Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Akta Kesaksamaan Peluang Perlu Bagi Membanteras Diskriminasi Terhadap Mana-Mana Kaum

Saya menyambut baik ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang antara lain menyentuh tentang diskriminasi yang dihadapi oleh masyarakat Bumiputera di syarikat swasta. Beliau telah merujuk kajian daripada Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammad Abdul Khalid daripada Universiti Malaya.

Namun, antara kelemahan politik kaum UMNO-BN ialah perkara ini dilihat daripada perspektif sesuatu kaum semata-mata. Beliau sewajarnya melihat kepada diskriminasi yang dihadapi misalnya oleh masyarakat India di dalam sektor swasta.

Khairy mengakui bahawa masyarakat Bukan Bumiputera menghadapi diskriminasi di dalam sektor awam tetapi menurutnya keadaan di sektor swasta lebih serius. Perkara ini boleh kita bahaskan secara lebih menyeluruh.

Saya pernah menulis mengenai perkara ini dalam buku saya Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 yang diterbitkan pada 2010.

“Namun di luar GLC, penglibatan orang Melayu di dalam perniagaan khususnya perbadanan multinasional dan industri kecil dan sederhana masih tidak memuaskan. Industri kecil dan sederhana didominasi masyarakat Cina.

“Peminggiran ekonomi orang Melayu digabungkan dengan propaganda kolonial membuatkan Syed Hussein al-Attas menulis karya agungnya, the Myth of the Lazy Native. Pandangan bahawa anak watan (dalam kes ini orang Melayu) adalah malas secara semula jadi, lantas menjustifikasikan misi barat Barat untuk menyelamatkan mereka dan pada masa yang sama membolehkan masyarakat bukan Melayu terus menutup pintu sektor komersial kepada orang Melayu.”

Penyelesaian yang saya usulkan dalam Mendepani Zaman:

“…dasar anti-diskriminasi mesti diperkenalkan bagi membanteras peminggiran di tempat kerja. Orang Melayu sering menghadapi diskriminasi dalam industri kecil dan sederhana. Lebih baik sekiranya orang bukan Melayu yang mendominasi sektor ini secara aktif meningkatkan penglibatan orang Melayu.

“Tetapi, dasar tersebut memerlukan kita membuka sektor pekerjaan lain di mana kerajaan dan GLC sudah menekankan pengambilan orang Melayu. Justeru, kedua-dua pihak mesti bersedia menghadapi pengenalan dasar ini. Tetapi, saya percaya mendapatkan orang Melayu keluar daripada zon selesa pekerjaan kerajaan kepada sektor perniagaan, lantas membuatkan kemajuan orang Melayu lebih bebas dan mampan adalah bermanfaat untuk orang Melayu. Daya saing ini adalah penting untuk berjaya dalam dunia yang semakin global.

“Kita mesti berusaha lebih gigih untuk meningkatkan penglibatan bukan Melayu dalam sektor awam. Ini bukan sahaja akan mengurangkan pengenalan etnik dengan aktiviti ekonomi, tetapi juga meningkatkan keberkesanan dan penyampaian penjawat awam. Banyak salah faham yang berlaku di antara kerajaan dan warganegara bukan Melayu di Malaysia hari ini dapat dielakkan dengan mempunyai jabatan kerajaan yang lebih majmuk.”

Meskipun menurut salah seorang anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Allahyarham Datuk Dr Zainal Aznam Yusuf, idea Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang dicadangkan oleh MPEN dan disertakan dalam Bahagian 1 Model Ekonomi Baru pada awal 2010, namun seperti biasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memimpin dan tunduk kepada tuntutan pihak tertentu hingga Suruhanjaya ini kemudiannya tidak disertakan di dalam Bahagian 2 Model Ekonomi Baru.

Melihatkan ucapan terbaru Khairy ini, saya mencadangkan untuk beliau seiring dengan pendekatan progresif yang hendak beliau ambil bersama-sama saya dan pimpinan muda Malaysia yang lain tanpa mengira parti membincangkan suatu Akta Kesaksamaan Peluang bagi membanteras diskriminasi terhadap mana-mana rakyat Malaysia di segenap sektor pekerjaan.