Monthly Archives: August 2013

Respons Saya Terhadap MCA Mengenai Isu Larangan Kondo Ridzuan Terhadap Penyewa Afrika

Saya merujuk kenyataan bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya dan pemimpin MCA Loh Seng Kok yang menjustifikasikan larangan menyeluruh terhadap penyewa Afrika oleh JMB Kondominium Ridzuan.

“Sebagai penduduk di negara yang majmuk, rakyat umumnya menentang sebarang bentuk perkauman. Namun, memandangkan penduduk di Mesyuarat Agung Kondo Ridzuan telahpun meluluskan dasar tersebut, maka ironis dan bercanggah untuk menuduh rakyat Malaysia bersikap perkauman.”

Ironis sekali nampaknya kenyataan Loh yang bercanggah di sini.

Larangan itu nyata sekali satu larangan menyeluruh terhadap semua orang Afrika sebagai satu komuniti. Itu adalah perkauman.

Dasar perkauman boleh diperkenalkan menerusi demokrasi. Dasar apartheid diperkenalkan di Afrika Selatan selepas parti yang menawarkannya memenangi pilihan raya 1948. Dasar ‘White Australia’ yang mendiskriminasikan pendatang bukan kulit putih ke Australia antara 1901 hingga 1973 juga diperkenalkan secara demokrasi.

Sejak sejarah awal negara kita di bawah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia memimpin peranan menentang perkauman khususnya apartheid dan Zionisme. Tunku merupakan pemimpin pertama yang keluar secara protes daripada mesyuarat Menteri-Menteri Komanwel 1960 di London sebagai bantahan terhadap apartheid.

Apatah lagi, kenyataan MCA dikeluarkan genap 50 tahun selepas ucapan bersejarah Martin Luther King, ‘I Have a Dream’ yang mana pemimpin hak asasi Amerika itu mengkritik perkauman yang ketika itu begitu menular di Amerika:

“I have a dream that my four little children will one day live in a nation where they will not be judged by the color of their skin, but by the content of their character.”

“Saya menyimpan impian bahawa keempat-empat anak kecil saya akan suatu hari nanti tinggal di sebuah negara di mana mereka akan dinilai bukan di atas warna kulit mereka, tetapi di atas keperibadian mereka.”

Menilai seseorang di atas kaum mereka dan bukan keperibadian mereka adalah perkauman.

Saya wakil rakyat kawasan tersebut. Saya menyedari masalah yang dihadapi penduduk. Pun begitu, tidak kira apa masalah mereka, penyelesaiannya adalah untuk mencari punca jenayah dan masalah sosial yang merentas kaum.

Walaupun dasar ini diluluskan Mesyuarat Agung Kondo tidak bermakna dasar ini dapat dikuatkuasakan mahupun dapat mengelak daripada dicabar di mahkamah.

Wujud undang-undang sedia ada yang boleh digunakan dengan lebih baik untuk mengatasi masalah yang dihadapi penduduk tanpa berbentuk diskriminasi mahupun perkauman. Sebagaimana saya pernah sebut sebelum ini, saya akan berhubung dengan JMB untuk merancang dialog dengan pihak berkuasa yang relevan seperti MBPJ, Pesuruhjaya Bangunan, polis dan imigresen untuk mencari jalan mengatasi jenayah dan masalah sosial di kawasan itu.

Kita perlu meninggalkan obsesi kita dengan kaum untuk maju sebagai sebuah negara ke abad ke-21.

Khairy, Najib Harus Memimpin

Jawapan Khairy Jamaluddin yang mempertahankan tiadanya apa-apa tindakan daripada Najib Razak ke atas Utusan Malaysia tidak masuk akal sama sekali.

Utusan dimilik UMNO dan jelas sekali memainkan peranan sebagai perkakas propaganda rejim pemerintah. Dalam banyak kes melibatkan Pakatan Rakyat, Utusan secara konsisten didapati bertanggungjawab di atas berita-berita fitnah yang berniat jahat oleh mahkamah. Atas sebab itu akhbar tersebut telah hilang kewibawaan di mata rakyat Malaysia dan menanggung edaran yang menjunam pada beberapa tahun kebelakangan ini. Pun begitu, pihak editorial meneruskan strategi perkauman dan kotor, selari dengan agenda politik UMNO.

Jika Najib benar-benar serius ingin menjuarai apa yang didakwanya agenda 1Malaysia kepada masyarakat, khasnya orang Melayu, beliau harus memainkan peranan sebagai Presiden UMNO untuk mengarahkan Utusan menyokong mesej tersebut. Ini bukan isu kebebasan akhbar memandangkan Utusan bukan akhbar swasta biasa tetapi dimiliki UMNO. Najiblah yang akhirnya bertanggungjawab ke atas akhbar tersebut.

