Najib dan Shafee mesti jawab isu bayaran RM9.5 juta

Pendedahan terkini Sarawak Report telah memberi kejutan yang besar kepada negara dengan laporan bahawa Najib Razak telah memindahkan wang kepada akaun pendakwaraya khas kes Anwar Ibrahim, Shafee Abdullah, sebanyak RM9.5 juta melalui dua bayaran, termasuklah satu bayaran yang dilakukan dua minggu sebelum Anwar didapati bersalah.

Duit itu telah dipindahkan daripada akaun AmBank persendirian Najib, iaitu akaun sama yang telah diberikan dana oleh anak syarikat 1MDB, SRC International, yang juga telah meminjam wang daripada Kumpulan Wang Pesaraan (KWAP).

Shafee sangat dikenali sebagai seorang peguam yang mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor, malah perlantikan beliau sebagai pendakwaraya kes fitnah II Anwar telah menjadi tanda tanya. Ini kerana kerajaan memutuskan untuk melantik seoarang peguambela sebagai pendakwaraya khas sedangkan Shafee juga diketahui ramai seakan-akan mempunyai agenda tersendiri terhadap Anwar dengan berulang kali membuat kenyataan-kenyataan yang menghina, mengutuk serta memfitnah Ketua KEADILAN tersebut.

Bukan itu sahaja, Shafee juga telah dilaporkan berada di kediaman Najib ketika Saiful Bukhari bertemu Perdana Menteri untuk membuat “aduan” terhadap Anwar.

Selepas Anwar didapati bersalah, Shafee meneruskan agenda beliau dengan menjelajah untuk menerangkan kes sodomi dengan membuat fitnah baru terhadap Anwar yang langsung tidak dibangkitkan di dalam mahkamah. Perbuatan jahat untuk memburukkan lagi Anwar ini bukan sahaja menghina mahkamah, malah ia jelas menunjukkan niat beliau untuk menjatuhkan Anwar bagi pihak Najib.

Dengan pendedahan Sarawak Report ini, jelaslah bahawa terdapat urusan yang mencurigakan diantara Najib dan Shafee, dan perlantikan beliau sebagai pendakwaraya khas hanyalah bermotifkan politik.

Jika tidak, mengapa Perdana Menteri perlu pindahkan wang dengan jumlah yang begitu besar kepada akaun peguam tersebut?

Saya menggesa Najib dan Shafee untuk menjelaskan perkara ini dan menerangkan dengan jujur mengenai urusan wang ini. Peguam Negara Mohamed Apandi Ali juga mesti menjelaskan tindakan apa yang akan diambilnya.

Najib cakap ‘kosong’ bela veteran tentera

Saya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan melupakan jasa dan pengorbanan pesara tentera.

Beliau juga mengatakan kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.28 bilion untuk kebajikan pesara tentera dalam pelbagai aspek.

Namun saya ingin bertanya, mengapa pada tahun 2016 terdapat masalah kelewatan pembayaran caruman kepada pesara sehingga berbulan lamanya? Apakah masalah sebenar yang dihadapi?

Tetapi bagi saya, tidak kiralah di mana masalah sama ada di peringkat Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) atau Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) , pembayaran caruman kepada pesara perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan lebih-lebih lagi semua juga maklum Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan veteran tentera. Najib dan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein Onn sebagai keluarga bangsawan mungkin tak memahami jerih perih veteran tentera.

Sudah menjadi tanggungjawab Menteri Pertahanan sepatutnya untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Selain itu, isu veteran tentera juga harus dikaji dengan penuh teliti oleh pihak berwajib kerana masih ramai lagi di antara mereka yang tampil mengadu mengenai masalah dihadapi.

Masalah yang berpanjangan akan meresahkan bukan sahaja pesara tentera tetapi juga anggota yang sedang berkhidmat dan orang awam.

Anggota tentera yang sedang berkhidmat akan melihat dan mendengar kemelut ini dan perkara ini hanya membuatkan mereka berfikir bahawa akan menerima nasib yang sama setelah besara. Apabila ini berlaku, sudah tentu moral dan semangat juang anggota tentera menjadi luntur.

Dalam pada masa sama, saya juga ingin meminta supaya kerajaan untuk memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya hari tua mereka tidak sia-sia dan melarat selepas pelbagai pengorbanan dan perjuangan mereka lakukan kepada negara ini.

Meskipun di luar ruang lingkup senarai tanggungjawab Kerajaan Negeri, Kerajaan Pakatan Harapan Selangor telah memberi sumbangan RM1 juta kepada veteran ATM untuk belanjawan 2017, selain membolehkan veteran meminjam skim mikrokredit Hijrah serta program kemahiran untuk veteran tentera.

Jelas sekali, Pakatan Harapan mengutamakan veteran sedangkan Kerajaan Persekutuan mengabaikannya.

AMK mengalu-alukan keputusan #PecatIGP

Saya mengalu-alukan keputusan pembebasan dua pimpinan Angkatan Muda Keadilan, Chang Lih Kang (ADUN Teja / Setiausaha Agung AMK) dan Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai / Naib Ketua AMK) serta empat OKT lain daripada tuduhan menghalang pegawai DBKL ketika bantahan #PecatIGP pada Mac 2015.

Keputusan ini mengesahkan bahawa demonstrasi tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan tidak sepatutnya dirumitkan oleh pihak berkuasa.

Oleh itu kami melihat ini sebagai satu kemenangan untuk hak berhimpun, bertentangan dengan usaha sesetengah pihak yang hendak menghadkan hak ini.

Saya juga menyeru pihak pendakwa dan kerajaan untuk tidak merayu keputusan kes ini.

Malah mereka sepatutnya berbincang dengan pertubuhan masyarakat madani untuk menjalankan reformasi ke atas pelbagai undang-undang dan prosedur bagi memastikan hak berhimpun diberikan dengan sewajarnya.

Ucapan Dasar Kongres AMK 2017

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim.
Pengerusi Tetap, Sdr. Azmizam Zaman Huri,
Rakan-rakan seperjuangan:
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN,
Ahli-Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK,
Teman-teman Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan:
Sdr. Sany Hamzan, Ketua Pemuda Amanah
Sdr. Wong Kah Woh, Ketua Pemuda Sosialis DAP
Sdr. Syed Saddiq Abdul Rahman, Ketua ARMADA BERSATU
Seluruh pimpinan dan anggota parti di segenap peringkat, khususnya AMK,
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah, kita memanjatkan kesyukuran kerana masih berpeluang untuk bersama buat sekian kalinya dalam Kongres yang boleh kita anggap sebagai yang terpenting bagi mengukuhkan pendirian parti menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

2. Ucapan terima kasih kepada teman-teman seperjuangan yang datang dari seluruh pelusuk tanah air. Kehadiran anda pada kali ini adalah bukti bahawa kita belum mengalah dan akan terus berjuang bersama-sama.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah hinggap di dahan cempaka;
Bukan wadah sebarang wadah,
Wadah perjuangan rakyat jelata.

Sidang Kongres yang saya hormati,

Negara yang terumbang-ambing

3. Saya mahu memulakan dengan mengajak kita semua mengambil sikap jujur, bahawa beberapa tahun kebelakangan ini bukanlah tahun-tahun yang mudah.

