Monthly Archives: October 2013

Pemilihan UMNO: Tiada Sebarang Perubahan

Pemilihan UMNO yang baru sahaja selesai mengesahkan apa yang diramalkan – bahawa tiada sebarang perubahan bagi parti tersebut, dengan kebanyakan penyandang lama mengekalkan kedudukan dan jawatan mereka, dan pasukan pilihan Presiden UMNO Najib Razak kekal berkuasa.

Semenjak beberapa bulan lepas, Najib telah menumpukan usaha beliau dalam mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan memastikan bahawa kepimpinannya tidak tercabar. Sepanjang masa ini, rakyat telah didedahkan dengan retorik perkauman dan konservatif daripada pimpinan utama UMNO. Pada masa yang sama, Najib memilih untuk berdiam diri di dalam negara, sambil bercakap tentang kesederhanaan dan wasatiyyah di luar negara.

Kita tidak mempertikaikan keperluan seorang Presiden Parti dikelilingi kumpulan pilihannya dalam jawatan tertinggi parti untuk beliau menggerakkan perubahan dengan efektif. Kini, Najib tidak lagi mempunyai alasan tidak mempunyai sokongan parti.

Namun, sukar untuk kita tidak menjadi sangsi apabila individu-individu yang menyandang jawatan jawatan tertinggi parti terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang yang tercemar atau meragukan. Contoh terbaik adalah pemilihan semula Zahid Hamidi dan Shahrizat Jalil (yang dilantik sebagai Penasihat kepada Perdana Menteri sebelum pemilihan UMNO). Pada masa yang sama, beberapa suara perubahan di dalam parti telah tewas. Justeru dakwaan beberapa pihak bahawa keputusan ini adalah kemenangan golongan progresif parti telah terbukti palsu. Ini adalah kemenangan kekuasaan dan kebebalan.

Sudah tiba masanya untuk Najib menggunakan mandat yang diberikan untuk mengubah negara ini, bukan sahaja sekadar retorik, namun dengan usaha yang konkrit. Ketika mana UMNO menjadi parti sayap kanan yang makin ekstrem, Najib perlu bangkit memimpin dan menunjukkan kewibawaan yang diperlukan.

Tetapi jika kita melihat kepada rekodnya sepanjang empat tahun sebelum ini, nyata sekali amat sukar untuk sebarang perubahan berlaku.

Wajah baru niknazmi.com

Saya telah mengambil keputusan untuk merombak laman web saya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini sejajar dengan peranan saya sebagai Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Pengarah Komunikasi KEADILAN serta diri saya sebagai seorang individu.

Saya percaya laman niknazmi.com terkini ini akan memudahkan anda untuk mengikuti aktiviti saya serta berinteraksi dengan saya.

Sebarang pandangan dan komen amatlah dihargai.

Terima kasih!

Khairy, pemikiran progresif mana?

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mendakwa bahawa kemenangan barunya di dalam pemilihan parti membuktikan pemikiran progresif telah Berjaya mengatasi kuasa konservatif di dalam parti tersebut.

Ketika Zahid Hamidi memainkan sentimen kaum ketika berbicara mengenai jenayah dan gangsterisme, dan menyokong dasar tembak untuk membunuh bagi polis, mengapa Khairy tidak mengkritik Zahid?

Apabila calon Naib Presiden UMNO dan pengganti Khairy sebagai Pengerusi PUNB Ali Rustam membuat kenyataan perkauman terhadap masyarakat Cina, di manakah Khairy?

Percubaan Khairy untuk memaparkan imej yang lebih terbuka dan sederhana hanya timbul selepas pilihan raya umum 2008. Namun ramai rakyat Malaysia masih ingat zamannya sebelum itu ketika beliau merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO dan memainkan peranan penting dalam pentadbiran bapa mertuanya Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau terlibat di dalam skandal ECM Libra, dan bukan sekadar mempertahankan nada perkauman UMNO ketika itu, tetapi terbabit di dalam insiden menghunus keris Pemuda UMNO.

