Monthly Archives: February 2014

Pentaksiran Berasaskan Sekolah: Jangan Perjudikan Masa Hadapan Anak-Anak Kita

Kenyataan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Khair Mohamad Yusof tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menambahkan kecelaruan tentang isu tersebut.

Idea di belakang PBS ialah idea yang baik, iaitu melahirkan pelajar yang lebih holistik berbanding sistem yang berkonsepkan peperiksaan semata-mata sebelum ini.

Namun, pelaksanaan dasar ini telah mendedahkan pelbagai kelemahan sehingga menimbulkan masalah buat guru-guru, ibu bapa dan paling penting para pelajar.

Guru-guru telah mengadu menghabiskan masa melakukan kerja-kerja pengkeranian untuk memuatkan data ke dalam sistem berkomputer PBS. Guru-guru di kawasan di mana kelajuan Internet adalah rendah terpaksa menggunakan wang sendiri untuk ke kafe-kafe siber. Ada yang terpaksa menunggu ke tengah malam atau bangun awal pagi untuk menunggu kelajuan Internet yang lebih baik sebelum dapat memuatkan data ke dalam sistem berkomputer PBS.

Ini sudah tentu menjejaskan tugas utama guru sebagai pendidik.

Pelajar dan ibu bapa juga tidak pasti bagaimanakah mereka akan dinilai, khususnya pelajar-pelajar tingkatan tiga tahun ini yang menjadi golongan pertama melalui PBS. Ada yang diberitahu meskipun PMR tiada tetapi mereka akan dinilai dengan penilaian seakan-akan PMR. Lantas, matlamat PBS itu sendiri terjejas dan lebih penting lagi, seperti kes PPSMI, sekali lagi anak-anak kita menjadi bahan ujikaji pendidikan setengah masak.

Guru-guru kini sudah berani untuk membantah dasar ini sehingga berhimpun pada 22 Februari lalu di Bangi bagi menyatakan pendirian mereka. Mereka berbuat demikian bukan sahaja kerana prihatin tentang kebajikan mereka tetapi atas dasar tanggungjawab terhadap anak-anak didik mereka.

Malangnya beberapa orang guru telah menjadi mangsa kelantangan ini. Hanya kerana kelantangan mereka masalah ini telah mendapat perhatian meluas tetapi mereka pula yang dihukum.

Saya menggesa agar Kementerian Pendidikan menghentikan sebarang tindakan kepada guru-guru yang terlibat membantah PBS. Lebih penting lagi, Kementerian mestilah mencari sistem penilaian yang adil dan praktikal untuk pelajar-pelajar tingkatan tiga tahun ini yang masih lagi tertanya-tanya tentang nasib mereka. Sistem yang ada mestilah dirombak ataupun dikurangkan perkara yang mahu dianalisa.

Jika perkara yang dianalisa dikurangkan, maka penilaian peperiksaan mesti dikembalikan. Yang penting, aspek ini mestilah keluar dari kerangka politik di mana keputusan kononnya semakin baik setiap tahun dengan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan semua A yang meningkat dari tahun ke tahun sedangkan kedudukan kita di dalam penilaian antarabangsa semakin merosot.

Rombakan sistem boleh dibuat dengan mencari jalan yang lebih efisyen untuk mengemaskinikan sistem berkomputer PBS sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Ini sekaligus mengurangkan beban guru-guru.

Buat jangka masa panjang sebarang perubahan struktural seperti PBS ini memerlukan perbincangan yang meluas yang melibatkan pakar-pakar pendidikan, ibu bapa dan guru-guru serta memerlukan penerangan meluas di semua peringkat. Sebagaimana disebut, idea PBS ini memang idea yang baik dari sudut prinsip tetapi PBS bertunjangkan autonomi dan kebertanggungjawaban sekolah yang tidak wujud di Malaysia.

Laporan Bank Dunia pada Disember 2013 mencatatkan antara masalah utama sistem pendidikan kita ialah pemusatan kuasa dalam bidang pendidikan. Sekolah-sekolah harus diberi kuasa memilih buku teks dan cara pengajaran sebelum sistem seperti PBS diperkenalkan. Infrastruktur juga mestilah pada piawai yang baik bagi mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku berulang.

Hakikatnya kita sudah ketinggalan dalam bidang pendidikan, dengan statistik terkini penilaian antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Studies (TIMSS) 2011 dan Programme in International Students Assessment (PISA) 2012 di mana pelajar-pelajar negara mencatatkan kemerosotan berbanding penilaian sebelumnya. Ini adalah trend yang membimbangkan, apatah lagi kita bukan sahaja jauh ketinggalan berbanding Singapura, malah ketinggalan dengan negara-negara jiran lain seperti Thailand dan Vietnam.

