Monthly Archives: January 2014

Mengangkat Martabat Bola Sepak Malaysia (Bahagian 1)

Tahun ini sekali lagi tahun Piala Dunia. Edisi 2014 akan berlangsung di negara yang memenangi paling banyak Piala Dunia dalam sejarah, Brazil. Ini kali kedua Piala Dunia berlangsung di negara Amerika Latin tersebut. Justeru bagi peminat bola sepak seluruh dunia, tahun ini satu lagi tahun yang mengasyikkan, meskipun bagi kita di Malaysia, ini akan bermakna berjaga malam dan bangun awal pagi kerana perbezaan masa. Di Dun saya ada sebuah restoran yang cukup terkenal di kalangan kaki bola (terutamanya penyokong Liverpool seperti saya) iaitu D’Stall Corner Kelana Jaya.

Namun, meskipun bola sepak adalah sukan paling terkenal di negara kita, mutu bola sepak kini amatlah mendukacitakan.

Untuk berlaku adil, ada petanda positif, yang telah menyebabkan meningkatnya minat penyokong selepas skandal rasuah dan keluarnya Singapura daripada liga pada pertengahan tahun 1990-an. Pada 2009, pasukan bawah 23 tahun kita, Harimau Muda, meraih pingat emas Sukan Sea selepas Thailand mendominasi begitu lama dan berjaya mempertahankan kemenangan ini dua tahun kemudian. Pada 2010, pasukan senior, Harimau Malaya, memenangi Piala AFF Suzuki. Malangnya, kita telah kehilangan kedua-dua gelaran.

Lebih menyedihkan lagi, kita hanya boleh bermimpi untuk menjadi juara Asia Tenggara, bukannya bersaing di peringkat tertinggi di dunia atau sekurang-kurangnya Asia. Ini bukannya perkara baharu, kita pernah layak ke peringkat Olimpik dua kali dan menjadi kuasa bola sepak Asia pada zaman kegemilangan dekad 1970an dan 1980-an. Pada 1999, FAM umum reformasi besar-besaran dengan sasaran Malaysia layak ke Piala Dunia menjelang 2014!

Pun begitu, kini 2014 sudah pun tiba dan selain kejayaan-kejayaan kecil tersebut, ternyata Malaysia jauh sekali untuk layak ke Piala Dunia. Dalam ranking Fifa yang terbaharu, kita berada di tangga ke-154 di dunia. Di Asia Tenggara kita berada di bawah Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (144), Thailand (146), Singapura (150) dan Laos (152)! Tidak seperti negara kita, bola sepak bukannya sukan utama di Filipina. Prestasi kita di kejohanan-kejohanan serantau menggambarkan kita sekurang-kurangnya berada dalam kalangan empat negara terbaik di rantau ini, bukannya ke tujuh, tetapi ini adalah kerana kekurangan perlawanan A yang diiktiraf oleh Fifa.

Meskipun Piala Malaysia merupakan kejohanan piala kebangsaan yang tertua di Asia, Liga Super Malaysia kini bergred D dan berada di tangga ke-18 di benua ini. Justeru, pasukan-pasukan tempatan kita tidak layak ke kejohanan elit Liga Juara-Juara Asia. Liga-liga tempatan Thailand, Singapura dan Vietnam semuanya tersenarai di atas Liga Super Malaysia. Singapura, sebagaimana ramai di antara kita maklum, hanya memulakan Liga S mereka pada 1996 selepas mereka keluar daripada liga tempatan kita. Namun kini hanya Harimau Muda B (pasukan kita yang bermain di Liga S) boleh layak menerusi play off ke Liga Juara-Juara Asia, sementara pasukan yang bermain di Liga Super Malaysia tidak boleh berbuat demikian. Pasukan-pasukan tempatan kita hanya boleh layak ke kejohanan Piala AFC – untuk negara-negara bola sepak yang masih ‘membangun’.

