Monthly Archives: June 2014

Laporan Polis terhadap Ruslan Kasim

Saya telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Perkasa Negeri Sembilan, Ruslan Kasim.

Pada 23 Jun 2014, Ruslan telah mengatakan kenyataan ini dalam sebuah demonstrasi di luar Istana Kayangan di Shah Alam.

“Suara mereka suara Israel, mereka yang anti Islam, minda mereka dicemari dengan musuh Islam…Jika kamu tidak tutup mulut kamu daripada terus memperkotak-katikkan Islam, kita akan tutup mulut kamu dan jika kamu mengkhianati Sultan, kita akan pancung kepala kamu…Biarkan kamu mati daripada terus menjadi parasit.”

Kenyataan ini jelas ditujukan kepada empat orang Ahli Parlimen PAS yang menggesa untuk menghadkan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) susulan kepada kontroversi rampasan bible dalam Bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kenyataan Ruslan ini dilihat sebagai tidak bertamadun dan jelas ia adalah satu kesalahan.

Kenyataan beliau itu lagi langsung tidak membantu dan dilihat sebagai tidak bertanggungjawab bagi seorang rakyat di sebuah negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Ini adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang. Tiada seorang pun mempunyai hak untuk mengugut dan melakukan keganasan termasuklah pegawai yang dilantik atas apa jua alasan.

Sekiranya Ruslan mempunyai ketidakpuasan hati yang berasas, beliau sewajarnya merujuk kepada undang-undang. Ini adalah kerana, kenyataan beliau jelas sekali menunjukkan bahawa beliau dan Perkasa sedang menghina mahkamah dan undang-undang di negara ini.

Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara yang aman dan sejahtera jika individu seperti Ruslan dan organisasi seperti Perkasa dibenarkan membuat ugutan seperti ini.

Hakikatnya, dengan perbuatan biadap sebegini, mereka langsung tidak menyokong dalam memartabatkan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.

Jika Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaannya benar-benar serius dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, mereka sepatutnya mengambil tindakan segera terhadap Ruslan, Perkasa dan pertubuhan-pertubuhan seperti mereka.

Walaubagaimanapun, dia tidak perlu didakwa di bawah Akta Hasutan, atau pun menunggu untuk sebuah Rang Undang-Undang keharmonian untuk dibentangkan dan dikuatkuasakan.

Ini kerana, tindakan Ruslan ini jelas sekali termaktub sebagai sebuah ugutan jenayah di bawah Seksen 503 Kanun Keseksaan.

Saya tegaskan di sini, tindakan wajib diambil terhadap Ruslan dan Perkasa demi menjaga keamanan dan keharmonian di Malaysia.

Kerajaan Malaysia Mesti Berhenti Menganiyai Pelajar Malaysia di Luar Negara

Isu mengenai Aslam Abd Jalil yang merupakan salah seorang daripada pelajar kita di Australian National University (ANU), Canberra yang telah menerima surat tunjuk sebab oleh JPA telah menarik perhatian saya. Aslam merupakan pelajar yang menerima biasiswa JPA.

Aslam telah menerima surat tersebut melalui kiriman emel pada 18 Jun 2014 yang lalu daripada Penasihat Pendidikan dan Latihan Australia JPA Shahrezan Md Sheriff.

Aslam telah menerima surat berkenaan atas alasan beliau telah mengambil bahagian dalam forum mengenai isu semasa Malaysia yang diadakan di ANU pada 22 April 2014 bersama Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. Tajuk forum merupakan ‘Race, Religion, Royalty with YB Tony Pua’.

Merujuk kepada perkara tersebut, Aslam telah dituduh melanggar perjanjian 5.5 di dalam perjanjian biasiswa dengan kerajaan persekutuan di mana telah dinyatakan bahawa pihak kerajaan melarang mana-mana pemegang biasiswa untuk mengambil bahagian ataupun menyertai “penghasutan atau tunjuk perasaan…yang pada pendapat Kerajaan, adalah memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan”.

Aslam telah diarahkan untuk mengemukan satu penjelasan bertulis dalam masa 24 jam dan jika beliau gagal melakukan demikian, maka pihak kerajaan akan mengambil tindakan terhadap beliau.

Namun demikian, tindakan ini tidak langsung mengejutkan saya kerana seolah-olah telah menjadi satu tradisi oleh Kerajaan untuk menakut-nakutkan pelajar kita di luar negara supaya tidak menyertai apa-apa program yang melibatkan pihak pembangkang.

Sebagai salah seorang bekas pelajar di United Kingdom kira-kira sedekad yang lalu, saya dan beberapa orang rakan dari Malaysia sering diberi amaran dan digertak supaya tidak mengambil bahagian dalam akitiviti-aktiviti sebegini. Saya menerima surat sepertimana Aslam pada 2002 kerana bersama-sama Rafizi Ramli yang kini menjadi Ahli Parlimen Pandan dalam menganjurkan forum di London yang menampilkan Nurul Izzah Anwar, kini Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Itu ketika era Dr Mahathir Mohamad. Walau bagaimanapun transformasi politik yang dicanangkan oleh kerajaan UMNO-BN bawah pimpinan Najib Razak jelas merupakan hanyalah satu pembohongan semata apabila tindakan pelajar Malaysia yang cuba mempraktikkan kebebasan bersuara dan aktiviti intelektual dianggap menggangu ketenteraman dan menghasut.

Malah, Aslam turut berucap di dalam sebuah forum bersama Speaker Selangor Hannah Yeoh dan saya pada 26 Mei 2014.

