dan kebebasan dalam pemikiran masih tertakluk kepada gangguan dan fitnah.

Anak muda Malaysia berhak mendapatkan lebih dari sekadar omongan kosong dan perubahan yang tidak holistik.

Mengapa Khalid mesti digantikan

KEADILAN telah memecat Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dari parti. Kemudian, Pakatan Rakyat telah mengambil keputusan sepakat menolak Khalid dan mencalon Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Semua pihak – sama ada sanak saudara semasa Hari Raya, pengundi-pengundi saya di kedai-kedai mamak sehinggalah sahabat-sahabat saya di Whatsapp – ingin tahu kenapa kami mahu beliau digantikan.

Sungguhpun ramai yang mengkritik, namun tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Mengenali dan pernah bekerja bersama Khalid suatu ketika dulu, saya secara peribadinya menyedari kemerosotan hubungannya bersama parti dan penyingkirannya adalah sangat sesuatu yang menyedihkan.

Namun, KEADILAN telah membuat satu keputusan yang tepat dengan menyingkirkannya daripada parti.

Beliau juga perlu meninggalkan kerusi MB.

Pertama kali saya bertemu beliau ketika saya berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim pada 2006. Pada petengahan tahun, saya telah ke kediaman Khalid di Bukit Damansara untuk menyerahkan borang keahlian parti. Beliau telah diumumkan sebagai Bendahari Agung KEADILAN, satu langkah yang mengejutkan banyak pihak. Walaupun sebelum ini beliau bertanding jawatan Ketua Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Cawangan UMNO (kesemuanya tidak berjaya), beliau lebih dikenali oleh kebanyakan rakyat Malysia sebagai tokoh korporat.

Dua tahun kemudian, sehari selepas Pilihanraya Umum ke 12, Khalid telah meminta saya untuk membantu beliau kerana beliau telah dinamakan untuk menjadi MB Selangor yang baru. Pada waktu itu, saya baru memenangi kerusi DUN Seri Setia. Masih jelas di ingatan saya ketika merangka sepucuk surat untuk Istana Selangor mengesahkan sokongan dari ketiga-tiga parti di kediamannya.

Saya telah menemani Khalid untuk bertemu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri untuk memulakan proses peralihan kuasa. Selepas Khalid disahkan sebagai MB, saya secara rasminya telah dilantik sebagai Setiausaha Politik beliau. Segalanya bermula dengan baik seperti yang telah kami janjikan kepada rakyat Selangor.

Kami menumpukan usaha kami untuk mewujudkan satu ekonomi rakyat dan pada masa yang sama mengimbanginya dengan keperluan untuk pembangunan ekonomi dan membersihkan masalah-masalah yang ditinggalkan sewaktu pentadbiran Khir Toyo. Imej bersih Khalid telah melihatkan kekukuhan beliau jauh berbeza dengan skandal kerajaan BN serta pengurusan majlis-majlis tempatan yang tidak cekap sebelum ini.

Selepas beberapa ketika, muncul ketegangan.

Pada satu malam hari Rabu ketika saya bertemu teman-teman daripada UMNO dan ABIM membincangkan isu-isu semasa, saya telah menerima satu panggilan dari pimpinan parti bertanya mengenai di manakah Khalid. Ini merupakan malam setiap minggu dimana Biro Politik KEADILAN bermesyuarat – pimpinan-pimpinan tertinggi parti termasuk Anwar, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung dan pimpinan-pimpinan kanan – hadir. Khalid adalah salah seorang dari ahli Biro. Seperti biasa, saya memaklumkan bahawa mesyuarat ini telah dimasukkan dalam jadual Khalid. Namun, Khalid tidak muncul.

Biro Politik bukanlah tempat sembang kosong seperti kedai kopi. Isu-isu penting – termasuk dasar parti dan bagaimana kami menguruskan hubungan dengan sekutu Pakatan Rakyat – dibincangkan di sini. Amatlah tidak wajar bagi seorang wakil rakyat KEADILAN – terutama satu-satunya MB kami – untuk tidak menghadirkan diri kecuali ada alasan yang benar-benar kukuh.