4. Dalam konteks negara, skandal 1MDB yang cukup besar skalanya telah memalit reputasi yang amat buruk kepada Malaysa. Pada masa yang sama, ia mengukuhkan pandangan umum bahawa rasuah dan salah guna kuasa begitu berleluasa dan semakin berakar-umbi di negara ini. Ketika dunia luar tangkas dan tegas mengambil tindakan terhadap institusi perbankan di negara mereka yang terpalit dengan pemindahan wang yang berpunca daripada 1MDB ini, tidak ada tindakan yang wajar diambil di negara kita. Peguam Negara sekadar membayangkan tidak ada kes, Perdana Menteri cuba berdalih bahawa tidak ada masalah pun tentang 1MDB dan semua bayaran telah dilunaskan. Sekonyong-konyong, kita dikejutkan dengan pengumuman bahawa 1MDB membayar tuntutan tabung pelaburan Abu Dhabi, IPIC sebanyak hampir RM5 billion.

5. Mengapa kita perlu membayar sebanyak dua kali? Dari manakah 1MDB mendapat wang untuk membayarnya? Urusniaga apa yang dijalankan sehingga hutang yang begitu besar boleh dibayar dengan mudah? Adakah individu dan institusi yang menerima wang ini mengisytiharkan pendapatan wang ini dalam laporan cukai mereka? Daripada proses ini jelas, proses audit yang dijalankan terhadap 1MDB dulu memang sangat bermasalah. Tidak hairanlah semua syarikat audit terbesar di dunia pun tidak sanggup menjelaskannya lalu diganti. Menambah lagi rasa aneh, ketika wang negara hilang begitu besar, tidak nampak kesungguhan pihak kerajaan mendapatkan semula wang yang telah ditipu meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) mengisytiharkan nama-nama yang mahu dipanggil untuk membantu penyiasatan. Kita belum lupa kenyataan Jho Low yang mengatakan dia tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan dan membuat bayaran. Maka, AMK tidak teragak-agak untuk membuat penegasan bahawa Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kewangan mesti mengambil tanggungjawab ini. Beliau mesti meletak jawatan!

6. Menambah kebobrokan besar ini, perjanjian untuk membolehkan sebuah syarikat negara China mengambil alih projek Bandar Malaysia terbatal baru-baru ini. Meskipun kita belum mendapat gambaran lebih jelas, sekali lagi wujud dakwaan tentang bayaran yang telah dibuat, entah kepada siapa!

Rakyat menanggung beban

7. Kerajaan juga masih meneruskan pelbagai dasar yang ternyata lebih menguntungkan segelintir kelompok yang dekat dengan kekuasaan, yang sudah kaya sambil pada masa yang sama memeritkan kelompok terbanyak.

8. Pada hari ini, tidak ada rakyat terbanyak yang akan menyebut Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tanpa nada sinis. Kenyataan Menteri yang cuba menjustifikasi bahawa GST boleh menurunkan harga barang hanya tinggal sebagai jenaka umum untuk memujuk hati.

9. Hakikatnya, kuasa beli rakyat merosot. Kadar upah dan gaji tidak banyak berubah. Peluang kerja yang sejajar dengan peningkatan jumlah graduan di negara ini masih kecil. Janji penurunan harga kereta tinggal janji. Harga rumah masa kini jauh lebih besar jika dinisbahkan dengan upah dan gaji. Inilah punca sebenar mengapa hutang isi rumah dan kos sara hidup begitu tinggi.

10. Kadar inflasi rasmi negara mencatatkan kadar tertinggi dalam tempoh hampir 9 tahun apabila indeks harga pengguna (CPI) pada Mac 2017 mencatatkan kadar 5.1 peratus (suku pertama 4.2 peratus berbanding 3.4 peratus pada tahun lalu). Jabatan Statistik menyatakan peningkatan ini disebabkan antara lain peningkatan harga pengangkutan, makanan, perumahan dan utiliti. Kos sara hidup yang tinggi ini membebankan golongan berpendapatan rendah dan golongan pertengahan.

11. Ketika kadar pendapatan per kapita diumumkan meningkat daripada RM36,078 bagi tahun 2015 kepada RM37,738 bagi tahun 2016, kita wajib bertanya siapa dan berapa ramai yang mengalami peningkatan pendapatan per kapita sekitar RM1,660 setahun ini (atau kurang RM150 sebulan).

12. Bantuan wang tunai yang diberikan saban tahun menunjukkan dasar itu tidak berkesan kerana jumlah keseluruhan agihan yang diberi meningkat, menggambarkan semakin ramai memerlukan tambahan kewangan untuk mengekalkan kelangsungan hidup.

13. Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kedudukan Malaysia kini terumbang-ambing kerana semua faktor yang dinyatakan ini.

Sidang perwakilan yang dihormati,

Alternatif wajar

14. Jika di negara demokrasi yang lain, sudah tentu segala apa yang berlaku di negara kita ini sudah cukup untuk membolehkan pemimpin kerajaan ditukar. Namun, itu belum berlaku di negara kita.

15. Kita boleh memberi pelbagai sebab dan alasan untuk menjustifikasinya, daripada kelemahan dalam sistem pilihan raya kita, salah guna kuasa dan rasuah, kawalan media dan sebagainya. Namun, kita juga mestilah menyeimbangkannya dengan kenyataan jujur mengenai kelemahan di pihak kita sendiri.

16. Suka atau tidak, pastilah majoriti pengundi yang telah memilih memberi harapan kepada kita semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berasa kecewa, marah dan tidak berpuas hati dengan pelbagai perkembangan yang ada di kalangan parti pembangkang. Ia adalah tragedi yang besar jika kita mengambil kira potensi peralihan kuasa buat kali pertama sejak merdeka. Mentaliti kepembangkangan yang masih tebal menyebabkan kita gagal mengurus perbezaan secara matang, sekaligus memberikan tanggapan umum seolah-olah kita tidak bersedia untuk mentadbir.

17. Namun, tidak ada yang sempurna. Saya berpegang kepada pandangan bahawa kejayaan pada masa hadapan tidak terikat dengan kegagalan pada masa lalu. Kelemahan di masa lalu adalah pelajaran berharga yang mesti kita lekas belajar untuk bangkit dan mara ke depan. Kita tidak punya banyak masa dan mesti lebih fokus.

18. Sambil kita bersikap terbuka untuk memastikan satu lawan satu dalam PRU-14, kita tidak boleh leka dibuai impian kerana jangkaan masa depan akan lebih baik jika kita sendiri yang mengusahakannya.

19. Pakatan Harapan muncul mengisi vakum, cuba memperbaiki kelemahan lalu dengan menginstitusikan proses membuat keputusan yang dilihat agak longgar dalam pengalaman lalu. Maka, wajar diucapkan tahniah kepada Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berani menginisiatifkannya. Tambahan pula, DAP dan pimpinan pembangkang yang bersatu mendirikan AMANAH bukanlah orang baru dalam politik pembangkang, bahkan merekalah yang turut sama berjuang, berkorban dan setia bersama KEADILAN selama ini. KEADILAN tidak akan melupakan mereka, kita tidak wajar melupakan mereka, saya pasti akan ingat jasa-jasa mereka.