Ranking-ranking ini penting. Bagi sebarang pemerhati luar, inilah gambaran pertama bagi mereka menilai bola sepak negara. Bagi satu contoh yang lebih jelas, kita tidak boleh mengambil kesempatan terhadap dua kelab Britain yang dimiliki rakyat Malaysia – Cardiff City FC dan Queens Park Rangers – kerana sukar bagi sebarang pemain dari negara yang berada di bawah ranking 70 teratas Fifa untuk mendapat permit pekerjaan. Itulah hakikatnya ketika timbul cakap-cakap bahawa bintang-bintang negara seperti Safee Sali dan Safiq Rahim akan ke kelab-kelab tersebut.

Maka, ke mana kita sekarang? Selepas kontrak K Rajagopal tamat tahun lepas, timbul cadangan untuk melantik jurulatih tersohor Perancis Philippe Troussier – yang mempunyai pengalaman luas melatih Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria – untuk melatih Harimau Malaya. Troussier walau bagaimanapun dikatakan meminta gaji sehingga RM400,000 sebulan. Hakikatnya, dengan keadaan bola sepak kita pada hari ini, penyelesaian segera, tidak kira betapa mahal, tidak akan berhasil.

Dalam bahagian seterusnya, saya akan melihat bagaimana kita boleh mengangkat martabat bola sepak negara. Antara contoh utama saya ialah sebuah negara yang mana bola sepak masih bersaing dengan besbol dan paling penting sekali hanya menjadi kuasa bola sepak pada tahun 1990an, Jepun. Sebelum itu mereka ketinggalan berbanding kita, malah mereka melawat Malaysia untuk mempelajari bagaimana untuk membangunkan sukan ini! Mereka memperkenalkan pelan 100 tahun untuk bola sepak mereka. Namun begitu, biarpun baharu dua dekad berlalu, mutu bola sepak mereka telah meningkat dengan drastik dan mereka telah meletak sasaran memenangi Piala Dunia pada 2050, baharu melebihi separuh tempoh pelan 100 tahun mereka.

Harus kita ingat, Malaysia boleh!

Solidariti buat Lee Khai Loon

Saya mengecam sekeras-kerasnya respon UMNO terhadap flashmob anjuran Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN dan ADUN Machang Bubuk Lee Khai Loon.

Khai Loon membantah kegagalan UMNO-BN memahami sentimen rakyat dalam isu kenaikan harga barang yang diwakili kenyataan Perdana Menteri Najib Razak tentang kangkung.

Khai Loon bertindak secara aman menyuarakan isu rakyat.

Namun UMNO bertindakbalas dengan membakar sentimen perkauman malah mengugut menimbulkan semula tragedi 13 Mei 1969.

Sebelum ini UMNO dan kuncu-kuncu mereka bertindak biadap terhadap pimpinan Pakatan dan NGO yang kritis namun rakyat terus waras.

Islam dan budaya kita menolak sikap yang UMNO anjurkan selama ini.

UMNO tak wajar bermain dengan api. Di manakah pimpinan UMNO yang bercakap tentang 1Malaysia, wasatiyyah dan transformasi?

Penahanan Pasangan Malaysia di Sweden

Penahanan Azizul Raheem Awaluddin, pengarah Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya Shalwati Nurshal kerana dilaporkan memukul anak mereka yang berusia 12 tahun kerana tidak mendirikan solat adalah dikesali.

Tambah pula dilaporkan bahawa pasangan ini telah pun ditahan lebih sebulan sementara keempat-empat anak mereka dipindahkan ke rumah jagaan keluarga bukan Islam.

Anak-anak mereka telahpun meluahkan hasrat untuk dijaga oleh keluarga Islam di dalam pertemuan mereka dengan Kedutaan Malaysia dan Perkhidmatan Sosial Sweden. Keluarga jagaan mereka turut menyokong hasrat ini. Saya menghargai usaha semua pihak di dalam mendapatkan kebenaran untuk saudara-mara pasangan tersebut bertemu anak-anak mereka.

Kes ini nampaknya timbul akibat ketidakfahaman antara budaya. Sememangnya kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara namun pada masa yang sama negara tuan rumah sewajarnya sensitif terhadap pelaksanaan undang-undang dan tidak mengambil tindakan yang keterlaluan.

Saya berharap isu ini diselesaikan segera untuk kepentingan semua pihak yang terlibat.

