Monthly Archives: December 2013

Perhimpunan Turun 31 Disember 2013 Wajar Diraikan

Perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang akan dianjurkan pada 31 Disember 2013 sewajarnya diraikan sesuai dengan semangat demokrasi. Kita sewajarnya mengucapkan tahniah kepada golongan anak-anak muda ini kerana mempunyai kepedulian sosial dan keberanian menyatakan pendirian.

Malangnya seperti banyak lagi perhimpunan-perhimpunan sebelum ini, Kerajaan UMNO-BN mengambil sikap menghalang hak untuk berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Lebih malang lagi, UMNO-BN menerusi institusi-institusi kerajaan dan media menabur fitnah dengan dakwaan bahawa akan berlaku keganasan untuk menggulingkan kerajaan dalam himpunan ini.

Skrip ini adalah skrip sama yang digunakan sebelum ini untuk perhimpunan Bersih dan sebagainya. Namun tuduhan seperti kononnya ada molotov cocktail dan parang habis begitu sahaja selepas Bersih. New Straits Times pula terpaksa meminta maaf atas dakwaan akhbar tersebut bahawa beberapa NGO digunakan untuk menggulingkan kerajaan. Skrip baru kononnya ada e-mel di antara Abdul Rahim Ghouse dan Rafizi Ramli mengenai bom di tapak perhimpunan.

Jelas sekali ini adalah cubaan mengalihkan perhatian daripada tuntutan Turun yang antara lain mendesak agar Kerajaan memerangi rasuah, menyusun semula subsidi korporat, menangguhkan pelaksanaan cukai GST, mendedahkan perjanjian konsesi tol dan menghapuskan monopoli gula.

Cukuplah UMNO-BN memperbodohkan rakyat.

Justeru saya akan turun untuk perhimpunan Turun dan saya turut menyeru anak-anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan untuk bersama-sama pada 31 Disember ini. Kita buktikan kita tidak akan tunduk kepada provokasi atau terpengaruh dengan propaganda murahan dan akan berhimpun secara aman untuk menyatakan pendirian kita.

Tajaan Kerajaan Terhadap Perkasa Dedah Wajah Sebenar UMNO-BN

Pengakuan Perkasa dan Isa Samad bahawa NGO tersebut menerima bantuan Kerajaan menerusi agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mendedahkan wajah sebenar UMNO-BN.

Selama ini kita menegaskan bahawa Perkasa merupakan perkakas UMNO-BN untuk membakar sentimen perkauman. Pendedahan ini telah membuktikan bukan sahaja dakwaan kami, tetapi wang rakyat digunakan untuk memberi subsidi kepada suatu kumpulan perkauman dan menjayakan strategi pecah dan perintah UMNO-BN.

Ini juga menimbulkan persoalan tentang BTN. Ramai termasuk saya sendiri sebelum ini membangkitkan program BTN yang bukan sahaja menyebarkan propaganda politik malah perkauman. Kerajaan pada 2009 ‎telah memberi komitmen untuk melakukan perubahan. Namun jika BTN merupakan antara agensi terlibat membantu Perkasa, nyata sekali tiada apa-apa perubahan.

Slogan 1Malaysia dan Transformasi yang diuar-uarkan Najib Razak sekali lagi terbukti tidak membawa sebarang makna.

Kerajaan Negeri Selangor Mesti Kaji Semula Kenaikan Lesen Perniagaan dan Cukai Pintu

Kerajaan Negeri Selangor mestilah mengkaji semula kenaikan lesen perniagaan di beberapa PBT di Selangor yang mendadak sehingga 400 peratus terutamanya bagi yang melibatkan perniagaan-perniagaan kecil dan sederhana serta cadangan kenaikan cukai pintu.