20. Kini kita juga menerima BERSATU sebagai parti baru untuk bekerjasama dalam Pakatan Harapan. Saya tahu bahawa penerimaan ini disambut dengan rasa serba-salah oleh banyak pihak. Namun, saya yakin politik perubahan memang menuntut banyak kompromi. Sejarah dunia menjadi saksi bahawa sebuah kuasa yang bobrok hanya boleh ditumbangkan oleh kuasa ramai yang tentu sahaja mempunyai pelbagai perbezaan di sana-sini. Jika dulu kita mengatakan kepada Dr. Mahathir Mohamad bahawa tidak ada pemimpin wajar berkuasa penuh, maka kini kita berpeluang untuk menunjukkan kepada beliau bagaimana rundingan yang rumit tetapi berprinsip seharusnya berlaku sebelum kita mengambil keputusan bersama. Kita bukan hanya bercakap tentang kekuasaan, tetapi lebih penting lagi ialah memikirkan cara yang lebih baik untuk mentadbir negara ini.

21. Kesatuan kita akan meningkatkan peluang yang ada. Jika kita tidak fokus dan terus mencari-cari segala perbezaan yang ada, maka sebenarnya kita telah memilih untuk kalah lebih awal. Kita seharusnya lebih matang selepas menyusur arus reformasi sejak 1998.

22. Namun, KEADILAN tidak harus merasa selesa mengharapkan kekuatan kerjasama ini, sebaliknya mesti membina kekuatan sendiri supaya nanti tidak timbul lagi dakwaan seolah-olah kita tidak mempunyai sebarang kekuatan dan sumbangan, hanya menumpang kekuatan rakan.

Hadirin dan hadirat sidang perwakilan,

Politik idea

23. Anwar Ibrahim telah menunjukkan kepada kita beberapa resepi untuk melonjakkan kekuatan yang ada. Selepas bebas pada tahun 2004 dan sebaik pulang dari Munich, beliau terus mengatur pelbagai pertemuan untuk membina kesepakatan. Beliau juga menawarkan Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) sebagai wacana tanding kepada kemelut ekonomi politik negara.

24. Beliau mengingatkan kita bahawa kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan. Kita mahu menang kerana dengan itu kita boleh memimpin dasar-dasar perubahan. Tata kelola yang baik ini tidak memadai sebagai idea yang mati di atas kertas seminar dan buku, sebaliknya menuntut kewibawaan pemimpin untuk melaksanakannya.

25. Inilah antara kekuatan Anwar yang membolehkan beliau diberi kepercayaan untuk memimpin arus perjuangan rakyat. Jika kita imbau semula sejarah hidup beliau sejak dekad 1970-an sehingga kini, nama beliau tidak sunyi dalam memainkan peranan di setiap peringkat di mana beliau terlibat.

26. Apa yang dilakukan oleh Anwar mirip dengan kisah kejayaan Emmanuel Jean-Michel Frédéric Macron, Presiden baru Perancis yang menang dalam pilihan raya presiden di negara itu baru-baru ini. Partinya baru, orangnya muda, lawannya jauh lebih berpengalaman dan dijangka akan menang. Namun, sebagaimana sering diingatkan Anwar, “never underestimate the wisdom of the people” – jangan remehkan kebijaksanaan rakyat!

27. Justeru, tanpa ragu-ragu, AMK ingin mengusulkan kepada parti dan Pakatan Harapan agar kita menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri kita dalam PRU akan datang. Kejayaan beliau membina gerakan massa yang luas, ‘big tent politics’ merentas ideologi serta berkomunikasi dengan rakyat tiada tandingan. Rekod beliau sebagai Menteri Kewangan terakhir yang membawa belanjawan lebihan juga terbukti. Sosok tubuhnya di dalam membawa kebangkitan Islam yang sederhana serta menyatukan budaya-budaya serantau dalam gagasan Gelombang Kebangkitan Asia menjadikannya tokoh antarabangsa yang dihormati dalam dan luar negara.

28. Maka, kita sebagai generasi muda KEADILAN mesti bersedia mengikut langkah yang sama untuk menjadi sehebat mereka. Kewibawaan kita akan lebih menyerlah sekiranya kita berfikir sebagai kerajaan menunggu, bukan pembangkang yang melulu.

Contoh yang menyerlah

29. Alhamdulillah, kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang khususnya, telah menunjukkan kewibawaan nyata, mematahkan mitos keraguan terhadap keupayaan pembangkang untuk mentadbir. Saya percaya, jika kita lebih banyak menceritakan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua negeri ini sebagai model pentadbiran baru, lebih ramai akan dapat memahami kepentingan prinsip dan idea dalam politik. Kita membuktikan keperluan menjana pertumbuhan ekonomi berterusan yang membolehkan hasil-mahsul negeri diagihkan kepada rakyat khususnya kepada golongan marhaen.

30. Di peringkat pemuda Pakatan Harapan, kita telah beberapa kali hadir bermesyuarat untuk membincangkan tawaran yang ingin kita berikan sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara. Di kesempatan ini saya ingin mengalukan, sekiranya di kalangan perwakilan ada idea-idea penting yang ingin dibawa, mohon dikongsikan. Saya yakin, kekuatan idea akan mampu menyatukan tenaga perubahan dan sekaligus akan melonjakkan peluang untuk kita menang.

Sejarah politik bukanlah luhur,
Ada yang murni banyak yang licik;
Memanglah baik pemimpin jujur,
Hidup berani dan juga cerdik.

Hadirin-hadirat sekalian,

Kekuatan KEADILAN

31. Saya telah menyebutkan tentang keperluan menginsafi kedudukan negara yang terumbang-ambing dan memperbaiki kelemahan kita. Saya juga telah menyentuh kepentingan perpaduan dan politik idea.

32. Penyelesaian kepada masalah-masalah yang ada, serta potensi yang boleh melonjakkan peluang pembangkang ada pada KEADILAN. Saya bukanlah bersikap angkuh, tetapi sifat kepelbagaian yang menunjangi KEADILAN sejak mula adalah faktor sebenar yang seharusnya memandu kekuatan kita.

33. UMNO tidak boleh bersendirian memimpin negara begitu lama sekiranya mereka tidak mendatangkan formula perpaduan dengan nama Barisan Nasional (BN). Pembangkang sebelum tahun 1998 tidak pernah menjadi saingan nyata bila parti-parti yang mempunyai penyokong kuat tersendiri memilih bergerak berasingan. Lebih menyedihkan, pada ketika itu, dalam mengkritik budaya perkauman BN, corak pengundian kepada parti-parti pembangkang juga tidak menunjukkan perbezaan.

34. Kita juga mesti jujur bertanya kepada diri sendiri – apakah memang kita percaya dan mahu hanya satu kaum yang mendominasi negara ini dalam apa-apa bidang? Adakah kita yakin itu boleh menjadikan negara ini hebat dan dihormati?

35. Pada hari ini UMNO-BN cuba memanjangkan hayatnya dengan terus bercakap tentang kepentingan kaum-kaum yang diwakili oleh parti-parti berbeza. Mereka cuba memberi nyawa kepada parti-parti lain di dalam BN dengan memainkan isu Melayu dan Islam. Walaupun mempunyai banyak jawapan kepada persoalan yang cuba ditimbulkan oleh UMNO-BN, kita jangan lekas menari mengikut rentak mereka.

36. Kita tahu banyak masalah yang ada dan penyelesaiannya memerlukan kesabaran dan ketelitian. Namun, kita jangan takut untuk menyentuh persoalan-persoalan yang dianggap pantang-larang atau taboo dalam masyarakat, kerana itulah resam yang didepani oleh pemikir dan pemimpin besar yang dikenang sejarah.