Kepincangan pelaksanaan PBS, seperti PPSMI dahulu, akan meninggalkan kesan besar kepada pelajar-pelajar menengah rendah hari ini. Rakyat mesti mengetahui siapa yang bertanggungjawab untuk kesilapan-kesilapan ini. Kita perlu mengenalpasti bagaimanakah dasar pendidikan, yang penting untuk pembangunan negara, digubal: adakah berdasarkan kajian dan rundingan yang menyeluruh? Adakah wujud mekanisme pemantauan dan penilaian apabila sebarang dasar pendidikan dilaksanakan?

Mengangkat Martabat Bola Sepak Malaysia (Bahagian 2)

Dalam bahagian pertama esei saya, saya telah menceritakan keadaan bola sepak Malaysia pada hari ini. Walaupun saya mengakui bahawa terdapat peningkatan dari segi kejayaan serantau dan minat terhadap bola sepak tempat, namun sudah tiba masanya untuk kita tidak mengehadkan matlamat kita kepada Piala AFF Suzuki dan Sukan SEA semata-mata. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna perlu pembaikan yang segera dengan menyalurkan wang yang banyak untuk mengupah jurulatih-jurulatih berprestij atau seperti perancangan terkini iaitu menghantar Harimau Muda A ke pertandingan liga daerah di Australia yang mana telah disokong oleh Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan.

Apa yang saya bersetuju dengan Kementerian adalah usaha mereka untuk merangka satu Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan yang lebih berjangka panjang dan menyeluruh. Program ini diterajui oleh Lim Teong Kim, seorang bekas pemain negara yang pernah bermain dengan Hertha BSC dan telah menjadi jurulatih pasukan muda untuk gergasi Jerman, Bayern Munich.

Seperti yang dinyatakan dalam bahagian sebelum ini, Jepun telah datang ke Malaysia pada tahun 1990an untuk belajar membangunkan bola sepak dan telah mewujudkan pelan 100 tahun! Sekarang negara tersebut layak untuk Piala Dunia secara konsisten. Sebahagian daripada rancangan mereka adalah untuk menambah kelab-kelab di dalam Liga-J daripada 10 buah pada 1993 kepada 100 buah satu abad kemudian. Liga mereka merupakan satu-satunya liga tahap-A di dalam Asia dan mempunyai 52 pasukan yang bermain di dalam 3 peringkat liga. Menurut FIFA, Jepun mempunyai hampir 2000 kelab bola sepak dan lebih 4.8 juta orang pemain bola sepak, yang mana hampir 22 peratus telah berdaftar. Manakala, Malaysia mempunyai 110 kelab bola sepak dan kurang daripada 600,000 orang pemain. Lebih teruk lagi, kurang daripada 2 peratus yang berdaftar! Nisbah pemain berdaftar kita juga kurang daripada pegawai bola sepak dibandingkan dengan Jepun yang nisbahnya adalah 4 orang pemain berdaftar kepada seorang pegawai bola sepak. Pasukan kebangsaan mereka merupakan juara Asia manakala pasukan wanitanya adalah juara dunia. Ramai pemain terbaik mereka pula menerima tawaran bermain di dalam pasukan terbaik di liga-liga Eropah.

Adalah mendukacitakan apabila respon FAM terhadap inisiatif ini hanya dipandang enteng – kerana pada mulanya Kementerian mempertimbangkan untuk memasukkan Annuar Musa, yang telah digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM kerana telah mengeluarkan “kenyataan negatif” ke atas pasukan kebangsaan yang telah bercanggah dengan Artikel 88 Statut FAM. Walau bagaimanapun beliau yang telah memainkan peranan penting dalam mengubah bola sepak Malaysia terutamanya membuat Kelantan – satu pasukan yang tidak pernah memenangi sebarang piala sebelum ini – bukan sahaja berjaya di atas padang malah berjaya dari segi komersial.

Pembangunan bola sepak seharusnya berada di bawah pemantauan FAM dan Kementerian Belia dan Sukan. Tetapi di Malaysia hari ini, kebanyakan aspek ini jatuh di bawah Kementerian Pendidikan dan ini telah menyebabkan banyak perbalahan berlaku. Kita mestilah mengambil iktibar bagaimana Sepanyol dan Jerman berjaya di dalam sukan ini melalui penekanan khusus ke atas pembangunan belia yang bukan sahaja mengembangkan liga domestik mereka bahkan juga pasukan kebangsaan mereka (berbanding dengan England yang masih ketinggalan dari segi pembangunan pemain tempatan dan kejayaan bola sepak antarabangsa).

