Monthly Archives: March 2014

Manifesto Pasukan AMK Untuk Malaysia

Pendemokrasian Organisasi dan Melahirkan Gerakan Massa

Melaksanakan Konvensyen AMK di setiap negeri dalam tempoh 3 tahun. Konvensyen AMK Negeri akan berperanan mengambil alih kuasa melantik Ketua AMK Negeri daripada Ketua AMK Malaysia kepada AMK-AMK di setiap cabang

Konvensyen AMK juga berperanan menghidupkan AMK di setiap cabang secara aktif dan membolehkan AMK Cabang menyuarakan isu-isu akar umbi yang relevan bagi peringkat nasional dan negeri

Mengadakan mesyuarat Exco AMK dan aktiviti AMK Malaysia secara berkala di negeri-negeri agar merapatkan hubungan di antara AMK Malaysia, AMK Negeri dan AMK Cabang

Pemberdayaan Ekonomi Anak Muda

Mengkaji peluang-peluang sah yang ada di peringkat Kerajaan untuk disertai usahawan di kalangan anak-anak muda

Memperkenalkan program jangka pendek Sekolah Ekonomi Street Smart bagi membolehkan bimbingan perniagaan khususnya tentang sokongan untuk berniaga termasuk aspek kewangan serta perkongsian kisah-kisah kejayaan dari usahawan

Membina jaringan usahawan di kalangan anggota AMK dengan Kluster Anak Muda Niaga yang membolehkan AMK berkongsi kepakaran, keperluan dan permintaan sesama anggota dan pihak luar

Membantu pembangunan karier di kalangan anggota AMK dengan khidmat nasihat dan mengenalpasti peluang-peluang pekerjaan yang ada dalam pelbagai agensi swasta dan Kerajaan

Pemantapan dan Penyusunan Semula Latihan dan Pengkaderan Anggota

Memperkasakan Skuad AMK menerusi penjenamaan yang standard dan latihan bermodul yang bagi membolehkan semua anggota AMK daripada peringkat akar umbi. Dengan ini Skuad AMK akan menjadi tenaga sukarelawan bagi acara-acara parti, perhimpunan aman dan bencana aman. Skuad AMK juga akan menjadi wadah membina setiakawan yang lebih akrab di kalangan anggota AMK

Mengembangkan Mahasiswa KEADILAN ke kampus-kampus seluruh negara termasuk penyertaan di dalam Pilihan Raya Kampus dan melibatkan Mahasiswa KEADILAN di dalam pelbagai program latihan dan ‘internship’ parti dan pimpinan parti

Meneruskan KEADILAN Internship Program bagi mahasiswa dalam dan luar negara secara berkala

Mengembangkan Progressives Malaysia sebagai rangkaian mahasiswa Malaysia di luar negara seperti Singapura, Taiwan, Indonesia, Australia, UK, Jordan, Mesir

Mengadakan Program Pembangunan Pemimpin Muda bagi individu-individu yang dikenalpasti daripada AMK, Skuad AMK, Mahasiswa KEADILAN dan KEADILAN Internship Program yang dilihat berpotensi untuk menjadi pemimpin AMK dan parti

Politik Cakna Seni, Budaya dan Sukan

Menjuarai pengiktirafan hak-hak seniman, budayawan dan atlet

Menuntut reformasi organisasi-organisasi sukan secara menyeluruh bagi memastikan prestasi sukan yang cemerlang dan kebajikan atlet terjaga

Mengadakan pelbagai aktiviti interaksi dengan seniman, budayawan, atlet dan peminat bagi mengenalpasti isu-isu yang dihadapi

Mengadakan Karnival Anak Muda setahun sekali dengan acara muzik, budaya dan lain-lain lagi

Mengadakan Kejohanan Sukan AMK di setiap negeri bagi acara sukan seperti bola sepak, futsal, badminton dan bola jaring

Video AMK Untuk Malaysia di Hari Pencalonan Pemilihan KEADILAN Pusat

Mengecam Hukuman Mati Terhadap 529 Penyokong Morsi

Saya mengecam tindakan zalim Mahkamah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 orang penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi atas kesalahan keganasan dan kematian seorang anggota polis dalam satu perbicaraan besar-besaran yang hanya dijalankan selama 2 hari.