37. Mungkin tidak banyak dalam masa terdekat, tetapi kita mesti terus cuba menghidupkan pelbagai wacana untuk meneroka dan bersedia menghadapi zaman akan datang yang lebih rumit. Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Rukun Negara sebenarnya menyediakan asas yang cukup baik bagi kita menikmati kebebasan di negara ini.

Rakyat Malaysia mahukan keadilan

38. Meskipun ada usaha berterusan untuk menimbulkan prejudis kaum dan agama di negara ini, satu perkara tetap menyatukan manusia – keadilan. Tidak ada manusia yang waras boleh menerima kezaliman. Paling tidak, jika bukan kezaliman yang nyata, manusia tetap mahukan keadilan yang lebih baik untuk hidup mereka – baik dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

39. Kebebasan dan keadilan akan membuatkan semuanya lebih baik. Nilai-nilai ini merentasi faham politik, agama, ekonomi dan sebagainya. Ia juga dianggap nilai tertinggi dalam banyak faham agama dan budaya. Di dalam Al-Quran dinyatakan jelas tentang tuntutan al adl wal ihsan – berlaku adil dan berbuat kebajikan.

40. Manusia sebenarnya bebas sebelum adanya aturan undang-undang. Aturan undang-undang pula sebenarnya dibentuk bukan dengan tujuan utama untuk menghalang kebebasan manusia, sebaliknya memastikan hak-hak manusia terpelihara, bukan dikekang, justeru menghasilkan keadilan.

41. Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi menetapkan bahawa kebebasan asasi adalah hak-hak manusia yang tidak boleh diganggu-gugat, dan kuasa sebenar bukanlah ada pada mana-mana pemimpin, sebaliknya apa juga kuasa yang ada pada mereka hanyalah apa yang dibenarkan oleh perlembagaan itu sendiri. Konsep pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi adalah petunjuk jelas bahawa tidak ada mana-mana pemimpin wajar diberikan kuasa mutlak atau berlebihan.

42. Dalam menegakkan pemerintahan berasaskan hukum (rule of law) dan keamanan bersama, Nabi Muhammad s.a.w. bukan hanya berunding dengan ketua-ketua suku kaum bukan Islam, tetapi menjamin hak-hak mereka bahkan melarang agar mereka dizalimi, apatah lagi atas nama agama. Sebelum diangkat menjadi pemimpin, Nabi s.a.w. terlebih dahulu dikenali sebagai al-Amin, seorang yang boleh dipercayai, beramanah. Ketika sahabat marah setiap kali ada perbuatan orang bukan Muslim yang boleh dianggap menyakiti atau biadab kepada Nabi s.a.w., Bagindalah yang terlebih dahulu melarang, bahkan berbuat kebaikan kepada mereka yang membencinya tanpa benar-benar mengenalinya.

43. Nabi s.a.w. merupakan pembela masyarakat tertindas. Berkat didikan Baginda s.a.w., kelompok yang kaya dan miskin berganding bahu hidup bersama saling melengkapi.

44. Maka mari kita bertanya, sudahkah kita menyiapkan diri untuk menjadi orang yang boleh dipercayai, beramanah? Sudahkah kita memberikan rasa yakin kepada orang ramai akan kemampuan kita berlaku adil? Jika belum, maka kita mestilah menentukan keutamaan gerak kerja yang ada. Jangan mudah menghukum sesiapa yang belum bersedia untuk menerima kita.

45. Persiapkanlah diri kita kerana rakyat mendambakan keadilan yang tidak mereka perolehi daripada UMNO-BN. Mereka mahukan kita! Perubahan politik adalah kerana rakyat mahukan lebih keadilan dan pembelaan terhadap kezaliman yang mereka hadapi. Kita mesti menunjukkan cara yang berbeza kerana meniru cara UMNO-BN hanya akan membawa kita kepada kerja sia-sia – mengulang perkara yang sama sambil berharap mencapai sesuatu yang berbeza.

Pembangunan setara

46. Jurang pembangunan turut meningkatkan lagi kesenjangan taraf dan kualiti hidup antara bandar dan kampung, khususnya di Sabah dan Sarawak. Ia adalah sejenis ketidakadilan ekonomi yang boleh menjadi bom masa masalah negara di kemudian hari.

47. Pengumuman bahawa kadar miskin tegar di Malaysia kini sudah tinggal sekitar 0.2 peratus dan kemiskinan relatif hanya tinggal kurang 1.0 peratus mesti mendorong kita untuk bersikap lebih kritikal. Jika jumlah penduduk kini sekitar 32 juta orang, maka kadar 0.6 peratus ini kemiskinan ini berjumlah sekitar 320,000 orang. Sudah pasti lebih mudah untuk kita mengesan di mana mereka ini. Tidak ada alasan lagi untuk kita tidak ada data tentang mereka.

48. Jika ada pemimpin yang masih teraba-raba, saya boleh memudahkan dengan beberapa data yang ada.
i. Kadar kemiskinan di kalangan orang Asli masih tinggi, iaitu sekitar 34 peratus;
ii. Bumiputera Sabah, sekitar 20 peratus;
iii. Bumiputera Sarawak, sekitar 7 peratus;
iv. Paling ramai bilangan isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 ialah negeri Kelantan, Pahang, Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Perlis.

49. Bayangkan, setelah lebih 50 tahun merdeka, kajian menunjukkan sekitar 50 peratus isi rumah di luar bandar di Kelantan, Sarawak dan Sabah tidak memiliki akses paip air. Ironinya, Sarawak dan Sabah masih menjadi kubu kuat UMNO-BN. Dengan izin Tuhan, jika kita meningkatkan usaha secara lebih strategik – termasuk berunding dengan parti-parti tempatan yang ada – perubahan boleh dilakukan.

Sidang Kongres yang dihormati,

Islam agama rahmat

50. Baru-baru ini, untuk sekian kalinya, berlaku isu yang menggugat toleransi agama dan hubungan kaum di Malaysia.

51. Kita sering mendengar anak-anak muda Muslim bersemangat hendak membela Islam dan berjihad pada hari ini. Tetapi seringkali jihad yang dimaksudkan mereka terhad maknanya, seolah-olah hanya kekerasan sahaja. Walhal, kekerasan hanyalah pendirian khusus terutama ketika perang.

52. Saya ingin berkongsi kisah di sebuah bandar di Amerika, Elkader, yang dinamakan sempena nama seorang mujahid Muslim, Amir Abdul Qadir al-Jazairi. Beliau merupakan wira jihad Algeria yang menentang penaklukan Perancis. Meskipun tewas, sikapnya yang menggambarkan akhlak Islam di medan perang mengagumkan musuh-musuhnya.

53. Ketika dibebaskan dan tinggal di Damsyik, beliau mendapati berlaku perbalahan antara masyarakat Druze dan Kristian, lalu memilih untuk melindungi masyarakat Kristian. Tindakannya itu mendapat pengiktirafan Sultan Uthmaniyyah, Pope, pemerintan Perancis dan Presiden Abraham Lincoln. Lebih penting lagi, Imam Muhammad Syamil, ahli sufi dan mujahid yang menentang tentera Russia di Chechnya dan dipenjarakan di Moscow menulis surat kepada Amir Abdul Qadir mengatakan tindakannya selari dengan syariah.