Langkah seterusnya adalah untuk mengubah liga domestik yang mampu bersandarkan program pembangunan belia yang mantap. Hari ini, minat terhadap bola sepak Malaysia semakin berkembang ke tahap di mana peminat ternanti-nanti untuk ke stadium apatah lagi dengan suasana mengasyikkan hasil kumpulan-kumpulan ultras setiap pasukan.

Seorang penulis menggunakan nama pena Lucius Maximus telah mengarang sebuah buku yang menarik berjudul Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia yang telah diterbitkan pada tahun 2012. Salah satu cadangan utama beliau kemukakan yang telah menarik perhatian saya adalah cadangan untuk merombak pasukan-pasukan negeri yang kita ada hari ini dan menggantikannya dengan liga domestik yang keseluruhannya berasaskan pasukan berstatus kelab. Sebaliknya persatuan-persatuan bola sepak negeri seharusnya meletakkan fokus mereka ke atas pembangunan bola sepak, seperti mana yang dilakukan oleh persatuan-persatuan bola sepak di England.

Tindakan ini mungkin dilihat sebagai satu tindakan yang radikal, atau lebih buruk lagi, tidak masuk akal. Apatah lagi, pasukan-pasukan negeri telah menjadi nadi utama tradisi bola sepak termasuk Piala Malaysia, sebuah kejohanan berpiala yang tertua di Asia. Sudah pasti, di kala penonton baru mula untuk datang ke stadium sekali lagi, cadangan tersebut tampak tidak sesuai.

Walau bagaimanapun, seperti yang kita pelajari dari Jepun, kita memerlukan satu liga yang mempunyai jumlah pasukan professional yang secukupnya untuk memberi anjakan kepada kita untuk maju. Meskipun kelab-kelab bolasepak dibenarkan untuk bermain di dalam kelompok teratas sejak 90an, hanya beberapa pasukan yang mampu menandingi pasukan JDT dari Johor dari segi organisasi, penajaan kewangan, dan sokongan peminat.

Kebanyakan kelab-kelab masih meneruskan operasi mereka sebagai pasukan syarikat sahaja tanpa mempunyai asas sokongan yang kuat. Situasi ini adalah sama dengan apa yang dialami di Jepun sebelum ini, tetapi pihak berkuasa telah menetapkan syarat yang kelab-kelab ini harus membina hubungan yang baik dengan kerajaan dan syarikat-syarikat tempatan dalam usaha untuk menjadikan sesebuah kelab itu lebih bersifat tempatan. Lucius mencadangkan agar pasukan-pasukan negeri sedia ada ditukarkan menjadi pasukan tempatan untuk ibu-ibu negeri – oleh itu untuk Selangor akan menjadi sebuah kelab Shah Alam manakala untuk negeri Kelantan adalah kelab Kota Bharu. Bandar-bandar besar dan pekan-pekan yang tidak berstatus ibu negeri – Petaling Jaya, Klang, Taiping, Batu Pahat, Sibu, Miri and Sandakan boleh mempunyai kelab-kelab professional mereka sendiri.

Jikalau idea ini dilihat sebagai terlalu radikal, maka tiada apa yang boleh menghalang daripada mengekalkan pasukan negeri tetapi mengubah pasukan kelab sedia ada untuk lebih bersifat tempatan. Perkara utama adalah untuk menambahkan lebih banyak kelab professional yang memainkan peranan penting dalam menambah baik kualiti bola sepak Malaysia. Semua pasukan juga perlu melabur untuk membangunkan bakat-bakat muda bola sepak.

Akhir sekali, kita perlu mengubah barisan kepimpinan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak negeri. Demi kebaikan bola sepak negara, adalah perlu untuk menjauhkan kerabat diraja daripada terlibat dalam struktur formal persatuan bola sepak. Jikalau perlu, mereka boleh menjadi penaung kehormat sementara ahli professional atau bekas-bekas pemain dibenarkan untuk mengendalikan persatuan-persatuan bola sepak. Contohnya, dalam Persatuan Bola Sepak Inggeris, seorang ahli keluarga diraja akan memegang jawatan sebagai penaung presiden tetapi pengerusi sahaja yang bertanggunjawab untuk menjalankan kerja seharian. Oleh yang demikian, kita boleh mengadakan perbincangan yang jujur tentang mereka yang mengendalikan FAM dan persatuan-persatuan bola sepak tanpa ‘melanggar pantang’.