Jelas sekali, kemenangan Khairy tidak melambangkan kemenangan pemikiran progresif dalam UMNO.

Hasan Malek masih belum jawab – kenyataan beliau yang mana boleh rakyat pakai?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hasan Malek masih belum memberi respon terhadap kenyataan bercanggahnya tentang harga tepung dan gula yang telah saya bangkitkan 7 Oktober lalu.

Laporan terbaru Malaysian Insider menyebut beliau mengumumkan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk menaikkan harga barangan tersebut demi menjaga kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat (http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/harga-gula-dan-tepung-naik-untuk-kesejahteraan-rakyat-kata-menteri):

“Keputusan kerajaan menaikkan harga tepung dan gula adalah demi menjaga kestabilan ekonomi negara di samping menjaga kesejahteraan hidup rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek. Beliau berkata, niat kerajaan hanya untuk menjaga kepentingan negara…”

Namun sebelum ini pada 20 September 2013 Utusan Malaysia melaporkan (http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130921/dn_07/Elak-percaya-khabar-angin-harga-gula-tepung-naik):

“Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan pihak- pihak tertentu menerusi blog atau laman sosial kononnya kerajaan akan memperluaskan pengurangan subsidi ke atas barangan terkawal seperti gula dan tepung.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan suasana panik dalam kalangan rakyat bagi memburukkan kerajaan.”

Pada 6 Oktober, Menteri yang sama Hasan Malek telah memberi nada yang berbeza: beliau telah dilaporkan oleh New Straits Times sebagai berkata bahawa ada kemungkinan berlaku kenaikan harga gula dan tepung sebagai sebahagian daripada rasionalisasi subsidi Kerajaan UMNO-BN (http://www.nst.com.my/nation/general/prepare-for-price-hikes-1.370150).

“Domestic Trade and Consumer Affairs Ministry said there is a possibility of price hikes in sugar and flour as part of the government’s subsidy rationalisation.

“Minister Datuk Hasan Malek said it would be announced during the tabling of the 2014 Budget on Oct 25.”

Sekali lagi, soalan saya mudah – kenyataan Hasan Malek yang mana boleh diguna pakai? Jika harga gula dan tepung dinaikkan, mengapa Menteri memberi jaminan pada September yang lepas? Ini bukan soal khabar angin ‘pihak-pihak tertentu’ tetapi kenyataan beliau sendiri!

Adakah jaminan beliau selepas ini tidak lagi boleh dipakai oleh rakyat?

Alasan bahawa kenaikan harga tepung dan gula boleh menjaga kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan hidup rakyat juga teramatlah dangkal. Laporan New Straits Times pada 6 Oktober lalu turut menyebut Hasan Malek menyatakan kenaikan harga ini perlu untuk mengelak senario kerajaan Amerika Syarikat yang ditutup berikutan belanjawan yang tidak diluluskan Kongres. Hasan cuba mengaburi mata rakyat dengan membawa suasana antarabangsa tanpa melihat situasi dan realiti di Malaysia.

Persoalannya, mengapa rakyat harus menjadi mangsa? Berapa banyakkah wang dibazirkan untuk projek mega yang menguntungkan kroni-kroni atau hilang dalam ketirisan dan rasuah seperti dilaporkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini, tetapi kerajaan langsung tidak berbuat apa-apa. Lebih banyak subsidi disalurkan kepada pihak korporat gergasi yang diteruskan sehingga hari ini. Begitu banyak syarikat-syarikat antarabangsa diberikan insentif pengecualian cukai jangka panjang.

Namun dasar-dasar anti rakyat itu dibiarkan begitu sahaja.