Bola Sepak Malaysia Perlu Lebih Daripada Jurulatih Berprestij

Saya merujuk kepada beberapa laporan bahawa FAM sedang mempertimbangkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Jepun, Afrika Selatan dan Nigeria, Philippe Troussier untuk menggantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Harimau Malaya. Selain itu juga ada laporan yang menyebut Zdenek Zeman (bekas jurulatih Roma, Itali), Bob Houghton dari England, Rudi Voeller dari Jerman dan bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic sebagai calon kerusi panas tersebut.

Sumber-sumber menyebut Troussier meminta lebih RM400,000 sebulan atau RM4 juta setahun untuk memberikan khidmatnya.

Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, bagi mengangkat martabat bola sepak Malaysia, kita memerlukan reformasi menyeluruh bermula dengan penukaran Presiden FAM dan struktur organisasi tersebut, liga domestik sehinggalah program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi. Hanya apabila isu-isu tersebut diselesaikan – dan ini memerlukan masa yang lama – kita dapat mempertimbangkan jurulatih kebangsaan berprestij untuk membimbing Harimau Malaya.

Sebab itu apabila negara Jepun, sebuah negara yang ketinggalan di dalam bola sepak rantau ini, termasuk dengan negara kita pada era sebelum 1990an, merancang strategi untuk mengangkat mutu bola sepak negara mereka menggariskan Pelan 100 Tahun! Kini, lebih kurang dua dekad kemudian pelan mereka sudah membuahkan hasil apabila Jepun layak ke Piala Dunia berturut-turut sejak 1998 dan kini berada di tangga no 2 ranking FIFA di Asia.

Justeru, saya menyambut baik kenyataan-kenyataan dari Kementeria Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara yang tidak bersetuju dengan cadangan perlantikan jurulatih yang mahal buat negara.

Kita menunggu butir-butir Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi. Kita berharap penekanan kepada perubahan radikal dan menekankan matlamat jangka masa panjang, kalaupun tidak 100 tahun dapat dapat dipertimbang Kerajaan Persekutuan. Yang penting, perubahan mestilah diinstitusikan dan tidak berharapkan kekuatan personaliti atau individu semata-mata.

Mari Sokong Kebebasan Media Dengan Menghadiri Protes Pensil Merah

Saya mengalu-alukan Protes Pensil Merah yang dianjurkan Gerakan Media Marah (GERAMM) yang akan diadakan di hadapan Bangunan Majlis Peguam, Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur 2 petang 4 Januari ini.

Protes ini diadakan untuk mendesak agar semua pihak menghormati kebebasan media.

Isu ini mendapat perhatian selepas penggantungan akhbar the Heat oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru in‎i. Akhbar itu baru sahaja membuat liputan tentang perbelanjaan boros dan pembaziran Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Kedua-dua hak untuk berhimpun secara aman dan bersuara dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Maka kita bukan sahaja berharap pihak berkuasa akan menghormati Protes Pensil Merah, tetapi lebih penting lagi menghormati tuntutan GERAMM.

Tindakan terhadap the Heat suatu lagi bukti bahawa Najib gagal melakukan sebarang transformasi terhadap dasar UMNO-BN. ‎Perubahan sebelum ini bersifat kosmetik semata-mata. Najib pernah mendakwa Malaysia ‘demokrasi terbaik di dunia’ tetapi kritikan terhadap beliau dan isteri tidak dibenarkan.

Permit penerbitan adalah amalan yang lapuk dan tidak lagi relevan.

‎Justeru saya menyeru semua rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan demokrasi untuk bersama-sama ke Protes Pensil Merah esok sebagai tanda solidariti kita bersama.

Rombakan Menyeluruh FAM Wajar

Kenyataan Bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa bahawa persatuan bola sepak kebangsaan itu perlukan rombakan besar-besaran adalah amat wajar.

Jika kita mahu melihat perubahan benar-benar bermakna, sekadar penukaran jurulatih atau pasukan kebangsaan tidak mencukupi.

Perubahan harus bermula dari atas.

Kita juga menunggu dengan penuh harapan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang akan dilancar dalam masa terdekat.

Namun sekiranya FAM masih berada pada takuk yang lama, cita-cita kita melihat pasukan bola sepak kembali ke zaman gemilang tidak akan menjadi realiti.