Mengecam Ancaman Terbaru Terhadap Teresa Kok

Saya mengecam serangan terbaru terhadap Teresa Kok yang dibuat menerusi cat merah yang dicurah dan bangkai ayam yang dilemparkan di Pusat Khidmatnya.

Serangan ini berlaku selepas wujud tawaran untuk menampar Teresa daripada sekumpulan NGO tertentu sebagai respon terhadap video Tahun Baru Cina Teresa ‘Onederful Malaysia’ yang mereka dakwa menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

Jurucakap kumpulan yang sebelum ini mengancam untuk menampar Teresa dan memotong dua ekor ayam di atas gambar pimpinan Pakatan Rakyat mengaku beberapa anggota mereka terlibat di dalam beberapa insiden sebelum ini termasuk isu kepala lembu beberapa tahun yang lepas.

Amatlah sedih apabila kumpulan yang mendakwa mempertahankan Islam mengambil tindakan yang tidak diajar agama kita. Islam mengajar kita menjaga adab kita di dalam berbeza pendapat dan berlaku adil kepada semua insan termasuk bukan Islam.

Saya berharap pihak yang selama ini begitu lantang di dalam mengeluarkan kenyataan terhadap mereka yang membantah tindakan kerajaan dan sebagainya akan turut mengeluarkan pandangan mereka tentang tindakan golongan-golongan ini.

Saya juga menyeru Kerajaan UMNO-BN yang sering bercakap soal wasatiyyah atau kesederhanaan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ini yang didokong oleh mereka yang rapat dengan UMNO-BN.

Video Biografi dan Pengenalan Saya untuk AMK Untuk Malaysia

Senarai Pasukan AMK Untuk Malaysia

Ketua AMK: Nik Nazmi Nik Ahmad (Selangor)
Timbalan Ketua AMK: Chang Lih Kang (Perak)
Naib Ketua AMK: Nor Hizwan Ahmad (Johor), R Sri Sanjeevan (Negeri Sembilan), Carol P. Malawai (Sabah)
Exco AMK: Lee Chean Chung (Pahang), Mohd Faizal Mohd Yusak (Johor), Murnie Hidayah Anuar (Pahang), Tamil Selvan (Perak), Mohd Azlan Helmi (Perak), Simon Ooi Tze Min (Kedah), Abdul Raafidin Majidi (Sarawak), Mohd Naquib Carmeil Rosli (Negeri Sembilan), Noor Amin Ahmad (Perlis), Mohd Firdaus Sobri (Wilayah Persekutuan), Chua Wei Kiat (Selangor), Sandra Ng (Perak), M Shamugam (Negeri Sembilan), Ali Khairuddin (Sabah)

Ucapan Pengumuman Pasukan ‘AMK untuk Malaysia’

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim
Assalamualaikum wbt, salam sejahtera dan salam reformasi.

Saya ingin menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-saudari, teman-teman yang sudi meluangkan masa untuk bersama dalam majlis yang sederhana ini. Saya yakin kehadiran kita di sini merupakan tanda penting persaudaraan dan komitmen semua kepada perjuangan untuk membina Malaysia yang lebih baik melalui wadah KEADILAN.

Tidak dilupakan rakan-rakan media serta teman-teman seperjuangan di luar parti. Terima kasih kerana sudi hadir.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Tujuan utama saya memanggil pertemuan pada hari ini ialah untuk mengumumkan keputusan untuk saya menawarkan diri bagi jawatan Ketua AMK dalam pemilihan KEADILAN akan datang.

Selain itu, bersama saya ialah sebahagian teman-teman yang telah pun menyatakan persetujuan dan kesediaan untuk turut sama berkhidmat dalam barisan kepimpinan AMK bersama saya di bawah pasukan yang kami namakan sebagai ‘AMK untuk Malaysia’, dengan slogan ‘Berani, Dinamik dan Peduli’.

Kami maklum bahawa sebelum ini telah ada dua pengumuman lain oleh sahabat-sahabat saya Sdr Amiruddin Shari, ADUN Batu Caves dan Sdr Mohd Nazree Yunus, Ketua AMK Negeri Sembilan yang turut sama menyatakan kesediaan mereka untuk berkhidmat sebagai Ketua AMK Malaysia bersama pasukan masing-masing.