54. Inilah gambaran sebenar Islam rahmatan lil al-amin – rahmat sekalian alam. Bukan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam, bukan gembira memecahbelahkan masyarakat Islam dengan pelbagai label.

55. Sudah tentu, dalam memperkatakan tentang kebesaran ajaran Islam ini, saya percaya nilai-nilai murni yang kita pelajari semasa kecil memadai untuk mendorong kita berusaha untuk hidup bersama secara aman. Saya percaya sebahagian sebab mengapa kekerasan berlaku ialah kerana ada Muslim yang menerima ‘mentaliti mangsa’ (victim mentality) yang cuba ditanam sesetengah pihak.

56. Memang, kita akui, lebih ramai orang Melayu dan Muslim yang berdepan tekanan hidup kerana kedudukan ekonomi yang sedikit terkebelakang. Namun, jangan kita lupa bahawa kaum-kaum lain juga berdepan tekanan hidup yang sama. Yang jahat bukanlah mereka yang berusaha mencari pekerjaan yang elok dan halal, tetapi mereka yang menindas, perasuah dan memperbodohkan rakyat. Sejarah menunjukkan penindas dan perasuah tidak akan segan-silu memainkan isu agama dan kaum untuk mengekalkan kuasa. Kita mesti yakin, rakyat Malaysia umumnya cintakan keamanan dan sentiasa boleh bersama-sama berunding untuk mencari penyelesaian munasabah untuk kebaikan bersama sekiranya ada sebarang masalah berlaku.

Sidang perwakilan sekalian,

Anak muda di barisan hadapan

57. Kita sebagai generasi muda mesti berada di barisan hadapan. Kita memerlukan tekad politik yang lebih kukuh untuk bergerak ke depan kerana kita yang bakal mewarisi segala kebaikan atau kebobrokan yang ditinggalkan oleh generasi lebih tua. Saya percaya tidak ada sesiapa pun mahu mewarisi kebobrokan.

58. Kitalah tenaga produktif negara. Ironinya, kita juga yang paling banyak menanggung beban yang ada sebagaimana yang telah saya sebut di awal ucapan tadi. Anak muda mesti diseru untuk menolak pemimpin perasuah, menyalahgunakan kuasa, tidak menghormati hak-hak warga, mengadu domba prejudis kaum dan agama dan membelakangi keadilan.

59. Kita telah melihat gandingan mahasiswa dan aktivis muda masyarakat cukup aktif dan berani menyuarakan pandangan mereka. Ini adalah satu petunjuk bahawa meskipun suara mereka cuba dibungkam sejak zaman berzaman, tetap akan ada yang bangkit melawan. Sejarah jelas telah menunjukkan bahawa memang perubahan besar sering dimulakan oleh kelompok kecil manusia.

60. Kita sebagai anak muda yang terlibat dalam gerakan kepartian mesti menghormati peranan mereka sebagai masyarakat madani di luar kerangka parti. Pada masa yang sama, kita juga mesti menegaskan kepada anak muda dan mahasiswa bahawa penting untuk kita mengusahakan proses perubahan secara demokratik melalui sistem pilihan raya. Kita tahu ada yang ralat dan tidak percaya kepada sistem pilihan raya yang terdedah kepada manipulasi pihak berkuasa. Namun, kita tidak wajar memilih jalan keganasan.

61. Kita mesti menerima fakta bahawa selepas Perang Dunia Kedua hingga Arab Spring, hanya 19 daripada 47 revolusi yang berlaku membolehkan demokrasi dicapai, selebihnya kembali kepada kediktatoran baru. Yang berjaya, akhirnya perlu kembali kepada pilihan raya. Ada juga diktator yang berjaya dijatuhkan melalui pilihan raya apabila kesedaran rakyat memuncak seperti dalam kes naiknya Aquino menggantikan Marcos.

62. Demokrasi yang lebih baik hanya terhasil jika kita memahami dan tegas menegakkan prinsip-prinsipnya. Oleh itu kita mesti mengenal pasti apa yang tidak kena dengan demokrasi di Malaysia pada hari ini dan apakah cara yang lebih baik mesti dilakukan. Tanpa perancangan, kita bakal menjadi kapal tanpa haluan, akhirnya kehabisan sumber di tengah lautan. Dengan tujuan yang jelas, kesatuan gerak kerja dan kenyataan yang selari akan lebih mudah dicapai.

Sidang perwakilan yang dihormati sekalian,

Perkembangan dunia yang menakutkan

63. Idealisme demokrasi bukan hanya mesti difahami dan ditegakkan, tetapi ia juga mesti dijaga dan dipupuk sehabis baik. Demokrasi bukanlah objek tetap tetapi cukup anjal, bergantung kepada majoriti yang mencoraknya.

64. Kita tahu Adolf Hitler naik melalui jalan demokrasi. Ramai mengaitkan kenaikan Hitler itu dengan kejayaan Donald Trump. Di United Kingdom, ketakutan dan kebencian mendorong rakyat memilih Brexit, dan di Perancis juga hal yang sama hampir berlaku.

65. Ramai melihat ini sebagai kebangkitan baru dunia yang semakin bosan dengan demokrasi yang tidak memberikan apa-apa (democracy that does not deliver), hanya meningkatkan kuasa kelompok elit dan meremehkan golongan terbanyak. Malangnya, sandaran mereka untuk melawan kelemahan ini ialah retorika-retorika perkauman, agama dan anti-kebebasan.

66. Tidak jauh daripada kita, meskipun memang ramai menjangkakan lebih awal bahawa Anies Baswedan mampu menggugat Ahok, atau nama sebenarnya Pak Basuki Tjahaja Purnama, malangnya kemenangan itu turut didorong oleh kempen yang sarat menggunakan retotika kaum dan agama. Ini ditambah lagi dengan hukuman mengejutkan yang dijatuhkan oleh mahkamah.

67. Sebenarnya, retorika-retorika inilah juga yang banyak diguna pakai oleh UMNO-BN sejak sekian lama. Jika kita terus membiarkannya menguasai wacana politik negara, maka lambat laun keganasan akan menjadi satu kebiasaan.

68. Pada zaman yang dibayangi kesenjangan ekonomi yang melebar, politik yang hambar tidak lagi meyakinkan anak muda. Ketika dunia tertumpu elemen agama yang membakar penolakan terhadap Ahok, ramai terlepas pandang dasar-dasar pembangunannya yang kelihatan meminggirkan golongan bawahan turut memainkan peranan besar di dalam keputusan pemilihan Gabenor Jakarta.

69. Dalam Referendum Brexit di United Kingdom, 64 peratus pengundi berusia 18-24 tahun yang keluar mengundi. Daripada jumlah ini, 70 peratus menolak Brexit. Namun, suara mereka tidak menang kerana 90 peratus pengundi lebih tua dari usia 65 tahun keluar mengundi dan hampir 70 peratus daripada mereka menyokong Brexit. Apa yang tidak disedari oleh generasi muda yang tidak keluar mengundi ialah keputusan politik terbesar itu mempunyai kesan langsung kepada sekurang-kurang satu generasi mereka.