Kenaikan ini membabitkan antara lain Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan dibuat menerusi undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sememangnya Kerajaan Negeri sudah memberikan penurunan cukai pintu sebanyak 25 peratus bagi pangsapuri kos rendah sebelum ini. Keputusan kenaikan lesen perniagaan di MPSJ pula sudah diluluskan sejak zaman UMNO-BN lagi dan bersifat progresif dengan premis berkeluasan besar dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi, namun kadar peningkatannya masih mendadak bagi perniagaan kecil dan sederhana.

Kerajaan Negeri seharusnya mengambilkira kenaikan kos yang dihadapi oleh peniaga kecil dan sederhana dan golongan pekerja, petani dan kelas menengah terutamanya kini apabila kita berhadapan pengenalan cukai GST, kenaikan harga tol dan tarif elektrik serta penurunan pelbagai subsidi barangan keperluan oleh Kerajaan Persekutuan. Kenaikan kos ini pasti akan dirasai di dalam harga barangan yang akan dibayar semua pengguna nanti dan memberi impak kepada semua rakyat Malaysia.

Justeru saya menggesa Kerajaan Negeri mengkaji semula pelaksanaan dasar ini dan memastikan sebarang perubahan dasar mengambilkira kepentingan rakyat yang ramai.

Khairy Harus Letak Jawatan Jika Gagal Bendung Kenaikan Kos Kehidupan

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, antara manifesto BN di bawah tajuk Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar ialah “kadar bayaran tol akan diturunkan secara berperingkat.”

Janji itu dilihat untuk menghadapi alternatif yang ditawarkan Pakatan iaitu untuk menghapuskan tol bermula dengan lebuh raya yang sudah mendapat pulangan modal. Ternyata BN tidak berani memberi komitmen tersebut kerana mereka lebih berminat menjaga kepentingan kroni di dalam syarikat-syarikat konsesi berbanding kebajikan rakyat.

Namun penurunan itu pun gagal direalisasikan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Wahid Omar mengesahkan bahawa kenaikan harga tol kini tidak dapat dielakkan pada 2014 atas alasan perjanjian konsesi. Namun, sebagaimana dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Strategi KEADILAN, kerajaan sama menerusi pelbagai syarikat berkaitan kerajaan dan agensi pelaburan amanah yang dikuasi kerajaan mempunyai kepentingan besar di dalam ketiga-tiga syarikat utama konsesi tol di Malaysia. Kesemua syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan besar akibat perjanjian konsesi berat sebelah selama ini.

Sahlah bahawa rakyat akan dibebani dengan satu lagi kenaikan kos kehidupan, menjadikan 2014 sebagai Tahun Naik Harga Barang.

Lebih mendukacitakan lagi, Wahid menyatakan kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan kenaikan ini untuk menggunakan jalan alternatif.

Kenyataan beliau telah mengundang kritikan banyak pihak termasuk daripada Pemuda UMNO sendiri. Ketua Pemuda UMNO sendiri, Khairy Jamaluddin, duduk di dalam Kabinet dan membangkitkan bahawa beliau akan membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Tetapi kita tidak mahu Khairy dan Pemuda UMNO bermain wayang semata-mata berkokok di luar seperti isu penyenaraian hitam ke dalam CCRIS peminjam-peminjam PTPTN dan menyerang TNB dalam isu kenaikan tarif elektrik sebelum ini, tetapi gagal menghentikan satu demi satu kenaikan kos kehidupan ini.

Sekiranya Kabinet yang dianggotai Khairy gagal membendung kenaikan kos kehidupan termasuk isu kenaikan tol ini, saya mencabar Khairy untuk meletak jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Lebih baik sahaja beliau memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen biasa yang bebas menyuarakan kritikan di luar.

Akta Kesaksamaan Peluang Perlu Bagi Membanteras Diskriminasi Terhadap Mana-Mana Kaum

Saya menyambut baik ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang antara lain menyentuh tentang diskriminasi yang dihadapi oleh masyarakat Bumiputera di syarikat swasta. Beliau telah merujuk kajian daripada Dr Lee Hwok Aun dan Dr Muhammad Abdul Khalid daripada Universiti Malaya.