Bagi saya, ini membuktikan KEADILAN tidak ketandusan pemimpin muda yang sedia untuk menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan reformasi. Dengan had umur baru bawah 35 tahun yang telah ditetapkan, perkembangan ini akan menjadi penanda aras penting bahawa KEADILAN komited untuk mengangkat suara anak muda Malaysia agar lebih didengari.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat bertanding kepada semua calon pelbagai jawatan AMK di peringkat nasional hingga ke peringkat cabang, khususnya jawatan Ketua AMK Malaysia. Harapan saya, jadikanlah pertandingan ini sebagai medan persaingan sihat, mencerminkan idealisme, intelektualisme dan aktivisme AMK.

Saya difahamkan pihak AMK Johor sudahpun mengesahkan menjadi tuan rumah debat calon Ketua AMK pada Mac ini. Saya berharap beberapa perdebatan dapat diadakan bagi membolehkan anggota seluruh negara membuat penilaian. Mungkin salah satu perdebatan boleh diadakan oleh sebuah organisasi luaran seperti Sinar Harian untuk mendapat perspektif tersendiri.

Harus diingat, keutamaan kita, melebihi pemilihan ini sendiri sudah tentulah untuk membantu ke arah kemenangan bergaya Datuk Seri Anwar Ibrahim di DUN Kajang. Sebagaimana sedia maklum, keputusan ini dibuat bagi memastikan kita dapat menggunakan aset terbaik kita dengan pengalaman luas politik dan ekonomi bagi menghadapi serangan bertalu-talu UMNO dan memastikan Pakatan dapat mengorak selangkah lagi ke Putrajaya.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Tahun ini genap 15 tahun lahirnya KEADILAN. Kita telah melangkah jauh ke hadapan, mengukir sejarah sebagai parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara. Alhamdulillah, meskipun sering dianggap parti kecil dan baru, KEADILAN kini benar-benar parti nasional. Bukan setakat itu, KEADILAN kini mempunyai wakil rakyat pelbagai kaum di setiap negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Apa yang lebih saya banggakan ialah penglibatan meluas kepimpinan muda, baik lelaki atau wanita, di pelbagai peringkat. Untuk ini, saya fikir wajar untuk kita mengucapkan terima kasih kepada pimpinan tertinggi parti yang sedar akan potensi dan kepentingan anak muda dan berani mengambil risiko memberikan peluang kami menyumbang dengan pelbagai cara, termasuk sebagai calon dalam pilihan raya.

Ucapan penghargaan khusus wajar dirakamkan kepada Sdr Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua AMK yang telah memainkan peranan membina semula AMK sejak beliau mengambil alih tampuk pada tahun 2007 dahulu sehinggalah hari ini. Sebagai Exco AMK Malaysia penggal 2007-2010 saya melalui sendiri proses pembinaan semula tersebut.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Rata-rata calon pelbagai jawatan AMK pada hari ini masih agak muda ketika seruan Reformasi mula dilaungkan pada September 1998. Saya sendiri, ketika itu berada di Tingkatan 4.

Pada usia muda ketika itu, saya mula berkenalan dengan dengan Sdr Rafizi Ramli dan Allahyarham Adlan Benan Omar yang telah membawa saya terlibat di dalam Reformasi. Saya telah pun cuba mengangkat suara anak muda melalui laman web Suara Anum. Melaluinya saya berkenalan dengan ramai aktivis muda pelbagai aliran dan kumpulan.

Selain itu, saya juga telah dibawa masuk ke dalam Unit Pendidikan Politik, Institut Kajian Dasar (IKD) dan membantu kempen Reformasi melalui Keadilan Antarabangsa Eropah semasa belajar di King’s College, London.

Semasa di luar negara, saya telah menggalas tanggungjawab sebagai perwakilan mahasiswa universiti seluruh United Kingdom. Tulisan saya juga telah tersiar dalam beberapa media antarabangsa, selain menyumbang tulisan dalam akhbar KEADILAN.

Sekembalinya saya ke Malaysia, saya telah memilih untuk bermula di akar umbi dengan menjadi anggota KEADILAN Cabang Kelana Jaya, dan kemudian membuat keputusan berhenti daripada jawatan eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Setiausaha Sulit, sebelum menjadi calon dan wakil rakyat termuda di seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum 2008, pada usia 26 tahun. Saya juga berpeluang melihat realiti dalam pentadbiran kerajaan semasa menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor dan kini Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor selain perspektif nasional parti sebagai Exco AMK Malaysia dan Pengarah Komunikasi Parti. Pada masa yang sama, saya turut melalui pengalaman didakwa di mahkamah kerana himpunan Blackout 505 yang masih dibicarakan hingga ke hari ini.

Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah:
i) Saya telah meyakini bahawa KEADILAN merupakan parti masa depan negara sejak awal penubuhannya;
ii) Anak muda boleh dan mempunyai ruang untuk menyumbang melalui KEADILAN;
iii) Pengorbanan dan kesabaran, tanpa janji pulangan yang setimpal perlu dibuat untuk merealisasikan cita-cita negara yang kita hasratkan.
iv) Ruang untuk pelaksanaan reformasi dalam negara dan parti masih luas.
v) Negara dan parti memerlukan kesediaan kita untuk mencorakkannya.

Alhamdulillah, saya berkesempatan melihat parti KEADILAN berkembang sejak mula. Saya yakin kita semua pasti bersetuju proses ini tidak mudah. Dan saya ingin tegaskan di sini bahawa cabaran yang ada untuk membawa KEADILAN ke peringkat lebih tinggi adalah lebih getir daripada apa yang telah kita lalui.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Sejak beberapa bulan lalu saya telah ke hampir seluruh negara bertemu teman-teman anggota parti, khususnya AMK di cabang-cabang. Dalam realiti baru selepas KEADILAN mula mendapat momentum, cabaran yang hadir jelas menuntut kita semua bersiap-siaga mendepaninya. Kita tidak boleh berpuas hati dan lalai dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh orang ramai. Ini sebenarnya hanya permulaan baru.

Cabaran yang ada menuntut keberanian menawarkan kepimpinan; pemikiran dan kegiatan yang dinamik; dan sikap peduli kepada persekitaran. Ini akan menentukan sama ada nafas perjuangan KEADILAN akan dapat terus memberikan nyawa kepada perjuangan dan cita-cita reformasi.

Masa depan KEADILAN bakal bergantung kepada kualiti dan kuantiti anggota mudanya pada hari ini. Justeru, wajar untuk kita bertanya, ketika pelbagai pihak mendakwa ramai anak muda mahukan perubahan:
i) mengapakah ramai yang begitu skeptikal dengan perjuangan melalui wadah parti politik, khususnya KEADILAN?
ii) mengapakah ada anak muda yang mengabaikan kepentingan politik?
iii) mengapa ada anak muda yang masih menolak perubahan?

Saya yakin anak muda mahukan pemimpin yang dipercayai mewakili diri dan kepentingan mereka. Ini mestilah dicerminkan melalui keunggulan idealisme, kekuatan intelektualisme dan ketahanan aktivisme. Dengan ciri-ciri ini, anak muda mahu menyampaikan kepada masyarakat bahawa politik yang diyakini mereka bukanlah politik yang tidak berprinsip, selekeh dan lemah. Sebaliknya politik yang ingin ditonjolkan ialah yang sarat nilai, bersandarkan pemikiran yang tajam dan dilaksanakan dengan penuh disiplin. Politik ini bukanlah sejenis kerjaya rendah moral (low moral profession), seni segala kemungkinan (the art of the possible) dan matlamat menghalalkan cara (end justifies the mean).

Sebab itu kita harus akui bahawa perjuangan melalui politik ini tidak mudah. Tetapi perjuangan ini adalah satu keperluan berasakan semangat perlembagaan. Tambahan pula, KEADILAN muncul sebagai sebuah parti politik dalam gejolak kebangkitan massa. KEADILAN menghimpun pelbagai individu dan kumpulan dengan citra berwarna-warni mengenai negara yang dihasratkan. Namun, kita tidak patut mengalah kerana, seperti yang dikatakan oleh Nelson Mandela, “It always seems impossible until it’s done.”

Maka pada hari ini saya dan pasukan AMK untuk Malaysia tampil untuk menggalas tanggungjawab dan tuntutan ini. Ini bukan lagi satu pilihan tetapi kemestian yang perlu kami laksanakan.

Dengan pelbagai latar belakang demografik – kaum, agama, gender, pengalaman, kepimpinan, perjuangan, pengetahuan dan kemahiran – kami mahu menyampaikan mesej bahawa kepelbagaian adalah satu keniscayaan yang boleh diuruskan bersama. Kami mahu menghimpunkan dan meraikan kepelbagaian bakat yang datang daripada pekerja dan profesional, mahasiswa dan aktivis, ugamawan dan seniman. Saya yakin AMK untuk Malaysia mewakili kepelbagaian ini dan adalah pasukan terbaik serta paling teruji untuk membawa AMK dan parti ke tahap yang seterusnya. Akhirnya, matlamat kita sebagai parti politik ialah untuk menang Pilihan Raya Umum bagi melihat cita-cita islah mastata’tum kita menjadi realiti.

