Monthly Archives: July 2013

Penghargaan untuk Kerajaan Negeri Selangor Bantu Baiki Lif Desa Mentari

Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada YB Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang telah membuat keputusan untuk membantu menyelesaikan masalah lif yang tidak selamat di beberapa blok di flat Desa Mentari, Petaling Jaya.

Blok-blok yang terlibat adalah blok 4, 5, 6 dan 8. Blok 6 langsung tidak mempunyai lif yang beroperasi sejak sebulan yang lepas. Lif di blok 4, 5 dan 8 pula disita pada 19 Julai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas mereka memantau keadaan di lif sejak beberapa bulan yang lalu dan mendapatinya tidak selamat. Maka ketiga-tiga blok tersebut pula langsung tidak mempunyai lif. Ini telah mendatangkan kesusahan kepada penduduk, apatah lagi di bulan puasa memandangkan kesemua blok-blok ini merupakan blok-blok yang tinggi sehingga mencapai 11 tingkat.

Menurut pihak pengurusan, masalah terbesar yang mereka hadapi ialah kadar kutipan yang masih rendah sehingga akaun berada di dalam keadaan defisit. Pihak pengurusan juga memaklumkan pada penduduk keperluan meningkatkan bayaran yuran penyelenggaraan bagi mengelakkan sebarang masalah kepada lif-lif di Desa Mentari.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menerusi PKNS sudahpun membaiki lif di Desa Mentari. Beberapa lif di blok lain juga sudah terpilih untuk dibaiki di bawah Skim CERIA.

Setelah berhubung dengan pihak Kerajaan Negeri, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, MBPJ, JKKP dan pengurusan, saya telah turun semalam meninjau sendiri keadaan bersama-sama wakil Pesuruhjaya Bangunan MBPJ dan penduduk.

Sejurus selepas itu YB Iskandar mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memutuskan untuk membaiki segera sekurang-kurangnya satu lif setiap blok yang terbabit untuk kegunaan penduduk dengan menggunakan Skim CERIA.

Pada masa yang sama, saya akan memanggil agensi-agensi kerajaan yang terbabit bersama-sama pihak pengurusan dan wakil-wakil penduduk untuk mencari penyelesaian jangka masa panjang masalah kutipan yuran penyelenggaraan di Desa Mentari bagi mengelakkan masalah ini timbul lagi di masa hadapan.

KEADILAN Kecam Kerajaan Persekutuan Rayu Keputusan Kes Kugan

KEADILAN mengecam tindakan Kerajaan Persekutuan mebuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di dalam kes A Kugan.

Tindakan ini langsung tidak prihatin kerana tindakan ini hanya memanjangkan penderitaan keluarga Kugan, termasuk ibunya N. Indra, yang telah terpaksa berjuang begitu lama dan gigih untuk memenangi keadilan untuk anaknya.

Tidak patut seorang ibupun melalui pengalaman getir sebegini dan kita sewajarnya mengutuk sikap tidak berperikemanusiaan Kerajaan Persekutuan.

Rayuan ini juga sekali lagi menarik perhatian terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan menerima kritikan terhadap dasar-dasar mereka dan ketakutan, malah fobia, terhadap apa jua bentuk kebertanggungjawaban.

Justeru, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya membebankan keluarga malang ini dengan penderitaan berpanjangan dan membazir masa dan wang yang berharga, tetapi sebaliknya melaksanakan reformasi terhadap Polis Di Raja Malaysia sebagaimana didesak masyarakat sivil selama ini termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Pendokong IPCMC telah berkali-kali menekankan bahawa badan ini bukanlah satu konspirasi untuk menghina atau melemahkan PDRM tetapi sebaliknya melahirkan institusi polis yang benar-benar bebas dan berkesan demi Malaysia yang lebih selamat. Harus diingat, cadangan IPCMC ini mula-mula dibuat oleh Suruhanjaya Di Raja yang diketuai Tun Dzaiddin Abdullah.

Tujuannya juga agar tragedi seperti kes Kugan ini dan begitu banyak lagi kematian di dalam tahanan – yang menjejaskan nama baik negara – tidak akan berulang lagi.

Jelas dan nyata sekali Kerajaan Persekutuan tersilap dalam membuat keputusan ini.