Monthly Archives: July 2014

Kenyataan Ahmad Tarmizi Dikesali

Pertama sekali, saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi MH 17.

Saya merujuk kepada kenyataan Ahmad Tarmizi Sulaiman, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah semalam.

Dalam kenyataannya, beliau meluahkan ucapan takziah terhadap keluarga mangsa tragedi MH 17. Pada masa yang sama, Tarmizi mendesak MAS mengkaji semula penyajian alkohol dan kod pakaian penerbangan tersebut memandangkan dasar ini bertentangan dengan ajaran Islam dan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.

Tanpa mempertikaikan prinsip yang beliau utarakan, agama kita sentiasa menekankan bahawa Allah s.w.t. adalah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kita diajar untuk redha menerima takdir termasuk musibah. Di dalam menganjurkan kebaikan dan melarang kejahatan – amar ma’aruf nahi munkar – sekalipun, kita patut melakukannya dengan hormat dan tertib apatah lagi pada saat satu tragedi besar dan mengejutkan. Ada masa dan tempat yang sesuai untuk semua perkara.

Kenyataan-kenyataan sebegini, meskipun dibuat dengan niat yang baik, memberikan gambaran yang salah terhadap Islam.

Serangan ke atas Gaza

Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Tambahan pula, kekejaman ini dilakukan sewaktu umat Islam khasnya di Semenanjung Gaza sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Serangan yang bermula sejak Selasa lalu telah mengorbankan 200 nyawa dan mencederakan ramai yang lain. Mereka yang terkorban ini terdiri daripada rakyat awam termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kerajaan Malaysia mestil mengambil tindakan yang tegas bagi menyelar serangan rejim Zionis ini dan seterusnya membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Saya juga mendesak rakyat antarabangsa mengambil langkah campur tangan bagi mengelakkan lebih ramai lagi mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis ini. Ini bukanlah pertembungan di atas padang sama rata, tetapi di antara penakluk yang jauh lebih kuat dengan warga yang ditakluk yang lemah yang tinggal di antara tempat paling padat di dunia.

Rakyat Malaysia khususnya hendaklah bersatu bagi mengecam sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis dan menghulurkan bantuan serta doa memohon keselamatan dan pembebeasan untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Tidak Tepat untuk Khairy Katakan Pakatan Belum Mampu Mentadbir Negara

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin bahawa Pakatan Rakyat belum mampu mentadbir negara berikutan isu kepimpinan negeri Selangor adalah tidak tepat.

Harus diingat, meskipun Pakatan Rakyat sebagai gabungan tidak wujud sebelum PRU ke-12, namun sebaik sahaja PAS, KEADILAN dan DAP memenangi majoriti kerusi di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah, Kerajaan Negeri dapat dibentuk di kelima-lima negeri tersebut dan gabungan Pakatan Rakyat diasaskan.

Semenjak itu, Pakatan Rakyat telah mengadakan konvensyen pada setiap tahun dan melakar sejarah dengan pelbagai dasar bersama seperti Belanjawan Pakatan Rakyat, Kerangka Bersama, Buku Jingga dan Manifesto Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat yang mendapat dokongan 51 peratus rakyat Malaysia pada PRU ke-13 yang lalu juga bersifat sebagai perkongsian tiga parti yang sama pentingnya, bukan seperti BN yang mana UMNO jauh bersifat dominan berbanding parti-parti komponen yang lain. Maka keputusan yang diambil perlulah mendapat mandat persetujuan bersama, bukan keputusan satu pihak sahaja.

Jika perbezaan pendapat menjadi ukuran, beliau wajib melihat kembali senarai perbezaan pendapat pimpinan UMNO dalam parti sendiri, atau dengan parti-parti komponen yang begitu panjang juga senarainya. Cuma UMNO-BN memegang teraju media arus perdana, tidak seperti Pakatan Rakyat. Maka perbezaan UMNO-BN cuba disorok sementara perbezaan Pakatan Rakyat diperbesar-besarkan.

Isu Gelandangan dan Peminta Sedekah: Kenyataan Tengku Adnan Mengecewakan

Pengumuman Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghukum peminta dan pemberi sedekah adalah amat mengecewakan.

Tindakan melarang NGO-NGO membuat program dapur-dapur jalanan di zon-zon tertentu juga mestilah mengambilkira keperluan dan kebajikan golongan gelandangan, bukan untuk memindahkan masalah dari satu tempat ke tempat yang lain sahaja.

Suatu kajian menyeluruh harus dibuat yang melibatkan semua agensi terbabit dan NGO-NGO yang berpengalaman di dalam membantu isu peminta sedekah dan gelandangan agar punca utama masalah ini dikenalpasti dan suatu langkah proaktif dapat dikenalpasti.

Suatu dasar yang lebih bersifat memandang ke hadapan dan bukan menghukum semata-mata perlu dirangka bagi mencari penyelesaian terhadap isu peminta sedekah dan gelandangan dapat diselesaikan dengan sepenuhnya.