Setakat ini, kesemua sesi forum ini dilihat tidak ada langsung sebarang agenda hasutan ataupun melanggar kepentingan tanah air. Melainkan jika ada seseorang yang mempertimbangkan untuk mengadakan satu pendebatan terbuka yang mengancam negara.

Rakaman kedua-dua program tersebut boleh ditonton umum secara atas talian masing-masing melalui http://bit.ly/1inGUQB dan http://bit.ly/1plet6A.

Bolehkah Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Menteri Luar Negeri, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia and JPA menyatakan apa yang mereka dapat dengan mengambil tindakan terhadap pelajar yang menyertai satu siri forum mengenai hal ehwal semasa?

Bolehkah mereka menjelaskan mengapa mereka menganggap bahawa forum-forum ini menentang kepentingan Malaysia? Lebih-lebih lagi apabila forum ini melibatkan tiga penggubal undang-undang yang dipilih rakyat – Speaker dan Timbalan Speaker sebuah dewan undangan negeri serta Ahli Parlimen Persekutuan.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Australia, Australian Capital Territory dan Kedutaan Besar Australia di Malaysia serta pentadbiran ANU, perlu mengambil perhatian bahawa seorang pelajar dari salah satu universiti mereka sedang didakwa di bawah satu pendakwaan yang jelas merupakan pendakwaan politik.

Saya berharap rakyat Malaysia di tanah air dan di luar negara berada dipihak Aslam dan memberikan sokongan kepada beliau. Beliau merupakan seorang anak muda Malaysia yang berani dan bijak yang dianggap bersalah hanya kerana mempertahankan apa yang beliau percaya.

Mengapa UMNO dan NGO-NGO mereka diam membisu dalam isu penswastaan UiTM?

Pendedahan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengenai penswastaan UiTM melalui sistem konsesi yang menguntungkan kroni, dilihat merukan satu masalah yang akan merugikan rakyat khususnya Bumiputera. Ini kerana UiTM merupakan salah satu institusi kebanggaan Bumiputera selama ini.

Meskipun kos pembinaan 6 kampus UiTM yang telibat di dalam skim ini sekitar RM1.8 bilion, tetapi rakyat menerusi Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar RM8.6 bilion sebagai sewa untuk tempoh 23 tahun.

Mengapakah pimpinan UMNO yang kononnya pejuang Melayu menerima konsesi-konsesi mewah dalam pembikinan UiTM? Ke manakah suara-suara lantang dari NGO-NGO perkakas UMNO seperti ISMA, JATI dan Perkasa yang selama ini mendabik dada dengan bangga mengatakan bahawa mereka adalah pembela hak kaum Melayu apabila pendedahan ini dibuat? Walhal, sudah terang dan nyata bahawa penswastaan UiTM ini nanti akan membebankan rakyat. Adakah masing-masing menjadi bisu hanya kerana syarikat-syarikat yang telah dilantik sebagai pemegang konsesi adalah dari kalangan kroni mereka sendiri?

Sejak penubuhan UiTM itu sendiri, mereka sentiasa menyifatkan istitusi itu merupakan sebuah institusi yang ingin membantu bumiputera. Ini kerana UiTM menawarkan yuran pengajian yang agak rendah berbanding institut pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

Jelas dapat dilihat dengan perjanjian konsesi selama 23 tahun ini nanti, sudah pasti kesannya akan membebankan rakyat. Adakah kerajaan sendiri lupa akan idea penubuhan UiTM itu sendiri? Dengan pelaksanaan konsesi UiTM ini nanti, tidak mustahil yuran pengajian mahupun yuran-yuran lain di UiTM ini nanti akan dinaikkan. Sudah pasti kesan ini akan dirasai oleh pelajar. Ini jelas sekali bercanggah dengan idea penubuhan UiTM yang ingin membantu Bumiputera.

Tidakkah pembela dan pejuang Melayu ini memandang serius kepada masalah ini? Adakah kerana ia memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu, maka mereka membatukan diri? Jangan kerana keuntungan sebelah pihak, maka mereka menafikan hak pihak rakyat yang ramai. Bak kata pepatah Melayu, “menang sorak, kampung tergadai”.

Perobohan Rumah di Kampung Chubadak

Saya mengecam tindakan DBKL merobohkan rumah-rumah di Kg Chubadak beberapa hari yang lepas tanpa sebarang toleransi atau simpati terhadap penduduk apabila rumah-rumah tersebut masih diduduki penduduk dan dipenuhi barang. Pihak DBKL telah berbuat demikian tanpa memberi amaran atau tempoh masa yang secukupnya kepada penduduk untuk membuat sebarang persiapan.

Walhal, Kg Chubadak bukanlah kawasan setinggan seperti yang dikatakan oleh DBKL tetapi telah diiktiraf oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai milikan peneroka bandar. Tambahan pula, pemaju perlu membayar ganti rugi kepada mereka jika ingin memajukan kawasan tersebut.

Perjuangan penduduk Kg Chubadak untuk mempertahankan tanah mereka telah mula sejak 12 tahun yang lalu namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana pemaju dan DBKL masih meneruskan perobohan baru-baru ini. Pihak pemaju dan DBKL dilihat hanya inginkan pembangunan demi mengejar keuntungan.

Perkara ini amat mengecewakan kerana sebagai pihak berkuasa tempatan, DBKL sepatutnya harus prihatin terhadap keperluan dan kepentingan penduduk di Kuala Lumpur dan tidak mengambil tindakan yang keras dan tidak berperikemanusiaan sebegini.

Adalah terbaik untuk para penduduk, DBKL dan pihak pemaju mengambil masa untuk membincangkan perkara ini secara telus dan aman agar dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan semua pihak.

Himpunan Kompilasi Wawancara Calon Pimpinan Utama AMK Untuk Malaysia