Kakitangan beliau sepatutnya memasukkan mesyuarat Biro Politik dalam jadual beliau serta memastikan tiada pertindihan dengan agenda lain. Kami memberi notis dan peringatan kepada Khalid. Beliau sudah bersetuju untuk pergi tetapi seperti kebiasaannya saya dimaklumkan beliau tidak hadir. Episod ini sering berulang dari minggu ke minggu. Sehingga sampai satu masa saya terpaksa pergi bagi menggantikan beliau, menjadi orang tengah di antara MB dan parti. Saya juga menghadiri aduan rakyat di cabang Khalid, Kuala Selangor serta banyak lagi kawasan di Selangor.

Saya memastikan untuk menerangkan kepada Khalid apa yang berlaku dalam semua mesyuarat tersebut. Apa yang mengejutkan pada saya ialah beliau bukan sahaja menolak isu yang dibangkitkan tetapi juga membuat kenyataan yang menghina dan memperlekehkan parti.

Sikap beliau jelas menunjukkan bahawa semua keputusan parti adalah salah dan hanya beliau seorang sahaja yang betul.

Saya mendapati pendirian beliau sangat membingungkan. Mungkin beliau secara semulajadinya tidak pandai berpolitik, ataupun beliau menganggap kehadiran beliau ke mesyuarat Biro Politik akan memberikan tekanan yang tidak sepatutnya dalam kedudukan beliau sebagai MB. Namun, sikap beliau yang angkuh dianggap bertentangan dengan proses politik dan demokrasi.

Beliau seolah-olah menganggap parti ibarat habis madu sepah dibuang. Namun Malaysia mengamalkan demokrasi Westminster dimana eksekutif seperti Kalid harus mematuhi sokongan dari sekutu bagi mengekalkan kedudukan beliau. Beliau menjadi MB di atas sokongan dan dokongan parti.

Sungguhpun kritikan seringkali menyentuh dasar pentadbiran beliau yang tidak digemari oleh orang awam. Tetapi Khalid bukanlah ‘team player’. Ini menyebabkan keadaan bertambah rumit apabila UMNO dan BN menyerang KEADILAN dan Pakatan dengan pelbagai isu khususnya perkauman dan agama pasca 2008.

Selepas dua tahun, sudah cukup rasanya untuk saya membuat keputusan untuk berhenti. Saya rasa saya tidak mampu untuk meyakinkan beliau supaya memberi kerjasama dengan parti dan sudah masanya untuk orang lain mengambil alih.

Saya berbangga dengan pencapaian Pakatan pada waktu itu. Sungguhpun saya berasa sukar bekerja dibawah beliau, saya masih menyukai Khalid dan menganggap beliau sebagai bapa. Pada fikiran saya, bersama Setiausaha Politik yang lain, keadaan ini akan berubah.

Dalam Pilihanraya Umum ketiga belas, Pakatan telah menambah bilangan kerusi di DUN dari 36 ke 44. Walaubagaimanapun, KEADILAN cuma memperolehi 14 14 kerusi sahaja. Ini berpunca oleh dua pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara dengan PAS dan satu lagi dengan PSM di Semenyih. Pencapaian yang ditunjukkan oleh Pakatan dalam Kerajaan Selangor, bersama harapan mengambil alih Putrajaya tidak dinafikan menyumbang kepada peningkatan keseluruhan.

Walaubagaimanapun, hampir keseluruhan kempen pilihan raya Khalid cuma turun berkempen di kerusi Parlimennya Bandar Tun Razak dan kerusi DUNnya, Pelabuhan Klang. Sebaliknya Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli yang turun berkempen bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara untuk kemenangan KEADILAN dan Pakatan. Ramai pimpinan parti kecewa dengan tindakan Khalid meninggalkan kerusi beliau di Ijok dan bertanding di Pelabuhan Klang. Namun parti telah membuat keputusan kerana telah banyak pergolakan akar umbi di Ijok. Tambahan pula, KEADILAN akhirnya telah kehilangan kerusi DUN Bukit Melawati dalam Parlimen yang sama.