Sepatutnya keputusan yang berat seperti hukuman mati terhadap seseorang tertuduh perlulah dibuat dengan teliti setelah mengambil kira semua keterangan dan berdasarkan bukti yang kukuh. Manakala, cara Mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati ini dengan pantas tanpa memberi peluang untuk peguambela membentangkan kes mereka adalah satu salah laksana keadilan yang besar. Adalah jelas bahawa hakim tersebut tidak menjalankan proses kehakiman dengan sempurna dan adil.

Perkara ini amat mendukacitakan. Ini adalah ketidakadilan dan penindasan teruk terhadap penyokong Morsi terutamanya pihak Ikhwanul Muslimin.

Warga dunia tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap dwi-standard terhadap pencabulan hak asasi yang begitu serius ini.

Reformasi: Perjuangan Diteruskan

Beberapa hari kebelakangan ini negara kita berhadapan dengan beberapa insiden-insiden besar. Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tidak bersalah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II.

Pada 12.41 pagi 8 Mac, penerbangan MH370 pula berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing tetapi kurang dari satu jam kemudian, kawalan trafik udara tidak dapat berhubung dengan pesawat yang membawa 227 orang anak kapal tersebut.

Ketika esei ini ditulis, pesawat ini masih tidak dapat dikesan, menjadikan insiden ini antara tragedi penerbangan paling bermisteri dalam sejarah.

Saya berusia 16 tahun pada 1998 ketika Anwar dipecat dan dipenjara untuk kes yang pertama. Saya masih ingat betapa terkejutnya semua rakyat Malaysia malah masyarakat antarabangsa ketika itu.

Meskipun muda, saya mengikuti politik secara dekat dan mengetahui kerosakan institusi yang dibuat oleh Dr Mahathir Mohammad terhadap institusi diraja, kehakiman, perkhidmatan awam dan media. Tetapi fitnah jijik dan penderaan terhadap Anwar, yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh Mahathir sebelum itu adalah sesuatu yang cukup luar biasa.

Selepas dekad 80an yang bergelora ketika Mahathir dicabar dan dia bertindakbalas dengan membentuk negara mengikut imejnya sendiri, beliau kemudian menggagaskan Wawasan 2020 yang berteraskan Bangsa Malaysia yang maju, liberal dan demokratik. Namun, impian ini berkecai sebaik sahaja Anwar muncul dengan mata lebamnya, dan sehingga hari ini impian ini tidak muncul kembali.

Amarah rakyat ini mengakibatkan protes besar-besaran di jalanan, dan kerajaan ketika itu bertindakbalas dengan satu-satunya cara yang mereka tahu – dengan keganasan, tangkapan malah seksaan.

Kini drama berasaskan skrip yang sama muncul kembali, semata-mata untuk menjatuhkan Anwar. Seperti episod pertama dahulu, pendakwaannya sarat dengan pelbagai kesilapan yang tampak melucukan, tetapi tuduhannya dan kesannya adalah amat serius. UMNO-BN memilih masa ini untuk menggagalkan langkah Kajang yang sebelum ini telah mengejutkan mereka.

Generasi yang masih ingat zaman edan Reformasi kini mendapati kita berada dalam déjà vu. Mahathir mungkin sudah bersara, tetapi Mahathirisme masih hidup. Musuh-musuh politik masih difitnah dan dipenjarakan. Di sebalik slogan-slogan transformasi dan wasatiyyah pentadbiran Najib Razak, sebenarnya tiada perubahan yang ketara.

Justeru, penting untuk kita tidak membiarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Sesetengah pihak yang sinis mengatakan ini hanyalah isu peribadi Anwar. Namun inilah pencetus kesedaran politik bagi ramai anak muda dan rakyat yang sebelum ini tidak kisah tentang politik. Usah kita lupa, ramai menjangkakan kematian Reformasi apabila pihak pembangkang khususnya KEADILAN tinggal satu kerusi Parlimen sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-11 lalu. Ada yang meletakkan tarikh luputnya apabila Anwar dibebaskan pada separuh kedua tahun yang sama, memandangkan mereka melihat Reformasi ini semata-mata gerakan bebaskan Anwar.