70. Manakala, dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pula, hanya 37 peratus golongan ‘millenial’ (berusia antara 18-29 tahun) menyokong Trump berbanding 55 peratus mengundi Hillary Clinton, kurang 5 peratus berbanding undi yang ‘millenial’ yang diterima oleh Barack Obama pada tahun 2012. Tidak mustahil sekiranya Bernie Sanders yang diangkat menjadi calon presiden, Demokrat boleh menang kerana sebulan sebelum beliau menyatakan sokongan kepada Clinton, beliau sendiri menerima sokongan daripada dua juta ‘millenial’ berbanding Clinton hanya sebanyak 800,000 dan Trump hanya sebanyak 750,000. Akhirnya, kerana anak muda mengambil ‘sikap tidak apa’ dan tidak menyatakan sikap sebenar mereka di atas kertas undi, Trump menang.

71. Begitu juga, meskipun dunia menarik nafas lega dengan kemenangan calon Macron, yang baru berusia 39 tahun, ke atas calon ekstrim Marine Le Pen, Le Pen masih berjaya menarik 40 peratus undi kelompok umur 25-34 dan 43 peratus kelompok 35-49. Satu pertiga pengundi bawah 35 tahun juga tidak keluar mengundi kerana tidak dapat menerima agenda perkauman Le Pen dan tidak yakin dengan agenda ekonomi Macron.

72. Meskipun ada statistik yang menunjukkan jumlah besar anak muda masih belum mendaftar sebagai pemilih, kita berharap mereka akan segera berbuat demikian dan seterusnya turun mengundi semasa pilihan raya untuk membolehkan agenda baru yang lebih inklusif direalisasikan. Anak mudalah yang mesti menentukan masa depan yang bagaimana harus dibina Malaysia.

73. AMK turut menyokong kempen yang digerakkan anak muda, iaitu #Undi18, agar kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini telah menjadi amalan banyak demokrasi-demokrasi maju. Malah di Indonesia umurnya kelayakan mengundi adalah 17 tahun! Umur majoriti mengikut perundangan Malaysia hari ini adalah 18 tahun di mana seseorang warganegara dianggap sebagai dewasa. Mereka boleh turut serta di dalam perjanjian, memandu dan berkahwin pada umur tersebut. Masanya sudah tiba agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan umur kelayakan mengundi selaras dengan umur majoriti yang ditakrifkan undang-undang negara, iaitu 18 tahun.

Sidang perwakilan yang dikasihi,

Menang berorientasikan keadilan

74. Kemenangan Marcon turut membuktikan retorika ekstrim tidak sentiasa menang. Sambil kita menangani politik kotor yang ada, akhirnya kita mesti sedar bahawa retorika-retorika ini didorong oleh masalah ekonomi. Maka, kita mesti menawarkan alternatif kemenangan berorientasikan keadilan. Semasa PRU-13 kita telah kemukakan agenda-agenda radikal termasuk menurunkan harga kereta dan menyediakan pendidikan tinggi percuma yang menangkap imaginasi rakyat.

75. Kita mesti memajukan wacana setanding bahawa punca sebenar kepada masalah-masalah ekonomi ini ialah dasar-dasar yang salah. Kita mesti tegas bahawa pemikiran berdasarkan perkauman tidak akan mampu menyelesaikan formula ekonomi.

76. Pada hari ini, kita bukan sahaja sudah mempunyai ramai orang kaya Bumiputera, tetapi jurang ekonomi sesama Bumiputera juga cukup besar. Jelas, dasar-dasar yang kononnya bertujuan membantu golongan Bumiputera juga memangsakan Bumiputera. Bumiputera yang kaya terus kaya, yang miskin tetap ketinggalan. Statistik menunjukkan 16% isi rumah Bumiputera menguasai 20% pendapatan tertinggi, manakala hampir 48% isi rumah Bumiputera lagi berkongsi 40% pendapatan terendah. Jurang ini turut digambarkan menerusi simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Pada tahun 2013, 71.4 peratus pemegang ASB terbawah mempunyai purata simpanan RM550 berbanding pemegang 0.2 peratus teratas, di mana simpanan mereka melebihi RM720,000.

77. Begitulah juga kepada masyarakat Cina dan India. Bila saban tahun ditunjukkan bahawa kebanyakan orang terkaya di Malaysia ialah kaum Cina, ia sekaligus juga bermaksud penompokan kekayaan di kalangan kelas elit di kalangan bangsa Cina juga serius. Ini tidak banyak bezanya dengan kaum India.

78. Ini dikukuhkan lagi dengan fakta simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merentas kaum, di mana simpanan 0.263 peratus ahli teratas melebihi simpanan kelompok 44 peratus terbawah.

79. Isu gaji dan pekerjaan isu yang sangat serius bagi anak muda. Sebelum ini, kegigihan kesatuan-kesatuan sekerja dan pembangkang memperjuangkan gaji minima akhirnya diterima sebagai dasar oleh Kerajaan Pusat. Tetapi, seiring dengan perkembangan dunia, isu gaji minima harus digantikan dengan living wage. Kita harus melihat bagaimana gaji-gaji pekerja bawahan dan pertengahan di perkhidmatan awam boleh dinaikkan, sementara mengiktiraf syarikat swasta yang ingin menaikkan gaji pekerja mereka dengan potongan cukai. Ini dapat meningkatkan kadar upah di dalam KDNK negara kita, yang selama ini tertumpu di dalam kadar keuntungan tinggi yang dibolot tauke-tauke besar.

80. Maka, penegasan kita ialah dasar membantu golongan lemah mesti merentas kaum kerana akhirnya jika lebih ramai orang Bumiputera yang lemah, bererti Bumiputera yang miskinlah yang lebih banyak menerima bantuan. Namun, yang penting ialah bantuan diterima oleh mereka yang layak.

81. Persekitaran perniagaan juga mesti diperbaiki kerana hanya dengan adanya pekerjaan dengan upah dan gaji setimpal, graduan berupaya mencapai taraf hidup lebih tinggi dan menyumbang kembali kepada pembangunan. Tanpa peluang pekerjaan yang setimpal, tindakan yang dikenakan oleh PTPTN hanya menambah tekanan kepada anak muda. Jangan sampai rakyat meminta senarai anak menteri yang menerima tanggungan biasiswa penuh pengajian di luar dan di dalam negara meskipun keputusan peperiksaan mereka tidak sehebat mana. Jangan sampai rakyat mendesak menteri menunjukkan bagaimana anak-anak mereka ditanggung untuk belajar di luar negara dengan pendapatan yang mereka ada.

82. Kita juga akan terus menegaskan penghapusan PTPTN, dan merangka alternatif pembiayaan pengajian tinggi yang bukan hanya berkisar pada soal pendidikan percuma dan pembiayaan sara hidup bagi pelajar golongan miskin dan pertengahan, tetapi turut mengambil kira biaya universiti yang kini dipotong begitu tinggi sambil belanjawan Jabatan Perdana Menteri (JPM) terus membesar.

83. Kita percaya bahawa pendidikan adalah the great equaliser. Justeru itu, tumpuan kepada pendidikan mesti diperbanyakkan ke luar bandar. Kita mesti menjadikan tanggungjawab moral bagi memastikan setiap sekolah mempunyai kemudahan asas yang cukup. Selain itu, pembangunan luar bandar juga mestilah seiring bagi membolehkan mahasiswa dan anak muda kekal menyumbang di tempat asal mereka, bahkan menarik pelabur dan pemaju luar membangunkannya.