Mungkin ada pembaca yang berkata “hanya kerana beliau tidak suka hadir ke mesyuarat parti dan sedikit mementingkan diri dengan tidak turun berkempen. Jadi? Ramai lagi ahli politik seperti itu. Kenapa perlu singkirkan beliau? Tidakkah sepatutnya beliau dipuji kerana enggan tunduk kepada tekanan politik? Dan kenapa tidak dari dahulu disingkirkan sahaja jika tidak suka kepada beliau?”

Ramai pimpinan dalam KEADILAN and Pakatan tidak yakin untuk menggantikannya selepas Pilihan Raya Umum ke13. Meskipun ada ketidakpuasanhati, ramai yang merasakan kita boleh meneruskannya jika keadaan hubungan parti dan beliau kekal pada tahap ketika itu.

Namun pada tahun ini, segala persoalan telah terbongkar – mengenai intergriti beliau. Pembaca boleh membaca cerita lanjut di https://docs.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgT0E4STNWLTJya00/edit .

Saya sangat menggalakkan rakyat Malaysia – terutamanya rakyat Selangor- untuk membaca dan menilai sendiri. Saya sangat yakin mereka akan membuat keputusan sepertimana keputusan yang dibuat oleh parti.

Saya hanya mengetengahkan isu-isu yang utama di dalamnya.

Khalid dan penyokongnya dilihat sangat berlebihan dalam menggambarkan imej beliau sebagai seorang tecknokrat yang tidak berkepentingan.

Beliau sepatutnya “tidak mencampuri politik” dan “mendahulukan rakyat”. Namun, artikel tersebut menekankan beberapa kesilapan utama yang amat membimbangkan dalam hal ini.

Sebab utama adalah kontroversi hutang beliau sebanyak RM59.5 juta (setakat 13 November 2006) dengan Bank Islam. Walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi beliau, pada Februari 2014 Khalid telah mampu untuk mendapatkan penyelesaian luar mahkamah kurang daripada jumlah wang yang berkenaan.

Hakikat bahawa Rashid Manaf seolah perjanjian yang ditaja telah meragukan parti. Rashid – seperti yang diterangkan – sangat berkait rapat dengan UMNO. Tambahan lagi, Khalid seringkali enggan untuk menjelaskan isu hutang ini walaupun telah banyak kali diberi peluang oleh parti. Beliau tidak boleh mendakwa ini adalah semata-mata perkara peribadi.

Sebagai seorang wakil rakyat, hutang-hutang beliau adalah isu umum kerana beliau berkemungkinan hilang kelayakan untuk jawatan setelah diisytiharkan bankrap. Tambahan lagi, sangat mengujakan apabila penyelesaian telah dipersetujui, EcoWorld Berhad, sebuah syarikat di mana Rashid yang mempunyai kepentingan – telah mendapat kontrak perumahan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bernilai jutaan ratus ringgit.

Khalid telah membuat dua tawaran yang sangat kontroversi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang melibatkan Ecoworld.

Pada 19 Mac 2014, Tropicana Corporation Berhad telah mengumumkan jualan sebanyak 308.72 hektar tanah yang dibeli oleh Selangor kepada Ecoworld Berhad pada April 2013. Pembelian mula-mula kepada Tropicana sangat meragukan kerana ia dibuat selepas DUN dibubarkan kerana Pilihanraya Umum 2013.

Ini bermaksud Kerajaan Negeri pada masa itu hanyalah penjaga dan ia adalah tidak wajar untuk melakukan apa-apa perjanjian.

Tambahan pula Tropicana telah diberikan syarat-syarat yang luar biasa, termasuklah hanya perlu membayar RM50 juta deposit dan selebihnya sebanyak RM537 juta boleh dibayar sehingga 12 tahun. Biro Politik telah menimbulkan isu ini namun sangat susah untuk disahkan kerana beliau seringkali tidak hadir ke mesyuarat.