Namun, erti Reformasi jauh lebih besar. Apabila kita melihat semula perubahan politik besar pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan lima tahun berikutnya yang memuncak dengan pilihan raya umum terbaru negara, jelaslah Reformasi memainkan peranan yang besar dalam menjana perubahan politik tempatan.

Impak terbesar Reformasi ialah untuk meletakkan agenda hak asasi, demokrasi dan keadilan sosial di arus perdana politik Malaysia selepas berpuluh-puluh tahun wacana didominasi kaum dan agama. Hingga ke hari ini, pihak berkuasa cuba memastikan isu utama masih lagi isu-isu yang memecah-belahkan ini.

Pemecatan Anwar membawa politik negara ke tahap yang paling hina apabila kerajaan cuba berhadapan dengan lawan politik menerusi politik kotor dan ganas, bukannya dengan hujah.

Jangan kita biarkan mereka berjaya dengan helah ini. Ramai anak-anak muda yang lantang dan aktif dengan pelbagai cara berbeza dan berani yang lahir berikutan Reformasi, 8 Mac 2008, Bersih dan 5 Mei 2013.

Keputusan Pilihan Raya Kecil Kajang, yang sepatutnya ditandingi Anwar memberi signal yang jelas. Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan peratusan undi popular yang lebih tinggi, termasuk di kawasan Melayu yang menjadi kubu-kubu UMNO sebelum ini.

Keputusan mahkamah ini mestilah mengingatkan kita bahawa perjuangan mesti diteruskan. Kita harus menunjukkan bahawa pemenjaraan Anwar tidak akan melemahkan kita, tetapi memberikan semangat kepada kita untuk memperjuangkan hak kita dan mengubah negara ini ke arah kebaikan.

Usah kita lupa insiden besar satu lagi yang melanda negara kita yang saya sebut sebelum ini, iaitu kehilangan MH370. Mari kita mendoakan keseelamatan penumbang, kakitangan penerbangan dan keluarga mereka.

Future Music Festival Asia: Kerajaan Harus Menjawab Dokongan Kerajaan Terhadap Acara Ini

Kematian enam orang di Future Music Festival Asia (FMFA) yang diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur adalah peristiwa yang amat menyedihkan. Pada masa yang sama 14 pengunjung FMFA dirawat berikutan konsert tersebut di 3 hospital di sekitar Kuala Lumpur. Kita berharap mereka pulih dengan segera.

40 orang telah ditangkap polis berkaitan pemilikan dadah ecstacy, ganja dan jenis yang belum dikenalpasti.

Tragedi ini menimbulkan beberapa persoalan yang wajib dijawab pihak berkuasa. FMFA tahun ini merupakan kali ketiga konsert ini diadakan di Malaysia. Tahun ini, dijangka 75,000 pengunjung hadir ke acara tersebut.

FMFA mendapat dokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Malaysia Major Events sebuah bahagian di bawah agensi Kementerian tersebut iaitu Malaysia Convention and Exhibition Bureau. Menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Malaysia Major Events ditugaskan menjadikan Malaysia destinasi utama acara-acara sedunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menyempurnakan majlis pelancaran senarai artis FMFA 2014 pada 17 Oktober 2013. Dalam ucapannya, Nazri menganggap FMFA 2014 sebagai acara penting Tahun Melawat Malaysia 2014. Pihak penganjur, Iqbal Ameer yang merupakan Pengarah Livescape Sdn. Bhd. telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam kenyataannya pada 16 Mac memaklumkan Iqbal memohon untuk menggunakan perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi FMFA. Tetapi Khairy, mahupun Nazri tidak boleh lepas tangan dalam hal ini.

Mengapa tidak diselidik dengan lebih mendalam tentang acara yang hendak dianjurkan? Khairy sendiri mengakui beliau sedar bahawa ada pengunjung acara-acara electronic dance music atau trance – seperti FMFA ini – yang terlibat dalam pengambilan dadah. Ini merupakan maklumat yang diketahui umum di seluruh dunia.

Jika begitu, mengapakah acara ini mendapat dokongan Kerajaan Persekutuan? Adakah pihak berkuasa telah meletakkan kawalan keselamatan dan seliaan yang sewajarnya?

Video Pelancaran Pasukan AMK untuk Malaysia Bagi Pemilihan KEADILAN