AMK Untuk Malaysia bersendikan tiga nilai: berani, dinamik, peduli.

Berani: Reformasi hanya akan menjadi impian sukar tanpa keberanian untuk mengambil risiko dalam menyuarakan bukan sahaja sentimen anggota muda parti, tetapi generasi muda negara yang mahukan anjakan budaya politik. AMK mesti berada di hadapan dalam memperjuangkan idealisme kebebasan dan keadilan, selari dengan idealisme kita sendiri. AMK mesti berani berada di forum ilmiah mahupun di demonstrasi jalanan, bukan gah berebut kerusi pilihan raya atau ahli majlis semata-mata.

Dinamik: Ciri dinamik pada generasi muda seperti terbuka, bebas, kritis dan matang dari sudut politik memerlukan kepimpinan AMK yang dinamik dalam menyantuni kepelbagaian ini. Ini akan menjadikan AMK lebih dihormati dan disegani kerana mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lawan mahupun kawan. AMK mesti menjadi golongan pendesak dan pada masa yang sama pemberi alternatif kepada dasar baru. Ini menuntut kualiti pemikiran yang tinggi dan pelbagai. Maka AMK untuk Malaysia akan melaksanakan latihan pembangunan ahli secara menyeluruh untuk menjadikan penglibatan mereka dalam kegiatan politik kepartian lebih bermakna.

Peduli: Kualiti intelektual akan menjadi lebih bermakna jika diiringi dengan sikap peduli kepada persekitaran. Ini termasuk perkembangan semasa sama ada di peringkat antarabangsa, nasional dan tempatan. Dengannya, jurang antara dasar dan pengalaman praktik akan dapat didekatkan. Ini akan dapat membantu penyelesaian bermakna kepada masyarakat bertunjangkan keadilan sosial dan pemeliharaan hak asasi. Kepedulian kepada persekitaran ini akan menjadi elemen utama untuk AMK kekal relevan di arena politik nasional.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Pemilihan kali ini bukan pemilihan yang biasa. Pemilihan ini yang membuka lembaran baru kepimpinan bakal menentukan masa depan parti dan negara.

Saya yakin empat teras manifesto AMK untuk Malaysia yang telah dibentangkan teman-teman saya sebentar tadi:
i) Pendemokrasian organisasi AMK Negeri
ii) Memberdaya ekonomi anak muda
iii) Pemantapan dan penyusunan semula latihan dan pengkaderan anggota
iv) Politik cakna budaya, seni dan sukan

Adalah dasar-dasar yang diperlukan bagi tujuan ini.

Suatu ketika dahulu, Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang pernah mengungkapkan penghormatan tertinggi buat Allahyarham Ahmad Boestamam, pemimpin Angkatan Pemuda Insaf dan Parti Rakyat:

“Bersama teman-teman, pahlawan
Kau gabungkan tenaga muda dalam API membara
Menyerak mercik menyadap semangat bangsa
Sebaris lalu sebaris tumbuh sebaris tiba
Boestamam, kau berdiri di barisan paling depan
Mengibarkan bendera merdeka
Yang menakutkan mereka berjiwa hamba.”

Inilah harapan kami, agar AMK dapat mewarisi bukan sekadar nama tetapi semangat perjuangan ini.

Dengan itu saya, Nik Nazmi Nik Ahmad, menawarkan diri dan memohon sokongan teman-teman untuk saya dan pasukan AMK untuk Malaysia bagi pemilihan KEADILAN tahun 2014 ini.

Anak muda pelbagai ragam,
Jadi Imam Muda nampak mengancam,
Main bola mahir semacam,
Menuntut ilmu mentadbir alam.

Anak muda darahnya panas,
Bila berjuang dikatakan mengganas,
Walhal tak kurang akal yang bernas,
Tidak menyalah guna agama dan ras,
Tidak berpaut sokongan pemimpin atas,
Bila bersuara tidak culas,
Bila menegur berniat ikhlas.

Bunga kemunting di luar pagar,
Kembang mewangi hingga Tanjung Sedili,
Bunga tari langkah pendekar,
Lambang berani, dinamik dan peduli.

Lebah bukan sebarang lebah,
Lebah hinggap di dahan cempaka;
Madah bukan sebarang madah,
Madah suntikan jiwa merdeka.