Apabila melibatkan rakyat, subsidi cepat dikurangkan. Ini tambah serius ketika kadar gaji dan upah masih pada tahap yang rendah. Struktur ekonomi Malaysia masih dipacu oleh keuntungan yang memanfaatkan sekelompok kecil rakyat, bukannya gaji dan upah yang diperoleh ramai rakyat. Pada tahun 2005, gaji dan upah membentuk hanya 28 peratus komponen KDNK berbanding keuntungan sebanyak 67.1 peratus. Namun komponen gaji dan upah di negara-negara maju seperti Singapura, Korea, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat semuanya melebihi 40 peratus.

Pelaksanaan dasar gaji minima juga selepas begitu lama desakan rakyat tidak sempurna. Banyak sektor mendapat pengecualian selepas tekanan daripada MCA.

Oleh itu, saya meragui sama ada kenaikan harga tepung dan gula benar-benar untuk kepentingan negara ataupun untuk kepentingan pihak lain?

Jangan kita lupa, ini juga Menteri sama yang minta rakyat tukar selera bila harga ayam naik dahulu!

Kenaikan Harga Tepung dan Gula: Khabar Angin atau Tidak?

Pada 20 September lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hasan Malek meminta rakyat Malaysia tidak mempercayai berita bahawa Kerajaan UMNO-BN akan memperluaskan pengurangan subsidi kepada tepung dan gula.

Memetik laporan Utusan Malaysia pada tarikh tersebut (http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130921/dn_07/Elak-percaya-khabar-angin-harga-gula-tepung-naik):

“Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan pihak- pihak tertentu menerusi blog atau laman sosial kononnya kerajaan akan memperluaskan pengurangan subsidi ke atas barangan terkawal seperti gula dan tepung.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sengaja dilakukan untuk mewujudkan suasana panik dalam kalangan rakyat bagi memburukkan kerajaan.”

Namun semalam 6 Oktober, Menteri yang sama Hasan Malek telah dilaporkan oleh New Straits Times sebagai berkata bahawa ada kemungkinan berlaku kenaikan harga gula dan tepung sebagai sebahagian daripada rasionalisasi subsidi Kerajaan UMNO-BN (http://www.nst.com.my/nation/general/prepare-for-price-hikes-1.370150).

“Domestic Trade and Consumer Affairs Ministry said there is a possibility of price hikes in sugar and flour as part of the government’s subsidy rationalisation.

“Minister Datuk Hasan Malek said it would be announced during the tabling of the 2014 Budget on Oct 25.”

Justeru saya ingin bertanya kepada Hasan, adakah subsidi tepung dan gula akan dikurangkan atau tidak?

Pakatan tidak menolak pengurangan subsidi secara total. Namun yang dipertikaikan sehingga hari ini ialah mengapa subsidi untuk rakyat sering dikurangkan terlebih dahulu berbanding subsidi korporat? Mengapakah negara berhadapan aliran wang haram dan rasuah yang begitu tinggi tiap-tiap tahun tanpa tindakan yang serius daripada Kerajaan?

Kerajaan sering memberi alasan defisit fiskal untuk mengurangkan subsidi kepada rakyat. Namun yang nyatanya Kerajaan berhadapan defisit keyakinan.

utusan

nst

Respons terhadap Laporan Ketua Audit mengenai Kementerian Belia dan Sukan

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran. Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop – Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan. Berapa banyakkah wang tersebut memberi kesan secara langsung kepada anak muda yang sepatutnya menerima manfaatnya, dan berapa banyakkah pergi ke syarikat pengurusan acara yang mengaturkan program tersebut?

Hakikatnya RM67.61 juta boleh digunakan untuk memperbaiki kedudukan dan memberikan manfaat kepada anak muda negara. Wang tersebut boleh digunakan untuk kemudahan sukan, pemerkasaan diri dan inisiatif-inisiatif lain yang mampu memberi kesan yang berpanjangan di kalangan generasi muda.

Sementara laporan Ketua Audit Negara mungkin menarik perhatian terhadap pembaziran dan kegagalan sistemik, ini juga merupakan peluang yang baik untuk Kerajaan memikirkan semula pendekatan dasar dan kesannya terhadap rakyat Malaysia yang biasa.