Tetapi sebagaimana Najib telah membuktikan berkali-kali sejak menjadi Perdana Menteri, beliau bukanlah mampu memimpin, apatah lagi menjadi seorang negarawan. Mungkinlah sukar untuk Khairy mempunyai pandangan berbeza memandangkan peranannya di dalam kabinet hari ini, namun jawapannya jelas kepada masyarakat lainnya. Jika inilah ‘kepimpinan sederhana’ terbaik yang UMNO boleh hasilkan, rakyat Malaysia berhak berasa susah hati.

Mansuhkan PTPTN, Bukan Senaraikan Peminjam di dalam CCRIS

KEADILAN menganggap pengumuman Menteri Pendidikan II Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sebagai satu lagi kegagalan kerajaan UMNO-BN untuk mempertahankan pendidikan sebagai hak asasi rakyat.

Dasar PTPTN yang disertakan dengan liberalisasi dan pengkorporatan pendidikan tinggi Malaysia menjadi sebahagian daripada beban yang dihadapi generasi muda di negara ini selain kadar upah dan gaji yang rendah serta harga rumah dan kereta yang tinggi. Kesannya, mereka berhadapan dengan pelbagai hutang yang berpanjangan. Menurut Bank Negara, kadar hutang isirumah telah meningkat 12 peratus setiap tahun pada lima tahun kebelakangan ini. Kadar muflis juga terus meningkat dari tahun ke tahun, dan antara golongan utama yang menjadi mangsa ialah golongan muda.

Harus diingat, kebanyakan mahasiswa yang menggunakan kemudahan PTPTN merupakan mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana rendah. Sekiranya keluarga mereka mampu, sudah tentu mereka tidak meminjam dana PTPTN.

KEADILAN dan Pakatan tidak mempertikaikan keperluan peminjam yang mampu dan berpendapatan baik untuk membayar semula hutang PTPTN. Namun yang dipertikaikan ialah nasib majoriti peminjam yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan berasal daripada keluarga biasa.

Atas sebab itu dasar pemberian diskaun bagi mereka yang menyelesaikan keseluruhan hutang PTPTN secara sekaligus yang dibuat di dalam belanjawan 2013 tidak adil memandangkan yang untung adalah mereka yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik!

Kesannya, pendidikan tidak lagi dapat menjadi pemangkin mobiliti sosial bagi membolehkan rakyat dari keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang kehidupan yang lebih baik, sebaliknya melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara kita.

Ironisnya ketika mahasiswa biasa khususnya yang berpendapatan rendah dikejar dan dihambat bagi mengutip hutang ini, kerajaan UMNO-Barisan Nasional tidak mengambil apa-apa tindakan tegas mengatasi kedudukan Malaysia sebagai negara yang mencatat aliran wang haram ketiga tertinggi di dunia antara 2001-2010 (lebih dari RM800 bilion). Rasuah, ketirisan dan hutang-hutang kroni makin berkembang.

Lebih malang lagi, pengenalan PTPTN telah menggalakkan pertumbuhan IPTS tanpa kawalan. Tidak dinafikan wujud IPTS bermutu tetapi lebih banyak lagi IPTS yang kurang berkualiti termasuk kilang-kilang ijazah! Lebih malang lagi, motif keuntungan telah melambungkan yuran pengajian. Pada tahun 1997 ketika PTPTN diperkenalkan, pinjaman sebanyak RM212 juta disalurkan kepada mahasiswa IPTA, dan RM7 juta untuk mahasiswa IPTS. Namun pada tahun 2012, mahasiswa IPTA menerima RM2.6 bilion manakala mahasiswa IPTS RM6.1 bilion!

Kita harus menyedari bahawa pendidikan adalah hak asas seorang insan. Dasar terbaru ini membuktikan bahawa UMNO-Barisan Nasional terus ingin menjadikan pendidikan ini satu komoditi dan keistimewaan untuk mereka yang berkemampuan. Penyelesaian sebenar isu ini hanyalah satu – memansuhkan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma sebagai pelaburan untuk masa depan anak-anak kita.

KEADILAN Mengutuk Pembunuhan Beramai-Ramai di Mesir, Gesa Malaysia Putuskan Hubungan dengan Rejim Tentera

KEADILAN mengutuk keras pembunuhan ratusan penyokong Mohamed Morsi, Presiden sah negara Mesir yang dilakukan oleh tentera negara tersebut.

Penggunaan keganasan tidak boleh dijustifikasi untuk menyelesaikan perselisihan politik dan tindakan rejim tentera menjejaskan usaha untuk menyelesaikan kebuntuan di Mesir.

Kerajaan-kerajaan Barat yang kebanyakannya berdiam diri, terutamanya Amerika Syarikat yang terus mengiktiraf rejim yang tidak sah tersebut dan membekalkan berbilion dolar untuk bantuan tentera, telah membenarkan tragedi malang ini berlaku.

Ini akan menguatkan pandangan bahawa retorik Barat tentang demokrasi akan sentiasa mengecualikan pergerakan Islam yang sah. Kesannya adalah bertambahanya ketegangan hubungan dan radikalisasi penganut-penganut agama di dunia ini.

Masyarakat dunia patut mengikut contoh kerajaan-kerajaan Turki dan Tunisia yang mengutuk secara keras rampasan kuasa oleh tentera di Mesir dan keganasan yang berlaku.