Kamilah AMK untuk Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Penafian Permit Penerbitan FZ.com

Saya ingin menyatakan kebimbangan dan kerisauan saya berkenaan berita Kementerian Dalam Negeri telah menolak permohonan Edge Communications Sdn Bhd untuk satu permit suratkhabar bagi syarikat tersebut iaitu FZ.com.

Ini sangat mengejutkan dan adalah satu langkah yang sangat aneh memandangkan Mahkamah Tinggi baru sahaja memberi kebenaran kepada Edge Communications untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri berkenaan keputusan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan kelulusan permit tersebut.

Perkara ini muncul sejurus selepas suratkhabar The Heat digantung untuk beberapa minggu oleh Kementerian Dalam Negeri.

Alasan-alasan penggantungan The Heat yang diberikan oleh Kementerian tersebut tidak kukuh dan sangat tidak jelas lalu menimbulkan persoalan, mengapa langkah ini diperlukan?

Kementerian Dalam Negeri sekarang perlu memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa Kementerian perlu menolak permohonan lesen FZ.com.

Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan mengesahkan persepsi yang semakin meningkat bahawa Malaysia kejam terhadap wartawan yang adil dan bebas. Di dalam kedudukan kebebasan media terbaru yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontieres), Malaysia mendapat kedudukan 147 di dunia. Ini merupakan kedudukan terendah negara sejak senarai itu mula dikeluarkan dan pada tahun ini kita menduduki tangga lebih rendah berbanding Myanmar!

Sukar untuk menterjemahkan penggantungan-penggantungan suratkhabar baru-baru ini sebagai perkara lain melainkan bukti kukuh bahawa Kerajaan Najib Razak kini semakin takutkan bayang-bayang dan tidak boleh menerima sebarang kritikan.

Ironisnya, pentadbiran yang sama ini membenarkan pula beberapa pertubuhan-pertubuhan yang kononnya NGO untuk mengeluarkan kata-kata yang berunsur perkauman dan membuat ugutan keganasan tanpa sebarang halangan.

Tindakan ini juga menunjukkan janji-janji Perdana Menteri tentang perubahan adalah penipuan.

Rakyat Malaysia sekarang boleh menghakimi sendiri betapa kosongnya janji-janji tersebut, khususnya pindaan-pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) yang membuat sedikit sahaja untuk melindungi media daripada penyalahgunaan kuasa dan dolak-dalih politik.

Media yang bebas dan adil adalah perlu untuk sebarang masyarakat berfungsi dan makmur.

Malaysia tidak akan berjaya untuk menjadi sebuah negara yang maju tanpanya.

Kerajaan ini – jika benar-benar serius tentang perubahan dan membuat hidup rakyat Malaysia lebih baik – mestilah menolak peruntukan-peruntukan kejam di dalam Akta 1984, pastikan liputan yang adil di dalam media aliran utama dan bergerak ke arah melindungi hak untuk bersuara.

Pemberhentian Operasi World Hijab Day di Singapura

Adalah sangat mendukacitakan apabila World Hijab Day (Hari Tudung Sedunia) di Singapura telah dipaksa diberhentikan setelah kumpulan tersebut menerima ugutan dan tentangan daripada kerajaan Singapura. Namun, tujuan World Hijab Day hanyalah untuk menyebarkan pemahaman agama dan kesedaran ke arah keamanaan sedunia pada 1 Februari 2014. Sejak itu, kumpulan tersebut telah dibubarkan.

World Hijab Day (WHD) merupakan satu kempen kesedaran antarabangsa yang telah dijalankan di serata dunia dan diterima oleh pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Belgium, Belanda, Perancis dan Australia. Kempen ini yang mempunyai duta di lebih 100 buah negara telah menunjukkan sokongan kuat daripada orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia dalam meningkatkan pemahaman agama dan penghapusan diskriminasi terhadap wanita bertudung.

Malaysia pula sangat aktif dalam usaha ini kerana terdapat peserta orang Islam dan bukan Islam yang memakai tudung telah berkumpul di beberapa kompleks beli-belah. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia juga mempunyai duta-duta yang bukan beragama Islam iaitu, Carol Lee, Mrs. Universe 2013 dan Felixia Yeap yang menyokong usaha ini.

Oleh itu, tindakan kerajaan Singapura mengugut dan menentang kumpulan WHD Singapura sangat mengecewakan kerana ini dengan jelas merupakan diskriminasi terhadap orang Islam yang bertudung dan usaha-usaha untuk menyebarkan pemahaman agama sesama walaupun kita tinggal di dalam komuniti yang pelbagai.

Ucapan di Program AIC: Kita Harus Bersatu, Tetapi Lebih Penting Lagi Berani