Pada 25 Mac, perjanjian kedua telah ditanda tangani untuk memberikan satu kontrak kepada Ecoworld bagi membina 2400 pangsapuri mampu milik untuk kerajaan negeri bernilai RM591 juta. Perjanjian ini merupakan satu kontrak tanpa tawaran terbuka. Ini sangat bertentangan dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti, yang Khalid sepatutnya perjuangkan.

Tidak lama selepas kejadian itu, Khalid telah menandatangani satu memorandum persefahaman mengenai sumber air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan. Seperti yang telah diakui oleh beliau, ini dilakukan tanpa melibatkan KEADILAN dan Pakatan. Malah pihak Exco tiada pilihan melainkan menerimanya apabila dibentangkan oleh Khalid.

Memorandum ini – yang telah ditentang oleh banyak pihak – jelas tidak memihak kepada rakyat Selangor, terutama sekali apabila ada terma memaksa Kerajaan Negeri untuk menerima projek empangan Langat 2 tanpa apa-apa obligasi undang-undang di pihak Kerajaan Persekutuan untuk proses penstrukturan semula air Selangor.

Pada Ogos 2014, Khalid sekali lagi telah menandatangani perjanjian awal sumber dengan Kerajaan Persekutuan. Sekali lagi beliau melakukannya tanpa berunding dengan KEADILAN ataupun parti lain dalam Pakatan. Beliau juga tidak berbincang bersama EXCO sebelum menandatanganinya.

Walaupun tindakan awal beliau tegas, Khalid secara beransur-ansur telah berlembut mengenai pendirian beliau dalam isu air. Sememangnya perjanjian yang telah ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan sepenuhnya memihak kepada syarikat konsesi. Pada dasarnya ia menyerahkan segalanya kepada Kerajaan Persekutuan dan konsesi tanpa menjamin keupayaan Kerajaan Negeri untuk menyusun semula aset air Selangor.

Kontroversi seterusnya adalah cadangan lebuhraya KIDEX. Penduduk di Petaling Jaya dari semua bangsa tidak bersetuju dengan projek ini yang mana pemilikan yang meragukan dan berkait dengan kepentingan korporat pro-UMNO. Dalam waktu yang sama, pembinaan tol baru adalah sangat bertentangan dengan prinsip Pakatan kerana menguntungkan konsesi dan membebankan rakyat.

Kronologi peristiwa-peristiwa ini juga menimbulkan kebimbangan.

Kebanyakan dari kontroversi ini datang sebaik sahaja selepas Khalid mendapat tempias dari Langkah Kajang yang bertujuan mengukuhkan Kerajaan Negeri dengan menggantikan beliau.

Tidakkah ini mengundang kemusykilan apabila secara tiba-tiba Khalid bersikap terlalu bertolak ansur kepada Kerajaan Persekutuan sebaik sahaja parti menjelaskan beliau perlu digantikan?

Apa yang menarik ialah apabila Khalid dan penyokongnya tidak pernah sesekali menafikan dakwaan terhadap beliau ini.

Namun, satu-satunya perkara yang telah mereka lakukan adalah mempersoalkan integriti kepada pengkritik mereka – kononnya semuanya berniat politik yang sempit atau ingin mengaut sumber negeri Selangor.

Jelasnya, wujud kelemahan yang serius dalam pentadbiran Khalid – tidak kiralah kita memandang dari sudut politik yang lama.

Tindakan Khalid ini tidak memihak kepada kakitangan awam. Ia sukar dilihat apatah lagi tiada orang lain yang akan mendapat manfaat kecuali dirinya sendiri dan kepentingannya.

Mengetepikan parti politik, tindakan terhadap tanah dan air di Selangor jelas sekali telah merosakkan kepercayaan orang awam terhadap janji beliau.

Kami faham bahawa ramai pengundi akan keliru dan marah dengan pendedahan ini. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengelakkan kemelut yang lebih panjang di Selangor hari ini.

Bagi seseorang yang pernah berada bersama ketika beliau menyertai parti dan pernah setia berkhidmat sebagai Setiausaha Politik beliau, ini tambah menyedihkan.

Namun apa yang kami lakukan adalah yang terbaik unuk Selangor.

Kami tidak mempunyai pilihan lain.

Khalid harus digantikan.