Monthly Archives: May 2014

Tindakan Samseng Pemuda UMNO

Serangan-serangan terhadap Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur dan pejabat DAP Kuantan adalah bukti yang cukup bahawa Pemuda UMNO tidak lebih daripada sekumpulan samseng.

Ini merupakan sebuah pertubuhan yang merasakan mereka adalah undang-undang ke atas diri mereka sendiri dan satu-satunya cara menyelesaian pertelingkahan adalah menerusi keganasan.

Sekalipun jika kenyataan ahli politik DAP tersebut adalah tidak wajar sama sekali, pihak yang mendakwa diri mereka juara bangsa dan budaya Melayu ini tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang kononnya beraliran sederhana dan reformis tidak bermakna dengan tindakan tidak bertamadun ahli-ahlinya. Jelas sekali beliau tidak mampu mengawal sayap tersebut. Setelah mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama, UMNO kini menjadi saksi makhluk yang telah mereka hasilkan.

Pada masa yang sama kelemahan tindakan terhadap Pemuda UMNO berbeza dengan tindakan bersungguh-sungguh Kerajaan Persekutuan mendakwa penganjur-penganjur himpunan aman yang menuntut reformasi sistem pilihan raya dan politik.

Mahasiswa UiTM Berhadapan Tindakan Disiplin Kerana Bersuara Mengenai GST di FB

Saya amat prihatin dengan laporan bahawa seorang mahasiswa UiTM Sabah, Mohd Fathihie Gadius, berhadapan tindakan disiplin di atas tulisan Facebooknya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Mohd Fathihie menerima surat bertarikh 28 April yang menuduh beliau melanggar Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana membuat kenyataan awam dengan menggunakan laman sosial Facebook yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah menerusi beberapa tulisan daripada Oktober 2013 – Januari 2014.

Jika didapati bersalah, Mohd Fatihie boleh digantung daripada universiti dan dihalang masuk kampus.

Ini satu lagi bukti betapa kurangnya kebebasan akademi di IPT-IPT Malaysia.

Bukankah tidak lama dahulu Perdana Menteri Najib Razak berjanji meminda Akta Universiti dan Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan menyatakan bahawa pentadbirannya “yakin dengan kebolehan mahasiswa untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berfikiran matang.”?

Malangnya insiden terbaru ini di mana seorang mahasiswa yang berfikiran bebas telah ditekan menunjukkan betapa kosongnya janji ini – seperti usaha-usaha ‘transformasi’ gagal Najib yang lainnya.

Ini suatu pencabulan pemikiran yang waras dan hak asasi manusia.

Mahasiswa-mahasiswa ini adalah rakyat Malaysia dan berhak menyuarakan pandangan mereka tentang isu-isu penting awam-termasuk GST.

IPT-IPT kita sepatutnya bangga dengan mahasiswa seperti Mohd Fathihie, yang mampu dan tidak gentar mempersoalkan dasar-dasar dengan berani. UiTM, sebagai institusi yang diasaskan untuk menggalakkan pendidikan bagi masyarakat Bumiputera sepatutnya berbangga dengan mahasiswa-mahasiswa Bumiputera yang menunjukkan kebebasan intelektual.

Tindakan yang dikenakan terhadapnya jelas membuktikan ada masalah besar dengan sistem pendidikan tinggi kita.

Cubaan IPT-IPT untuk menyekat kebabasan berfikir dan bersuara menyumbang kepada kedudukan dan reputasi menyedihkan IPT-IPT kita.

Nampaknya pihak pengurusan UiTM tiada masalah untuk kampus mereka digunakan sebagai platform politik UMNO-BN mahupun wacana perkauman tetapi tidak membenarkan mahasiswa mereka mempunyai pandangan dalam isu-isu penting membabitkan masa depan ekonomi negara. Apatah lagi golongan bawah 40 peratus – yang sebahagian besarnya masyarakat Melayu dan Bumiputera – yang akan terjejas paling teruk dengan cukai-cukai regresif seperti GST.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Bumiputera – mestilah bertanya sama ada kepentingan mereka dan minda generasi muda kita dijaga dengan pendekatan sebegini.

UiTM dan Kementerian Pendidikan perlu menjawab kepada rakyat Malaysia mengenai insiden mendukacitakan ini.

Ulangtahun Pertama Pilihan Raya Umum ke 13 Yang Bersejarah

Setahun telah berlalu sejak Pilihan Raya Umum ke-13 yang bersejarah. Di sebalik pelbagai halangan dan tekanan yang dihadapi Pakatan Rakyat, Pakatan mendapat hampir 51 peratus undi popular. Namun akibat persempadanan yang tidak adil, Pakatan hanya mendapat 40 peratus kerusi-kerusi Parlimen.

Perjuangan menuntut perubahan di Malaysia mestilah diteruskan. Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa kekuatan Pakatan muncul apabila KEADILAN, PAS dan DAP menumpukan untuk bekerjasama antara satu sama lain dan berada di jalur tengah politik.

Kita mesti terus fokus pada isu kesenjangan ekonomi, yang akan menjadi semakin lebar dengan pengenalan GST dan penarikan balik subsidi untuk rakyat; salah urus ekonomi; kronisme dan rasuah yang berleluasa; peningkatan kadar jenayah dan pencabulan hak asasi. Ini termasuk tekanan berterusan terhadap pimpinan Pakatan yang mana contoh utamanya ialah kes Anwar Ibrahim. Pada masa yang sama, kita mestilah sensitif di dalam berurusan dengan masyarakat Malaysia yang majmuk dan kompleks.

Kerajaan-kerajaan negeri kita mestilah terus membawa semangat reformasi yang menjadi identiti Pakatan dan menarik sokongan majoriti rakyat Malaysia. Kita tidak boleh sekali-kali menjadi hanya versi negeri BN yang lebih baik – sebaliknya negeri-negeri Pakatan mestilah membawa model yang berbeza sama sekali.

Jika kita tidak menyedari perkara ini sama ada di peringkat Pakatan ataupun kerajaan negeri, kita akan hilang sokongan rakyat. Kita tidak boleh mengambil mudah sokongan mereka. Itulah yang terjadi kepada UMNO dan BN, dan mereka telah dihukum oleh rakyat.

Rakyat khususnya anak-anak muda yang menyokong Pakatan beramai-ramai pada pilihan raya yang lepas, meletakkan harapan mereka di atas bahu kita.