Sidang Kongres yang dihormati,

Faktor Melayu

84. Ada yang berkata kepada saya UMNO-BN sukar dikalahkan sekiranya orang Melayu tidak berubah. Tambahan pula bila PAS tidak bersama Pakatan Harapan. Memang ia pertimbangan yang munasabah.

85. Sebenarnya, jika kembali kepada tahun 1999, semasa KEADILAN mula diasaskan, perkara ini pernah dibangkitkan. KEADILAN pada masa itu mahu menjadi parti pelbagai kaum yang ditunjangi orang Melayu. Hakikatnya UMNO dan PAS dilihat kuat kerana orang Melayu memberi sokongan kuat. Namun, jangan dilupa bahawa orang Melayu juga mahukan keadilan. Masalah sebenar orang Melayu ialah mereka tidak mendapat keadilan.

86. Kita mestilah bercakap isu-isu orang Melayu dalam orientasi keadilan yang menyeluruh. Kita tidak boleh berkata sesuatu itu adil atau tidak adil kerana kita mendapat lebih atau kurang. Lebih atau kurang ini mestilah kerana keadilan. Begitulah juga bila kita memperkatakan isu-isu kaum lain di Malaysia.

87. Pada masa yang sama, kita mesti sedar bahawa keadilan yang mahu diberikan bukan sahaja dalam kerangka ekonomi, tetapi lebih banyak bercampur dengan jiwa dan budaya orang Melayu itu sendiri. Rasa takut memang mudah ditanam, tetapi orang Melayu mesti diyakinkan bahawa cara untuk maju ialah dengan menjadi berani – berani bukan dalam konteks bergaduh, tetapi berani mencabar diri sendiri untuk maju.

88. Kita tidak mahu hanya berbangga dengan sejarah kegemilangan tamadun Melayu. Apa yang lebih penting ialah bagaimana sejarah ini dapat menghidupkan jiwa merdeka untuk orang Melayu sedar bahawa kehebatan mereka yang terdahulu bukanlah kerana rasa takut untuk bersaing secara sihat, tetapi kerana ilmu yang memberanikan mereka meneroka dan menemukan rahsia alam.

89. KEADILAN, sebagai sebuah parti berbilang kaum, mesti berani untuk mengemukakan satu tawaran baru yang khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menjejaskan hak-hak orang bukan Bumiputera. Tawaran baru ini mestilah berorientasikan keadilan, dan cukup meyakinkan untuk membawa keluar orang Melayu daripada dilemanya yang nampak tidak berkesudahan di bawah UMNO-BN.

Wanita muda

90. Wanita juga merupakan satu segmen sokongan penting yang mesti kita dekati dengan bersungguh-sungguh.

91. Jarang disebut tentang keistimewaan AMK yang turut dianggotai oleh wanita muda.

92. Selama ini, KEADILAN ialah parti paling ke hadapan memartabatkan kedudukan wanita. Kita di hadapan dengan memilih Presiden wanita, Naib Presiden wanita serta memartabatkan kedudukan wanita di Dewan Undangan Negeri. Isu-isu wanita muda tidak seharusnya ditinggalkan kepada wanita semata-mata, tetapi dijadikan isu bersama generasi muda. Semua lelaki di sini mempunyai ibu, kakak, adik, isteri mahupun anak perempuan. Sedikit sebanyak masing-masing pasti tahu isu-isu wanita yang ada.

93. Isu diskriminasi dan keganasan terhadap wanita masih menular di dalam masyarakat. Bagi wanita Islam yang sudah berkahwin, isu nafkah yang diabaikan masih menjadi isu besar.

94. Saya berharap, wanita muda ini akan terus aktif dan anggota lelaki pula dapat menunjukkan contoh terbaik sebagai ketua keluarga, atau abang, adik dan pembantu kepada golongan wanita muda ini.

95. Namun, isu wanita bukan hanya mengenai masalah mereka, tetapi juga bagaimana menyerlahkan sumber daya yang dimiliki mereka. Peluang pekerjaan dan kemudahan penjagaan anak masih menjadi cabaran besar kepada golongan wanita, walhal merekalah yang mendominasi tempat di pengajian tinggi dan mencatat banyak keputusan cemerlang dalam akademik. Pada masa yang sama, wanitalah yang paling gigih menunjukkan minat dan usaha dalam bidang keusahawanan, termasuk dari rumah.

96. Jangan lupa bahawa dakwah Nabi s.a.w. pada mulanya dibantu oleh kekayaan Saidatina Khadijah r.anha. Namun, saya mesti ingatkan, ini bukanlah alasan untuk lelaki tidak mencari nafkah dan hanya berpolitik sepanjang masa konon atas nama perjuangan. Walaupun klise, saya suka menyebut ‘jika kita inginkan isteri sehebat Khadijah, contohilah sikap Nabi s.a.w. itu sendiri’.

Sidang perwakilan yang dihormati,

Membina gandingan kemenangan

97. Semasa PRU-13, Pakatan Rakyat memperoleh 51 peratus undi popular, namun belum cukup untuk memenangi majoriti kerusi Parlimen. Situasi ini tambah mencabar dengan usaha persempadanan semula yang meneruskan lagi amalan gerrymandering dan malapportionment di dalam sempadan pilihan raya.

98. Justeru, kita harus membina gandingan kemenangan yang lebih luas. Kita harus berusaha mendapat lebih undi Bumiputera, terutamanya kawasan-kawasan FELDA, kem-kem tentera serta pengundi Sabah dan Sarawak.

99. Kekuatan BN di Sarawak misalnya hanya kerana pemerintah di sana memainkan sentimen yang menjarakkan diri mereka dengan Najib dan Semenanjung. Kita mesti lebih yakin menyatakan bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan yang lebih mendokong semangat Perjanjian Malaysia 1963 sebagaimana tercatat di dalam Perlembagaan Parti kita serta Perisytiharan Kuching. Sarawak dan Sabah masih jauh ketinggalan kerana sokongan pimpinan BN di negeri-negeri tersebut terhadap UMNO.

Kepimpinan berjiwa besar

100. Saya yakin kita boleh melakukan ini dengan kepimpinan yang berjiwa besar. Kepimpinan ini lebih daripada soal memenangi jawatan atau pun kedudukan. Kepimpinan adalah tentang mengambil sikap dan juga terus mempertahankan yang benar. Kepimpinan juga tidak dapat mengelak daripada memajukan dan membolehkan pengikut mencapai yang lebih baik.

101. Sudah tiba masanya untuk kepimpinan kita mengambil pilihan sukar tetapi baik dan benar untuk memastikan masa depan yang lebih baik dalam jangka masa panjang berbanding tujuan dan tempoh singkat untuk memenangi pilihan raya. Jika Abraham Lincoln bertegas dengan menyatakan “apa guna saya menjadi Presiden jika kehilangan negara” (baca: apa gunanya saya menang pilihan raya untuk kali kedua jika negara saya berpecah), maka kita mesti berani menegaskan “apa guna kita menjadi wakil rakyat jika kita tidak mahu mengemukakan apa-apa perubahan bermakna untuk negara ini.”

102. Yakinlah, jika kita berjaya melepasi cabaran ini, kita boleh mencapai yang lebih banyak dan lebih baik pada masa akan datang. Kita akan terus diingati sepanjang sejarah kerana berani menegakkan keadilan dengan cara yang lebih berani demi kebaikan generasi selepas kita. Dengan nilai itu jugalah kita akan dihakimi dalam seluruh gerak kerja kita sebagai sebuah pentadbiran baru.