Justeru, KEADILAN menuntut Kerajaan Malaysia untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim tentera Mesir secara segera sebagai tanda bantahan terhadap pencabulan hak asasi dan kebebasan rakyat negara tersebut..

KEADILAN selanjutnya menyeru tentera Mesir untuk serta-merta menahan daripada menggunakan keganasan sebagai cara untuk menyekat perbezaan politik dan mengembalikan pentadbiran Morsi yang sah di dalam negara itu.

Undang-Undang ‘Penahanan untuk Pencegahan’ Bukan Cara Memerangi Jenayah

KEADILAN memandang berat tuntutan sesetengah pihak yang ingin mengembalikan hak kerajaan untuk menahan suspek dibawah Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malaysia tidak memerlukan undang-undang ‘penahanan untuk pencegahan’ seperti ini, yang boleh disalahgunakan oleh kerajaan. Lebih-lebih lagi pada masa kini, di mana kepercayaan rakyat kepada institusi-institusi awam adalah amat rendah, dan pendapat awam adalah sangat berbelah-bahagi.

Pihak yang ingin mengembalikan undang-undang ini telah mendapat sokongan daripada sesetengah individu penting didalam kerajaan. Mereka berpendapat, rang undang-undang ini diperlukan untuk menangani kadar jenayah yang kian menular.

Mereka juga berhujah bahawa, sebahagian besar aktiviti jenayah yang melibatkan keganasan telah dilakukan oleh tahanan yang dibebaskan selepas pemansuhan EO.

Kami mempertikaikan pandangan tersebut kerana tiada bukti kukuh yang mengaitkan pemansuhan EO dan ISA kepada kadar jenayah ganas yang kini semakin menular. Tanpa bukti kukuh, hujahan pihak-pihak yang ingin memperkenalkan balik EO dan ISA, adalah hanya pandangan semata-mata.

Kami juga ingin mempersoalkan, mengapa anasir-anasir jenayah ini tidak boleh ditahan dan didakwa mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada?

Mengapa pihak berkuasa berpendapat bahawa hanya penahanan tanpa perbicaraan – yang biasanya hanya digunakan pada zaman darurat – boleh menangani jenayah ganas? Apakah yang menghalang pihak berkuasa daripada bertindak terhadap jenayah dan penjenayah mengikut ketetapan undang- undang yang sedia ada?

Malaysia tidak lagi memerlukan undang-undang yang menzalimi dan memecah belahkan masyarakat. Undang-undang sedemikian pernah dan boleh disalahgunakan oleh kerajaan untuk tujuan politik.

Apa yang Malaysia perlukan sekarang, tetapi tidak dapat diberikan oleh pihak kerajaan ,adalah lebih ramai pegawai polis dimana masa dan sumber mereka didedikasikan terhadap pencegahan jenayah dan bukan terhadap dakwaan selektif berunsurkan politik.

Adalah amat penting untuk rakyat Malaysia menyedari bahawa kadar jenayah kini yang semakin menular, tidak boleh dijadikan suatu alasan untuk mengugat hak asasi rakyat.

Rakyat juga tidak boleh membenarkan kadar jenayah yang tinggi untuk memusnahkan cara hidup yang sedia ada, membawa unsur ketakutan dan syak wasangka sesama rakyat.

Adalah amat perlu bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu-padu mendesak kerajaan untuk menjaga keselamatan dan membela kebebasan rakyat.

Meskipun Perdana Menteri Najib Razak telah memutuskan untuk memansuhkan EO dan ISA kononnya sebagai sebahagian daripada usaha ‘transformasi’nya, namun beliau memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) sebagai ganti yang masih mengundang banyak masalah. Pada masa sama, meskipun beliau telah mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan, namun pendakwaan di bawah akta tersebut meningkat.

Langkah untuk kembali ke dasar-dasar lama akan membuktikan jaminan Najib bahawa pentadbirannya akan menamatkan era ‘Kerajaan mengetahui segala-galanya’ hanyalah sia-sia. Perdana Menteri tidak boleh membenarkan suara-suara jumud di dalam pentadbirannya memperlekehkan jaminannya untuk melakukan perubahan.

Kami menyeru Perdana Menteri untuk bukan sahaja memerangi jenayah mengikut ketetapan undang-undang yang sedia ada, tetapi untuk juga membela kebebasan asasi semua rakyat Malaysia.

Beliau perlu berkerjasama dengan semua pihak yang berkepentingan didalam hal ini. Keselamatan dan kebebasan rakyat adalah dua unsur penting yang tidak boleh dipisahkan demi kemajuan negara ini.

Semua rakyat Malaysia sewajarnya mengingati prinsip asas ini: mereka yang mengorbankan kebebasan mereka demi keselamatan tidak akan memperoleh kedua-duanya.

Kedua-duanya adalah saling bergantung antara satu sama lain: rakyat Malaysia berhak dan mesti memperoleh kedua-duanya jika negara ini hendak benar-benar maju ke hadapan.