Namun, antara kelemahan politik kaum UMNO-BN ialah perkara ini dilihat daripada perspektif sesuatu kaum semata-mata. Beliau sewajarnya melihat kepada diskriminasi yang dihadapi misalnya oleh masyarakat India di dalam sektor swasta.

Khairy mengakui bahawa masyarakat Bukan Bumiputera menghadapi diskriminasi di dalam sektor awam tetapi menurutnya keadaan di sektor swasta lebih serius. Perkara ini boleh kita bahaskan secara lebih menyeluruh.

Saya pernah menulis mengenai perkara ini dalam buku saya Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 yang diterbitkan pada 2010.

“Namun di luar GLC, penglibatan orang Melayu di dalam perniagaan khususnya perbadanan multinasional dan industri kecil dan sederhana masih tidak memuaskan. Industri kecil dan sederhana didominasi masyarakat Cina.

“Peminggiran ekonomi orang Melayu digabungkan dengan propaganda kolonial membuatkan Syed Hussein al-Attas menulis karya agungnya, the Myth of the Lazy Native. Pandangan bahawa anak watan (dalam kes ini orang Melayu) adalah malas secara semula jadi, lantas menjustifikasikan misi barat Barat untuk menyelamatkan mereka dan pada masa yang sama membolehkan masyarakat bukan Melayu terus menutup pintu sektor komersial kepada orang Melayu.”

Penyelesaian yang saya usulkan dalam Mendepani Zaman:

“…dasar anti-diskriminasi mesti diperkenalkan bagi membanteras peminggiran di tempat kerja. Orang Melayu sering menghadapi diskriminasi dalam industri kecil dan sederhana. Lebih baik sekiranya orang bukan Melayu yang mendominasi sektor ini secara aktif meningkatkan penglibatan orang Melayu.

“Tetapi, dasar tersebut memerlukan kita membuka sektor pekerjaan lain di mana kerajaan dan GLC sudah menekankan pengambilan orang Melayu. Justeru, kedua-dua pihak mesti bersedia menghadapi pengenalan dasar ini. Tetapi, saya percaya mendapatkan orang Melayu keluar daripada zon selesa pekerjaan kerajaan kepada sektor perniagaan, lantas membuatkan kemajuan orang Melayu lebih bebas dan mampan adalah bermanfaat untuk orang Melayu. Daya saing ini adalah penting untuk berjaya dalam dunia yang semakin global.

“Kita mesti berusaha lebih gigih untuk meningkatkan penglibatan bukan Melayu dalam sektor awam. Ini bukan sahaja akan mengurangkan pengenalan etnik dengan aktiviti ekonomi, tetapi juga meningkatkan keberkesanan dan penyampaian penjawat awam. Banyak salah faham yang berlaku di antara kerajaan dan warganegara bukan Melayu di Malaysia hari ini dapat dielakkan dengan mempunyai jabatan kerajaan yang lebih majmuk.”

Meskipun menurut salah seorang anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Allahyarham Datuk Dr Zainal Aznam Yusuf, idea Suruhanjaya Kesaksamaan Peluang dicadangkan oleh MPEN dan disertakan dalam Bahagian 1 Model Ekonomi Baru pada awal 2010, namun seperti biasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal memimpin dan tunduk kepada tuntutan pihak tertentu hingga Suruhanjaya ini kemudiannya tidak disertakan di dalam Bahagian 2 Model Ekonomi Baru.

Melihatkan ucapan terbaru Khairy ini, saya mencadangkan untuk beliau seiring dengan pendekatan progresif yang hendak beliau ambil bersama-sama saya dan pimpinan muda Malaysia yang lain tanpa mengira parti membincangkan suatu Akta Kesaksamaan Peluang bagi membanteras diskriminasi terhadap mana-mana rakyat Malaysia di segenap sektor pekerjaan.