103. Sebagaimana peringatan Anwar yang saya sebutkan lebih awal tadi: Yakinlah, rakyat Malaysia tidak bodoh. Mereka mahukan perubahan dan pergeseran parti-parti pembangkang malah sesama pimpinan di dalam parti tidak membantu mereka meyakini bahawa perubahan boleh berlaku, dan sekiranya berlaku, menjadi lebih baik.

104. Setiap naluri manusia tahu akan kebenaran dan keadilan. Naluri inilah yang mesti kita sentuh, mesti kita capai. Mereka akan bersama kita yang mahu mencapai apa yang lebih baik, bukan menikus kerana mengelak risiko. InsyaAllah, kita akan berjaya. Dan, dengan kejayaan dalam PRU-14 nanti, kita dapat membebaskan Anwar Ibrahim!

Adat berjuang tidak mudah,
Jatuh, bangun terus melawan;
Dari Perlis hingga ke Sabah,
Kita kibarkan panji KEADILAN.

Sekian ucapan saya. Selamat berkongres.

Guru tonggak utama negara demokrasi

Sambutan Hari Guru tiba lagi pada 16 Mei setiap tahun dan semua warga pendidik di seluruh Malaysia akan meraikannya.

Guru merupakan insan yang berpengetahuan luas, berkemahiran tinggi dalam bidangnya dan mempunyai keperibadian terpuji serta berupaya menjadikan diri mereka sebagai suri teladan.

Guru pada hari ini, merupakan tunggak penting dalam negara kita yang demokrasi.

Penjawat awam termasuk guru sememangnya mempunyai hak untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dianggap meminggirkan kepentingan rakyat.

Apatah lagi, Malaysia pada hari ini terpalit dengan pelbagai budaya rasuah dan salahguna kuasa, serta pemotongan belanjawan pendidikan.

Bukankah bermula 1 Ogos 2010, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik.

Langkah ini seiring dengan hakikat bahawa guru memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

Saya percaya guru-guru yang terlibat dalam politik tetap mengutamakan tugas dan fokus mereka iaitu mendidik.

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru.

Ucapan Persediaan Menghadapi PRU14 di Konvensyen KEADILAN Sarawak

Saya menekankan peluang dan cabaran KEADILAN serta Pakatan Harapan dalam berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 di Konvensyen KEADILAN Sarawak 2017

AMK kecam pihak cuba gugat kestabilan Selangor

Angkatan Muda Keadilan mengecam sekeras-kerasnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dengan penyebaran berita palsu.

Ini tidak lain tidak bukan dikerjakan oleh perkakas UMNO-BN yang menggunakan laman web picisan dan cybertrooper untuk menyebarkan spekulasi yang langsung tidak berasas ini. Malangnya Perdana Menteri sendiri menyambung fitnah ini, membuktikan siapa sebenarnya di belakang serangan ke atas Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, perlu diingatkan juga bahawa Kerajaan Negeri Selangor sedia ada telah diberi mandat besar pada tahun 2013 untuk mentadbir negeri.

Berpegang pada amanah ini, Kerajaan Negeri Selangor juga telah berjaya melaksanakan tugas berdasarkan manifesto yang dijanjikan.

Selangor merupakan negeri majmuk yang kian makmur dengan kejayaan tadbir urus Kerajaan Negeri.

Perbezaan pandangan yang wujud itu hanyalah intipati demokrasi yang matang, tetapi ia tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menumpukan kepada isu yang disepakati bersama demi melaksanakan amanah rakyat.

Tingkatkan gaji dan kurangkan beban pekerja

Bersempena Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei ini, Angkatan Muda Keadilan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja yang menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyaran pihak kerajaan pusat untuk mempertingkatkan lagi usaha menjamin kesejahteraan pekerja dengan lebih komprehensif.

Ini termasuklah dengan mengalakkan kenaikan kadar gaji pekerja melalui pemotongan cukai korporat, agar pekerja boleh diberikan gaji yang setimpal dengan kos kehidupan yang kian meningkat. Jika akhirnya kerajaan BN memperkenalkan gaji minima selepas desakan sekian lama Kesatuan Sekerja dan parti-parti pembangkang, sudah tiba masanya wujud insentif untuk ‘living wage’ yang lebih baik. Nisbah keuntungan yang dibolot majikan berbanding KDNK negara masih tinggi, sedangkan nisbah upah pekerja masih rendah berbanding negara-negara maju.

AMK juga mengambil maklum serta menyokong usaha untuk memperkenalkan skim insurans pekerja. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa sebarang kaedah yang digunapakai untuk skim itu haruslah tidak membebankan pekerja dan dijalankan dengan telus agar tidak berlakunya penyalahgunaan wang rakyat seperti yang terlalu biasa untuk kerajaan sedia ada.

Dengan tekanan kos kehidupan, keadaan ekonomi yang tidak stabil a kadar gaji yang masih tiada peningkatan setelah sekian lama, AMK ingin mengingatkan sekali lagi janji Pakatan Harapan bahawa sekiranya PH berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara, GST akan diubah pada kadar sifar dan bukan kadar enam peratus yang jelas membebankan rakyat ketika ini.

Warga pekerja merupakan nadi pembangunan negara, dan setiap pekerja sepatutnya lebih dihargai di negara ini. Sekali lagi, terima kasih di atas segala pengorbanan anda dan selamat menyambut Hari Pekerja 2017.

Ucapan perasmian program Jom Baca Bersama

Sedutan ucapan saya merasmikan Program Jom Baca Bersama di Perpustakaan Raja Tun Uda PPAS Shah Alam.

Putrajaya harus bertindak terhadap pencerobohan China di perairan Sarawak

Saya merujuk laporan berita Malaysiakini berkenaan Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan Sarawak yang dituntut Malaysia.

Menurut laporan tersebut,CCG melakukan rondaan hampir setiap masa di perairan tersebut sejak akhir tahun lalu.

Pada tahun 2015 Malaysia telah membuat bantahan diplomatik terhadap China akibat kapal mereka yang telah memasuki Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Sejak bantahan pada 2015 itu, dilaporkan sebanyak 11 kapal CCG telah meronda berdekatan perairan Malaysia — seolah-olah langsung tidak menghiraukan bantahan tersebut.

Hal ini jelas merupakan satu cabaran ke atas kedaulatan negara kita dan Putrajaya sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas untuk membantah kehadiran kapal-kapal negara China ini.

Jika kita terus berdiam adakah ini bermakna kita terus akur dengan pencerobohan China ke tanahair kita?

Ini bukan sahaja terbatas dengan kehadiran mereka di perairan kita, tetapi akibat kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Najib Razak serta skandal besaran seperti 1MDB, ia seakan-akan memberi peluang untuk negara asing seperti China menerobos negara ini termasuk di dalam hal politik dan ekonomi.

Kebergantungan kepada China untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang mengalami kerugian berbillion akibat skandal besar juga telah melemahkan pendirian diplomatik negara.

Jika Putrajaya terus gagal mengambil pendirian lebih tegas di dalam hal ini maka jelaslah bahawa pentadbiran Najib Razak kini tidak lagi mampu menegakkan kedaulatan negara dan hanya akan terus mengundang campur tangan negara asing.